Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Pindahkan Israel dari Palestin ke Greenland

Dunia Islam dikejutkan dengan cadangan Presiden Donald Trump supaya dipindahkan penduduk Gaza ke Mesir dan Jordan. Sebagai jawapan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyatakan adalah lebih baik Israel dipindahkan ke Greenland. Ia menyelesaikan dua masalah Amerika sekali gus.

Menteri itu berkata sebagai menjawab soalan wartawan Sky News, sebuah televisyen United Kingdom yang cenderung menyokong Israel. Tentulah beliau kelihatan berseloroh dan sekali gus menyifatkan cadangan Trump terhadap penduduk Gaza adalah juga suatu jenaka.

Trump mahukan Amerika memiliki Greenland walaupun ia berada di bawah kedaulatan Denmark. Cadangan itu disambut oleh dunia sebagai berseloroh walaupun Trump serius.

Akibatnya, Denmark menguatkan kedudukan tenteranya di Greenland dan membesarkan lambang wilayah itu ke dalam jata negaranya.

Wartawan Sky News itu tanya menteri Iran sama ada negaranya menyokong bahawa Israel berhak mempunyai negara kediaman (homeland). Abbas berkata semua orang berhak mempunyai negara kediaman tetapi mereka tidak berhak mengambil negara kediaman orang lain.

Malah 70 peratus penduduk Gaza adalah orang Palestin yang sudah pun memasuki generasi kedua dan ketiga yang dihalau dari wilayah kediaman mereka oleh tentera Israel sejak penubuhan negara itu pada tahun 1948.

Sementara dua pertiga daripada penduduk Jordan adalah juga orang Palestin dan keturunannya yang dihalau oleh Zionis.

Tentulah cadangan Trump itu disambut baik oleh pihak Israel yang mahukan wilayah Gaza. Malah cadangan Trump itu pernah dikemukakan oleh sebahagian Zionis sejak awal lagi. Mereka mahukan wilayah Gaza serta Tebing Barat dan menolak penubuhan negara Palestin. Bagi mereka Jordan itulah Palestin. Maka orang Palestin yang berada di wilayah yang mereka tubuhkan sebagai Israel wajar kesemuanya berpindah ke Jordan.

Sememangnya pada zaman Uthmaniah, apa yang kini bernama Jordan adalah sebahagian daripada wilayah Palestin. Ketika pentadbiran British, wilayah itu dinamakan sebagai Transjordan yang bermaksud “rentas Sungai Jordan”. Ia terdiri daripada Tebing Timur dan Tebing Barat, iaitu tebing kepada Sungai Jordan.

Transjordan kemudiannya dipendekkan menjadi Jordan. Ibu negaranya ialah Amman dan ia terletak di Tebing Timur. Sementara Tebing Barat meliputi kota Baitulmaqdis di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa.

Negara Israel yang mula diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948 mempunyai ibu negara di Tel Aviv. Pada tahun 1949, Israel menakluki Baitulmaqdis dan mengisytiharkan sebagai ibu kotanya. Tetapi Masjid Al-Aqsa tetap terletak di bawah pentadbiran Raja Jordan.

British mengiktiraf Hussein bin Talal dari keluarga Hashimiah menjadi Raja Jordan dan penjaga Masjid Al-Aqsa. Semasa Uthmaniah, keluarga Hashimiah mentadbir wilayah Hejaz dan menjadi penjaga Masjidil Haram. Namun mereka terpaksa melepaskannya pada keluarga Saud yang menguasai Hejaz dan wilayah-wilayah lain untuk dijadikan negara Arab Saudi.

Semasa penubuhan Israel pada tahun 1948, British menetapkan wilayah Gaza yang merupakan sebahagian daripada Palestin diletakkan di bawah pentadbiran Mesir.

Pada tahun 1967, Israel menakluki Tebing Barat dan Gaza. Pada tahun 1973, Israel menakluki Sinai Mesir dan Golan Syria. Dengan perjanjian damai bersama Mesir, Israel menyerahkan kembali Sinai tetapi tetap menguasai Gaza. Apabila Amerika di bawah Presiden Jimmy Carter mencadangkan penubuhan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza, maka Jordan dan Mesir melepaskan haknya ke atas wilayah-wilayah itu. Tetapi Israel tetap tidak mahu melepaskan kekuasaannya.

Sebagai seorang ahli perniagaan hartanah sebelum menjadi ahli politik, Trump tidak menunjukkan minat atau mengetahui mengenai sejarah dunia dan hal ehwal antarabangsa.

Tentunya fikiran Trump mengenai Palestin dibentuk oleh orang sekelilingnya sejak tahun 2015 apabila beliau mula masuk politik. Orang sekelilingnya adalah Zionis. Menantunya, Jared Kushner adalah seorang pemaju hartanah Yahudi dan pernah menyatakan bahawa Gaza boleh dimajukan seperti Monaco, sebuah kota peranginan di Laut Mediterranean. Jika perkara itu berlaku, yang mendiami Gaza bukanlah orang Palestin, tetapi orang Israel.

Trump menyifatkan Gaza sebagai kawasan yang telah hancur (demolition) dan rakyat Palestin itu wajar membina kediaman mereka di Mesir atau Jordan supaya mereka boleh hidup dengan aman.

Apabila ditanya, adakah perpindahan itu adalah sementara, Trump jawab, boleh jadi sementara atau jangka panjang. Beliau tidak menyebut kekal, tetapi jika kekal, itulah yang dikehendaki Israel.

Jika penduduk Gaza dapat dikeluarkan dan berpindah ke Mesir dan Jordan, ia merupakan kemuncak kepada genosid iaitu pembersihan etnik. Setelah ketiadaan penduduk Gaza, maka Israel boleh membersihkannya dan membawa masuk orang Yahudi yang menetap dan membangunkannya.

Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi dan Raja Jordan, Abdullah Hussein segera menolak cadangan Trump itu dengan tegas. Ini kerana bukan mereka tidak mahu memberi ruang pada rakyat Palestin; tetapi mereka sedar bahawa strategi itu adalah untuk menyerahkan Gaza kepada Israel.

Malah pemimpin Arab Saudi, Mohammad bin Salman yang dianggap sahabat oleh Trump menolak cadangan itu. Katanya negara Palestin mesti ditubuhkan.

Tetapi Trump boleh saja mengenakan tekanan pada Mesir dan Jordan. Ini kerana kedua-duanya masih memperoleh bantuan kewangan setiap tahun dari Amerika untuk tidak memerangi Israel, dan sebaliknya mengiktiraf dan mengadakan hubungan dengan Israel.

Pada minggu lalu Trump mengatakan beliau menghentikan semua bantuan kewangan untuk luar negara kecuali Israel, Mesir dan Jordan.

Trump menyatakan bahawa Gaza telah menyaksikan banyak peperangan. Tetapi kitaran peperangan itu adalah berasaskan pada kehendak penduduk Gaza untuk merdeka. Jika sebuah negara Palestin di Gaza dan Tebing Barat dapat ditubuhkan, maka tiada ada sebab perjuangan kemerdekaan yang dilancarkan oleh Hamas akan berterusan. Apabila tiada kemerdekaan, maka Hamas akan berulang kali menyerang Israel.

Tetapi pihak Israel mahu menghapuskan sebarang perjuangan pembebasan Palestin. Bagi mereka jika tiada penentangan itu, maka Israel akan selamat.

Trump ada menyebut bahawa beliau tidak menganggap bahawa Palestin itu adalah masalah Amerika. Ia adalah masalah Israel dan Amerika seharusnya tidak terlibat. Beliau adalah seorang pemimpin yang mengutamakan Amerika dan tidak mahu membazirkan tenaga dan dana untuk pihak lain.

Sebab itu, kalau boleh beliau mahu menghentikan bantuan kepada Israel, Mesir dan Jordan. Tetapi jika perkara itu berlaku, maka tercetuslah perang, Mesir dan Jordan mungkin berperang dengan Israel iaitu dengan memperoleh bantuan dari negara-negara lain. Tanpa bantuan Amerika, Israel boleh tumbang, sesuatu yang tidak akan dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat Amerika.

Maknanya walaupun Trump tidak mahu mempedulikan Israel, tetapi doktrin pentadbirannya tetap menyokong Israel dan melihat negara itu sebagai kepentingan Amerika. Pentadbiran Trump disokong dan digerakkan oleh Republikan yang sebahagiannya terdiri daripada Zionis Kristian dan Zionis Yahudi.

Walaupun Trump adalah seorang yang mempunyai banyak kuasa tetapi beliau tetap dihalang oleh pihak-pihak yang sedang mendukungnya. Ada perbezaan keutamaan di antara mereka. Jadi walaupun pihak Zionis itu mengutamakan Israel, Trump pula menganggap negara paling penting baginya adalah Arab Saudi.

Katanya Arab Saudi bersedia melaburkan wang di Amerika Syarikat. Bagi Trump mana-mana negara yang bersedia membuat pelaburan yang banyak di Amerika adalah sekutunya. Hubungan baik Trump dengan Mohammad bin Salman telah dirintis semasa awal-awal Trump menjadi presiden dahulu.

Semasa menjadi presiden pada penggal pertama dahulu, Trump meminta negara Eropah yang menjadi anggota NATO supaya menanggung perbelanjaan ketenteraan secara saksama dan bukannya Amerika membayar lebih. Tetapi kali ini kelihatannya, ia ke arah pembubaran NATO. Jika itu berlaku, perang di Ukraine tidak ada maknanya.

Kini beliau juga mahu menghentikan semua bantuan kepada Ukraine. Tetapi beliau ada menyatakan bahawa perang itu sepatutnya tidak berlaku. Beliau menyalahkan Presiden Joe Biden yang tidak dapat menghalang peperangan. Malah beliau juga menyalahkan Presiden Volodymyr Zelensky kerana tidak menerima tuntutan Presiden Vladimir Putin.

Tetapi katanya, beliau mahu perang Ukraine dihentikan bukan kerana soal ekonomi tetapi kerana mahu menyelamatkan nyawa rakyat Ukraine. Baginya soal Ukraine lebih sukar untuk diselesaikan berbanding Gaza. Di sini buat pertama kali dapat dilihat betapa beliau menghargai nyawa manusia. Sementara di Gaza beliau melihat keperluan rakyat Gaza supaya dapat menikmati hidup dengan mempunyai kediaman sendiri, walaupun di luar tanah airnya.

Dalam kempen pilihan raya, Trump menjanjikan bahawa perang Ukraine akan dihentikan sebaik saja beliau menjadi presiden, tetapi itu tidak berlaku.

Tetapi kehendaknya supaya gencatan senjata diwujudkan di Gaza telah berjaya sebelum beliau angkat sumpah. Tentu ada perkara yang ditawarkan kepada Israel.

Perkara pertama tentang Palestin yang beliau lakukan ialah membatalkan sekatan terhadap penempatan Yahudi di Tebing Barat yang dikenakan oleh Presiden Joe Biden kerana ia melanggar perjanjian damai.

Maka maknanya Trump menyokong orang Yahudi membina penempatan di Tebing Barat.

Trump juga meluluskan penghantaran bom besar yang katanya telah dibeli dan dibayar oleh Israel tetapi dihalang oleh Biden kerana bimbang ia digunakan untuk genosid di Gaza.

Soal Palestin menjadi masalah lebih mencabar pada era Trump ini.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS