Pembangunan alat baru oleh Ngā Pou a Tāne untuk Akses Pasaran Penyelesaian Berasaskan Alam (NbS).
Saya bersama sekumpulan orang Māori di New Zealand sedang mengusahakan kredit karbon antara kaum bumiputera atau indigenous people untuk memastikan kaum bumiputera terlibat dari awal dalam kerjasama ini. Tujuan utama usaha ini adalah untuk memastikan masyarakat pribumi dapat menikmati manfaat ekonomi dan ekologi daripada inisiatif pasaran karbon serta Penyelesaian Berasaskan Alam (NbS), bukannya hanya menjadi pemerhati dalam perkembangan industri ini.
Sekumpulan orang Maori menubuhkan Ngā Pou a Tāne dalam membangunkan alat baharu untuk memudahkan akses ke pasaran iaitu NbS. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan masyarakat Māori dapat merealisasikan “nilai ekonomi menyeluruh” hutan mereka, bukan hanya dari hasil kayu balak, tetapi juga melalui pendekatan lestari untuk generasi akan datang.
Pembangunan alat ini mendapat sokongan daripada Kementerian Alam Sekitar, Kementerian Industri Utama, serta Kementerian Pembangunan Māori, selain pelaburan daripada pihak swasta.
Di Malaysia, tanah adat dan hutan milik Orang Asli serta komuniti Melayu luar bandar juga mempunyai potensi besar untuk mendapat manfaat daripada sistem ini.
Jika model yang dibangunkan oleh Ngā Pou a Tāne boleh diadaptasi di Malaysia, pemilik tanah di Malaysia boleh memanfaatkan pasaran karbon dan pemuliharaan biodiversiti secara lebih efektif.
Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan Implikasinya kepada Masyarakat Adat EUDR (European Union Deforestation Rules) merupakan piawaian yang sedang berkembang bagi perdagangan ke Kesatuan Eropah.

Piawaian ini bertujuan untuk memastikan produk yang memasuki pasaran Eropah tidak berasal dari aktiviti penebangan hutan secara tidak lestari. Ini memberi kesan besar kepada masyarakat adat seperti Māori dan juga masyarakat Orang Asli di Malaysia kerana banyak hutan terletak di atas tanah yang secara tradisional dimiliki oleh mereka.
Dalam konteks ini, sistem EUDR menuntut ketelusan dalam rantaian bekalan produk, memastikan data berkaitan asal-usul produk dikongsi dengan Kesatuan Eropah. Ngā Pou a Tāne sedang membangunkan sistem untuk mematuhi peraturan ini, dan model yang sama boleh diterapkan di Malaysia bagi memastikan produk tempatan dapat memenuhi keperluan pasaran global.
Pasaran NbS dan potensi penyertaan Malaysia
Pasaran NbS melibatkan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk memelihara alam sekitar sambil menyediakan insentif ekonomi kepada pemilik tanah. Antara segmen utama dalam pasaran NbS termasuk:
a) Pasaran karbon sukarela – seperti yang diuruskan oleh Integrity Council for the Voluntary Carbon Market (ICVCM).
b) Pendedahan berkaitan alam semula jadi dan ESG (Environmental, Social, and Governance) – termasuk pelaporan ESG seperti yang dijalankan oleh Ekos.
c) Pasukan Petugas bagi Pendedahan Kewangan Berkaitan Alam Semula Jadi (Taskforce for Nature-Related Financial Disclosures, TNFD) – yang berfungsi untuk mengukur dan mengurangkan risiko kewangan berkaitan perubahan ekosistem.
d) Projek biodiversiti – seperti yang dijalankan oleh Biodiversity Credit Alliance.
Bagi Malaysia, pemilik tanah seperti Orang Asli, masyarakat Melayu di luar bandar, serta sektor swasta boleh menyertai pasaran ini untuk memperoleh faedah ekonomi sambil memastikan pemeliharaan alam sekitar yang berterusan.

Pembangunan baru oleh Ngā Pou a Tāne dan potensi adaptasi di Malaysia
Ngā Pou a Tāne sedang membangunkan beberapa inisiatif utama yang boleh menjadi contoh kepada Malaysia:
a) Pasaran NbS – menumpukan kepada amalan adat, biodiversiti, serta hasil positif kepada iklim.
b) Pensijilan Perhutanan Amalan Adat (Indigenous Practice Forestry Certification, IPFC) – bertujuan untuk memastikan amalan perhutanan tradisional diiktiraf secara global.
c) Sistem pengurusan data inventori hutan - Forestx – sistem digital yang memantau dan menguruskan data berkaitan keadaan hutan. Malaysia boleh menjadi perintis antarabangsa dalam menguji sistem ini. Dengan bekerjasama, Malaysia boleh menubuhkan platform tersendiri yang menguruskan projek berbasis masyarakat Melayu dan Orang Asli, serta menerapkan model yang sedang dibangunkan oleh Ngā Pou a Tāne.
Perbandingan kredit karbon: Malaysia vs Aotearoa New Zealand
Kredit karbon ialah mekanisme yang membolehkan pemilik hutan mendapat pendapatan dengan menjual kredit karbon kepada syarikat yang ingin mengimbangi pelepasan karbon mereka. Beberapa perbandingan utama antara Malaysia dan Aotearoa New Zealand dalam bidang ini ialah:
1. Pemilikan dan Hak Tanah
- Di Aotearoa New Zealand, banyak tanah adat masih dipegang oleh komuniti Māori, dan mereka mempunyai pengaruh besar dalam peraturan pengurusan hutan.
- Di Malaysia, hak tanah adat sering menjadi isu yang kompleks, terutama bagi Orang Asli yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan pengiktirafan hak milik tanah mereka.
2. Sokongan Kerajaan
- Aotearoa New Zealand mempunyai kementerian khas untuk pembangunan Māori yang memberi sokongan kepada usaha konservasi dan NbS.
- Malaysia juga mempunyai agensi yang menjaga kepentingan Orang Asli dan Melayu luar bandar, namun pendekatan kepada ekonomi karbon masih perlu diperluaskan.
3. Penyertaan dalam Pasaran Karbon Antarabangsa
- Māori semakin aktif dalam pasaran karbon dan biodiversiti, dengan sokongan institusi dan sektor swasta.
- Malaysia baru sahaja mula menyesuaikan diri dengan pasaran ini dan boleh mengambil inspirasi daripada pendekatan yang diambil oleh Māori.
Potensi kerjasama antara Orang Asli, Melayu, dan Māori
Terdapat potensi besar bagi kerjasama antara masyarakat Orang Asli dan Melayu di Malaysia dengan komuniti Māori di Aotearoa New Zealand. Beberapa bidang utama yang boleh diterokai termasuk:
- Pemindahan Pengetahuan: Māori telah berjaya membangunkan sistem NbS yang berfungsi, dan Malaysia boleh belajar daripada pengalaman mereka.
- Pembangunan Bersama Pasaran Karbon: Kerjasama boleh dibentuk dalam membangunkan pasaran karbon yang berfokus kepada komuniti adat.
- Peningkatan Kapasiti: Latihan dan bimbingan oleh pakar Māori boleh membantu masyarakat Orang Asli dan Melayu memahami cara terbaik untuk memanfaatkan NbS.
Kerjasama ini boleh diwujudkan melalui platform bersama yang membolehkan pertukaran teknologi, sokongan kewangan, dan penglibatan dalam pasaran karbon antarabangsa. Dengan mengadaptasi pendekatan Māori ke dalam konteks Malaysia, masyarakat adat Malaysia boleh mendapat manfaat ekonomi sambil mengekalkan warisan alam sekitar mereka.
Selain itu, di peringkat serantau Asia Tenggara, pelbagai negara sedang meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran kredit karbon. Negara-negara seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam telah memperkenalkan dasar kredit karbon untuk menggalakkan pemulihan ekosistem dan pembiayaan hijau.
ASEAN juga sedang berusaha ke arah harmonisasi standard kredit karbon bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan dalam sektor ini. Kerjasama antara Malaysia dan negara-negara serantau dapat memperkukuhkan usaha pemulihan hutan serta memanfaatkan pengalaman Māori dalam mengintegrasikan amalan pribumi dengan pasaran karbon moden.
Sebagai orang Melayu, kita perlu melihat inisiatif ini bukan sahaja sebagai peluang ekonomi tetapi juga sebagai satu cara untuk mengekalkan warisan dan tanah adat kita. Seperti Māori yang berjuang untuk mengekalkan pemilikan dan manfaat ekonomi daripada tanah mereka, masyarakat Melayu dan Orang Asli juga perlu mengukuhkan kedudukan mereka dalam pengurusan sumber semula jadi. Ini termasuk mengiktiraf hak pemilikan tanah adat dan memastikan hasil dari kredit karbon serta NbS dapat memberi manfaat terus kepada komuniti pribumi.
Kita juga harus meneroka potensi kerjasama yang lebih erat dengan Māori dalam pembangunan pasaran kredit karbon yang lebih adil. Model yang mereka bangunkan boleh dijadikan panduan untuk Malaysia dalam memastikan pemilik tanah kecil dan masyarakat adat mendapat manfaat yang setimpal. Melalui pemindahan ilmu dan teknologi, kedua-dua negara boleh mewujudkan ekosistem perdagangan karbon yang lebih lestari dan beretika.
Kesimpulan Pembangunan pasaran karbon dan NbS di Malaysia masih di peringkat awal, tetapi terdapat banyak peluang untuk mempercepatkan usaha ini dengan mengambil inspirasi daripada model yang sedang dibangunkan oleh Māori di Aotearoa New Zealand.
Jika Malaysia dapat mengadaptasi sistem yang sedang dibangunkan oleh Ngā Pou a Tāne, ia bukan sahaja akan membantu pemilik tanah tempatan tetapi juga memastikan pemeliharaan hutan dan biodiversiti dalam jangka panjang. Kerjasama antara komuniti adat di kedua-dua negara boleh menjadi langkah strategik untuk membangunkan sistem yang lebih lestari dan adil bagi semua pihak.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
