Kami duduk di penjuru, saling menghadap.
“Kita sambung cerita…jadi naib canselor yang menyeleweng itu memang tidak tahu malu? Meski sudah tertangkap dan masih dalam perbicaraan, dia boleh elok bertegur sapa bila terserempak di luar?”
Botak menggeleng, “Kalau dia nampak serba salah dan kaget selalu, maka tentulah terpercaya bahawa dia melakukan kesalahan. Makanya tidaklah menghairankan dia berpura seolah tiada apa berlaku.”
Saya memandang Botak yang menggaru pundak kepalanya, “Tapi, apa yang sebenarnya berlaku?’
Yang berlaku sebenarnya begini: Banyak tahun lalu, Botak yang bekerja sambilan di sebuah syarikat akhbar berpulangan dari pejabat untuk ke rumah ibu bapanya.
Di tubir jalan, sekumpulan pegawai beruniform sedang memukat jala.
Dia ditahan.
Botak berhenti, dan tanpa gementar dia menurunkan kaca jendela.
Yang menahan sengaja menggugah, “Ada laju melebihi had…saman.”
Botak yang begitu yakin dia tidak memecut, gesit menyanggah, “Berapa?”
Yang menahan dengan perut buncit menyerkap, “Laju.”
“Berapa?” Botak yang benar mengetahui haknya inginkan kepastian.
“90 lebih,” balas sang penahan, acuh tidak acuh.

Maka terjadi soal jawab yang menyakitkan hati.
Sang pemukat kemudian malas mengembang bicara membunuh bantahan, “Boleh settle sini. Berapa ada?”
Botak dengan nada penuh benci, geram, berbaur marah; “Ini tengah bulan, dalam dompet hanya ada RM20; nak balik tak memadai nak beli nasi. Saya beri RM10?”
Polis tanpa rasa bersalah atau kasihan, memeras semuanya, “Kau bagi RM20. Kau cari lain duit nak beli nasi.”
Lepas diperas, terus mohon jadi pegawai BPR
Botak kembali ke rumah dengan rasa terbakar.
Apinya marak, menghangit ke liang rongga lantas menyala di tiap sel otaknya.
Esoknya Botak mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, dan secara sedar dia memohon sebagai pegawai Badan Pencegahan Rasuah (BPR).
Sejak itu, Botak yang ketika itu masih berambut lebat berazam akan memburu pesalah rasuah.

Meski kepalanya kini halus-halus ditumbuhi rambut, dia tidak lagi berpaling.
Dan kes pertamanya?
Botak memandang saya agak serba salah.
Semacam menduga-duga, “Tapi Haji orang universiti, tak apakah kalau saya berjujur.”
Saya mengangkat bahu, “Ya kenapa kalau orang universiti? Profesor dan maha guru juga kalah dengan bisikan wang dan perempuan bukan?”
“Kes pertama saya. Naib canselor yang menyeleweng.”
Meremang tengkuk saya meremang, “Fuh.”
Rasa Botak selaku pegawai penyiasat ada galau dan garau.
Galau kerana simpang siurnya, garau kerana dia perlu berdepan dengan kemaruk serak suara gagau iblis bersarang dalam diri manusia, ya, meski dia profesor (dengan p huruf kecil).
Tatkala itu Botak cuma seorang penolong penguasa.
Pangkat rendah dan baru bertugas, menamatkan latihan di Kuching, Sarawak.
Tika itu pegawai sedia ada tidak ramai.
Badan Pencegahan Rasuah atau BPR dipandang orang sebelah mata.
Ramai yang tidak segan silu seraya menggaru ketiak meminta habuan.
Kecil besar semua ikut terkesan.
TNC buat dokumen palsu
Profesor itu terpilih mengganti seorang naib canselor (NC) di sebuah universiti, asalnya dia cuma timbalan naib canselor (TNC).
“Apa yang berlaku?” saya menggesa.
“TNC ini membuat dokumen palsu, lebih tepat surat palsu konon dia dinaikkan gred dari C kepada B, dan memberi perubahan kepada jumlah gaji, dan kelak pencennya.”
Saya menggaru kepala, dan tiada siapa mempersoalkan?
Botak menemui NC terdahulu, yang mengaku tandatangan pada surat penunjukan naik gred itu adalah miliknya.
Namun, NC juga pengingat dan mengakui bahawa dia tidak pernah menulis surat seumpama itu.
Yang ada ialah permohonan sang TNC, ia dibincangkan dalam mesyuarat atasan dan hanya ada satu coretan menteri; “Sila kaji dan pertimbangkan.”
Bererti tiada pengesahan grednya mendaki setangga.
Cabaran Botak adalah untuk beroleh maklumat sebenar.
Bahawa tandatangan itu palsu meskipun memang ia adalah tandatangan NC yang sebelumnya.
“Apa perasaan Tuan?”
“Pening!”
“Kenapa?”
“Ini sudah belasan tahun berlaku ya.”
Ketika itu teknologi belum cukup bagus.
Memang kita sudah ada saksi tetapi pendakwaan tidak mahu mantan NC ditekan ketika perbicaraan.
Jadi saya perlu mencari surat asal tandatangan yang ditampal pada surat palsu itu.
“Ini kes pertama saya, dan saya diarahkan untuk melakukan sesuatu yang sangat mencabar.”
Botak diizin masuk kamar dokumen dan fail yang rahsia.
Bongkar ribuan surat
Dia perlu membongkar satu demi satu dokumen dan surat sedia ada–jumlahnya beribu–semata-mata untuk memadankan tandatangan yang ditiru palsu itu dengan tandatangan asli.
“Maksudnya tandatangan pada surat palsu itu dipotong dan ditampal dari sepucuk surat orijinal?”
Botak angguk, “Rezeki saya adalah apabila saya beroleh lembar surat itu, dari beribu-ribu surat, dan setelah berpeluh menyelongkar.”
Surat itu membawa Botak ke fasa seterusnya.
Ia adalah surat percukaian yang ditujukan dari universiti tersebut kepada LHDN atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
“Surat yang saya temukan dalam bilik fail itu sendiri adalah salinan.
“Untuk menjadi bukti di mahkamah, saya perlu mencari surat asalnya di LHDN.”

Surat memperihalkan pembayaran cukai itu diburu.
Botak ke ibu kota, membawa salinan surat, bersendirian dia memanjat pejabat LHDN bagi mendapatkan salinan asli.
Ini bagi membolehkan pengecaman forensik kimia dilakukan untuk membuktikan tandatangan itulah yang telah ditiru dan dipotong lantas tertampal dalam surat penyelewengan.
Botak masih ingat debur debar jantungnya saat mendaki tangga LHDN Jalan Duta, “Saya pergi koboi waktu itu Tuan Haji.
“Seorang, saya ke Bahagian Percukaian untuk beroleh surat asal.”
LHDN hanya boleh menyerahkan dokumen sekiranya keperluan Akta Percukaian dipenuhi.
Bahawa surat tidak boleh didedahkan kepada yang lain kecuali dengan izin menteri, atau tuan punya surat.
“Saya memerlukan surat itu cepat.
“Arahan yang diberikan ialah saya perlu memperoleh surat tersebut pada hari yang sama.
“Dan ingat ini kes pertama saya.”
Maka sebagai penolong penguasa di BPR gred 29, Botak perlu mendepani pengarah, timbalan pengarah perundangan LHDN, pengarah percukaian dan dua wakil pendakwaan LHDN.
Lima lawan satu
Lima menentang satu, “Mereka semua pegawai tinggi, dan saya hanya penjawat awam cabuk masa itu.
“Mereka enggan menyerahkan surat tersebut.”
Dalam galau dan buntu, Botak menelefon universiti terbabit dengan harapan, jika tuan punya surat yang meminta salinan asal, maka LHDN akan bekerjasama.
“Jam sudah pukul empat petang Haji.”
Ketika menantikan surat itu tiba dari universiti berkenaan, Botak yang membawa ke sana ke mari (kerana masih orang baru), buku Akta SPRM sempat membelek halaman buku akta seraya meneguk kopi kaw kaw.
Nasibnya baik.
Tertera klausa yang menegaskan bahawa mana-mana orang yang dikemukakan perintah SPRM hendaklah mematuhi perintah meskipun ada undang-undang bertentangan.
Seseorang yang diberi suatu perintah atau notis bawah subseksyen (1) hendaklah mematuhi perintah atau notis itu, dan subseksyen (3), (4) dan (5), walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan.
“Jam menunjukkan pukul 5.25 dan saya berlari ke lif yang lambat-lambat tutup pintunya.
“Lekas berkejar ke aras Bahagian Perundangan LHDN kembali.”
Saya menjegil biji mata.
“(Jam) 5.29 petang, bagaikan Nabi Allah dan cucu cicitnya menahan masa; saya dengan bangga menunjukkan keterangan akta itu kepada pengarah perundangan dan pengarah percukaian LHDN.”
Botak menang, dia beroleh surat kritikal tersebut.
Dan tiada ada ayat saya dalam rencana ini dapat mengungkap perasaan Botak tatkala itu.
Bukti itu bagaimanapun belum memadai.
Botak berlari kembali ke pejabat universiti tempat NC jahanam itu berkhidmat.
Dia harus mendapatkan lapan salinan surat pada tahun dan bulan yang sama sebagai surat contoh, bersekali surat bertandatangan asal untuk melalui proses pengecaman yang saksama.
Komputer meja NC puaka
“Ia masih belum berakhir!” Botak separuh berseru meniti suspen; hampir bergegar seisi kafe.
“Apa lagi?”
Botak menyengih, “Sekarang saya perlu pula membuktikan yang tertuduhlah yang melakukan peniruan tersebut dan bukan orang lain, ini kerana dia boleh saja mengkambinghitamkan orang lain…pegawai bawahnya sebagai misalan.”
Botak beroleh surat kuasa untuk menyita komputer meja NC puaka.
Ia kemudian dihantar ke Siber Sekuriti di Seri Kembangan untuk dianalisis demi mencari surat pemalsuan yang telah lama dipadam oleh tertuduh.

Hasilnya, syukur memberangsangkan dan surat asal tersebut ditemui dalam komputer milik NC tamak.
“Suspen itu belum berakhir Haji,” Botak menambah.
Bukan sahaja ia kes pertama Botak sebagai pegawai pencegahan rasuah, ia juga adalah kali pertama dia masuk ke mahkamah untuk menjadi saksi pendakwaan dan diasak digempur oleh pasukan pembelaan yang terdiri dari peguam bela yang hebat-hebat.
“Satu yang saya pelajari adalah, jika kita penyiasat memang melakukan tugas tersebut sepenuh hati, dan menguasai kes; apa pun cara peguam menyerbu dan memanipulasi, kita tidak akan tumpas awal.”
Dan satu lagi pelajaran lain paling bermakna ialah seorang pegawai penyiasat SPRM harus kreatif, tidak mengalah, berfikir di luar kotak dan memiliki daya kognitif tinggi.
Bukan mudah menjejaki bukti yang tersorok payah di celah timbunan kepalsuan berlapisan.
Dengan kekaguman kepadanya, saya bertanya, “Tuan tak menyesal walau sepicing menjadi pegawai SPRM?”
Dia tertawa, “Ada pernah sekali saya rasa menyesal, iaitu ketika itu sedang dilatih di Kuching.
“Saya tidak tahu pegawai BPR atau SPRM akan menjalani latihan seperti pegawai polis.
“Saya diarah berkursus hanya dua minggu setelah menikah.
“Bayangkan, saiz seluar dari 40 mengecut menjadi 31 tatkala enam tujuh bulan di Sarawak itu.”
Ketawa Botak mengekeh panjang.
“Apa yang terjadi kepada naib canselor neraka itu?”
Malu jadi orang universiti
Botak termenung, lama detiknya dia memandang saya dan menjawab, “Caj 471, Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen, menggunakan dokumen palsu sebagai yang tulen.
“Itu hukumannya berat sekali.”
Saya menghela nafas, tiba-tiba rasa malu menular menjadi orang universiti.
Celakalah mana-mana bijak pandai yang menyuap dan menerima suapan.
Cita bencana. Tikus.
Botak yang menyedari saya kesipuan menyuakan pai ayam belum bersentuh, “Rasa pai ayam ini, Haji. Sedap.”
Saya kembali ke dunia nyata.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
