KOLUM | Semuanya jadi tidak menentu. Bagi Presiden Donald Trump, formula bagi menjadikan Amerika Syarikat “kembali hebat” adalah menghapuskan defisit dagangan dengan negara luar.
Maknanya Amerika akan hanya membeli barangan asing jika negara pengeluar membeli barangan Amerika. Maka untuk itu dikenakan tarif bagi negara-negara yang lebih banyak menjual ke Amerika daripada membeli.
Ini adalah satu kepercayaan yang diperoleh daripada Peter Navarro yang dilantik Trump sebagai penasihat ekonominya. Navarro adalah penulis buku bertajuk “Death by China” (Dibunuh China) yang diterbitkan pada 2011.
Pelantikan Navarro dibuat Trump setelah menerima cadangan daripada menantunya, Jared Kushner yang juga merupakan penasihat kanan Trump. Adalah dilaporkan bahawa Trump telah neminta Jared mencari seorang ahli ekonomi yang sesuai untuk menjadi penasihat. Kushner dikatakan melihat kulit-kulit buku di Amazon sebelum menemui karya Navarro itu. Pada masa itu, Navarro adalah profesor emeritus di Universiti California di Irvine.

Apabila tarif Trump diumumkan pada 4 April lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji semula jangkaan pertumbuhan ekonomi tahun ini. Pastinya ia akan dikurangkan. Memang benar bahawa pukulan tarif Trump menjejaskan harapan kemakmuran yang baru saja hendak dinikmati oleh rakyat.
Kerajaan pun nengambil keputusan untuk mengadakan rundingan dengan Amerika dan perdana menteri akan menghantar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Aziz ke Washington.
Ada juga pihak berpendapat bahawa tidak guna berunding dengan pentadbiran Trump. Mereka tidak pandang negara kecil seperti Malaysia. Silap-silap mereka akan menambah lagi tarif itu. Dengan Kanada dan Kesatuan Eropah pun mereka boleh bertegas, apalah Asean bagi mereka. Senang-senang akan dibelinya.
Tetapi bagi perdana menteri, Asean tidak perlu tersepit atau terperangkap dalam pertelingkahan ekonomi yang sebenarnya adalah antara Amerika dengan China. Bagi rakyat kebanyakan, adalah lebih wajar untuk meletak kepercayaan pada kerajaan kerana mereka mempunyai maklumat, kemahiran dan beban tanggungjawab
Persepsi perkauman
Tindakan menaikkan tarif oleh Amerika ini juga merupakan satu lagi cabaran bagi negara. Iaitu tambahan kepada gugahan pihak pembangkang terhadap kerajaan Madani menjelang pilihan raya kecil Ayer Kuning, pilihan raya negeri Sabah dan persiapan terhadap pilihan raya umum akan datang yang tempoh penggal hanya akan berakhir pada 2028.
Namun, papan catur tanding sudah dipetakan iaitu Anwar mahukan satu penggal lagi dengan menampilkan kesinambungan kerajaan Madani. Sementara pihak pembangkang ialah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan.
Apa yang dihadapi oleh kerajaan Madani bukanlah mengenai polisi dan program tetapi persepsi yang bernuansa perkauman dan keagamaan yang digunakan oleh penyokong-penyokong pembangkang. Tentulah apabila ada peluang, sukar bagi suatu pihak untuk tidak menggunakannya.

Perkara ini bertambah mencabar apabila teknologi media sosial yang digunakan secara meluas dan mendalam oleh penyokong pembangkang adalah berkesan apabila menghujah isu-isu perkauman dan keagamaan. Ada kalanya setakat menularkan semula berita-berita lama sudah cukup menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.
Di kalangan warga emas termasuk “baby boomers” yang lahir dari tahun 1946 hingga 1961 yang tidak memahami bagaimana maklumat palsu atau manipulatif yang disiarkan melalui media sosial, mereka mudah mempercayai dan tertipu lebih-lebih lagi apabila ia dipasakkan pada sensitiviti kaum dan agama. Perkara ini saya perhati dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp kejiranan, surau, bekas rakan sekerja dan alumni universiti serta sekolah.
Sementara di kalangan anak-anak muda yang bakal mengundi bagi kali pertama pula tidak memiliki pengetahuan dan pengalaman yang sewajarnya untuk menghadapi gelombang politik. Bagi mengelak untuk berfikir lebih luas dan mendalam, banyak orang memilih untuk melihat semua perkara dari sudut kaum dan agama.
Pada asasnya, masyarakat di negara ini adalah konservatif dan berorientasikan pada kaum. Bukan saja orang Melayu, tetapi juga Cina dan India. Sementara rakyat di Sarawak dan Sabah pula mempunyai sentimen mencurigai pihak Semenanjung.
Nampaknya walaupun merdeka sudah 68 tahun, sentimen perkauman tidak berkurangan apatah lagi untuk hilang. Sedangkan generasi merdeka sudah banyak yang tiada dan digantikan generasi pembangunan. Walaupun tidak seperti generasi merdeka, golongan yang berpendidikan sudah meningkat begitu banyak.
Hampir semua kalangan kaum Cina tahu bahasa kebangsaan. Rakyat negara ini juga boleh bertutur dalam bahasa Inggeris yang digunakan untuk komunikasi antara kaum. Begitu juga peningkatan ekonomi di kalangan orang Melayu juga sudah banyak sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Walaupun masih tidak memuaskan, banyak sudah kemajuan yang dicapai. Tetapi matlamat menyusun semula masyarakat supaya wujud perpaduan tanpa perkauman menjadi suatu utopia.
Malah parti-parti yang tidak eksklusif untuk satu kaum iaitu PKR, DAP dan Amanah meraih banyak undi dalam pilihan raya umum lalu untuk menjadi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri walaupun secara bekerjasama dengan parti eksklusif satu kaum iaitu Umno, MCA dan MIC.
Selain itu, kesadaran beragama secara progresif yang dipelopori Abim pada tahun 1970-an dan diturut serta dengan pertubuhan seperti Ikram, kini sudah menjadi arus perdana. Termasuk dalam golongan ini ialah anak-anak muda progresif Islam yang menyertai PAS pada tahun 1980-an yang kini berada dalam Amanah.
Namun begitu pertambahan penduduk dengan demografi besar orang Islam telah membawa juga satu cara berfikir konservatif yang bersifat negatif dan divisif. Mereka inilah yang menjadikan PAS kuat dan selanjutnya mendokong Perikatan Nasional.
Kepercayaan rakyat pada kerajaan
Apa yang ternyata, sebahagian rakyat negara ini kurang berpengetahuan dan kurang daya berflkir walaupun berpendidikan dan mempunyai pekerjaan baik. Mereka kurang membaca untuk pengetahuan dan fikiran. Jika membaca pun atau menonton gajet, ia adalah mengenai perkara ringan dan reneh-temeh yang hanya membangkitkan sentimen negatif. Tetapi tentulah bukan semua.
Boleh saja seseorang itu menjadi konservatif yang berpengetahuan dan berfikir. Tetapi umumnya lebih banyak yang hanya mengikut dan menelan hujah tanpa berfikir.
Akibatnya kerajaan Madani berada pada kedudukan defensif. Tumpuan yang seharusnya dihalakan kepada gelombang ekonomi yang berasal dari Amerika terpaksa diseimbangkan dengan usaha menangkis serangan-serangan pembangkang yang mengeksploitasi isu perkauman dan keagamaan.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam ucapannya mengingatkan rakyatnya bahawa keadaan masa depan akan mencabar dan untuk itu, rakyat Singapura diminta bersatu.
Perpaduan negara adalah penting dalam menghadapi suasana mencabar yang tidak menentu ini. Maksudnya rakyat wajar secara keseluruhannya nenyokong apa yang akan dilakukan oleh kerajaan bagi menghadapi keadaan ini. Sebarang perbalahan akan melemahkan negara, walaupun tentunya sistem demokrasi membenarkan kebebasan bersuara untuk kebaikan bersama.
Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan adalah penting bagi menghadapi cabaran besar. Singapura pula perlu mengadakan pilihan raya umum tidak lewat daripada 3 November 2025. Inilah kali pertama Lawrence Wong akan mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) menghadapi para pengundi. PAP tidak mempunyai saingan kuat untuk mendapatkan kembali kuasa.
Malaysia yang banyak tahun lagi untuk menghadapi pilihan raya umum tetap juga perlukan sokongan kuat daripada rakyat. Perpaduan rakyat adalah penting bagi menghadapi gelombang ini. Kebanyakan rakyat tidak akan dapat memahami sistem ekonomi. Tetapi mereka bebas bukan saja berpendapat tetapi menyuarakan pendapat mereka walaupun tidak berasaskan pada fakta dan pemahaman salah kerana dipengaruhi sentimen perkauman.
Dalam hal ekonomi, mereka yang lebih mengetahui adalah pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) kerajaan yang bertanggungjawab menguruskannya. Mereka mempunyai data dan maklumat yang orang ramai tidak tahu. Mereka pula akan memberi perakuan kepada ahli politik yang menyandang jawatan.
Pentingnya ahli politik berwibawa
Maknanya perdana menteri dan kabinet amat bergantung pada ahli-ahli ekonomi dalam jentera kerajaan. Sebab itu amat penting negara ini memiliki pegawai PTD yang layak dan cekap. Untuk memperoleh jentera yang baik, maka sudah tentu perlu datang dari institusi pendidikan, dalam dan luar negara.
Di luar kerajaan, pakar-pakar ekonomi terdiri daripada ahli-ahli ekonomi di institut-institut pemikir, institusi pengajian tinggi dan juga syarikat-syarikat korporat. Ada juga ahli-ahli ekonomi bebas. Tidak kurang pula peminat ekonomi amatur yang bukannya pakar tetapi mempunyai pengetahuan tinggi.
Mereka semua ini boleh menyumbang kepada negara dalam menghadapi situasi-situasi kritikal. Tetapi akhir sekali ialah ahli politik yang akan membuat keputusan kerana mereka diberikan kuasa oleh rakyat. Sebab itu negara memerlukan ahli-ahli politik yang berwibawa. Apa juga latar belakang dan perangai mereka, keanggotaan mereka dalam kabinet akan menentukan hala tuju negara.
Begitu juga wakil-wakil rakyat di Parlimen. Jika rakyat memilih wakil rakyat yang jahil ekonomi, tunggulah bala ekonomi yang menanti negara. Sebab itu parti-parti politik bertanggungjawab untuk memiliki aktivis dan ahli yang bermutu.
Rakyat kebanyakannya tidak faham ekonomi. Orang ramai hanya tertumpu pada soal seharian: harga barang, gaji dan bantuan kerajaan. Sebahagiannya membuat komen di media sosial yang menampilkan kejahilan mereka. Masalahnya, netizen-netizen inilah yang jadi pengundi dan merekalah yang akan memilih ahli politik untuk menerajui kerajaan.
Apa yang pasti, akan berlaku banyak pekerja hilang pekerjaan dan pendapatan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Simpati saya terhadap para pekerja sedunia yang hilang pekerjaan kerana suatu kepercayaan ekonomi songsang seorang hartawan bernama Donald Trump.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
