mk-logo
Kolum

Pada 2 April lalu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan satu perintah eksekutif berkenaan pelaksanaan tarif barangan yang dieksport ke negara tersebut. Pengumuman ini adalah satu peristiwa besar yang menandakan permulaan kepada perang dagangan dalam skala yang lebih besar yang memberi implikasi kepada pergerakan ekonomi dunia.

Amerika mendakwa tindakan ini adalah untuk menutup defisit perdagangan yang dikatakan merugikan negara tersebut, berdasarkan angka kasar tarif yang dikenakan ke atas barang yang dieksport AS ke negara luar. 

Tetapi hakikatnya, dakwaan tersebut meleset daripada fakta dan angka yang sebenar. Ini kerana jumlah barangan import-eksport antara Amerika dan negara lain berbeza. Selain itu, dakwaan kerugian hanya dibuat perbandingan berasaskan import-eksport barang tetapi tidak mengambil kira perkara-perkara lain melibatkan sektor perkhidmatan.

Malaysia tidak terkecuali menjadi negara yang dikenakan tarif dengan nilai 24 peratus, selain negara Asia Tenggara lain seperti Singapira 10 peratus, Vietnam 46 peratus, Thailand 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Laos 48 peratus dan Kemboja 49 peratus.  

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia dan Singapura agak sedikit bernasib baik. Ini kerana untuk Singapura jumlah tarif yang dikenakan adalah paling minimum, iaitu 10 peratus. Bagi Malaysia, barangan eksport dari negara iaitu Electrical and Electronics industry (E&E) seperti produk semikonduktor, cip dan litar bersepadu adalah dikecualikan.

Namun ia tidak harus dipandang ringan kerana situasi ini akan memberi kesan ke atas bahan eksport lain. Pada masa sama, ia turut akan melemahkan ekonomi rantau Asia Tenggara jika usaha bersepadu tidak dilakukan untuk memberi respons kepada tarif ini. 

Maka, peranan utama Malaysia sebagai pengerusi Asean untuk membuka platform perbincangan bersama ketua-ketua negara Asean khusus dalam isu ini yang telah pun dimulakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Seratus tahun yang lalu

Pengumuman ini pada hakikatnya menunjukkan bahawa Trump sememangnya tidak berminat belajar daripada sejarah. Keangkuhannya dan sifat penting diri sendiri semata-mata akan menjuruskan Amerika ke arah zaman kejatuhan.  

Menganjak hampir seratus tahun ke belakang, iaitu pada 17 Jun 1930, Amerika telah meluluskan Smoot-Hawley Tariff Act. Akta ini menguatkuasakan kenaikan kadar tarif sedia ada khususnya terkait dalam sektor pertanian. 

Ketika era 1920-an, pertanian di Eropah telah kembali pulih selepas tamat Perang Dunia Pertama. Pada masa sama, Amerika ketika itu menghadapi masalah pengeluaran berlebihan. Maka pada pilihan raya presiden 1928, calon Republikan Herbert Hoover berjanji untuk menaikkan tarif untuk produk pertanian agar dapat mengurangkan kemasukan produk pertanian dari Eropah.

Usaha tersebut pada mulanya gagal kerana mendapat bantahan kelompok pertengahan Republikan tetapi akhirnya berjaya diluluskan dengan undian majoriti kecil Senat (44-42). Akta itu akhirnya ditandatangani oleh Herbert Hoover walau mendapat bantahan ahli ekonomi.

Kesannya, harga barang naik mendadak dan menyulitkan kehidupan rakyat. Bahkan, dalam tempoh dua tahun berlaku tindak balas lebih dua puluh negara luar ke atas dasar tarif tersebut. Kadar dagangan Amerika dengan Eropah jatuh menjuman dan membawa kepada kemelesetan ekonomi.

Akibat daripada kesengsaraan hidup rakyat, sejarah telah menyaksikan penyandang presiden penyandang Herbert Hoover tersungkur dalam pilihan raya presiden berikutnya pada 8 November 1932 di tangan calon Demokrat Franklin D Roosevelt.   

Pada 1934, Presiden Franklin D Roosevelt telah menandatangani Reciprocal Trade Agreements Act untuk mengurangkan kadar tarif dan mempromosi liberalisasi perdagangan dan kerjasama dengan negara luar.

Perubahan tata dunia

Hari ini di merata tempat di Amerika telah berlaku protes “hands off” sebagai respons ke atas pengumuman terbaru Trump yang menurut peserta protes akan menyusutkan ekonomi rakyat. 

Sekiranya Trump kekal dengan pendirian ini, tidak mustahil parti Republikan akan alami nasib yang sama seperti pada 1932. Namun, adakah waktu itu Amerika sempat untuk pulihkan kembali keadaan ekonomi negaranya?

Menjelang beberapa tahun mendatang kita akan lihat perubahan besar kepada tata dunia. Dasar tarif ini adalah permulaan. Di Eropah, rakyat sudah mula mempersoal sistem fasiliti kewangan yang diterajui Amerika seperti Visa dan Mastercard, serta mata wang Dolar Amerika.

Sebaliknya China kini yang lebih terbuka dalam aspek ekonomi dilihat berpotensi untuk mengisi vakum tersebut. China telah mengalami keperitan dasar ekoran dasar pintu tertutupnya yang berakhir pada Disember 1978.

Selepas itu bermulanya dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Menerusi dasar baru tersebut, China telah berkembang tidak terbatas dalam aspek perdagangan, tetapi juga kepesatan teknologi yang lebih hebat berbanding Barat.

Ironinya Amerika kini seolah-olah ingin memasuki zaman gelap pintu tertutup yang pernah dialami China, di saat China sudah ke hadapan dengan Projek One Belt One Road serta mengeksport pelbagai teknologi moden. Inilah akibat keengganan pemimpin belajar daripada sejarah.   

Keterbukaan Malaysia

Dalam konteks Malaysia, sebagai negara kuasa tengah, kita bebas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat.

Usaha almarhum Tun Abdul Razak yang telah merintis hubungan diplomatik dengan China di saat negara-negara lain memencilkan negara tersebut kerana propaganda Barat, telah membuka ruang untuk mengurangkan kebergantungan kita pada Barat. 

Begitu juga inisiatif Anwar ketika mengemudi acara “Islam and Confucianism : A Civilizational Dialogue” di Universiti Malaya pada tahun 1995. Ia adalah manifestasi keterbukaan Malaysia berdialog dengan mana-mana pihak rentetan daripada kebiadaban Barat yang enggan untuk mengiktiraf jalinan dan persefahaman dengan tamadun luar apabila mengangkat karya Samuel Huntington, The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order pada tahun 1992.

Kunjungan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia untuk bertemu perdana menteri yang juga pengerusi Asean pada pertengahan April ini akan melanjutkan lagi kerjasama yang telah dirintis. Lawatan ini pasti ada sesuatu yang menarik sebagai reaksi kepada perkembangan semasa yang menjadi maudhu’ perbincangan ini.

Namun sebagai negara yang mengangkat nilai-nilai tinggi kemanusiaan, keadilan dan kedaulatan, penerusan jalinan ini harus disambut dengan penuh hemat dan berhati-hati tanpa menggadaikan prinsip tidak berpihak. 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ  ialah pengerusi Bersih.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS