Paling Popular
Terkini

KOLUM | Selepas 25 tahun, buku saya, Diari Lokap Black 14 akan diterbitkan semula menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Mei ini.

Buku itu bukan sekadar untuk memperingati peristiwa yang telah berlalu lebih dua dekad lalu sebaliknya untuk menjadi ingatan kepada pemimpin negara semasa tentang simpang-siur perjuangan generasi awal reformasi.

Pemimpin datang dan pergi manakala reformasi pula adalah perjuangan suatu idealisme yang menuntut kesinambungan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Tidak banyak perubahan yang ketara antara buku edisi terbaru ini dengan yang asal kecuali sedikit tambahan foto, empat bab kemas kini, mukadimah, rujukan, indeks dan singkatan.

Hal itu kerana saya lebih suka mengekalkan cerita tersebut bagi memahami perbezaan pemikiran saya pada dua dekad lalu dengan pemikiran saya pada hari ini.

Tentu sekali banyak perbezaan latar politik ketika buku ini diterbitkan pada kali ini.

Tambahan pula ikon reformasi, Anwar Ibrahim, sekarang sudah menjadi perdana menteri.

Latar politik tanah air kini bukan lagi soal kuasa tetapi budaya berpolitik dan kedinamikannya yang jauh lebih kompleks dan rencam.

Lihatlah perjalanan politik mereka yang bernama Ezam Mohd Noor, Azmin Ali, Kamarudin Jaffar, Kamaruddin Mohd Nor, Zahid Mat Arif, Hamdan Taha, Lokman Adam, Hishamuddin Rais dan banyak yang lain.

Untuk fahami detik silam

Mereka pernah bersungguh-sungguh mempertahankan Anwar seperti Abdul Hadi Awang serta pimpinan lain dalam PAS. Namun sebahagian daripada mereka sedang menjadi seteru politik Anwar.

Dua puluh lima tahun mungkin jarak masa yang tidak begitu lama. Namun pada pengamatan saya, sejarah tertentu gerakan reformasi sedang hilang dari cakerawala fikrah anak muda.

Misalnya susur-galur Black 14 dan keberadaan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak).

Memegang kuasa memang mudah menjadikan sejarah ditenggelami lautan angan dan cita-cita.

Ada sesetengah orang terlepas untuk bersama terlibat dalam gerakan reformasi dan hanya melangkah sewaktu parti berada di persada kuasa. Dalam keadaan begitu tentunya ada kelompangan dalam pengetahuannya.

Oleh kerana itu, kelompok ini perlu memahami dan menghayati detik silam.

Peredaran waktu memungkinkan bibit-bibit kerakusan pada jabatan, dan jawatan yang diberikan melahirkan syaitan seribu wajah yang hadir sebagai pejuang jadi-jadian.

Buku itu lebih perlu untuk diterbitkan semula pada masa sekarang kerana pada kemuncak kekuasaan itulah kezaliman boleh berlaku sekali lagi.

Black 14 adalah peristiwa berkaitan kezaliman terhadap Anwar yang baru diragut kekuasaan akibat pergulatan politik yang dahsyat. Dia bukan saja berdepan dengan Dr Mahathir Mohamad tetapi institusi negara yang menjadi armada besar penguasa.

Sejarah tidak boleh dilihat sekadar suatu peristiwa masa lalu. Sejarah adalah ingatan bersama yang membentuk wajah masyarakat yang ada pada hari ini dan akan datang.

Mencatat sesuatu pengalaman yang tidak semua orang pernah alami adalah satu lagi proses mematangkan masyarakat.

Sejarah – sama ada kejayaan atau kegagalan – juga sering berulang. Pengulangan itu berlaku  akibat hilangnya kebijaksanaan.

Ada hilang dari radar

Hamka ketika menyentuh tentang kejatuhan Melaka menulis: “Ya, benar sejarah tidak berulang, tetapi watak manusia tidak pernah berubah!”

Ratusan orang awam yang mempunyai jawatan dalam parti politik atau tidak pernah ditangkap sepanjang era reformasi.

Sebahagian daripada mereka pernah menjadi penghuni lokap polis, didakwa di mahkamah malah dihukum. Semua itu bukannya percuma walaupun ada ramai peguam menawarkan khidmat mereka secara pro bono.

Ingatlah pesanan Sasterawan Negara, Usman Awang, dalam puisinya Isi Tak Berganti: Kepada Mereka Yang Menang Dalam Pilihan Raya.

Tapi sejarah bisa berulang lagi
dalam sorak kemenangan manusia mencari
ah, masing-masing mencari tempat sendiri
tegak di atas kemelaratan kami.

Itulah bayangan zaman ini
kulit hanya, isi tak berganti.

Saya ditangkap polis pada Sabtu, 15 April 2000 dan keluar dari lokap pada petang 22 April selepas urusan jaminan di mahkamah selesai.

Edisi pertama buku ini berada di pasaran pada Ogos tahun yang sama. Harapan akhir saya adalah buku edisi terbaru ini menjadi catatan sejarah reformasi dan pembangunan negara.

Sebahagian mereka yang terlibat dengan gerakan reformasi dan pendukung perjuangan Anwar sudah menjadi seteru atau hilang dalam radar politik.

Ada juga yang berpatah balik ke bahtera lama untuk menongkah badai. Tanpa menyebut nama mereka, saya harus menghormati pendirian tersebut. Masing-masing ada hujah di sebalik keputusan berkenaan.

Zaman terus berlalu, matahari dan bulan muncul silih berganti mengikut orbitnya.

Begitu jugalah manusia, akan sampai detik senjanya sendiri. Sebelum malam menutup tabir siang, catatkan wasiat buat anak cucu yang merdeka dan berdaulat.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS