Paling Popular
Terkini

KOLUM | “Semua dah nak meninggal baru nak ajak,” kata kami dalam hati. Puncanya ialah kami menerima satu jemputan berbuka puasa.

Walaupun sejak lama dulu kami sudah bertekad untuk tidak memenuhi apa-apa pun jemputan untuk berbuka, namun jemputan yang satu itu tidak mungkin kami tolak.

Bukanlah bermakna kami sentiasa menerima jemput berbuat demikian. Bahkan kami tidak pernah sebenarnya diundang untuk berbuka puasa di hotel atau restoran jika kami mahu berkata benar.

Namun itu tidaklah bermakna kami tidak boleh bertekad untuk menolak.

Yang menjemput ialah suatu kumpulan yang gemar berbangga sesama mereka sendiri. Kononnya bukan sebarang orang boleh minum kopi bersama mereka, apatah lagi untuk duduk makan antara waktu paling penting di bulan Ramadan itu.

Mereka dengan bergayanya telah berbuka puasa sesama mereka sejak sekian lama dulu. Ia adalah acara tahunan  dan kami tidak pernah diajak oleh mereka.

Baser.

Dan kami pun berdendamlah bahawa jika suatu masa nanti mereka menjemput, kami akan meng-elehhhh-kan saja undangan mereka itu biar mereka terasa hati.

Tidaklah sombong sebenarnya jika kami katakan bahawa antara mereka itu, kamilah yang paling popular. Lalu apalah sangat duduk makan dan minum sambil berbual mesra dengan kumpulan yang dianggotai oleh sebahagian besarnya wartawan yang hampir pencen itu.

Berselindung di sebalik nama

Tetapi itulah, kami ini jenis senang digula-gulakan, maka apabila saja mereka mengajak kami berbuka puasa, kami jadi gelabah tak tentu arah. Dada berdegup kencang. Hati berbunga-bunga, dan segala kemurungan yang kami alami sejak lama itu, hilang begitu saja.

Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

Kami syak mereka kekurangan anggota untuk berbuka puasa tahun ini dan kami sebenarnya hanyalah pemenuh kuota.

Namun seperti yang kami katakan, walaupun berdendam, sakit hati dan juga separuh merajuk, kami pergi juga ke majlis berkenaan dengan ekor terselit di celah dua kaki.

Kerana masih marah, kami tidak akan menyebut nama-nama mereka yang hadir pada petang keramat yang penuh berkat tersebut. Biar padan muka mereka tidak menjadi popular.

Sedangkan menjadi terkenal adalah penting pada masa-masa akhir ini.

Lama kami duduk bersama mereka. Mungkin kerana teruja atau mungkin juga kerana sengaja mahu mengambil hati, atau kami ini – jika kamu mahu tahu – memang jenis FOMO.

Apabila berlama-lama tentu banyak yang dibualkan sehingga nama Faisal Tehrani juga disebut.

Teorinya adalah penulis terkenal tersebut – walaupun tidak pernah menganggotai portal e-Sastera – ada kemungkinan berselindung di sebalik nama lain semasa berkarya di sana.

Namun isu sama ada Faisal pernah menyelinap ke e-Sastera adalah sepele sebenarnya jika dibandingkan dengan beberapa hal lain yang dibicarakan.

Hal lukisan Awang Damit misalnya.

Ramai orang tahu bahawa gemulah Rahimidin Zahari itu – selain daripada sosok sastera yang bagus – dia juga adalah pengumpul catan yang tegar.

Selain mengumpul catan kerana dia berbuat demikian kerana ingin membantu teman seniman. Dia juga ada menyimpan karya-karya besar seniman terkenal.

Rahimidin Zahari

Kamu mungkin terkejut jika kami katakan bahawa gemula Rahimidin memiliki karya-karya Latiff Mohidin, Awang Damit, Mokhtar Ishak dan beberapa nama besar yang lain.

Yang lebih menarik ialah karya Latiff Mohidin yang dimaksudkan itu ialah daripada siri Pago Pago iaitu salah satu mahakarya penting pelukis nombor satu negara berkenaan.

Yang terlebih menarik lagi ialah bilamana lukisan itu kemudiannya didapati hilang setelah Rahimidin meninggal dunia. Kehilangan itu dikesan semasa proses perpindahan karya-karya yang dimiliki dari pejabat ke rumahnya.

Lalu tentu saja karya tersebut kini ada dalam tangan seseorang. Jika karya tersebut telah diperniagakan, maka apakah pemilik terkini karya tersebut bersedia untuk memulangkan kembali karya berkenaan kepada waris Rahimidin?

Perlu lakukan sesuatu

Atau mungkinkah kita kini memiliki kumpulan kolektor yang sedang memiliki karya-karya yang mencurigakan namun mereka berbangga kerananya?

Rahimidin menyimpan rekod untuk semua karya yang dimilikinya, yakni di mana dan daripada siapa dia membeli karya berkenaan, serta apakah harga yang dibayarnya.

Mengenai karya Awang Damit yang kami nyatakan tadi, karya tersebut disahkan palsu dan pengesahan tersebut dibuat sendiri oleh pelukisnya. Ini juga satu hal yang menarik pada hemat kami.

Seperti yang kami nyatakan, Rahimidin mempunyai rekod lengkap untuk semua perolehannya, dan dalam rekod tersebut dinyatakan siapakah penjual karya tersebut kepadanya.

Memang tidak dinafikan bahawa telah berlegar karya-karya palsu di negara kita. Karya cat air AB Ibrahim misalnya, telah dipalsukan dengan begitu banyak sehingga sukar dikenal yang asli. Begitu juga dengan karya-karya Khalil Ibrahim.

Latiff Mohidin

Namun pemalsuan karya pelukis yang masih hidup adalah sesuatu yang berani. Sesuatu harus dilakukan untuk menghentikan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Difahamkan, keluarga Rahimidin masih memiliki berpuluh-puluh karya seni yang tinggi nilainya. Mungkin satu pameran khas boleh diadakan untuk membolehkan peminat catan meraikan koleksi tersebut.

Sama-sama kita mendoakan kebaikan untuk arwah Rahimidin yang terkenal dengan sopan dan santun itu.

Agak lama kami duduk dengan kumpulan wartawan bakal pencen itu. Bahkan, sangat lama sebenarnya. Dan walaupun panas hati, kami menghargai setiap detik kami duduk bersama mereka.

Yelah, mana tahu ini adalah kali pertama dan terakhir mereka mengundang kami. Kerana itu kami bersungguh-sungguh melayani mereka.

Entah-entah mereka suka akan kehadiran kami dan dijemput lagi pada tahun-tahun mendatang.

Acara tersebut diadakan di sebuah hotel dan kami langsung tidak bertanya berapakah harga yang perlu kami sumbangkan untuk bahagian kami. Sengaja kami berbuat demikian sebagai satu pengajaran untuk mereka yang sering melupakan kami.

Harap mereka halalkan.

Selamat hari raya untuk semua. Maaf zahir dan batin.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang kini menjaga makannya agar kekal awet muda.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS