Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika perang tarif antara Amerika Syarikat dan China berada di puncak, satu komen dari seorang warga China telah tular di TikTok. Katanya, China telah wujud 5,000 tahun dan berharap akan hidup 5,000 tahun lagi ketimbang Amerika yang baru berusia 246 tahun.

Saya mula mengenali Republik Rakyat China (PRC) pada tahun 1969, ketika berusia 10 tahun, iaitu di darjah 4. 

Seorang kawan sekelas bernama Amirullah yang tinggal di Datuk Keramat, Kuala Lumpur menjual sebuah majalah terpakai bernama Gema Dunia dengan harga 10 sen pada saya.

Majalah ini berbentuk kecil seperti Mastika tetapi ia mengandungi rencana-rencana mengenai hal ehwal dunia.

Saya yang ketika itu dahagakan maklumat membaca majalah itu dari kulit ke kulit. Tentulah saya tidak memahami semua yang saya baca. Namun saya amat meminati mata pelajaran Sejarah dan Geografi (dulu dipanggil Ilmu Alam).

Ada satu rencana mengenai Revolusi Kebudayaan China. Rencana itu pendek dengan ilustrasi  berwarna hijau. Ia menceritakan bagaimana China menjadi huru-hara kerana Revolusi Kebudayaan yang membawa kepada penghapusan kebiasaan lama termasuk agama, pemikiran dan adat istiadat lama. Banyak ilmuan ditangkap, diseksa, dihina dan dibunuh.

Saya juga membaca buku tipis bertajuk Muslims in China Today terbitan Hong Kong yang diberikan oleh jiran saya.

Ketika itu, PRC tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia termasuk Amerika Syarikat dan Malaysia. Kebanyakan negara masih mengiktiraf Republik China (ROC) walaupun kerajaan itu hanya menguasai Taiwan. Di PBB, kerusi China masih diduduki oleh ROC, bukannya PRC.

PRC hanya diiktiraf oleh negara komunis, Soviet Union dan sekutu-sekutunya. Beijing juga menyokong dan membantu Parti Komunis Malaya (PKM).

Tetapi pada tahun 1969, Beijing sudah berkelahi dengan Moscow. Blok komunis dunia berpecah dua: satu pimpinan Presiden Soviet Union Nikita Khruschev yang diikuti oleh Mongolia, Korea Utara, Jerman Timur, Poland, Hungary, Czechoslovakia, Bulgaria, Romania, Vietnam Utara dan Cuba. Satu lagi ialah China  pimpinan Mao Zedong yang hanya diikuti oleh Albania.

Presiden China, Xi Jinping

Tetapi saya benar-benar mula tertarik pada PRC pada tahun 1972, ketika saya di tingkatan 2,  melalui majalah Asia Magazine. Kulit depannya memaparkan kakak-kanak desa berarak di tengah-tengah bendang membawa gambar Mao, memakai skaf merah dan membawa bendera.

Asia Magazine adalah majalah sisipan yang diterbitkan di Bangkok, Thailand dan diedarkan secara percuma dalam akhbar The Sunday Times dua minggu sekali. Majalah tipis itu menjadi jendela saya kepada apa yang berlaku di China. Pada masa itu, China adalah negara tertutup. Amerika dan dunia bukan komunis, termasuk Malaysia mengenakan sekatan dagangan ke atas barangan China. 

Lagipun China tidak mengeluarkan barangan-barangan besar tetapi barangan kecil seperti alat tulis yang sampai ke Malaysia, melalui Hong Kong yang merupakan tanah jajahan British.

Maka apabila saya pergi ke kedai alat tulis di Batu Pahat, maka dapatlah saya lihat barang-barang Made in China seperti pen, pensel, dakwat, set matematik dan permainan catur. Walaupun kurang berkualiti, harganya amat murah berbanding barangan dari Britain.

Ada satu artikel dalam Asia Magazine menceritakan tentang jenama barangan China yang lucu. Ini kerana jenama itu adalah perkataan biasa, umpamanya kupu-kupu dan ikan terbang. Selaras dengan sistem komunis, semua kilang-kilang yang membuat barangan itu adalah milik negara. 

Daripada pembacaan saya melalui majalah Time dan Newsweek pada tahun 1972, Amerika mula berkawan dengan China supaya terus menjauhi Soviet Union. Tujuan utama Amerika adalah untuk melemahkan Soviet Union dengan memecahkan blok komunis. Presiden Amerika ketika itu, Richard Nixon mengiktiraf PRC menggantikan ROC. Pengiktirafan ini membawa kepada lawatan Nixon ke China dan membuka negara itu pada dunia.

Kesan besar terhadap Malaysia ialah negara menuruti jejak langkah itu dan turut membuat hubungan diplomatik dengan PRC. Perdana menteri ketika itu, Tun Razak Hussein juga mengadakan lawatan rasmi ke negara itu pada tahun 1974. 

Ada beberapa kepentingan dalam hal ini. Pertama, lawatan ini menjadi bahan berkesan dalam kempen PRU yang memberikan kemenangan besar pada BN. Kedua, dari segi geopolitik Malaysia selari dengan langkah Amerika dan Barat untuk mengiktiraf PRC. Ketiga, berbaik dengan PRC dapat menghentikan sokongan negara itu kepada PKM. Keempat adalah peluang dagangan yang luas dengan PRC.

Kerajaan menubuhkan Perbadanan Nasional Berhad atau Pernas sebagai syarikat negara yang akan menguruskan perdagangan dengan PRC. Segala urusan dagangan dengan negara itu hendaklah melalui Pernas.

Namun begitu, PRC masih sebuah negara miskin dan tidak mengeluarkan produk-produk bernilai tinggi.

Saya ada membeli sebuah majalah yang berbentuk propaganda mengenai PRC. Majalah itu berbidang besar dengan banyak gambar mengenai aktiviti ekonomi China. Ia diterbitkan oleh agensi kerajaan China dan dijual dengan harga yang murah. Majalah bulanan itu bernama China Pictorial dan diterbitkan dalam dua edisi, iaitu bahasa Cina dan Inggeris.

Ada satu ketika saya menulis surat kepada Kedutaan Besar China di Malaysia yang terletak di Jalan Ampang. Mereka kemudian mengirimkan kepada saya buku penerangan menyeluruh mengenai PRC. Barulah saya tahu berapa peratus penduduk Islam di China iaitu dari kalangan kaum Hui dan Uighur di Xinjiang.

Saya juga membaca buku To Peking and Beyond: A report of New  Asia oleh Harrispn Salisbury, seorang wartawan The New York Times yang saya pinjam dari Perpustakaan Awam Selangor,  ketika itu ia terletak berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. Saya juga membeli buku Essential Works of Chinese Communism tulisan pemuka-pemuka komunis China dari kedai MPH Singapura. 

Mao Zedong

Pada tahun 1976, Mao Zedong meninggal dunia. Saya beli dan baca majalah-majalah berita mingguan antarabangsa iaitu Time, Newsweek, The Economist serta Far Eastern Economic Review (FEER) yang menyiarkan laporan mendalam mengenai pergolakan kepemimpinan Parti Komunis China. Pada mulanya nampak gayanya Gang of Four yang diketuai oleh isteri Mao, Jiang Qin akan menguasai PRC. Mereka ini radikal dan ekstrem.

Tetapi rupa-rupanya mereka kalah dan yang muncul ialah golongan yang lebih popular dalam kalangan rakyat rakyat, iaitu Zhou Enlai. Dia memulihkan kedudukan Deng Xiaoping yang dilihat sederhana, revisionis dan pragmatis.

Pada tahun 1976, Deng pergi ke Singapura dan berjumpa Lee Kuan Yew dan mendengar pandangannya berhubung mengapa Singapura berjaya menjadi negara maju, kaya dan makmur sedangkan China di bawah komunis mundur, miskin dan susah.

Pada penghujung tahun 1976, saya ada membaca buku Socialism That Works, the Singapore Way tulisan tokoh politik Devan Nair yang kemudiannya mrenjadi presiden negara itu. Saya beli buku itu di kedai MPH Singapura. Buku itu menjawab kritikan  gabungan parti-parti sosialis sedunia, iaitu Socialist International yang memecat Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada gabungan itu kerana Singapura melakukan penahanan tanpa bicara terhadap ahli-ahli politik. 

Apabila Zhou meninggal dunia, Deng menjadi pemimpin utama PRC pada tahun 1978. Pada tahun 1982, dia memperkenalkan fahaman Socialism With Chinese Characteristic yang mengubah ideologi komunisme China yang sebelum in, iaitu Marxist-Leninist dan Maoist.

Akibatnya bukan China saja berubah, tetapi dunia. Deng berkata apa yang penting ialah kesannya, bukan caranya. “Tidak kiralah kucing itu warna apa, asalkan ia boleh menangkap tikus”. Maka tidak kiralah komunisme atau kapitalisme, asalkan membawakemajuan negara dan kemakmuran rakyat.

Saya tersedar tentang “China baru” ini ketika membaca akhbar The Star pada tahun 1993 yang melaporkan tentang kepesatan kegiatan ekonomi China. Akhbar itu memperuntukkan ruangan khas setiap hari untuk apa yang berlaku di  China.

Perasaan saya ialah apa yang Deng lakukan amat besar ertinya, lebih besar daripada Mao dan Lenin yang mengasaskan Soviet Union. Maknanya Deng telah mencapai apa yang gagal dicapai oleh Mao dan Lenin. Dia juga berjaya ketika mana Mikhail Gorbachev hendak mengelakkan pembubaran Soviet Union melalui dasar Glasnost dan Perestroika. 

Kejayaan Deng dan China antara lain kerana mereka mendengar anjuran Lee Kuan Yew. Bukan itu saja, ia adalah kerana sokongan dan bantuan Singapura kepada China. Selain itu, ramai ahli perniagaan diaspora China di Asia Tenggara, Hong Kong, Amerika dan United Kingdom turut membantu perubahan China.

Tidak kurang pentingnya ialah peranan Amerika membantu China supaya bukan saja terbuka untuk perdagangan dan pasaran tetapi juga menggalakkan negara itu meninggalkan ekonomi sosialis. Tentulah matlamat Amerika adalah untuk melihat supaya dengan kejayaan ekonomi China, ia akan melemahkan terus Soviet Union.

Selain Amerika, peranan sekutu-sekutu dan sahabat Amerika juga besar  dalam membantu China, termasuklah Eropah Barat, Kanada, Australia dan malah negara-negara Asean. Pada awalnya negara-negara anggota Asean terdiri daripada Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura. Malaysia  mengorak langkah mengiktiraf PRC dan kemudian diikuti kelima-lima begara Asean yang lain walaupun kesemuanya adalah negara antikomunis yang kuat.

Namun satu faktor besar ejayaan China ialah budaya dan sikap bangsa Cina. Bukan saja di China tetapi keturunan-keturunan mereka yang berada di luar negara leluhur mereka, baik di Amerika, Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kerajinan dan kecerdikan mereka dalam perniagaan telah membawa kepada kejayaan China. 

Dunia abad ke-21 sebenarnya dilandaskan pada hubungan simbiosis antara Amerika dan China. Kedua-duanya dan juga dunia memerlukan antara satu sama lain untuk kemakmuran seluruh planet.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS