Paling Popular
Terkini

Dari luar kafe Kopi Saigon di sebuah menara di Shah Alam kedengaran irama lagu Raya yang begitu menggamit. M Nasir dengan lemak-lemak merdu suaranya itu menyanyikan Satu Hari di Hari Raya. Saya kekal dengan kopi kelapa. 

Zek, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang saya temui memilih Kopi Butterscotch siap dengan topping butterscotch drizzle.

Zek memulai cerita agak santai. Memang berbanding yang lain, dia kelihatan lebih rileks dan tidak terlalu tegang. 

“Isteri saya cikgu. Memang guru untuk anak-anak saya tahu yang saya kerja SPRM. Tapi saya cuba tidak terlalu menonjol. Mesyuarat PIBG semua saya tidak hadir. Kebetulan isteri guru, jadi dia urus semua.”

Saya angguk, membiarkan kisah-kisahnya mengalir. Kadangkala pegawai-pegawai yang saya dekati ini memilih untuk melompat terus ke pengalaman mereka yang macam-macam itu. Tetapi ada juga yang berbelok, bersimpang sebelum meluru ke destinasi. Saya ladeni semua. 

“Jiran-jiran tahu?”

Soal saya, “Kalau jiran-jiran tahu tentu mereka sibuk nak bertanya perihal isi atau konten kes-kes penting?”

Zek ketawa. Giginya tersusun elok, dan putih meski dia seorang perokok.

“Nak tahu…antara 2004 ke 2009 saya menyewa di Rawang, seorang jiran pun di taman perumahan tidak mengetahui saya ini staf SPRM. Mereka menyanga-nyangka saya ini kerja kilang kereta. Dan saya mengeyakan saja. 

“Apabila saya berpindah ke Subang sekarang, kebetulan jiran pun tidak kepoci dan tidak bertanya, maka saya kekalkan begitu. Memang dalam banyak hal isteri saya yang ke depan. Saya selesa tidak dikenali.”

Menurut Zek lagi, dikenal orang sebagai pegawai SPRM bukan semestinya satu kelebihan, “Dalam banyak keadaan orang lebih suka menghindar. Mereka mungkin ada rasa khuatir dengan pegawai SPRM…”

Saya pula ketawa, “Gerun atau seram ya?”

Zek menyertai SPRM dalam tahun 2002. Usai latihan di Air Hitam, beliau ditugaskan di sebuah cawangan yang kerjanya lebih kurang - mengintip - dan dek kerana dia mengaku dirinya seorang ‘introvert’ maka kerja sedemikian dianggap cocok dengan perwatakannya. 

“Mengapa Tuan Zek berminat dengan kerja-kerja SPRM?” Itu soalan yang sering saya ajukan. 

Setiap jenayah bermula dengan rasuah

Zek tidak terus menjawab, seolah termenung, tetapi memikir dalam, dan langsung dia menyambung yakin, “Sebab setiap kejadian jenayah akan bermula dengan rasuah.”

“Mendalam,” celah saya menggalakkan dia terus bercerita.

“Rasuah di lori tangki, rasuah di persatuan nelayan tempatan, rasuah di stesen petrol, rasuah dan ketirisan yang mengakibatkan negara kita hilang laba untung dan juga hasil mahsul. Padahal Malaysia ini kaya.” 

Zek menghirup minuman. Matanya galak dan mengecam perangai anak-anak Gen Z yang menghurung kafe kecil Kopi Saigon itu. 

Sebaik dihantar ke cawangan yang kerjanya semacam mengintip itu, Zek langsung mengerjakan sebuah kes di Sandakan. Kerjanya mengintaikan sebuah projek membasmi penyeludupan diesel. 

Zek di situ lapan sembilan hari  menyamar sebagai penoreh getah dan mengintai dari pos pemerhatian dari pagi membawa ke malam, dengan teropong dan kamera untuk merakam setiap pergerakan penyeludupan dan kemungkinan rasuah dan korupsi yang berlaku. Akan tetapi ia bukan kerja pengintipan biasa. 

“Lebih tepat pos pemerhatian saya ialah di atas pokok.”

Saya terbeliak mata, “Atas pokok?”

Zek senyum, angguk dan nampak menghimbau semula pengalamannya. Badan Zek agak kecil memungkinkan dia berada di atas pokok tersebut.

“Di bawah ada paya. Saya cuma bergayut di atas pokok itu berjam-jam memerhatikan kerja penyeledupan di lereng bukit bawah. Ada seorang petugas lain di bawah, dengan walkie talkie menemankan. Kami malah tidak boleh berbuat bising, kurangkan bercakap, dan begitulah berjam-jam lamanya. Pergerakan mesti minimal agar tidak ketahuan.”

“Dan di bawah itu paya?” Soal saya tidak begitu dapat membayangkan.

“Ya, dan itu musim raya.”

Saya menghela nafas kagum. Zek tidak menyebutkan ketika itu bagaimana dalam beberapa jam setiap hari hujan akan melebat dan dia bertahan dalam kesejukan menggigil seraya berdoa tiada kilat menyambar.

“Orang lain bercekak musang segak di hari raya. Saya dan teman di puncak bukit, atas pokok mengintai penjenayah. Untuk ke pohon itu, kami harus mengharung paya tersebut. Dan bau masamnya Ya Allah…itu belum lagi hati kami kembang kecut kalau terserempakkan ular atau apa…”

Kerja-kerja mengintai tersebut kemudiannya melarat ke Tawau, Lahad Datu dan Semporna. Zek perlu memantau penyeludupan dan kejadian rasuah melibatkan stor pusat transit diesel yang membabitkan sindiket haram.

“Sekali di jeti Kunak kami bertembungkan sekumpulan orang Suluk. Mereka sedar kami orang luar. Mereka tampak cuak, dan kami juga berhati-hati. Saya tidak boleh lupakan dalam dada saya berdebar macam drum. Begitu gemuruh. Ini berlaku kira-kira bulan 11 tahun 2012.”

Pencerobohan pengganas 

Saya lekas memotong, “Dan bulan Februari 2013 di Lahad Datu berlaku kejadian gempar pencerobohan pengganas dari Sulu?

Zek angguk, menghabiskan minumannya, “…saya yakin yang kami temukan di jeti itu adalah pengganas yang sama. Ini kerana renungan mata mereka kekal menghantui sehingga hari ini. Itu renungan mata penuh dendam, dahagakan pembunuhan, hauskan darah…”

Saya menarik nafas dalam, menyambung, “Bertugas di atas pokok sudah…”

“Ya atas air, dalam air juga ada…” Zek menyahut dengan nada selamba.

“Oh? Mengejar perasuah masuk dalam air?”

Zek nampaknya tidak begitu terkesan dengan nada seloroh saya, “Tuan tahu betapa banyaknya bot-bot nelayan Vietnam menceroboh masuk ke dalam perairan Kelantan dan Terengganu? Jika tuan tahu tentu sakit hati.”

Saya terdiam, memasang telinga. Dan Zek membabad hampir sejam. Lama kelamaan rasa bernanah sakit di hati Zek itu menjalar terjangkit ke hati saya pula. Saya geram marah mendengarkan bagaimana ikan gred A dari perairan kita sudah dikaut nelayan Vietnam. 

“Setiap kali kalau tuan membaca mengenai nelayan asing di akhbar atau media, ketahuilah ia melibatkan hasil laba yang besar telah dirompak.”

Zek menghimbau kembali bagaimana pegawai atasan menyerahkan tugasan tersebut. 

“Kes senang…pi Kelantan ambil maklumat.” 

Ketika itu Zek masih dalam kesibukan mengejar dan memerhatikan penyeludup diesel di Sabah dan Sarawak.

Suara lunak M Nasir dengan Salam Dunia berkumandang. Zek menggumam, saya ikut sekejap-sekejap menyanyi bersama maestro muzik nusa bangsa tersebut.

“Sekejap saya ke Sabah, sekejap ke Pantai Timur. Beberapa bulan kemudian saya ke Kelantan secara mingguan sehingga orang rumah menyindir dan mengingatkan agar jangan disondol mana-mana mek Kelantan.”

Kes yang disangka mudah itu tidak sama sekali kacang. Zek perlu mengintaikan kecurangan anggota sebuah agensi melibatkan maritim, “Setiap kali sumber kami menelefon, saya akan Kelantan. Kadang perlu balik hari. Saya memandu Pajero. 

Mak gajah lintas

Pernah panggilan dibuat pada pukul empat petang, dia memberitahu maklumat bahawa ada pertemuan melibatkan rasuah pada pukul sembilan malam. Maka saya memecut di jalanan, dengan harapan jangan ada emak gajah atau anak lembu melintas.”

Kes yang dibekalkan pegawai atasannya ternyata mencabar. Sumber memperihalkan kewujudan tauke asal Vietnam yang akan turun ke ‘lapangan’ untuk berurusan, dan memberikan habuan. 

Setiap tauke Vietnam ini selalunya mempunyai orang tengah yang sekali gus adalah penerjemah. Orang tengah ini akan menawarkan satu ’deal’ dan membayar penguat kuasa khianat puluhan ribu. 

“Apa yang berlaku?” Soal saya masih kekaburan.

“Misalnya agensi penguatkuasaan kita turun ke laut, lantas menahan bot dari Vietnam ini, juga menangkap nelayan asing. Bot ini akan ditunda. Di sinilah datang tawar-menawarnya. Ini kerana tauke Vietnam ingin melepaskan bot yang ditahan itu.”

Saya melongo, “Mereka tak pedulikan nelayan yang ditangkap?”

Zek tertawa, “Yang berharga ialah bot. Kalau agensi menahan bot, ia akan dibawa ke pangkalan untuk diambil tindakan seterusnya. Saat inilah runner penerjemah atau orang tengah akan bertindak mencari pegawai yang berpotensi curang untuk melepaskan bot-bot tersebut. Bot ini mahal dan mereka sanggup bayar berapa pun. Ada bot yang serba-serbi di dalamnya bernilai dua juta.”

Saya menggeleng. Nampaknya musuh Malaysia bukan sahaja lanun, tetapi juga nelayan asing. Dan lebih malang ada orang kita yang bersekongkol. 

Apa yang menyakitkan hati Zek tatkala itu ialah apabila dalam satu insiden dia melihat sendiri bagaimana ‘jahatnya’ nelayan asing ini. Mereka menggunakan dua bot untuk menarik pukat yang dasarnya jatuh ke dalam air. Dengan dua bot itulah pukat kasar menyauk segala, baik ikan kecil besar, batu karang, rumpai dan macam-macam.

“Habis rosak ekosistem dan segalanya. Ikan-ikan ini yang gred A dan B. Yang tiba di pasar kita ialah ikan gred C. Jadi bayangkan betapa ruginya rakyat kita kerana rasuah. Bukan sahaja rugi kerana laba negara dirampas, tetapi yang berada di atas pinggan kita pun adalah yang paling bawah…”

Dalam insiden lain pula Zek yang mengikut sama agensi maritim ke tengah laut merakamkan foto bagaimana nelayan Vietnam menyauk ikan yang sanggup terjun ke laut dalam. Dia melempar diri ke dalam air dengan tangkas dan cepat memotong pukat. Ini kerana ‘kesalahan‘ itu terdapat pada pukat, di mana itulah buktinya.

Lebih jahanam lagi ialah apabila terdapat dalam kalangan orang tempatan sendiri yang berbuat sial. Misalnya bot yang ditahan tersebut ternyata milik nelayan tempatan, yang lesennya adalah untuk warganegara tetapi dek kerana ada Melayu yang berperangai malas, ia dialibabakan ke tauke atau nelayan Vietnam.

“Adakah ini masih berlaku?”

“Melayu malas?” 

“Bukan… sogok di atas air.”

Hilang kata-kata

Zek membawa saya kepada kenyataan pedih, “Tuan FT, kalau ada pegawai khianat di tengah laut menerima sogokan siapa pula yang tahu? Bayaran begini tidak banyak. Ini kerana bot belum sempat ditahan. Sogokan jadi meriah lain macam bila bot ditahan.”

Saya hilang kata-kata apabila Zek menyatakan yang ada wang sogok mencapai angka 700,000 ke 800,000. Remuk redam dalam hati. Terkilan berpanjangan. 

Mata saya meliar melihat pengunjung yang singgah di kafe mencari kopi.

Oleh kroniknya masalah pencerobohan nelayan asing ini, Zek kemudian ditugaskan pula ke Vietnam. Ini memandangkan terdapatnya bot Vietnam yang diklon atau digubah seperti rupa paras bot Malaysia. 

Bot-bot Vietnam ini akan meniru nombor pendaftaran seolah-olah ia didaftar di Malaysia. Ia kemudian belayar ke perairan Pantai Timur dan seperti biasa mencuri hasil mahsul bumi negara. Zek perlu ke Vietnam untuk memastikan dakwaan ini benar-benar berlaku dan bukan sekadar omong kosong. 

Zek saya minta menceritakan apa yang dilihat. Penerbangan ke Ho Chi Minh City diteruskan dengan perjalanan darat selama 12 jam setengah ke sebuah pulau bernama Phu Quoc, dengan satu hentian di Ca Mau. Pulau indah itu tidak begitu menggoda Zek yang hatinya disarang luka. 

Hakikatnya pulau Phu Quoc tidak jauh dari perairan Kelantan. Selama tiga hari di pulau tersebut, Zek yang mulanya menahan lapar terpaksa menelan sajian di sebuah kedai makan tempatan. 

“Di hari kedua saya kebulur dah, lantas membeli seekor ayam dari seorang perempuan tempatan. Kemudian memasak di pangkin belakang rumahnya. Apabila malam berlabuh barulah saya menyedari wanita ini sebetulnya juga ayam, iaitu dari cara dia melayan nelayan dan juga penjahat di jeti.”

Di Phu Quoc itulah Zek merakam segala gerak geri nelayan dan bagaimana tauke Vietnam mewarnakan bot mereka persis bot dari Malaysia. Dokumentasi ini kelak penting untuk dijadikan bukti di mahkamah oleh SPRM. Mujurlah Zek tidak diapa-apakan ketika berada di pulau ini.

Pengalaman Zek amat berharga untuk saya rakamkan. Ia adalah sastera lisan yang meskipun peribadi sifatnya, tetapi apabila dihimpun secara kolektif boleh membawa keterangan besar.

Petang itu setelah usai pertemuan dengan Zek, saya membawa keluarga makan malam di luar. Di restoran, isteri memesan ikan siakap tiga rasa. Entah mengapa saya betul-betul terganggu dengan sajian di atas meja tersebut. Dalam kepala saya hanya ada suara entah siapa hingar bertanya apakah gred ikan yang ada di hadapan mata. 

Saya mulai kusut lalu bertanya, “Ini restoran makanan apa?”

“Thai…” balas isteri sepatah, barangkali menyedari saya terlihat kacau.

“Ok. Jangan makan di restoran Vietnam.” Demikian saya membalas.

Isteri dan anak-anak saling berpandangan, “Tapi tadi awak dan orang SPRM itu berjumpa di mana?”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS