Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Dongeng Pak Kaduk di pinggir Ayer Kuning

KOLUM | Dalam bukunya, Who Rules the World?, Noam Chomsky menulis bahawa aturan permainan politik sepanjang zaman untuk mendapatkan kuasa adalah melalui pembinaan persepsi umum.

Ia merujuk kepada set naratif yang mempunyai agenda tertentu di pelbagai medium dan kelompok. Salah satunya ialah menanam janji dan mendendangkan dongeng yang mempesona.

Dalam sistem demokrasi, kuasa berada di tangan rakyat. Ia sesuai dengan slogan demokrasi iaitu daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.

Pilihan raya pula adalah waktu rakyat bersuara melalui kertas undi.

Sebelum zaman kuasa rakyat berubah menjadi era kuasa pengundi, cerita dongeng adalah salah satu kaedah pembentukan naratif masyarakat.

Cerita dongeng ini antaranya berfungsi sebagai penglipurlara masyarakat yang hidup mereka penuh derita. Ia disebar dari satu generasi ke generasi lain sehingga menjadi sebuah cerita rakyat.

Bagaimanapun, dongeng mempunyai matlamat yang lebih daripada sekadar penglipurlara. Ia juga digunakan bagi menanamkan keyakinan dan mengubah persepsi.

Walaupun cerita dongeng hanyalah khayalan atau rekaan masyarakat, ia mempunyai asas penceritaan daripada peristiwa sebenar. Ia tidak perlu untuk dibuktikan kebenarannya.

Salah satu kisah dongeng yang terkenal ialah Pak Kaduk. Asal-usul cerita itu ada pertalian rapat dengan kawasan Ayer Kuning di Tapah yang akan diadakan pilihan raya kecil (PRK).

Bukan orang biasa-biasa

Ceritanya bermula apabila Pak Kaduk memiliki seekor ayam jantan yang kuat dan sentiasa menang jika sabung. Pada suatu hari, ayam Pak Kaduk akan bertarung dengan ayam raja.

Namun sebelum pertarungan itu, Pak Kaduk terpedaya apabila bersetuju menukar ayamnya yang kuat dengan ayam raja.

Dek kerana keghairahan dan kebodohannya, Pak Kaduk mempertaruhkan harta benda dan kampungnya sebagai cagaran.

Dalam pertandingan itu, ayamnya telah menang tetapi dia terlupa yang haiwan tersebut sudah bertukar tangan dan bukan haknya lagi.

Akibatnya, Pak Kaduk hilang segala-galanya.

Daripada dongeng itulah terbitnya pepatah keramat yang menyebut "menang sabung, kampung tergadai."

Moral dari cerita dongeng itu ialah kita jangan sekali-kali mudah terpedaya dengan tawaran atau ugutan sebelum membuat sebarang keputusan.

Pak Kaduk sepatutnya berfikiran jauh, jangan taasub dan menggunakan kebijaksanaan akal fikirannya sebelum memberikan sebarang persetujuan atau keputusan.

Menurut cerita lisan orang tempatan, Pak Kaduk ialah penghulu bagi daerah Batang Padang yang bergelar Toh Tan Dewa Sakti.

Maknanya Pak Kaduk bukan orang biasa-biasa. Dia orang yang ada jawatan tinggi dan elit dalam masyarakat setempat. Pun begitu, daripada sumber tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Hal tersebut bukanlah persoalan penting melainkan ia adalah untuk pengajaran kepada kita tentang keperluan sikap berhati-hati serta bijak dalam memimpin.

Sama juga dengan keadaan PRK Ayer Kuning ini. Jangan kerana keghairahan mengejar untung secupak maka kita akan kerugian bergantang-gantang.

Ingatlah, hanya setelah hilang segala-galanya baru Pak Kaduk menyesali nasib yang menimpa.

Pak Kaduk itu menyara kehidupan keluarganya dengan mengail ikan di Sungai Batang Padang, salah satu cawangan Sungai Perak. Kehidupan sukar merupakan guru terbaik buat manusia belajar tentang makna putaran kehidupan manusia.

Mungkin wujud di mana-mana

Suatu hari, kail Pak Kaduk dapat ikan Tapah yang besar. Apabila dibelah perut ikan tersebut, ada emas. Penemuan itu mengejutkan Pak Kaduk dan mengubah hidupnya kepada yang lebih sejahtera.

Pak Kaduk bersumpah bahawa dia dan keturunannya tidak akan memakan ikan Tapah. Sesiapa yang melanggar pantang tersebut akan mengalami penyakit kulit seperti gatal dan bengkak.

Bagi mengubati mereka yang terkena sumpahan itu, Pak Kaduk akan merendam emas yang dipercayai berada dalam perut ikan Tapah itu lalu disapu pada tempat yang sakit itu.

Kononnya emas tersebut kini disimpan oleh waris Pak Kaduk.

Secara umumnya, cerita dongeng tentang Pak Kaduk tamat di situ. Namun watak Pak Kaduk tetap hidup merentas zaman dan tempat.

Ia mungkin wujud di Ayer Kuning tetapi tidak mustahil berlaku di Air Hitam, Tanah Merah, Pasir Putih dan di mana-mana tempat lain.

Dalam PRK ini, ahli politik akan berlumba-lumba membawa pelbagai janji kepada pengundi. Bagi pihak parti kerajaan, tentu sekali hasrat mereka ialah mengekalkan kemenangan.

Meski calonnya daripada Umno, kempen BN tentu membawa naratif reformasi, Madani dan semangat perpaduan. Dengan itu, para pengundi wajar mengekalkan kemenangan BN di Ayer Kuning.

Sebaliknya, pakatan pembangkang - terutama PAS - akan berusaha menidakkan kemenangan tersebut. Berdasarkan pendekatan pembangkang sepanjang dua atau tiga tahun kebelakangan ini, mereka akan menggambarkan bahawa kerajaan Madani menjadi ancaman kepada Melayu dan Islam.

Naratif itu mengerunkan sesetengah Melayu dan Islam sehingga mereka mengandaikan bahawa kita sedang hidup dalam negara yang kacau.

Pembangkang akan membawa naratif yang mereka adalah penyelamat.

Lalu kedua-dua naratif bertembung.

Pun begitu pertembungan berkenaan juga menjadi tanda bahawa demokrasi sedang wujud dan terlaksana. Sama ada pertembungan tersebut berlangsung secara saksama atau tidak, itu adalah persoalan yang subjektif.

Pengundi pula memerlukan alat untuk menterjemah pemikiran dan pendirian masing-masing pada kertas undi. Alat tersebut sepatutnya ialah akal fikiran dan jiwa yang bersih.

Ia bukan terletak pada tauliah, sijil, jawatan yang disandang atau jenis pakaian yang dipakai.

Gunakanlah akal dan jiwa yang sihat, kawan. Bukan emosi yang tidak tentu hala seperti percaya pada dongeng babi boleh terbang memercik najis ke perkampungan Melayu.

Selamat mengundi!


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS