Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Politik itu kotor", "malas nak ambil tahu pasal politik kerana hanya memeningkan kepala" atau "biarlah orang politik saja yang cakap pasal politik" adalah antara luahan yang kerap kita dengar.

Itu petanda bahawa masih wujud orang yang menganggap politik itu sesuatu yang asing, jauh daripada kehidupan seharian. Sedangkan pada hakikatnya, politik itu ada dalam setiap dimensi kehidupan yang dilalui.

Dari nasi yang kita makan, jalan yang kita lalui, harga barang yang kita beli, dan - tidak terkecuali - pada masa depan generasi negara ini, semuanya melibatkan politik.

Justeru apa yang perlu kita sedari dan semaatkan ialah, politik bukan baru muncul. Bahkan Nabi Muhammad SAW pun berpolitik.

Ramai menyempitkan definisi politik kepada pilihan raya semata-mata. Hakikatnya, politik ialah segala bentuk keputusan, dasar dan sistem yang mengatur hidup masyarakat.

Sama ada kita bercakap tentang pendidikan, kesihatan, ekonomi, keselamatan atau kebajikan, semuanya berkait rapat dengan dasar politik yang digubal oleh kerajaan yang mentadbir.

Kalau kita boleh berbual tentang harga barang naik, kesesakan trafik, atau beban hutang PTPTN, kenapa tidak politik? Sedangkan semua itu adalah hasil keputusan politik.

Aristotle pernah mengungkapkan, "Manusia bersifat politik" maka seseorang itu membawa dalam dirinya apa yang dipanggil inti pati politik’ Inilah konsep yang diketengahkan oleh Muhammad Badawi dalam Dua Rukun Asas Politik iaitu perintah dan ketaatan.

Oleh itu, tidak dapat dielakkan bahawa dalam setiap manusia ada bahagian yang bercirikan kawalan dan penguasaan, diikuti bahagian yang mampu tunduk serta mengawal.

Sangat mengecewakan apabila pada masa yang sama kondisi politik sering dihangatkan dengan pelbagai polemik. Ramai yang sukar menahan diri daripada membincangkan beberapa isu dengan rakan-rakan yang tidak sependirian.

Perbincangan itu boleh mencetuskan perselisihan faham dan masalah kerana ketidaksefaham tersebut.

Berani berikan pendapat

Siapa pun kita, sebenarnya sangat penting untuk mengambil berat tentang politik kerana seseorang itu seharusnya mempunyai pendapat atau pengetahuan tentang apa yang berlaku di sekeliling, dan mempunyai ilmu serta kaedah yang mesti dipelajari untuk bercakap mengenai politik dengan cara yang rasional lagi produktif agar dapat membantu dalam menguruskan perbezaan ini.

Antara sebab kenapa ada pihak yang enggan bercakap tentang politik ialah kerana merasakan ia terlalu tinggi, terlalu kotor, atau tidak relevan dengan kehidupan.

Ini adalah salah tanggap yang perlu diperbetul dan diperbaiki dengan segera.

Politik bukan milik YB sahaja, bukan milik orang di parlimen sahaja. Politik ialah milik rakyat. Milik kita semua yang bernama manusia.

Sejarah membuktikan bahawa apabila rakyat bersuara dan mengambil peranan dalam wacana politik, perubahan besar boleh berlaku. Rakyat makin celik serta berani memberikan pendapat apalagi menzahirkan ketidakpuasan hati mereka.

Sebagaimana realitinya, PRU ke-14 pada 2018 lalu rakyat berjaya menukar kerajaan buat kali pertama dalam sejarah untuk menerbitkan "Malaysia Baru".

Siapa pun kita, perlu akui bahawa negara yang maju tidak semata-mata kaya dengan infrastruktur dan ekonomi, bahkan kaya juga dengan wacana politik yang rasional dan matang.

Rakyat yang celik politik tahu hak masing-masing. Mereka jelas bagaimana untuk mempertahankan suara, bila waktu untuk menyokong dan bila harus menegur.

Tanpa pengetahuan politik, rakyat akan mudah dimanipulasi dengan janji-janji palsu, propaganda murahan, atau permainan sentimen kaum dan agama.

Menurut laporan Edelman Trust Barometer, tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan meningkat apabila rakyat merasakan mereka terlibat dalam proses membuat keputusan. Keterlibatan bermula dengan kesedaran. Kesedaran bermula dengan kefahaman dan juga ilmu.

Tidak dinafikan, golongan muda sering dilihat sebagai tonggak harapan masa depan negara. Namun, apa yang pasti sekadar harapan tidak cukup tanpa tindakan.

Ada peranan masing-masing

Merujuk kepada statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dianggarkan hampir 6.2 juta pengundi muda berusia 18 hingga 30 tahun kini layak mengundi. Suara mereka boleh menentukan hala tuju membangunkan negara.

Namun, ramai masih memilih untuk "tengok dan diam". Barangkali kerana mereka tidak pernah dididik untuk bercakap tentang politik secara terbuka dan berhikmah serta tidak didedahkan betapa pentingnya mengetahui mengenai politik yang benar ini.

Inilah peranan yang perlu kita - sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, sebagai pendidik, penulis, penceramah, pempengaruh atau sekadar jiran sebelah rumah - mainkan.

Kita harus menormalisasikan perbualan politik yang beradab, sihat, segar dan berdasarkan fakta agar maklumat yang tepat lagi jelas.

Tidak terkecuali, sebagai seorang Muslim, bercakap tentang politik juga merupakan fardu kifayah. Dalam Surah an-Nisa ayat 58 Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil."

Bagaimana keadilan mahu ditegakkan jika masyarakat tidak mengambil tahu siapa yang membawa amanah itu? Bagaimana suara rakyat boleh didengar jika rakyat memilih untuk berdiam diri?

Setiap kita ada peranan masing-masing. Justeru libatkan diri dengan ilmu dan pengetahuan agar segalanya dilaksanakan secara berasas, serta dipandu oleh petunjuk Allah SWT juga rasul-Nya, melalui al-Quran dan hadis.

Hakikatnya, politik bukan sekadar perbualan warung kopi atau sembang panas menjelang PRU sahaja. Ia adalah amanah, hak dan senjata rakyat. Kita perlu bercakap tentang politik kerana ia menentukan hidup hari ini dan generasi masa depan.

Berdiam diri bukan lagi pilihan. Dalam dunia yang pantas dan penuh manipulasi, siapa yang enggan bercakap tentang politik akan sentiasa diperintah oleh mereka yang tidak sepatutnya.

Maka, tidak ada salahnya bercakap tentang politik dan terlibat dengannya.

Barangkali, kaedah yang paling menonjol ialah mempertimbangkan akibat pertuturan, saling menghormati, toleransi, menjauhi sebarang perbincangan bersifat kebencian, mengambil masa dan tempat yang sesuai, dan mencari titik persamaan.

Mari, sama-sama kita fahamkan masyarakat dengan ilmu dan kefahaman yang benar mengenai politik.


ATRIZA UMAR ialah felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS