Presiden Amerika Syarikat ke-35 John F Kennedy mati ditembak pada 22 November 1963. Pembunuhan politik ini terjadi lebih dari 60 tahun dahulu. Tetapi kes pembunuhan JFK ini masih belum selesai-selesai.
Kennedy dibunuh di Dallas, Texas oleh Lee Harvey Oswald, seorang bekas askar Amerika berusia 24 tahun. Oswald menembak dengan rifle dari tingkat enam Texas School Book Depository. Oswald dapat ditangkap. Dua hari kemudian, Oswald telah ditembak mati oleh pemilik kelab malam Jack Ruby semasa pemindahan penjara.
Selepas kematian Kennedy, Presiden Lyndon B Johnson menubuhkan Suruhanjaya Warren. Pada tahun 1964, suruhanjaya itu membuat kesimpulan bahawa Oswald bertindak bersendirian dan tidak menemui bukti yang boleh dipercayai untuk menyabitkan penglibatan orang lain.
Rakyat Amerika dan juga warga dunia tidak percaya. Hari ini masih ramai yang yakin ada konspirasi di belakang pembunuhan JFK.

Kajian terbaru tahun 2023 daripada Gallup menunjukkan 60 tahun selepas Presiden John F Kennedy dibunuh, sebilangan besar rakyat Amerika terus percaya bahawa Lee Harvey Oswald tidak bertindak sendirian tetapi sebaliknya, orang lain terlibat dalam konspirasi untuk membunuh presiden. Seramai 65 peratus warga dewasa Amerika menganggap Oswald ada bekerja sama dengan orang lain untuk membunuh JFK.
Presiden Trump dalam menunaikan janji politik telah memberi arahan agar semua fail dan dokumen berkenaan pembunuhan JFK dibuka kepada orang awam. Pada 18 Mac 2025, Arkib Negara Amerika Syarikat mengumumkan 80,000 muka surat daripada fail kini dibuka dan boleh dibaca oleh orang ramai.
Tetapi kontroversi tentang pembunuhan JFK ini masih belum selesai.
Masih ramai warga Amerika percaya JFK dibunuh oleh CIA. Lembaga risikan Amerika ini dituduh kerana JFK mahu mengurangkan pengaruh CIA.

JFK marah kerana CIA telah masuk campur tangan dalam hal dasar luar negara. Ini bersangkutan dengan projek Bay of Pigs. Projek ini dicadangkan oleh CIA untuk menjatuhkan pemimpin Cuba Fidel Castro pada tahun 1961. Projek soldadu Amerika masuk menyerang Cuba ini gagal.
Masih ada juga yang percaya JFK dibunuh oleh mafia. Ini kerana pentadbiran JFK sedang memburu mafia. Hujah ini dipasak pula dengan Jack Ruby, pembunuh Oswald yang dibuktikan ada hubungan dengan mafia.
Keterlibatan mafia ini bertambah rancak bila diketahui bahawa JFK ada hubungan sulit dengan Marilyn Monroe. Bintang filem Hollywood ini pula ada hubungan dengan bos mafia Sam Giacana dari Chicago.
Pada masa sama juga, gerakan Zionis juga disabitkan terlibat dalam pembunuhan JFK. Ini kerana sosok yang bernama Kennedy ini amat berkeras menentang Israel daripada memiliki senjata nuklear.
Pada Mei 1963, John F Kennedy menulis surat dengan keras memberi amaran kepada Israel agar tidak terus membangunkan senjata nuklear. Hanya beberapa bulan kemudian, dia dibunuh. Adakah terdapat bukti untuk menyokong kemungkinan bahawa Mossad berada di sebalik pembunuhannya?
Ini salah satu soalan tentang pembunuhan JFK yang masih belum terjawab.
Apa dia teori?
Kita wajib bertanya kenapa orang ramai percaya kepada teori konspirasi.
Kenapa agaknya penerangan dan pencerahan dari pihak berwajib gagal memadamkan atau mengurangkan pengaruh teori ini?
Pada dasarnya, teori dilihat menjadi penjelasan yang kukuh tentang mengapa sesuatu berlaku atau mengapa babak itu terjadi.
Ia merupakan sistem idea yang bertujuan untuk menerangkan fakta atau peristiwa, selalunya berdasarkan pemerhatian, eksperimen dan data.
Teori boleh menjadi saintifik, seperti teori evolusi, atau ia boleh menjadi sebahagian daripada disiplin lain, seperti falsafah atau sosiologi.
Apa dia teori konspirasi?
Kajian saintifik mengenal pasti beberapa faktor psikologi dan sosial yang menyumbang kepada fenomena ini.
Ramai orang mempercayai teori konspirasi kerana kecenderungan psikologi.
Misalnya ilusi pemahaman merujuk kepada kepercayaan seseorang bahawa dia memahami sesuatu isu dengan mendalam walhal pemahamannya cetek; bias proporsionaliti pula kepercayaan peristiwa besar mesti berpunca daripada sebab yang besar, bukan kebetulan semata-mata; manakala kesan kebenaran ilusi menggambarkan kecenderungan individu mempercayai maklumat palsu sebagai benar apabila maklumat itu diulang berkali-kali.
Ketiga-tiga kecenderungan ini menjadikan seseorang lebih mudah terpengaruh dan mempercayai teori konspirasi walaupun tanpa asas fakta yang kukuh.

Terdapat teori konspirasi yang percaya wujud kumpulan rahsia tetapi berpengaruh mengawal kejadian di sebalik tabir. Kejadian yang berlaku itu dirancang untuk tujuan tertentu.
Di mana-mana pun kita berada, teori konspirasi ini akan kita temui. Tiap negara memiliki babak, kejadian atau kisah yang dikaitkan dengan teori konspirasi.
Di Amerika malah dalam dunia ini, masih ramai tidak percaya bahawa manusia telah sampai ke bulan. Pada 20 Julai 1969, Apollo 11 yang membawa angkasawan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin untuk menjadi manusia pertama yang berjalan di permukaan bulan dianggap wayang.
Masih ramai lagi umat manusia yang percaya bahawa dunia kita ini leper bukan bulat. Mereka memiliki hujah untuk mempertahan dunia leper walaupun bila mereka mendongak ke langit mereka akan nampak bulan itu bulat.

Di Amerika, ledakan 9/11 di WTC New York adalah kerja ‘orang dalam’ bukan seperti yang dilapor oleh media. Kumpulan dan sosok-sosok yang mengajukan pandangan ‘orang dalam’ ini bukan Mat Pet atau Minah Ronggeng tetapi pakar ilmu, ahli sains dalam pelbagai bidang.
Malah kita di Malaysia berhadapan dengan kehilangan pesawat MH370. Hingga ke hari ini, bangkai pesawat yang belum dijumpai ini telah menjemput pelbagai teori konspirasi.
Ada yang menuduh ini kerja lembaga risikan Amerika yang membajak pesawat ini ke Pulau Diego Garcia. Dikatakan pesawat ini membawa para saintis mikrocip dalam perjalanan ke Beijing.
Malah ada juga yang percaya bahawa MH370 ini telah dibajak oleh UFO – Unidentified Flying Object – makhluk di luar dunia.

Malah saya sendiri juga pernah mengajukan bahawa kes Bukit Jenalik dan Al-Maunah yang berlaku pada 2 Julai 2000 itu satu konspirasi.
Semasa kejadian pada tahun 2000 itu, pelaporan kes Al-Maunah ini untuk saya hanyalah 'teater'.
Kumpulan ini kemudian telah disabitkan bersalah bangun memberontak melawan Agong. Kes ini berlaku di zaman reformasi ketika rakyat berani turun ke jalan raya menuntut Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu, berundur.
Menurut teori konspirasi itu, Bukit Jenalik dan Al-Maunah dijadikan isu untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada melawan kerajaan.

Apa yang menarik dengan teori konspirasi ini ialah akhirnya apa yang dicap sebagai teori itu ada juga yang didapati benar dan dibuktikan sahih.
Contoh terkini dan paling afdal ialah tentang suntikan vaksin Covid-19. Ketika pandemik ini menular di seluruh dunia, ada pakar yang menolak vaksin sebagai jawapan. Ramai yang percaya ini satu projek dari syarikat ubat untuk membuat duit.
Bila Covid-19 reda maka dibuktikan bahawa vaksin seperti Pfizer, AstraZeneca adalah ubatan yang masih dalam percubaan. Terdapat kajian-kajian baru menunjukkan bahawa vaksin ini tidak mujarab malah didakwa boleh membawa mudarat.
WHO dilihat telah bersekongkol dengan syarikat pembuat ubat untuk memaksa warga dunia mengambil vaksin ini.

Satu lagi contoh konspirasi ialah Projek MKULtra. Projek ini berjalan di Amerika di zaman Perang Dingin tahun 1960an ke 1970an. Projek ini mahu mewujudkan suntikan 'kawalan minda' apabila sosok yang disuntik akan bercakap benar jika disiasat atau disoal jawab.
Hospital dan makmal telah bersekongkol dengan CIA untuk mencipta suntikan ini. Ramai warga Amerika menjadi tikus makmal. Ramai juga yang hilang ingatan.
Hari ini kerajaan mengakui bahawa Projek MKULtra ini wujud. Ia bukan cerita kosong teori konspirasi.
Jangan kita lupa bagaimana pada Oktober 1990, seorang gadis berusia 15 tahun bernama Nayirah menawarkan keterangan kepada Ahli Kongres Amerika bahawa dia telah menyaksikan askar Iraq mengeluarkan 15 bayi Kuwait dari inkubator dan meninggalkan mereka di atas lantai untuk mati.
Babak ini telah disiarkan di kira-kira 700 stesen televisyen di seluruh Amerika Syarikat. Presiden George Bush Sr. mengulangi cerita itu sekurang-kurangnya 10 kali pada minggu-minggu berikutnya dalam usaha untuk mempengaruhi pendapat umum ke arah menyokong Perang Teluk.
Siapa Nayirah ini?
Semua ini teater untuk mengolah persetujuan agar rakyat Amerika menyokong soldadu Amerika untuk menyerang Iraq. Ia didakwa projek CIA yang melatih Nayirah untuk berlakon. Hari ini dibuktikan bahawa Nayirah adalah anak perempuan duta Kuwait ke Amerika.
Apa yang jelas, teori konspirasi ini memiliki asas. Paling penting, semakin ramai rakyat dan pengundi tidak percaya kepada apa yang kerajaan buat. Semakin ramai rakyat tidak percaya kepada kata-kata dan janji-janji dari pemimpin politik. Daripada presiden, perdana menteri mahupun menteri — keyakinan orang ramai semakin berkurangan terhadap mereka.
Hilang keyakinan terhadap pemimpin negara makin bertambah dengan wujudnya teknologi Internet untuk semua perkara. Maklumat yang tepat dan yang palsu saling silih berganti. Di atas meja, di dalam komputer semua maklumat wujud — yang benar dan yang palsu. Tepuk komputer, tanya mata.
Dengan membuka semua fail dan dokumen tentang pembunuhan JFK, Presiden Trump cuba melakukan usaha ketelusan. Ini juga usaha untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap tindak tanduk dan dasar kerajaan.
Pada hemat saya, kes siapa membunuh JFK ini tidak akan selesai-selesai. Dari zaman berzaman ia akan terus wujud. Malah akan menjadi mitos rakyat seperti kisah Sultan Mahmud mahu meminang Puteri Gunung Ledang.
