Apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberikan cenderamata berupa naga “bercakar lima” kepada Presiden Xi Jinping, maka ada pengulas di Tik Tok mempersoalkan perbuatan beliau dengan menyatakan bahawa ia boleh membawa maksud “tunduk pada maharaja”.
Dari pemahaman saya, pengulas itu, seorang Cina Malaysia yang bercakap dalam bahasa Mandarin menggambarkan bahawa pemimpin DAP itu seolah-olah “mengiktiraf” ketua negara Republik Rakyat China itu sebagai “maharaja” bagi semua orang China di dunia bukan saja yang berada di Tanah Besar tetapi juga keturunan-keturunan bangsa yabg sudah menjadi warga negara lain, termasuk Malaysia. Gambaran itu juga menunjukkan seolah-olah Anthony Loke tidak patriotik dan lebih berat lagi “mengkhianat”.
Video Tik Tok itu tertular dengan luas dan ia amat disukai oleh sebahagian orang Melayu terutama yang sememangnya sudah membenci bukan saja DAP dan Pakatan Harapan tetapi juga orang Cina dan kaum lain. Malah mereka memuji orang yang memuat naik video itu sebagai “patriotik”.
Pertamanya, saya berpendapat bahawa Anthony Loke bukanlah tidak patriotik dengan perbuatan itu, jauh sekali “mengkhianati” negara. Pastinya beliau tidak menganggap Presiden Xi itu sebagai “maharaja”.
Sebaliknya, orang yang menganggap ketua negara China itu sebagai “maharaja” adalah dari kalangan pembenci-pembenci China dan orang Cina (China and Chinese haters) atau Sinophobes yang muncul daripada perasaan Sinofobia di seluruh dunia, termasuk di kalangan sebahagian daripada orang Melayu. Ia semacam Islamofobia terhadap orang Islam, maka terhadap orang China, ada Sinofobia.
Maka orang seperti ini dan juga sebahagian daripada kalangan pendukung Presiden Donald Trump, dalam rasa ketakutan dan kebimbangannya terhadap peningkatan kekuasaan China secara tidak disedari turut gerun pada Xi Jinping dengan memandang beliau sebagai “maharaja” dan selanjutnya China merupakan Middle Kingdom (Chung Kuok atau Tiongkok) yang mahu menguasai dunia.

Saya bertanya seorang aktivis DAP, adakah partinya telah melakukan “blunder” atau kesilapan dalam kes ini. Dia kata mana ada “maharaja-maharaja” zaman sekarang. Naga itu adalah hanya lambang yang dekat dengan orang China tetapi bukanlah bermaksud “tunduk” atau “pengiktirafan” seperti pada zaman dahulu.
Ada kalanya jika seseorang itu “overthinking”, banyak berimaginasi dan fantasi lebih-lebih lagi apabila ia diselubungi dengan sentimen kebencian dan permusuhan, .sudah tentu pelbagai perkara boleh ditafsirkan untuk menjadi pelbagai pemahaman dan teori konspirasi. Kalau kita suka berfikir tentang hantu, maka tentulah hantu sering muncul dalam hidup kita.
Dalam pada itu saya memahami kedudukan dan kekuatan Republik Rakyat China (PRC) dan kekuasaan Presiden Xi Jinping. Tetapi China itu “republik rakyat” dan bukannya empayar yang gemar menakluk negara di sana sini. XI Jinping pula menjadi presiden atas kapasitinya sebagai ketua Parti Komunis China (CCP) yang dipilih oleh Politbiro (Biro politik) Parti Komunis China dan disahkan oleh Kongres Rakyat Nasional (NPC).
Setelah mengikuti perkembangan politik kepartian negara ini sejak tahun 1973, saya memahami kedudukan orang Cina di negara ini, dan hubungannya dengan orang Melayu. Juga peranan DAP sebagai parti mewakili orang Cina negara ini. Dasarnya adalah anti komunis dan ideologinya bersifat progresif, terlepas daripada ikatan tradisi.
Maharaja bermaksud raja yang mengetuai banyak raja. Maknanya maharaja adalah lebih daripada ketua negara, dia adalah ketua empayar yang terdiri daripada banyak negara. Oleh kerana sekarang ini tidak ada lagi empayar, maka sudah tidak wujud maharaja.
Ketua negara yang masih memegang gelaran “Maharaja” ialah Jepun. Tetapi ia hanyalah gelaran yabg diwarisi ketika Jepun merupakan empayar. Malah kedudukan Maharaja Jepun dapat dikekalkan atas strategi panglima Amerika, Jeneral Douglad MacArthur yang menduduki Jepun ekoran kekalahannya. Semasa menjadi empayar, wilayah Jepun meliputi Korea, Manchuria, Taiwan, sebahagian daripada China dan keseluruhan Asia Tenggara.
Sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua, Maharaja Jepun bukan saja ketua empayar tetapi cucu-cicit Dewi Matahari, Ameterasu. Selepas perang, Jepun hampir jadi republik tetapi Amerika turunkan kedudukan Maharaja Jepun menjadi manusia dan seorang Raja Berperlembagaan.
Dengan kedudukan hebat Amerika selepas Perang Dunia Kedua dan kejayaannya mengalahkan Soviet Union dalam Perang Dingin, para pengkritiknya sering menyebutnya sebagai “Empayar Amerika.” Tetapi itu hanyalah sindiran dan perumpamaan bukan realiti. Seseorang wajar memisahkan sindiran dan perumpamaan daripada realiti. Jangan jadikan sindiran dan perumpamaan sebagai realiti. Walaupun Amerika adalah adikuasa iaitu superpower tunggal tetapi ia tetap merupakan sebuah republik persekutuan. Donald Trump adalah dan tidak wajar sebagai maharaja. Kuasanya pun dicabar oleh Kongres dan mahkamah.
Begitu juga dengan China. Walaupun ia besar, penduduknya paling banyak di dunia dan kekuatan ekonominya paling hebat, Chiba hanyalah sebuah negara seperti lain-lain negara termasuk Amerika dan Malaysia. Ia perlu dihadapi sebagai realiti dan bukannya imaginasi.

Maka naga adalah haiwan mitos, tidak wujud dan hanya ada dalam legenda. Maharaja-maharaja China dianggap sebagai keturunan naga. Ia hanya merupakan legenda untuk mempengaruhi fikiran rakyat supaya mentaati dan menghormati mereka..
Maharaja akhir China adalah dari Dinasti Ching berasal orang Manchu bukannya Han, yang merupakan majoriti. Maharaja China tetakhir ialah Pu Yi yang kemudiannya menjadi rakyat biasa PRC.
Tidak semua orang China di dunia ini adalah rakyat China. Orang Cina di Malaysia adalah bukan rakyat China. Termasuklah ahli-ahli DAP. Walaupun DAP diasaskan dan kebanyakan anggotanya orang Cina tetapi sebagai parti politik, ia mewakili semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Semua parti politik di negara ini mewakili semua kaum. Sebabnya semua kawasan pilihan raya mempunyai pelbagai kaum.
Maka cenderamata dari DAP itu adalah mewakili rakyat Malaysia semua kaum, seperti mana yang dikata oleh Anthony Loke.
Beliau menyampaikannya selaku Setiausaha Agung DAP iaitu ketika parti itu seperti tertera pada cendera mata itu. Xi pula menerimanya selaku Setiausaha Agung CCP, iaitu ketua parti yang memerintah PRC. Parti itu pula mewakili rakyat China.
Walaupun sistem pemerintahan Malaysia iaitu raja berperlenbagaan dan demokrasi berparlimen berbeza dengan sistem China iaitu “kediktatoran demokratik rakyat” dan “sentralisme demokratik” yang bermaksud “autoritarian satu parti yang berlandaskan pemahaman satu jenis komunisme” tetapi kedua-dua CCP dan DAP adalah merupakan parti politik hasil daripada amalan moden.
Dalam lawatan rasmi Presiden Xi itu, Loke adalah Menteri Pengiring yang dilantik oleh Perdana Menteri, ketua kerajaan Malaysia. Menteri Pengiring mengiring tetamu negara dari ketibaannya hingga beliau berlepas.

Penyerahan cenderamata itu dilakukan secara tidak formal daripada seorang Menteri Pengiring yang juga ketua salah sebuah parti politik dalam kerajaan Tetapi ia tidak dilakukan di pintu belakang atau tersembunyi. Anthony Loke sendiri menyiarkan peristiwa itu dalam akaun Facebooknya.
Cenderamata gambar naga itu dibuat secara terhad oleh syarikat piuter Royal Selangor. Lambang itu diandaikan disenangi oleh semua orang Cina baik rakyat PRC mahupun orang Cina rakyat Malaysia. Begitu juga dengan ahli-ahli DAP mahupun ahli-ahli MCA, Gerakan, SUPP atau LDP, maknanya orang China mempunyai budaya kebih kurang sama. Ia adalah lambang maharaja zaman silam yang menjadi sebahagian daripada budaya leluhur mereka. Tetapi ia tidak ada makna politik pada zaman ini kecuali hendak ditafsir sedemikian yang hanya merupakan perkara diada-adakan dan bukannya realiti.
Orang Melayu juga ada tradisi mengenai naga tetapi ia berbeza daripada China. Perkataan “naga” yang asalnya bermaksud ular besar adalah dari bahasa Sanskrit dan ia muncul dalam hikayat legenda Melayu. Tetapi orang Melayu tidaklah menjadikan lambang atau diukir di mana-mana.
Realitinya ialah rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai warisan masing-masing. Pelbagai khazanah budaya ini memperkayakan Bangsa Malaysia yang berasaskan pada muhibah, toleransi dan lebih penting lagi ialah penerimaan (acceptance). Maknanya rakyat Malaysia harus menerima kaum lain seadanya dan bukannya menginginkan kaum lain berkelakuan menurut acuan imaginasi kaum yang lain pula Sikap-sikap ini dapat memberikan kemakmuran bersama. Sebarang pemikiran yang boleh memusnahkan perpaduan antara kaum hanya mendatangkan kesusahan untuk semua.
ZIN MAHMUD ialah seorag wartawan veteran.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
