Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Magis dokumentari dan ilham tak selesai

KOLUM | Kata Alfred Hitchcock, dalam sesebuah filem cereka, pengarah karya itu adalah 'tuhan' manakala dalam dokumentari, tuhan adalah pengarahnya.

Memang benar kata-kata itu.

Dalam pembikinan filem dokumentari, peranan pengarah ada batasannya. Filem dokumentari tidak akan membenarkan seorang pengarah mencipta dengan khayalan.

Dia dilarang untuk mengada-adakan cerita yang tiada walaupun atas dasar mahu menjadikan karya tersebut memuaskan hati penonton.

Fungsi seorang pengarah dalam filem dokumentari lebih kepada kebijaksanaan menangkap isu, memaparkan perspektif dan membentangkannya sebagai naratif melalui rakaman-rakaman peristiwa.

Kepintaran mereka menonjolkan objek dan mempersembahkan subjek sesuatu realiti menjadi visual adalah wacana berharga yang menentukan sesebuah filem dokumentari itu gagal atau berjaya.

Kemunculan watak dan persembahan latar bukan sesuatu yang utama dalam sesebuah filem dokumentari. Apa yang lebih penting ialah kejutan peristiwa yang tak pernah diketahui dan cara ia menimbulkan konflik serta sehingga naratif penentangan kepada kefahaman-kefahaman stereotaip terbina menjadi krisis yang bahaya jika dibiarkan.

Kuasa tuhan memang nyata dalam sesebuah filem dokumentari.

Buktinya, tanpa dokumentari American Manhunt: O.J Simpson, rakyat AS tidak akan tahu siapa pembunuh sebenar Nicole Brown Simpson.

Dapat peluang bikin dokumentari

Tanpa A Live On Our Planet, tidak ada sesiapa tahu Chernobyl - yang dahulunya adalah kota paling bahaya untuk diduduki - kini tempat paling ideal untuk didiami.

Justeru dokumentari bukan sekadar memberikan lebih banyak ilmu, pengetahuan dan informasi pada darjah kognitif yang lebih tinggi berbanding filem cereka.

Sebaliknya dokumentari sepatutnya juga memberikan lebih banyak kegemparan kepada penonton yang laparkan pencerahan.

Namun entah mengapa di negara ini filem dokumentari sangat kurang diberikan ruang dan perhatian.

Pada 2019 saya pernah dipelawa untuk menghadiri sesi pembentangan idea bagi menghasilkan sebuah filem dokumentari untuk Freedom Film Network.

Kira-kira setahun sebelum itu saya selesai menulis dokumentari 13 episod arahan Al Jafree Md Yusop untuk RTM.

Ia melibatkan dokumentari berkenaan seni bina. Jadi tentu saya teruja dengan peluang yang diberikan oleh Anna dan Brenda dari Freedom Film Network.

Idea dokumentari berjudul Pembikin Filem yang saya bentang itu bagaimanapun tewas kepada idea Albert Bansa dan Azreen Madzlan yang lebih mantap dalam pembentangan mereka.

Pun begitu, cadangan dokumentari saya - berkenaan konflik pekerja dengan organisasi pembangunan industri filem - tetap menarik minat Freedom Film Network. Kumpulan terbabit bercadang menerbitkan dokumentari itu untuk ditayangkan di festival filem mereka.

Dengan peluang keemasan dan masa yang ada, saya menyiapkan skrip, mencari peralatan penggambaran dan mengumpulkan sejumlah kru produksi mengikut bajet yang diberikan.

Selain Azlan Som, saya turut mempelawa beberapa orang kawan yang pernah menuntut di fakulti filem Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk turut serta.

Tak nampak ada inisiatif

Pembikin Filem yang mahu saya arahkan itu adalah tentang pergelutan karyawan yang berjuang meneruskan hidup dalam ekosistem kerja perfileman yang lemah, pentadbiran produksi yang tidak dikawal selia oleh perundangan dan tatakelola pengurusan agensi perfileman yang tidak profesional, tidak progresif, miskin idea dan korup.

Ia menceritakan tentang bagaimana seorang pengarah filem berbakat besar, Wan Azli Wan Jusoh, yang terpaksa melupakan minat dan impiannya untuk berkarya dengan menjalani hidup sebagai penjual ais krim.

Wan Azli ialah pengarah filem Budak Kelantan yang mendapat sambutan positif daripada ramai orang pada sekitar 2008. Namun namanya 'hilang' apabila tidak diberikan peluang yang wajar bagi mengembangkan bakat luar biasanya.

Dokumentari itu cuba mencungkil ketempangan sistem selain ingin memahami masalah pengurusan yang membuatkan bakat besar seperti Wan Azli sering tenggelam dan 'terbunuh'.

Sejak 2019 sehingga kini, kita hanya melihat pertukaran demi pertukaran tampuk kepimpinan Finas saja, sedangkan inisiatif transformasi dan reformasi institusi yang dilaung-laungkan oleh perdana menteri masih tetap tidak kelihatan.

Tidaklah keterlaluan kalau saya katakan bahawa Finas - yang ada sejarah kehilangan dana sebanyak lebih RM19 juta melalui lebih 40 projek yang tidak pernah dipertanggungjawabkan kepada sesiapa itu - mengalami ketirisan.

Tentu ada yang tidak kena dalam sistem pengurusan dan ketidakadilan dalam tatakelola pentadbiran.

Sementara itu budaya monopoli terus rancak berkembang dengan kemunculan lebih ramai kartel dalam bentuk warlords dalam persatuan-persatuan perfileman.

Nasib pekerja filem seperti Wan Azli terus bertambah dan - pada masa sama - dilupakan. Ketidakupayaan membayar sewa rumah dan membiayai kos perubatan di hospital adalah sesuatu yang lumrah.

Belum dapat diselesaikan

Membidankan dokumentari Pembikin Filem tidak semudah yang saya bayangkan rupa-rupanya. Misalnya ada yang enggan ditemu ramah kerana periuk nasi mereka terjejas.

Saya juga berhadapan dengan masalah kru menarik diri atas sebab komitmen kerja yang terbatas.

Tetapi dengan sokongan dan galakan beberapa nama seperti Nasir Jani, Hassan Abd Muthalib dan almarhum Mansor Puteh, saya mengumpulkan semula pasukan dalam produksi itu yang terdiri daripada Osh, Rosdan, Along dan Taza.

Tetapi langit belum mahu cerah. Pasukan kedua juga dibubarkan akhirnya sebelum Nandakumar S Haridas menyatakan persetujuan untuk membantu saya menjalankan penggambaran.

Filem dokumentari adalah salah satu medium paling ampuh, pantas dan berkesan bagi membentuk pemikiran masyarakat supaya jadi lebih celik dan cerdas.

Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam genre filem sebegini. Nadira Ilana pernah menghasilkan The Silent Riot, Fahmi Reza pula menghasilkan Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka, manakala Amir Muhammad banyak mengarahkan dokumentari berkualiti seperti Malaysian Gods yang diharamkan kerajaan.

Kita tidak pernah kekurangan bakat dalam penghasilan dokumentari. Apa yang kurang ialah ruang, pendanaan dan apresiasi.

Malangnya rancangan untuk menyiapkan Pembikin Filem yang diusahakan bersama Freedom Film Network pada 2019 itu tidak dapat saya selesaikan.

Namun apabila berlakunya perlantikan-pelantikan individu tertentu dalam Finas serta jawatan penasihat menteri yang diberikan, saya melihat ia sebagai satu isyarat yang keras agar dokumentari itu wajib disiapkan.

Semoga tuhan menunjukkan jalan.


HARIS HAUZAH ialah lelaki berdarah jenis O positif yang hidupnya selalu negatif.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS