Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Tadok doh," kata Ahmad Sabri apabila kami tanya mengenai kebun durian. Tak ada bukan sebab kebun tersebut sudah dijual, tetapi kebun itu sebenarnya milik bapa saudara Ahmad.

Setelah dewasa dia tidak lagi rajin untuk duduk menunggu durian seperti apa yang dilakukannya semasa masih remaja.

Pernah Norbi dan kami bermalam di kebun tersebut. Kami tidak ingat adakah waktu itu kami masih bersekolah atau tidak. Kami juga lupa sama ada waktu itu Ramadan atau tidak.

Namun apa yang kami ingat ialah Ahmad mengajak kami untuk sama-sama menunggu durian luruh. Sementara menunggu, dia akan memasang meriam buluh sebagai hiburan.

Ahmad dan Norbi ialah sahabat baik kami sementara masih bersekolah. Mitos yang dijaja ialah Ahmad itu tidak habis sekolahnya.

Kami semua bersetuju bahawa memang dia meninggalkan kami semua sebelum dia menghabiskan sekolah menengah.

Namun setelah bertemu kembali kemudian, Ahmad menafikan perkara itu.

Kata Ahmad, dia habis tingkatan lima dan kemudian memasuki kolej dan belajar ilmu kejuruteraan kenderaan. Kemudian dia bekerja di sebuah syarikat besar sebelum pulang ke kampung untuk membuka bengkel sendiri.

Walaupun mempunyai kepakaran untuk membaiki kenderaan mewah, dia kini menumpukan kemahirannya kepada kereta-kereta tempatan.

"Senang, tak pening paler," kata dia.

Pesona durian hijau

Bengkel Ahmad terletak berhampiran dengan lampu isyarat pertama yang kamu lalui jika ke Beserah. Setiap pagi dia akan bersarapan di sebuah gerai berhampiran sebuah jambatan tidak jauh dari simpang masuk ke pasar basah Beserah.

Di situ dia akan berbual akan hal-hal politik tanah air.

Dia penyokong kuat partai PAS dan tidak berdosa melakukannya. Mungkin dia patut bersikap lebih terbuka, namun kami menyayangi dia tanpa rasa yang berbelah bagi.

Ahmad dan Norbi memang cerdas. Kedua-duanya dari kelas sains. Norbi kemudiannya bertukar aliran perdagangan dan sekarang memberi tumpuan kepada syarikatnya sendiri.

Kebun durian tempat kami bermalam itu juga terletak di Beserah. Memang kawasan itu terkenal sebagai tempat pengeluaran durian yang bermutu tinggi di sebelah sini bandar raya Kuantan.

Jika kamu ke Beserah dan ada sedikit wang yang lebih, maka carilah durian hijau. Ia lebih sedap berbanding musang king.

Durian hijau ini suatu masa dulu adalah lagenda. Pohonnya dijaga oleh anggota yang bersenjata siang dan malam. Sebaik saja berbunga, semua buahnya sudah ditempah orang. Harganya tidak murah.

Pada 1980-an sebiji durian hijau Beserah boleh mencecah sehingga RM150.

Sudah tentu ia bukanlah harga yang mampu dibayar oleh semua orang.

Kenyataan mengenai pemilikan kebun durian di atas mungkin silap dek kerana ingatan kami yang lemah, namun apa yang kami ingat ialah, kebun tersebut bukan milik peribadi Ahmad.

Ia adalah tanah yang dimiliki keluarganya, dan setelah dewasa, tentu saja hal pemilikan menjadi hal yang besar.

Tanah adalah hal yang sensitif. Entah kenapa semua orang ingin memilikinya. Mungkin sebab kita ini semuanya berasal dari tanah gamaknya. Atau mungkin juga kerana pak sedara kita kerja pejabat tanah (uhuk!).

Duduklah di mana pun. Selagi mana kamu menumpang, maka setelah diminta, keluarlah dengan hati terbuka. Sementelah pula kamu telah kaya-raya hasil berbudi pada tanah itu.

Kembalikan tanah kepada tuannya dan berterima kasihlah kerana membenarkan kamu mencari rezeki di situ selama masa yang tidak diganggu.

Selalu kami bertanya kepada diri sendiri: mengapa orang Kuantan tidak mempunyai loghatnya sendiri. Lama setelah itu kami dapati bahawa loghat Kuantan yang sebenar boleh didengar apabila kamu bercakap dengan orang Beserah.

Tak pernah makan budu

Mungkin bunyinya ada persamaan dengan loghat Terengganu namun jika kamu amat-amati, ia adalah satu loghat yang tersendiri.

Tadok itu tadi misalnya. Orang Pahang tidak menggunakan perkataan tersebut. Di sebelah hulu mereka akan menggunakan tek de, manakala di sebelah tengah pula menggunakan tak ander.

Mungkin orang Terengganu menggunakan tadok sama seperti orang Kuantan.

Jika kami ke Terengganu, maka sekilas ikan di air sudah diketahui oleh mereka yang kami ini orang luar.

Di Kuantan sendiri hampir semua tempat dikuasai oleh ‘orang luar’.

Maksudnya mereka bukan orang asal Kuantan. Mereka datang dari daerah-daerah lain dalam Pahang. Kerana itu kamu akan dapati terdapat kedai-kedai yang menjual ikan patin, gulai masam dan mungkin juga asam rong.

Sedangkan orang asal Kuantan lebih suka singgang ikan aya atau tenggiri dan ikan tamban buru goreng. Makan pula dengan nasi dan sedikit ulam serta sambal belacan.

Dia punya terliur hingga kami yang menaip ini merasa marah kerana masih berada di Nilai yang sibuk mahu menyalai serba makneka barang ini.

Budu adalah pilihan dan kami sendiri secara sedar tidak pernah makan budu.

Singgang Kuantan juga mirip singgang di Terengganu. Kami suka makan insang ikan tenggiri yang dimasak singgang. Banyak pulak singgang dalam para ini.

Secara peribadi pula, kami sukakan masakan Terengganu (dan Laki Hanim) berbanding masakan negeri lain. Kami tidak pernah akan tahu bila bercakap dengan orang Terengganu sama ada mereka sedang melawak atau sedang serius.

Hal itu kerana apa saja yang keluar dari mulut mereka adalah kelakar pada kami.

Kerana Kuantan dikuasai oleh orang luar jugalah maka petempatan pertama orang asal Kuantan tidak dipedulikan. Tanah perkuburan berhampiran Menara 188 yang gah itu adalah tempat bersemadinya kumpulan pertama peneroka bandar tersebut.

Malangnya setakat ini tidak ada sebarang papan tanda pun yang dinaikkan bagi menceritakan hal tersebut.

Begitulah orang yang merasa hanya menumpang. Mereka tidak ada kasih sayang kepada tanah yang menyalurkan rezeki.

Mereka juga tidak merasa dekat dengan persekitaran atau mahu benar-benar menyayangi dan memahami adat resam serta budaya orang setempat.

Tidak mahu sungguh-sungguh mempelajari bahasa atau berapa jalur yang ada pada bendera, misalnya. Semua perkara diambil kira berdasarkan untung rugi.

Marah yang teramat sangat hanya muncul apabila tuan tanah mahu hak mereka dikembalikan.

Selain kumpulan yang tiba dan berkampung di Teruntum, terdapat satu lagi kumpulan yang datang ke Kuantan pada masa yang hampir sama. Mereka mendarat di Sungai Karang.

Setelah berjalan sedikit, mereka akhir berhenti.

Ketua kumpulan itu kemudiannya mengatakan: "Kita berserah di sini sajalah."

Jika kamu mahu percaya cerita kami ini, maka dari situlah terbitnya nama Beserah. Dan lama sebelum kami dilahirkan, keluarga kami pernah tinggal di Sungai Karang.

Menurut Mok, keluarga kami kemudian berpindah ke tempat lain kerana pada waktu itu, tidak ada sekolah di sekitar kawasan tersebut.

Mengenai Raub, mengapa tanah di sana selalu menjadi pertikaian? Ada emas ke?


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang sedang bercita-cita mahu menjadi pelombong emas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS