KOLUM | Pilihan raya kecil (PRK) DI Ayer Kuning sudah selesai. Poster dan kain rentang sudahpun diturunkan. Wakil rakyat baru pula tentunya sibuk meraikan kemenangan dengan para penyokongnya.
Dua calon yang kalah pula sepatutnya sudah kembali meneruskan perjuangan dan kehidupan seharian mereka.
Menang kalah bukan pengakhiran. Ia adalah satu perjalanan dalam membangun negara dan masyarakat madani.
Sebuah kerajaan madani memerlukan pembangkang yang kritis dan progresif. Kelemahan kepimpinan dan jentera kerajaan akan diperbaiki melalui peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh pembangkang bijak.
Para pengundi pula memerlukan kepimpinan yang progresif.
Penduduk setempat kini kembali kepada rutin biasa. Tiada lagi gangguan sebarang kempen politik yang memening dan meresahkan.
Sepanjang tempoh kempen yang dimainkan, pelbagai isu dibangkitkan. Daripada persoalan pembangunan, pendidikan, alam sekitar, hak golongan minoriti hinggalah isu ladang babi.
Ladang babi itu terletak di Tanjung Keramat itu sudah beroperasi lebih tiga dekad lalu. Tanjung Keramat merupakan salah satu pusat daerah mengundi (PDM) yang didiami majoriti orang Melayu.
Seperti senjata tikam belakang
Pada PRU 2022 lalu, walaupun PN kalah secara keseluruhan, calonnya – yang diwakili PAS – menang di PDM tersebut.
Dalam PRK baru-baru ini, biarpun undi yang diperolehi PN merosot, mereka berjaya mempertahankan kemenangan di PDM Tanjung Keramat.
Kali ini, itulah satu-satunya PDM yang berjaya dipertahankan oleh PN berbanding lima yang dimenangi mereka pada PRU lalu.
PAS membawa isu ladang babi bagi memberi gambaran bahawa kerajaan perpaduan tunduk kepada pengusaha dan tidak sensitif kepada masyarakat tempatan.
Demi mempamerkan keprihatinan PAS terhadap isu tersebut, pada pemimpin parti itu serta penyokong mereka sanggup bersusah-payah meredah air sungai secara berjemaah.
Isu ladang babi itu mula dibangkitkan oleh Adun Manjoi, Mohd Hafez Sabri. Awalnya ‘pendedahan’ ketua Pemuda PAS Perak merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat itu seperti suatu kejutan.
Tanpa disedari tidak lama kemudian isu tersebut sebaliknya menikam Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria. Razman seperti ditikam dari belakang.
Sudahlah tidak lama sebelum itu Razman dilaporkan sudah diminta berehat daripada jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. Dia juga sah digantung oleh DUN Perak selama enam bulan.

Sudah jatuh, Razman macam ditimpa tangga, dan bukan sekali tapi berkali-kali.
Sewaktu dia menjadi exco pertanian ketika PAS menjadi sebahagian kerajaan Perak, kerajaan mengambil pendekatan tidak menutup ladang tersebut.
Menurutnya, ladang itu memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan. Bahkan dia meminta penduduk tempatan memahami situasi tersebut.
Apabila PRK berlangsung, sekonyong-konyong isu ladang babi di Tanjung Keramat dibangkitkan.
Pun begitu, isu ladang babi sebenarnya masih ‘sedap’ untuk diperkatakan walaupun PRK sudah berakhir.
Dapat tabung babi
Dalam masyarakat Melayu, babi bukan sahaja sangat sensitif bahkan termasuk dalam pantang larang berkomunikasi. Disebabkan kuatnya kejijikan terhadap perkataan tersebut, sesetengah pihak mengeja babi sebagai b*b* atau menggantikan dengan istilah ‘khinzir’ yang dirasakan lebih beradab.
Perkataan babi juga digunakan sebagai gantian dalam mengecam, memaki atau mencarut.
Lebih menarik, perkataan babi tidak digunakan dalam karya-karya kesusasteraan klasik besar sama ada Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin, Merong Mahawangsa, Bustan as-Salatin dan lain-lain.
Ia mungkin ada kaitan rapat dengan hukum-hakam mengenai babi sebagai najis berat (mughalazah) dalam Islam.
Namun berbeza dengan budaya dan ketamadunan China, India dan Eropah. Dalam budaya China, babi adalah simbol kekayaan, kesuburan dan tuah. Haiwan tersebut juga terdapat dalam kalendar masyarakat Cina.
Jika dalam komik, babi sering membawa watak pemalas, bodoh tetapi melucukan. Ia tidak melibatkan unsur penghinaan.
Dalam kesusasteraan Hindu pula, watak babi wujud dalam kitab Ramayana dan Mahabrata. Babi dinyatakan sebagai haiwan yang kuat lagi ganas.
Babi juga dianggap suci terutama berkaitan dengan Dewa Varaha yang menjelma dalam bentuk babi hutan.
Dalam tradisi Eropah pula, babi melambangkan aspek kesuburan dan kekayaan.

Sewaktu saya tinggal di Swansea, saya diberikan cenderahati tabung berbentuk babi selepas membuka akaun bank NatWest. Saya bagaimanapun menolaknya dengan sopan.
Dalam fikiran saya, untuk memegang tabung tersebut pun sudah cukup menjijikkan atau menggelikan.
Begitulah babi dalam pemikiran orang Melayu.
Pada 1775, seorang pedagang bernama Usup Abdullah Kadir – semasa dia menunggu waktu pelayarannya dari Semarang ke Palembang – telah menulis sebuah karya yang bertajuk Hikayat Raja Babi.
Menurut pengarang, dia menulis karya tersebut “sekadar suka-suka’”. Naskhah itu mengambil masa 20 hari untuk disiapkan.
Nasib seorang anak bangsawan
Menariknya, pengarang menulis hikayat tersebut dalam zaman feudal dan raja berkuasa mutlak. Mengaitkan babi dengan raja adalah sesuatu keberanian yang luar biasa.
Manuskrip asal Hikayat Raja Babi disimpan di British Library dan diterbitkan semula dalam edisi rumi oleh Buku Fixi pada 2015.
Menurut kurator utama Asia Tenggara di British Library, Annabel Teh Gallop, manuskrip berkenaan diperolehi John Crawford (1811 – 1816) yang berkhidmat dengan pentadbiran British di Jawa sebelum dijual kepada institusi tersebut.
Buku tersebut menceritakan seorang putera raja yang dilahirkan dalam bentuk seekor babi akibat terkena sumpahan.
Namun putera raja itu memiliki sifat berani, bijak dan berhati mulia. Selain sering mengetuai peperangan, baginda juga pandai berpantun.
Raja Babi bertukar menjadi manusia apabila Puteri Bongsu bersetuju menjadi isteri baginda. Dalam jenaka, ada mesej besar yang menyentuh dan menyedarkan terpancar kepada pembaca yang berfikir.
Moral yang hendak disampaikan dalam Hikayat Raja Babi ialah tentang ukuran kemuliaan manusia bukanlah berdasar rupa wajah atau fizikal sebaliknya nilai-nilai murni pada seseorang.
Ini merujuk sifat berani, bijak, mulia dan pandai bersastera dalam berkata-kata.
Kemuliaan seseorang pemimpin tidak terletak pada individu yang sarat dengan kebebalan, suka mengadu-domba dan menggunakan kata-kata yang kesat. Juga bukan pada jajaan kisah dongeng.
Ayer Kuning menunjukkan isu babi yang digerakkan semasa kempen PRK hanyalah ramuan yang sia-sia.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
