Paling Popular
Terkini

Tatkala pemuda itu memperkenalkan dirinya sebagai ‘Bihun’, saya terpegun dan nyaris tertawa. Akan tetapi melihat riak wajah pemuda itu kekal ketat, saya tahu dia memang ingin memperkenalkan dirinya begitu; Bihun.

Dan memang saya tertanya-tanya apakah cerita di sebalik ‘bihun’. Pun saya membiarkan sahaja persoalan itu bungkam.

Bihun menyertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika agensi tersebut masih namanya BPR (Badan Pencegah Rasuah) pada tahun 2002. Beliau adalah salah seorang dari lebih sedozen ‘toyol gelap’, atau ‘budak hitam’ yang dilatih sebagai ‘penyamar’, atau ‘pengintip’ dan hanya bekerja di lapangan.

“Tidak pernah bersegak beruniform?” Soalan saya di tengah-tengah kesibukan orang yang sedang berbuka puasa ala koboi (sesegera mungkin) di sudut Kopi Saigon yang kecil, di luar pasar raya CS, Bangi Avenue. Wajah Bihun masih tampak tegang, atau muram. Mungkin sahaja dia tidak suka bertemu dengan saya di waktu berbuka puasa.

“Saya pun tak ingat bila kali akhir berseragam dan berada di ibu pejabat. Memang kerja saya kebanyakan di luar. Dan sudah betul terbiasa,” Bihun meretis kek cawan acuh tak acuh di dalam piring.

Sebaik menyertai SPRM di sebuah cawangan yang mengerjakan projek rahsia, Bihun dihantar ke sebuah pekan di luar Kuala Lumpur, di celah kejiranan yang tampak terlalu biasa. Sebuah pekan yang tiada apa-apa tarikan di Malaysia ini.

“Buat kerja apa?”

“Buka reruai, berniaga bihun goreng dan charkuetiau di tepi jalan.”

Arghhhhh, saya mulai menghubungkan gelar pelik ‘bihun’ dengan kisah yang sedang dirungkai. Tentu, seperti biasanya ia adalah satu operasi untuk sama ada memerangkap pegawai Majlis Bandaran yang memeras rasuah, atau pihak penguatkuasa lain yang mencari duit kopi harian sepuluh dua puluh ringgit. Lima bulan Bihun berniaga di kawasan kejiranan kepam di pekan luar ibu kota itu, dia sudah mulai membina reputasi dan ada pelanggan tetap.

“Memang pandai masak ya?” Sebagai orang yang tidak reti apa-apa di dapur saya agak terpesona.

“Tidak juga, tetapi dek sebab dah kerja penyamaran maka saya dayakan juga. Lama kelamaan suka. Dan ya ada pula pelanggan.”

Menurut Bihun, di kawasan berdekatan seorang lagi penyamar dari SPRM membuka reruai pisang goreng, “Tapi kawan saya ini tak pandai. Pisang gorengnya tak sedap, dan ada pelanggan pernah membuang depan matanya.

Sejak itu dia hanya membeli pisang goreng di gerai lain, dan menjual kembali…”

“Tak untunglah…”

Bihun membetulkan tanggapan saya, “Kami bukan nak buat untung. Kami nak pantau kes sogok.”

Dalam lima bulan itu, Bihun ke pasar basah beroleh bahan mentah. Dia membuka gerai sebelum tengah hari, memacak khemah dan payung besar. Di tengah panas mentari beralih kadang hujan ribut yang menggila dengan kilat memancar merebahkan pohon di belakang padang tempat dia berniaga, Bihun bertahan.

“Tentu banyak memori sebagai penggoreng bihun?” Saya mengusik, meneguk Americano.

“Banyak. Ada yang mengurat, ada yang lapar tetapi miskin minta makanan percuma, dan yang saya paling tidak melupakan ialah seorang ibu mengandung yang mengidam. Dia datang saban hari ke gerai saya dan memesan bihun goreng basah. Dari kandungannya kecil sampailah agak membulat ketara.”

Di mata saya serta-merta ada sajian bihun yang kelihatan merah hitam berkicap dan terpalit sambal, ada kerang tiga empat ketul, taugeh yang rangup dan bihun basah-basah berasap itu ketika dinikmati akan slurrrpp di mulut, melalui kerongkongan dan jatuh hangat ke dalam usus.

“Agaknya dia rasa sedap.”

Bihun angguk, “Dan dia pesan menu sama. Selama lima bulan sehinggalah projek berakhir, iaitu saya terpaksa menutup reruai. Sampai hari ini saya terkenangkan kakak mengandung yang menyukai bihun goreng basah saya itu. Kasihan pula dia kerana saya terpaksa membongkar perniagaan. Ini kerana kami sudah berjaya memerangkap pegawai Majlis yang curang itu.”

“Masih ada skil menggoreng bihun?”

Bihun yang sejak tadi agak muram tersenyum sedikit; “Bila tiba musim raya, jamuan rumah terbuka memang saya disuruh menggoreng bihun, dan ada pegawai atas yang menggemarinya pula.”

Selepas satu kes demi satu kes, Bihun berkembang menjadi pegawai SPRM yang cekap dalam kerja-kerja penyamaran. Dan dia terpilih untuk mengerjakan sebuah kes besar.

Kening saya terjungkit, “Besar mana?”

Bihun membalas selamba, “Juta-juta ringgit. Dan ia adalah kes yang cukup mematangkan saya sebagai pegawai.”

Dihantar ke cawangan yang mengerjakan projek khas, Bihun harus sentiasa berwaspada. Terdapat kes yang juga berprofil tinggi. Salah satu kes yang paling mencabar sepanjang kerjayanya tentulah kes melibatkan satu jabatan pengurusan sumber air di sebuah negeri.

Bihun pertama-tamanya dilemparkan dengan maklumat paling mentah, tentang sejumlah pegawai jabatan atas ke bawah yang hidup mewah. Dia diberi perintah untuk membina kes. Untuk itu Bihun ke negeri tersebut, berulang-alik seraya melangsaikan kes-kes lain juga.

“Saya perlu membuat profil, meneliti dan memperinci setiap sentimeter kehidupan peribadi beberapa sasaran. Misalnya saya melihat seisi jabatan rumah dan kediaman mereka betul-betul ‘gempak’. Saya tiada sumber apa- apa untuk kes ini.”

“Sumber?”

Bihun memahamkan, “Orang dalam yang ingin bercerita apa yang terjadi, dan saya juga tidak boleh menyamar untuk masuk ke dalamnya kerana bukan sahaja mereka terlalu perahsia dan mengikat diri masing-masing dengan satu ikrar jahat, tetapi ia juga sebuah negeri terasing yang sukar untuk saya menyelinap masuk ke dalam jabatan itu.”

Ketika berulang-alik tersebut, Bihun diuji secara hebat. Kandungan sulung isterinya meninggal dunia ketika baru tujuh bulan. Emosi isteri terganggu dan ia berkembang mengganggu rasanya juga.

“Saya harus mengimbang antara tanggungjawab sebagai suami yang tidak wajar mengabai isteri; dengan fungsi saya selaku ketua projek yang perlu menggali lebih banyak maklumat.”

Sebetulnya waktu itu Bihun baru sahaja berkahwin, mengecapi nikmat berumahtangga. Meski ketika bercinta di ‘muka buku’ (Facebook) dia sering mengingatkan bakal isteri akan perihal lumrah kerjanya, tetapi praktik yang menguji itu akan berlaku hanya selepas lumrah ditinggal-tinggalkan.

“Tentu ada kelahi, dan saya harus memahamkan tanggungjawab. Tetapi saya juga memahami, apa yang ditempuhi isteri itu memerlukan seorang lelaki sentiasa berada di sisi.”

Di celah keadaan itu, Bihun masih perlu mengekori suspek. Di rumah gelora berkembang demikian pedih, dan Bihun meredam emosi sedih. Motivasinya mencanak naik. Apabila dia mulai memahami betapa seisi jabatan menyeleweng dana kerajaan yang sepatutnya disalur dan digunakan untuk menaiktaraf dan membangun prasarana bekalan sumber air di negeri terbabit.

“Oleh kerana saya adalah pegawai kes untuk perisikan, saya harus membina kes dengan mencari kesalahan di bawah Akta SPRM. Sebaik menemukan kesalahan itu, kita akan menyerahkan kepada siasatan.” Bihun menjelaskan.

“Dalam erti kata lain, jika di peringkat ini saya gagal memberi sesuatu, kes tidak akan berkembang.”

Dan Bihun menemui jalan buntu. Sebagai pegawai di lapangan, dia menghidu sesuatu, busuk bau bangkai, tetapi dia gagal menemukan apa-apa.

“Pegawai-pegawai ini memang hidup mewah, dan kita tahu penjawat awam tidak akan berkemampuan sebegitu. Kita mencari, dan bukan mahu menganiaya dia. Pendirian saya, kalau ada kes maka ada. Kalau tiada maka tak ada. Saya tak akan mengada-adakan sesuatu.”

Pun, Bihun tidak menyedari tatkala itu apa yang sedang ditanganinya akan menjadi sebuah kes tersohor di peringkat dunia untuk pencegahan korupsi dan rasuah di mana beliau sedang melakukan penyiasatan berdasarkan perisikan. Kes yang ditanganinya itu kelak akan menjadi contoh di mana penyiasatan berdasarkan perisikan boleh juga menggunakan kaedah analisis, dan bukan semestinya melalui kaedah penyamaran sahaja.

Sebetulnya sejak sebelum bulan Ramadan saya amat teruja untuk bertemu Bihun ini apabila pegawai atas SPRM yang membuka jalan pertemuan saya dengan beliau ini memberitahu bahawa Bihun adalah pegawai contoh dan apa yang telah dilakukannya adalah satu penanda aras yang tinggi.

“Dengan kaedah analisis, operasi beliau adalah 100 peratus analisis profil, yang sangat terperinci, lengkap dan dicatatkan. Beliau hanya bermula dengan mengekori orang yang tidak diketahui siapa, dan kemudian beranak pinak mengekori pula orang lain. Beliau menyusun puzzle dengan gigih dan tabah, dan dia bina semua itu sedikit demi sedikit sehingga lengkap, dan terserlah bahawa ia adalah satu iceberg korupsi yang besar di bawah permukaan.”

Demikian pegawai tinggi SPRM itu memahamkan kepada saya keutamaan Bihun untuk diwawancara bagi projek peribadi sastera lisan saya ini.

Sebetulnya siri tulisan integriti ini hanya bermula dengan lontaran idea asal saya kepada pegawai tersebut secara main-main, “Tuan, saya adalah sarjana sastera di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Orang universiti tak pandang orang sastera persis saya. Satu kajian yang saya sangat ingin melakukan ialah menguji beberapa kerangka dan definisi baru yang progresif seputar subjek sastera lisan. Saya mahu mencuba jalan yang ditempuhi penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan Svetlana Alexandrovna Alexievich. Dia menemubual ratus mungkin ribu tentera Soviet Union yang berperang di Afghanistan dalam perang sia-sia di tahun 1970an dan 1980an sehingga mengakibatkan empayar Soviet runtuh dan hari ini diwarisi oleh Rusia.”

Pegawai itu entah faham atau tidak apa yang saya katakan menyahut dengan sihat dan cergas, lantas menganjurkan saya bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan ini untuk merakam dan mendokumentasikan kisah-kisah emosi dan cabaran kerja pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Dalam kepala saya, jika Syed Hussein Alatas menulis ’Sosiologi Rasuah’, tentu saya boleh menurut jejak almarhum dengan cara lain; persisnya projek sastera lisan ini.

Tugas Bihun di negeri terasing itu akhirnya memakan tahun sehinggalah dia menemui sebuah lubang kecil yang dipercayai boleh membuka kepada hipotesis menyakinkan.

“Malam sebelum serbuan, saya sangat risau. Saya tidak boleh tidur. Saya hanya memikirkan apakah ada kes atau tak ada kes, ini kerana selepas membina hipotesis, saya hanya dapat memberikan lubang kesalahan yang terlalu kecil untuk dibukakan. Seisi Semenanjung dikerah ke negeri terpencil itu.”

Dan tatkala serbuan, pegawai-pegawai SPRM menemukan wang tunai di dalam rumah, di celah mesin basuh, di dalam laci, di antara tandas, terbenam dalam kotak kasut dan diselongkar bonet kereta mewah pegawai kerajaan terbabit.

“Berjuta-juta ringgit. Ada yang dibalut dengan plastik dan sudah mereput lerai, melekat dengan wang. Ada yang dia sendiri tidak ingat yang duit itu disimpan di situ. Saya percaya bini dia ikut tahu. Ini tahap duit dah banyak dan tak tahu nak buat apa.”

Penemuan wang ratus juta ringgit itu menggemparkan. Dan terbongar betapa seisi jabatan terlibat, akan tetapi hanya yang benar-benar melakukan kesalahan akan didakwa, “Kita juga memerlukan saksi dalam kalangan mereka.”

Saya menyampuk, “Dalam kalangan netizen kalau kita baca komen-komen bodoh mereka, akan ada yang mengatakan, haa kenapa tak diambil duit itu sekeping dua. Bukan ada yang sedar.”

Itulah pertama kali Bihun tertawa. Dan tawa itu adalah tawa geram. “Haih nak buat apa kita ambil duit haram tersebut. Duit itu semua adalah kejayaan kita, buat apa kita nak gagalkan kejayaan kita sendiri? Saya mengerjakan projek ini bertahun, berjauhan dengan isteri, dan alami dugaan anak meninggal… saya tak akan ambil. Dan kami semua tak akan sentuh.”

Menurut Bihun, walaupun ada dalam kalangan pegawai atau staf SPRM berdepan masalah kewangan tetap mereka tidak berselera dengan wang tersebut.

“Setiap helai wang yang dirampas kita fotokopi satu demi satu, kita tuliskan semua nombor siri. Wang itu disimpan dalam peti besi. Kalau saya nak buat jahat dari awal, saya boleh sahaja mencuri dari kereta mewahnya ketika saya mengekori bertahun lamanya itu. Saya pecahkan kereta itu dan ambil. Saya yakin dia tak akan melapor polis, ini kerana polis pun akan menyoal apa sebab dia ada duit juta-juta simpan dalam bonet kenderaan.”

Setiap not wang yang disita akan dikeluarkan kembali dari peti besi dan tatkala perbicaraan kelak akan ditunjuk di mahkamah, “Jikalau ada 20 juta maka kita tayang sekeping demi sekeping di mahkamah. Pernah ada satu kes, sekeping wang tak cukup. Dan kita sudah membilang dengan peluh dua tiga kali. Rupanya duit itu terselotep melekat di kertas lain. Mujur pegawai kes perasan, ini kerana hampir-hampir buang kes ekoran teknikal. Apabila kes berakhir, wang tersebut akan dilucut hak dan dikembalikan kepada kerajaan.”

Dalam perjalanan pulang ke rumah malam itu, saya menyinggah di sebuah restoran untuk membeli dua bungkus Bihun Goreng Basah. Tiba di rumah malam. Saya mendakap anak-anak yang sudah di dalam gebar.

Anak-anak yang hairan bertanyakan, lantas saya memberitahu mereka yang saya hanya mahu Malaysia yang bersih dan aman.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS