KOLUM | Projek akhir daripada Zionis Israel ialah memandulkan Iran. Semua negara Arab – dari Moroko hingga ke Teluk - tunduk di bawah kekuatan senjata Israel.
Jika tidak dalam poket Israel, negara-negara Arab itu semuanya sujud di bawah telunjuk tuan besar Israel bernama Amerika.
Negara-negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia hanya melawan Israel dengan kenyataan mengutuk, menyelar, menjerit dan melaung.
Mengutuk Zionis Israel sambil menjerit dan melaung ini wajib. Ini adalah sandiwara untuk politik dalam negara. Jika tidak menjerit mungkin ada perdana menteri dan presiden akan hilang kuasa.
Majoriti rakyat menyokong Palestin.
Lihat sahaja sandiwara Turkiye yang terhebat bersenjata bukan hanya tunduk dengan Israel malah menjadi rakan niaga dan pembekal bahan bakar petroleum untuk mereka.
Lihat pula sandiwara Malaysia yang mencadangkan Israel ditendang dari PPB. Walhal Malaysia menjual 39 lapangan tebang milik negara kepada syarikat Zionis Yahudi Blackrock. Syarikat itu pembekal utama senjata untuk Israel.
Tok Guru, Tok Sheikh, Tok Imam Besar, mufti negara atau alim ulama hanya berupaya melepas geram – memuntahkan maki hamun bersadur ayat al-Quran dan hadis bagi menentang Zionis Israel dalam YouTube.
Malah dilaporkan di Saudi Arabia, memakai skaf Palestin pun dianggap jenayah. Amin.
Bukan cakap kosong
Ketika tulisan ini digarap hanya satu negara - yang bernama Iran - yang berani bersuara, berani bersenjata dan berani membedil Zionis Israel.
Iran bersama Hizbullah di Lebanon, Houthi dari Yaman dan gerakan Islam di Iraq terus membedil melawan Israel. Mereka dikenali sebagai Kumpulan Melawan.
Mereka mendapat bantuan senjata dan logistik dari Iran.
Satu ketika dulu ada Syria bawah pimpinan Bashar al-Assad yang melawan Israel. Kini konco-konco Zionis berjaya menumbangkan Bashar. Hari ini Syria sedang diatur untuk menjadi tali barut Israel.
Al-Jazeera pada 18 Julai 2010 pernah melaporkan bagaimana Benjamin Netanyahu dengan bangganya menyatakan bahawa politik Amerika amat senang untuk dimanipulasi.
Ketika Netanyahu berkata begitu, dia tidak ada apa-apa jawatan. Bayangkan pengaruh Netanyahu yang kini menjadi Perdana Menteri Israel. Manipulasi bentuk apa yang akan digunakan oleh Netanyahu terhadap politik Amerika?
Netanyahu bukan bercakap kosong. Di belakang Netanyahu wujud lembaga pelobi seperti AIPAC – American Israel Public Affairs Committee. Wujudiah Israel juga disokong dan dibantu oleh Yahudi yang kaya-raya di Amerika.

Dana Yahudi disokong kuat pula oleh penganut Kristian Zionis yang memberi sokongan undi kepada politikus Amerika.
Semua itu memastikan politik Amerika terus menerus membantu dan menyokong Zionis Israel. Hari ini hampir mustahil ada ahli Dewan Kongres atau Dewan Senat Amerika yang berani mengkritik Israel.
Bayangkan minggu lalu satu rang undang-undang dicadangkan oleh Mike Lawler dalam Dewan Senat. Sosok dari parti Republikan itu mencadangkan RUU 867 yang akan menjenayahkan sesiapa saja yang memboikot produk yang berkaitan Israel atau memboikot Israel.
Kesalahan memboikot itu membawa hukuman denda AS$1 juta atau penjara hingga 20 tahun.
Mengikut portal Redacted, Lawler mendapat dana AS$684,834 dari badan pelobi Israel. RUU 867 ini ditolak, tetapi ia menjadi bukti yang jelas tentang pengaruh Zionis dalam badan politik Amerika.
Nafi Iran bina nuklear
Presiden Donald Trump dikelilingi oleh Zionis. Semua penasihat dan pembantu Trump ialah pendukung Zionis. Apa yang membezakan mereka hanyalah ada menjadi Zionis totok dan ada Zionis liberal.
Zionis totok seperti Mike Waltz (penasihat keselamatan negara), Pete Hegseth (penasihat pertahanan) atau Marco Rubio (setiausaha negara).
Malah John Retcliffe yang kini menjadi kepala CIA pernah berkata bahawa Joe Biden tidak teguh menyokong Israel.
Jangan lupa dengan Jared Kushner menantu Trump. Sosok itulah penasihat paling berpengaruh kepada Trump. Pemaju hartanah itu bukan sahaja Yahudi tetapi Zionis totok.
Zionis totok inilah yang kini mahu bala tentera Amerika menyerang Iran. Hujah mereka hanya satu: Iran memiliki senjata nuklear, justeru ia wajib dimusnahkan.
Makmal dan loji nuklear Iran wajib dibom.
Zionis liberal pula ialah seperti Tulsi Gabbard yang kini menjadi Pengarah Lembaga Risikan Nasional Amerika.

Sebagai sosok yang mengetahui semua perkara sulit dalam dunia ini, Tulsi telah memberitahu Trump bahawa Iran tidak memiliki senjata nuklear.
Majalah Newsweek pada 27 Mac 2025 melaporkan bahawa Lembaga Perisikan Amerika menilai bahawa Iran tidak dalam proses membina senjata nuklear.
Bercakap di hadapan Jawatankuasa Perisikan Senat, Gabbard menyatakan bahawa lembaga itu "terus menilai bahawa Iran tidak membina senjata nuklear.
Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei tidak membenarkan program senjata nuklear yang digantungnya pada 2003." Khalas.
Tetapi Zionis totok yang mengelilingi Trump masih tidak berpuas hati. Untuk mereka Iran bukan hanya wajib dimandulkan malah negara yang bernama Iran itu wajib dimusnahkan demi keselamatan Amerika.
Demi keselamatan Amerika adalah mantera yang digunakan oleh kaum Zionis walhal wujudiah Iran tidak mengganggu gugat wujudiah Amerika. Sebenarnya yang dipertahankan oleh mereka ialah keselamatan Israel. Amin.
Dalam kepungan kaum Zionis itu Trump telah mengambil jalan tengah. Trump bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Iran.
Iran buat persediaan
Perbincangan nuklear di antara Teheran dan Washington berjalan di Oman. Kini telah berlangsung empat kali pertemuan. Kedua-dua pihak menyatakan keutamaan untuk perjanjian berbanding konfrontasi ketenteraan.
Ini satu yang positif. Buat masa ini, kedua-dua pihak telah menyatakan keyakinan dan nampaknya percaya bahawa terdapat kebaikan dalam memperdalam perbincangan.
Dalam perundingan tersebut, Israel nampaknya diketepikan. Israel mahu Amerika menggunakan "model Libya" ke atas Iran. Model Libya itu akan melakukan pembongkaran sepenuhnya program nuklear.
Jika enggan maka makmal dan loji nuklear akan dimusnahkan.
Baru-baru ini tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah mempamerkan dan menguji senjata pertahanan baru mereka. Iran juga kerap mengadakan latihan ketenteraan berskala besar sejak tiga bulan lalu.
Iran sedang bersiap sedia untuk tahun 2025 ini. Iran sedar bahawa Netanyahu dan kaum Zionis tidak akan berhenti dalam projek untuk mengebom makmal nuklear, infrastruktur tenaga kritikal dan tapak tentera Iran.
Pada masa yang sama Iran juga membuat persediaan. Daripada apa yang diketahui makmal nuklear Iran telah ditempatkan dalam wilayah gunung-ganang yang mustahil untuk dibom.
Baru-baru ini angkatan bersenjata Iran mendedahkan apa yang dipanggil peluru berpandu balistik yang dinaik taraf dengan jangkauan lebih 1,200km.
Tetiba satu peluru berpandu dari Yaman berjaya menembusi empat lapis pertahanan udara Israel. Ini termasuk berjaya menggagalkan Iron Dome - perisai peluru berpandu Israel yang tercanggih di Israel.
Perisai ini direka bentuk untuk memintas roket jarak dekat, peluru dan mortar, pada jarak antara 4km dan 70km dari pelancar peluru berpandu. Iron Dome yang dilengkapi 20 peluru berpandu itu dipasang di seluruh Israel.

Jelas terbukti bahawa peluru berpandu Houthi berjaya melintasi Iron Dome buatan Amerika. Sasaran utama Yaman ialah Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Dengan serta-merta Netanyahu menuduh bahawa peluru berpandu terbaru itu pastilah dibekalkan oleh Teheran.
Ketika tulisan ini digarap Israel telah dan sedang melancarkan serangan besar-besaran terhadap Yaman sebagai tindak balas.
Jet pejuang Tentera Udara Israel menggugurkan 50 peluru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa yang terletak berhampiran ibu negara Yaman.
Berpuluh-puluh pesawat udara Israel terlibat dalam serangan tersebut, termasuk jet pejuang, pengisi minyak, dan pesawat pengintip. Bom itu telah "melumpuhkan" lapangan terbang dalam masa 15 minit.
Mahu kuasai Gaza
Soldadu Zionis turut mengebom beberapa stesen jana kuasa berhampiran Sanaa dan kilang simen di utara ibu negara.
Sekali pandang jelas apa yang sedang berlaku itu masuk ke dalam perancangan dan manipulasi Netanyahu.
Pasti Zionis totok yang mengelilingi Trump akan menasihatkan presiden itu untuk menangguh atau membatalkan terus perundingan dengan Iran.
Keadaan bertambah buruk apabila Kabinet Netanyahu membuat keputusan mengarah bala tentera Zionis masuk ke Gaza sekali lagi. Semua pegawai tentera telah dikerah semula dan bersedia untuk menyerang.
Kali ini Netanyahu memiliki tiga tujuan. Pertama membebaskan tawanan yang masih dalam kawalan Hamas; kedua, memusnahkan Hamas; dan ketiga mengambil alih Gaza untuk dijadikan wilayah Israel.

Minggu depan dilaporkan Trump akan melawat Saudi Arabia, UAE dan Qatar. Trump memberitahu media bahawa negara-negara Arab itu bersedia untuk membeli senjata dan melabur di Amerika.
"Saya kata saya akan pergi jika anda membayar AS$1 trilion kepada syarikat Amerika - bermakna pembelian dalam tempoh empat tahun sebanyak $1 trilion - dan mereka telah bersetuju untuk melakukan itu," kata Trump kepada pemberita pada 7 Mac lalu.
Kita menunggu berita senjata jenis apa yang akan dibeli oleh Saudi dari Amerika.
Apakah jenis pelaburan dari Qatar dan UAE. Sementara menunggu, warga Gaza semakin ramai mati kebuluran. Genosid berterusan.
Apakah kita sebagai umat manusia hanya memerhati? Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
