Paling Popular
Terkini

KOLUM | Dalam renyai hujan kehidupan yang telah lama membasahi usia, saya berdiri sebagai seorang warga emas — seorang yang pernah muda, pernah jatuh, dan pernah bangkit.

Kini, dari jendela usia senja yang mula bersulam uban dan rengsa tubuh, saya memerhati anak-anak muda yang baru sahaja selesai menempuh medan pertama kehidupan—peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Wajah-wajah muda itu, penuh harapan dan gemuruh, ada yang cemas menanti keputusan, ada pula yang terlalu cepat hendak mencari rezeki, menyangka dunia ini akan sabar menunggu mereka.

Wahai generasi muda, wahai pewaris bumi yang kami tinggalkan, dengarlah suara seorang warga emas yang pernah melalui lorong-lorong getir dan liku-liku zaman. Dunia hari ini bukan seperti dunia kami dahulu, yang kering peluang dan terhad pilihan.

Pada era 1980-an dan 1990-an, anak-anak kampung seperti saya perlu berjalan kaki ke sekolah, menumpang semangat ibu bapa yang tidak berpelajaran tinggi. Sambung belajar? Hanya untuk yang benar-benar cemerlang atau yang berani melawan arus kemiskinan. Hari ini, langit pendidikan terbuka luas, dan tiada lagi alasan untuk menyerah sebelum berjuang.

Jangan terburu-buru cari pekerjaan

Ketahuilah, bahawa mencari kerja sejurus selepas SPM bukanlah langkah bijaksana jika jiwa kalian masih segar dan semangat masih membara. Sekali kaki kalian melangkah ke alam pekerjaan, nadi semangat belajar akan perlahan-lahan kendur, terkulai oleh tuntutan masa dan tanggungjawab.

Dunia kerja itu ibarat roda besi yang berpusing tanpa henti. Siapa yang terjebak terlalu awal, akan sukar keluar darinya untuk kembali menuntut ilmu. Hanya mereka yang benar-benar berdisiplin dan cekal jiwa mampu bertahan dan terus menuntut di tengah-tengah kesibukan mencari nafkah. Maka belajarlah dahulu, sementara daya fikir kalian masih tajam, sebelum beban hidup membalut tubuh dan fikiran.

Kini, pekerjaan separuh masa atau part time terbuka luas. Dunia digital menawarkan pelbagai pilihan. Kalian boleh belajar dan bekerja serentak tanpa perlu mengorbankan masa depan. Jangan lagi terpedaya dengan retorik lama yang menjerat ramai dalam perangkap “cukup setakat ini.” Tidak. Langit itu belum lagi hadnya. Selagi hidup, selagi itu peluang masih terbuka.

Bagi yang mendapat keputusan cemerlang, banyak jalan telah terbentang — asasi, matrikulasi, Institut Pendidikan Guru (IPG), malah ada pula peluang mengambil ACCA, iaitu sijil profesional dalam bidang perakaunan yang lebih bernilai di pasaran kerja berbanding ijazah biasa.

ACCA bukan sekadar sijil, tetapi tiket menuju gaji dan pengiktirafan bertaraf global. Bagi yang memperoleh sekurang-kurangnya 6A, program Foundation in Accountancy (FIA) boleh dimohon, dan antara penyumbang utama ialah Yayasan Peneraju.

Segala pembiayaan ditanggung — yuran, bahan, dan juga sara hidup. Usai FIA, kalian boleh terus menyambung ke ACCA, dan berada dalam laluan profesional yang diiktiraf antarabangsa. Jika berminat, jangan segan bertanya. Satu mesej boleh membuka seribu peluang.

Namun bukan semua anak muda minat kepada dunia angka dan audit. Maka ada juga jalan mulia lain — laluan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional). Jangan anggap TVET itu kelas kedua.

Sijil TVET kini laku keras di pasaran, terutama dalam bidang IT, keselamatan siber, kejuruteraan dan tenaga elektrik. MARA, agensi yang telah membina ribuan insan berdaya saing, menawarkan pelbagai peluang kepada anak Melayu dan Bumiputera. Institusi seperti KPTM dan UniKL memberi ruang kepada yang berhasrat menimba ilmu sambil dibantu dengan biasiswa dan pinjaman yang selalunya tidak membebankan.

Saya tahu kerana anak-anak rakan juga pernah melalui jalan ini. Ada yang pinjamannya mencecah RM100 ribu, tetapi hanya perlu membayar semula sekitar RM10 ribu. Inilah rahmat negara kepada anak bangsanya.

STPM: Lintasan kedewasaan

Bagi yang ingin meraih pengalaman lebih matang dan kos yang lebih rendah, STPM bukanlah jalan buntu. Ada sahabat antara ribuan lepasan STPM yang mendapati pengalaman itu lebih mengasah jiwa dan minda berbanding zaman SPM.

Ketika usia meningkat, kematangan cara belajar turut berkembang. STPM setanding dengan A-Level, dan membuka ruang ke universiti dalam dan luar negara. Jangan malu mengambilnya hanya kerana rakan-rakan menyambung ke kolej atau universiti lebih awal. Ingatlah, maraton kehidupan tidak dimenangi oleh yang bermula cepat, tetapi oleh yang istiqamah dan tahan lasak.

Dulu, Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sering dipandang sebelah mata, tetapi hari ini, banyak IPTS di Malaysia telah mencapai standard yang setara, malah dalam beberapa bidang, melepasi IPTA.

Kualiti tidak lagi hanya milik institusi kerajaan. Namun, apa yang penting bukan tempatnya, tetapi semangat pelajarnya. Kalian adalah penentu masa depan, bukan sijil atau nama universiti semata-mata.

Jangan biarkan semangat untuk belajar padam sebelum sempat menyala. Jangan berhenti pada SPM. Zaman ini lebih mudah untuk belajar. Banyak kursus ditawarkan secara dalam talian, dan bahan pembelajaran boleh diakses dari hujung jari. Dunia ini sedang berubah, dan perubahan itu datang bersama teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Peluang dan cabaran

Sebagai warga emas yang pernah menyaksikan transformasi ekonomi di Timur Tengah dan kini kembali ke tanah air, saya melihat dengan penuh harapan terhadap perkembangan AI dan kemasukan pelabur asing ke Malaysia. Dunia kini sedang dilambung gelombang Revolusi Industri Keempat.

Kecerdasan buatan bukan sekadar ciptaan — ia ialah penentu masa depan. Para pelabur besar mula menyedari potensi Malaysia sebagai hab teknologi dan tenaga kerja terlatih. Namun mereka tidak mencari tenaga buruh murah semata-mata. Mereka mencari anak-anak muda yang bijak, cekap, dan mampu menyesuaikan diri dalam dunia yang pantas berubah.

Anak-anak muda Malaysia perlu bangkit. Ambil tempat dalam peralihan dunia ini. Jangan biarkan negara kita sekadar menjadi tempat kilang, sedang jawatan-jawatan utama diisi oleh warga asing. Kita mesti memiliki ilmu, kemahiran dan kesungguhan. Gunakan peluang yang datang. Pelaburan masuk ke negara ini hanya akan memberi manfaat jika rakyatnya bersedia menjadi pemacu, bukan penonton.

Waktu adalah pedang. Jika tidak kamu potong ia, maka ia akan memotong kamu. Masa tidak menunggu kita. Dunia tidak akan bersimpati dengan mereka yang leka. Saya seorang warga emas yang OKU ini, setelah strok dan kehilangan banyak upaya, masih belajar.

Saya telah menamatkan satu kertas peperiksaan, dan masih terus membaca walaupun perlahan dan profilik menulis. Kerana saya percaya, belajar itu bukan hanya untuk mendapat kerja, tetapi untuk menjadi manusia. Untuk mengenal hakikat diri dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Kamu yang masih muda, punya segalanya — tenaga, masa, fikiran. Jangan sia-siakan. Teruskan belajar. Usah nanti menyesal di kemudian hari, ketika rakan-rakanmu sudah mendaki gunung kehidupan, sedang kamu masih mencari kaki untuk melangkah.

Wahai anak muda, jangan takut untuk bermimpi tinggi. Tetapi lebih penting, jangan takut untuk bekerja keras demi mimpi itu. Belajarlah dahulu, kerana belajarlah senjata paling ampuh dalam zaman yang dikuasai mesin dan data.

Doa mengiringi setiap langkah kalian. Semoga hidup kalian lebih baik daripada hidup kami. Semoga negara ini makmur dengan anak-anak muda yang cintakan ilmu dan benci pada kejahilan. Bangkitlah — demi diri, keluarga dan tanah air tercinta.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS