KOLUM | Di Abu Dhabi, kota futuristik yang diasah dengan dirham tak bersudut, berlangsung sebuah acara yang barangkali ramai antara kita tidak tahu pun.
Sebanyak 44 karya seni kontemporari Malaysia tergantung gagah di dinding Cultural Foundation.
Pameran itu diberi nama To Know Malaysia is to Love Malaysia. Tajuk yang begitu sempurna, seolah mahu memberitahu kita ini – yakni rakyat Malaysia yang kadangkala tidak tahu pun untuk menyayangi tanah air sendiri – bahawa seni kita telah berjalan lebih jauh daripada pemahaman kita terhadapnya.
Kita ni, kalau boleh nak tunggu artis kita menang sesuatu di luar negara baru nak angguk kepala.
Kita bukan tak cinta seni, kita cuma terlalu sibuk bercinta dengan benda-benda yang bersinar sekejap — macam kepala botak politikus korup, misalnya.
Namun di Abu Dhabi, pelukis seperti Ahmad Shukri Mohammed, Ahmad Fuad Osman, Ali Nurazmal, Anniketyni Madian, Fauzan Omar, Hamir Soib, Masnoor Ramli, Shooshie Sulaiman, Yusof Ghani and Zulkifli Yusoff diraikan sebagai penyampai suara Malaysia yang sebenar.

Mereka bukan selebriti Instagram, bukan pencetus trend tular, tetapi mereka ialah pengukir naratif kebangsaan.
Mereka tidak mengejar glamor. Mereka mengejar soalan. Mereka membingkaikan kegelisahan dan harapan tanah air ke atas kanvas — dan anehnya, orang Abu Dhabi memahaminya.
Kita pula masih terkial-kial mencari identiti.
Ada satu perkara yang patut kita rayakan di sini.
Pameran di Abu Dhabi itu tidak wujud hanya kerana galeri kaya mahu menempa nama. Ia berlaku kerana kerajaan Malaysia dan kerajaan Abu Dhabi saling mengangguk dalam bahasa budaya.
Kerjasama G2G — kerajaan dengan kerajaan — ini bukan benda baru. Tapi apabila digunakan untuk seni, ia lantas menjadi luar biasa. Kita sudah terlalu biasa melihat G2G dalam bentuk pelaburan minyak misalnya, tetapi kali ini, seni jadi mata wang. Seni jadi diplomat.
Kita sibuk berkelahi
Seni jadi pemberita tanpa suara yang membawa cerita kita ke padang pasir yang dahulu bisu namun kini penuh galeri.
Kami mengharapkan agar lebih banyak usaha di antara kerajaan dengan kerajaan seperti ini pada masa akan datang dapat dijayakan.
Inilah apa yang dikatakan sebagai kuasa lunak. Dan inilah juga jalan yang perlu terus diredah. Kalau kita serius mahu melihat pelukis kita menjadi duta tanpa pasport, maka G2G perlu menjadi lebih daripada sekadar kerjasama atas kertas kerja.
Ia mesti jadi asas dan kepercayaan.
Dan ya, semua ini takkan berlaku kalau bukan kerana satu pasangan: Farouk dan Aliya Khan, penggerak utama The AFK Collection.
Mereka memiliki satu koleksi yang menghimpun lebih 1,200 karya seni generasi pertama seni kontemporari Malaysia.

Waktu kita sibuk berkelahi siapa kontemporari siapa tidak, mereka pula sibuk berusaha untuk memiliki lukisan-lukisan yang kini membentuk sejarah.
AFK bukan sekadar koleksi. Ia adalah muzium bergerak. Ia adalah arkib rasa dan bentuk. Semasa kamu sibuk menyimpan fail dalam kabinet besi, mereka simpan mimpi negara dalam bingkai kayu.
Abu Dhabi telah meletakkan seni di tempat yang tinggi. Louvre Abu Dhabi berdiri megah, dan Guggenheim bakal menyusul. Mereka faham bahawa seni bukan sekadar lukisan yang di gantung di dinding.
Seni adalah pelaburan minda, ekonomi dan masa depan. Dan kita?
Cuba selidik, raikan
Kalau betul kita mahu jadi sebahagian daripada perbualan dunia, seni tidak boleh terus dijadikan hobi, pengisi masa lapang dan alat untuk mencari musuh.
Seni mesti dimasukkan dalam dasar. Dalam belanjawan. Dalam silibus. Dalam doa.
Kerana apabila pelukis kita dikenali di Abu Dhabi, itu bukan kemenangan dia seorang. Itu kemenangan untuk seluruh kita — yang masih belajar untuk kenal Malaysia – dan lebih penting, untuk mencintainya.
Ini tidak, kamu sampai hati tidak mengenal bendera negara sendiri. Baser.

Kalau kamu mahu tahu di mana Malaysia hari ini, jangan pandang ke bangunan tinggi atau lebuh raya yang dikuasai oleh mat rempit itu.
Pandang ke lukisan, dengar puisi, renung arca. Kerana di situlah jiwa kita berada.
Dan kalau Abu Dhabi pun sudah jatuh cinta, mungkin sudah tiba masanya kita juga belajar mencintai diri kita sendiri.
Sudah-sudahlah berlumba memiliki dan berbangga dengan karya-karya orang lain. Cuba selidik, cari dan raikan hasil kerja anak negeri ini.
ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan anak Pahang yang berminat untuk menjadi pengusaha durian musang king.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
