KOLUM | Gerakan reformasi yang dipacu mahasiswa dan anak muda Indonesia memaksa Suharto berundur daripada jawatan presiden pada Mei 1998. Dia memegang kedudukan tersebut sejak 1967.
Sewaktu kemuncak gerakan reformasi, demonstrasi jalanan menguasai kota-kota penting Indonesia. Gerakan reformasi mendapat dukungan kuat daripada intelektual di menara gading, seniman, buruh, penarik beca dan pelbagai lapisan masyarakat.
Ketika itu, ada tokoh seperti Amien Rais, Rendra, Megawati Soekarnoputri, Abdurrahman Wahid (Gus Dus), Goenawan Mohamad dan lain-lain. Suharto pula mendapat sokongan kuat daripada Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Abri). Dewan Perwakilan Rakyat dikuasai jalur tentera.
Apabila BJ Habibie akhirnya mengambil alih kepemimpinan Indonesia, banyak reformasi yang telah dilakukan olehnya.
Meski pemerintahannya singkat tetapi Habibie berjaya membebaskan masyarakat Indonesia daripada belenggu kuasa tentera yang selama ini mencengkam.
Apabila pilihan raya umum pertama selepas reformasi diadakan, berlaku persaingan kuasa di adalah antara Gus Dur dan Megawati yang bersama-sama mendukung reformasi.
Gus Dur berjaya dalam persaingan tersebut dan Megawati menjadi orang nombor dua Indonesia.
Namun Gus Dur tidak sempat Gus Dus menamatkan penggal kepresidenannya. Dia telah dijatuhkan oleh Megawati yang berpakat dengan Amien Rais.
Begitulah - kekuasaan adalah puaka yang membutakan hati nurani. Pergulatan antara penggerak utama reformasi terjadi sesama sendiri.
Pendidikan, bukan makan percuma
Reformasi seakan terencat. Korupsi, kronisme dan nepotisme kembali subur.
Parti Keadilan Sejahtera (PKS) terpalit dan parti-parti lain juga terpalit.
Selepas lebih dua dekad berlalu, mahasiswa kembali ke jalan raya berdemonstrasi memprotes kerajaan pimpinan Jokowi. Api kemarahan itu menyala setelah ada usaha dari jalur Jokowi cuba meminda perlembagaan bagi membenarkan dia menjadi presiden untuk penggal ketiga.
Antara reformasi perlembagaan Indonesia ialah mengehadkan tempoh seseorang presiden selama dua penggal saja. Itulah yang menghalang Jokowi memegang jawatan lebih lama.
Pindaan tersebut gagal tetapi berjaya mengangkat anaknya menjadi orang nombor dua Indonesia selepas Prabowo Subinato. Ramai meragui dan mempertikaikan kemampuan Gibran Rakabuming yang baru berusia 37 tahun itu.

Bukan kerana Gibran masih kanak-kanak sewaktu reformasi menyala. Bahkan dia tiada dalam lipatan sejarah reformasi.
Trauma nepotisme sewaktu regim Sukarto tidak dapat dipadam sepenuhnya dengan api reformasi.
Penentang Prabowo menamakan gerakan mereka sebagai Indonesia Gelap bagi menggambarkan ketidakjelasan dan kesuraman dasar-dasar yang diperkenalkan presiden.
Antara polisi yang ditentang ialah program utama Prabowo yang memberikan makanan percuma kepada pelajar. Mereka menuntut pelajaran percuma, bukan makanan.
Sudah ada kebangkitan yang agak luar biasa di Indonesia. Seniman mula mengarang puisi dan lagu penentangan kerajaan.
Kumpulan muzik Punk Sukatani yang membawa lagu kontroversi Bayar Bayar Bayar yang mengkritik amalan korupsi dalam kalangan polis. Lagu itu diterbitkan pada 2023 di bawah tajuk album Gelap Gempita.
Harga yang dibayar
Penyanyi dipecat dan lagunya diharamkan. Namun tidak lama kemudian, lagu tersebut dibenarkan dimainkan semula.
Penyanyi rock dari kumpulan Dewa19, Ahmad Dani, yang menjadi wakil rakyat kerajaan mengusahakan agar lagu itu tidak dihalang siarannya. Liriknya berterus terang memberi pencerahan kepada khalayak. Contohnya:
Mau bikin gigs, bayar polisi
Lapor barang hilang, bayar polisi
Masuk ke penjara, bayar polisi
Keluar penjara, bayar polisi
Aduh, aduh, ku tak punya wang
Untuk bisa bayar polisi
Selepas itu, penyanyi dan pelawak Indonesia, Rina Nose, membawa lagu bernada sama atas tajuk Bangun Orang Waras bersama kumpulan Methosa. Album itu diterbitkan pada April lalu.

Lagu Methosa lain pula yang bertajuk Terangkan Kembali sememang sejalur dengan gerakan Indonesia Gelap.
Begini liriknya:
Hidupkan jalan kebenaran
Kembalikan terang ke tempat semula
Nyalakan cahaya keadilan yang telah menghilang
Dibungkam lama oleh mereka
Fenomena buruk di nusantara
Halangi masuknya sinar sang surya
Langit mendung sepanjang hari
Kaya menjamin punya kuasa
Hidup susah terancam binasa
Sememangnya lagu ini sarat dengan mesej kritik sosial dan seruan kepada masyarakat untuk berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran.
Bukan tidak ada lagu-lagu atau puisi seperti itu pada zaman Suharto. Susuk seperti Iwan Fals, Rendra dan lain-lain sudah membuktikan karya mereka boleh menyuntik kesedaran kepada masyarakat.

Ada harga yang terpaksa mereka bayar, termasuk ditekan, ditangkap atau karya diharamkan.
Soalnya setelah dua dekad reformasi berlangsung, mengapa anak muda dan mahasiswa bangkit menentang kerajaan?
Apakah pimpinan elit politik Indonesia tidak belajar daripada nasib yang dialami Suharto dan Sukarno?
Untungnya kedua-dua pemimpin tersebut berundur dan masih diberikan penghormatan negara pada penghujung usianya.
Ini mungkin masih ada sisa budaya kita menghormati kepada mereka yang pernah berjasa biar pernah melakukan kesalahan. Biar sebesar manapun kesalahan dan dosanya.
Hal-hal seperti ini perlu direnungi bersama dalam gerakan reformasi di tanah air. Banyak persoalan perlu difikir dan diurus dengan baik.
Reformasi di Malaysia menguasai politik negara tidak sampai sepenggal pemerintahan.
Ia seperti pepatah yang menyebut “seperti menarik rambut di dalam tepung”.
Begitulah hendaknya.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
