Paling Popular
Terkini

KOLUM | Mengapa tubuh atlet-atlet kita kecil sangat kalau dibandingkan dengan atlet negara lain?

Persoalan ini timbul apabila tular gambar perbezaan fizikal ketara di antara atlet bola tampar pantai Malaysia dengan China dalam kejohanan AVC Beach Tour di Pingtan, China.

Atlet China, Chen Xue (31 tahun) dan Zeng Jinjin (24 tahun), masing-masing berketinggian 190cm dan 188cm, manakala atlet remaja Malaysia, Nur Azwa Qariesya Aizuddin dan Rachel Goh pula dianggarkan hanya berketinggian sekitar 160cm.

Perdebatan di media sosial terus menyentuh dua faktor utama: genetik dan nutrisi. Ia adalah satu perkembangan yang positif kerana masyarakat kita mula cakna isu tumbesaran.

Menariknya, perbandingan ini tidak melibatkan bangsa Eropah atau Afrika, tetapi sesama Asia. Chen Xue dan Zeng Jinjin bukan berasal dari etnik China yang bertubuh tinggi seperti Manchu, Hui atau Mongol.

Mereka lahir daripada etnik Han yang menjadi majoriti di China dan purata ketinggian mereka – bagi wanita dewasa – hanyalah sekitar 160cm.

Maksudnya, apabila kita melihat atlet China yang tinggi dan berotot, ia bukan hanya tentang hasil genetik, tetapi juga pemakanan dan sistem pembangunan sukan yang tersusun.

Tumbuh luar biasa sejak bayi

Berdasarkan pembuktian sains, 70 hingga 80 peratus faktor ketinggian dipengaruhi genetik, manakala selebihnya 20 hingga 30 peratus adalah persekitaran – termasuk nutrisi, kesihatan dan gaya hidup.

Contoh paling menonjol ialah bekas pemain NBA, Yao Ming. Dengan ketinggian 229cm, dia dikenali sebagai atlet profesional tertinggi pernah dihasilkan oleh China. Lebih menarik, menurut Brook Larmer dalam buku Operation Yao Ming, Yao merupakan hasil perkahwinan terancang antara dua atlet tinggi – satu eksperimen tidak rasmi oleh kerajaan China.

Ibu bapanya, Yao Zhiyuan (201cm) dan Fang Fengdi (190cm), kedua-duanya daripada etnik Han dan merupakan bekas pemain bola keranjang profesional.

Kajian kembar (twin study) digunakan sebagai asas eksperimen tersebut kerana ia membuktikan seseorang bayi mewarisi ciri pertumbuhan daripada genetik ibu bapa dan merupakan alat paling berkuasa dalam membezakan faktor genetik dan persekitaran.

Yao dilahirkan pada 1980 dengan berat 5kg dan menunjukkan pertumbuhan luar biasa sejak bayi.

Pada usia 10 tahun, dia sudah setinggi remaja 15 tahun. Genetik yang baik digabungkan dengan sistem nutrisi dan latihan sukan China menjadikan dia model sempurna untuk kajian pewarisan ketinggian.

Dalam konteks sistem pembangunan sukan China, mereka ibarat sebuah kilang yang mengenal pasti bakat dan mengurus atlet secara sistematik. Pemantauan kesihatan, nutrisi dan tumbesaran dilakukan secara profesional sejak kecil bagi memaksimumkan potensi genetik, khususnya dalam pembentukan otot dan panjang tulang.

Fizikal dua atlet bola tampar wanita pantai China tadi ialah hasil gabungan genetik yang baik dan pemakanan serta latihan yang membantu potensi itu dicapai sepenuhnya.

China mula membangunkan sistem tersebut sejak 30 hingga 40 tahun lalu, dan kini mereka hanya menuai hasil yang disemai. Kejayaan mereka dalam Sukan Olimpik dan kejohanan dunia adalah buktinya.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah kita langsung tiada kemampuan menghasilkan atlet seperti mereka?

Jawapannya – dan yang menyedihkan – ialah dasar kesihatan dan pemakanan kita sendiri masih tidak menyokong tumbesaran optimum.

Makanan yang berkualiti

Laporan Bank Dunia 2018 menyatakan bahawa kadar bantut Malaysia adalah lebih tinggi daripada negara berpendapatan setara. NHMS 2019 pula menunjukkan kadar bantut mencecah 21.8 peratus.

Ini bermaksud satu daripada lima kanak-kanak Malaysia mengalami masalah tumbesaran akibat kekurangan nutrisi.

Isu ini bukan sekadar soal kemiskinan, malah berpunca daripada kurangnya kesedaran pemakanan dalam kalangan ibu bapa. Ironinya selepas tujuh tahun berlalu – dan menteri kesihatan bertukar ganti – angka itu tidak pernah berubah.

Penyelesaiannya hanya berkisar pada kempen kesedaran semata-mata.

Sedangkan di China, pemakanan kanak-kanak dianggap isu keselamatan negara. Sejak 2011, mereka melaksanakan Program Penambahbaikan Pemakanan Kebangsaan yang menyediakan makanan percuma berkualiti kepada lebih 30 juta murid luar bandar.

Hasilnya, kadar bantut kanak-kanak bawah lima tahun berjaya diturunkan daripada 32.6 peratus pada 1990 kepada hanya 5 peratus pada 2020. Program itu bukan sekadar bagi makan, tetapi disokong oleh sistem pemantauan profesional.

China menempatkan pakar pemakanan di sekolah luar bandar, melaksanakan penilaian BMI murid secara berkala serta menerapkan pendidikan pemakanan sejak awal.

Menu kantin dipantau berpusat dan kurikulum memasukkan perihal literasi pemakanan.

Di Malaysia, kita masih tiada pakar pemakanan tetap di sekolah. Program RMT (rancangan makanan tambahan) wujud, namun kekurangan intervensi teknikal menyebabkan masalah kekurangan zat sukar dibendung.

Persoalannya, adakah kita kekurangan pakar nutrisi?

Jawapannya: tidak. Universiti-universiti tempatan telah melahirkan ratusan graduan sains pemakanan setiap tahun.

Jika kekangan kewangan menjadi isu, mungkin penyelesaian terletak pada kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Graduan-graduan sains pemakanan boleh ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih, terutamanya di daerah kritikal untuk merangka dan memantau menu kantin serta kesihatan murid.

China telah membuktikan bahawa pemakanan kanak-kanak bukan hanya isu kesihatan, tetapi juga strategi nasional.

Impaknya jelas, mereka bukan sahaja melahirkan generasi sihat, tetapi juga atlet bertaraf dunia.

Malaysia bukanlah ketandusan bakat sukan, tetapi kita semacam gagal untuk menghasilkan atlet yang dilengkapi kombinasi genetik dan nutrisi sejak kecil.

Jika kita ingin melihat Jalur Gemilang berkibar di podium peringat tertinggi, pelaburan terbesar bukan hanya pada gelanggang, tetapi dalam pinggan makan kanak-kanak kita.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS