KOLUM | “Mil, kenapa bukan Malaysia lawan Manchester United (MU)? Kenapa tiba-tiba Asean All-Stars?”
Soalan itu aku lontarkan pada Muzammil, bekas bos semasa aku aktif menulis untuk Semuanya Bola dulu. Kalau ada orang yang faham logik dan simbolik dalam bola sepak, pada aku, dialah orangnya.
Muzammil tak segera menjawab. Dia cuma senyum dan mengangkat kening. Lepas satu teguk kopi, barulah dia mula bercakap.
Daripada bicara bola, kami meleret ke sejarah, warisan, budaya, geopolitik dan akhirnya persoalan besar tentang kewajaran wujudnya kesatuan negara-negara di rantau Asia Tenggara.
Aku secara peribadi agak kagum dengan langkah taktikal Malaysia dalam menarik perhatian dunia untuk menjual jenama “Asean”.
MU bukan calang-calang kelab. Kedatangan mereka ke Kuala Lumpur bukan saja mengisi ruang utama berita sukan global, malah membuka peluang besar untuk membina naratif baru.
Pasukan yang menyambut cabaran itu? Bukan skuad kebangsaan Malaysia. Bukan juga kelab jaguh tanah air, tapi Asean All-Stars – sebuah pasukan yang menghimpunkan pemain terbaik dari seluruh Asia Tenggara.

Secara tidak langsung, mereka yang ada di benua lain – dan selama ini tidak pernah tahu apa itu Asean – mula celik. Mereka mula sedar bahawa Asean itu sebenarnya satu gabungan negara-negara di Asia Tenggara.
Melalui satu perlawanan bola sepak, bendera-bendera negara Asean muncul serentak di skrin televisyen di seluruh dunia.
Nama-nama yang jarang mendapat sorotan dalam arena sukan antarabangsa – Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura, Brunei, Laos, Kemboja dan Myanmar – kini disebut dalam nafas yang sama.
Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan berlangsung dalam dewan tertutup bersama para pemimpinnya.
Tempat letaknya kekuatan
Namun di atas padang, mesej yang sama diterjemahkan dengan lebih dekat di hadapan puluhan ribu penonton serta jutaan lain yang menonton dari kejauhan.
Ini bukan sekadar hiburan atau pertunjukan bakat selama 90 minit. Ia adalah perlawanan simbolik yang mengangkat semangat serantau dan bukti nyata bahawa Asean mampu berganding bahu dalam budaya, sukan dan identiti kolektif.
Bukankah ini mesej yang sangat penting ketika dunia sedang bergolak?
Tatkala India bertegang dengan Pakistan; Rusia masih menyerang Ukraine; dan ketika Israel terus membedil rakyat Palestin, dunia dipenuhi kemarahan dan keserakahan kuasa.
Tapi Asean – suatu rantau dengan lebih 600 juta penduduk – kekal sebagai wilayah yang secara relatifnya aman.
Sejak penubuhannya pada 1967, Asean berjaya mengelakkan konflik bersenjata besar antara negara anggotanya. Prinsip tidak campur tangan dan konsensus mungkin dianggap perlahan, tetapi di situlah letaknya kekuatan.
Rantau ini bukan saja selamat, malah kaya dengan nilai budaya dan berakar dalam semangat solidariti.

Sementara mata dunia tertumpu ke Stadium Nasional Bukit Jalil, satu lagi inisiatif serantau sedang digerakkan. Malaysia turut menerajui kempen Road to World Historical Archery Championships 2025.
Lebih 200 pemanah dari 10 negara Asean bertanding sebagai satu pasukan memanah tradisional di Hungary pada Ogos nanti. Dari situ hubungan yang lebih mendalam dijalin melalui budaya dan pengalaman hidup yang dikongsi bersama.
Memanah bukan budaya asing bagi rantau ini. Ia berakar dalam sejarah Asia Tenggara – dari hikayat kepahlawanan Hang Tuah kepada tradisi jemparingan di Yogyakarta, latihan tentera zaman Ayutthaya di Thailand, hinggalah ukiran pemanah purba dalam budaya Khmer.
Masyarakat silam melihat memanah bukan sekadar kemahiran tempur bahkan lambang maruah, disiplin dan jati diri.
Ada mesej tersirat
Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kemunculan semula acara memanah tradisional di pentas dunia bukan sekadar kebetulan, tetapi kebangkitan warisan yang telah lama terpendam.
Di sini diplomasi tidak dibawa melalui rundingan meja bulat atau kenyataan akhbar.
Ia dibawa melalui anak panah yang meluncur secara senyap, melalui sepakan bola yang menembusi gawang namun tetapi tetap sampai ke hati.
Malaysia menghantar mesej yang jelas – kita bersedia memimpin Asean bukan dengan senjata ketenteraan, tetapi dengan sejarah, budaya, seni dan sukan. Ia memperlihatkan kelebihan sebenar Asean untuk bersatu dalam perbezaan.

Asean telah membentangkan kekuatannya melalui dua cara: sepakan bola ke gawang MU di Kuala Lumpur dan anak panah yang bakal dilepaskan dari busur di Hungary.
Di penghujung perbualan, aku bertanya: “Kau rasa berpuluh ribu penyokong yang turun ke stadium tu faham ke semua benda tersirat ni?”
Muzammil tenang sahaja jawab.
“Penting ke untuk diorang faham? Diorang datang nak tengok bola je bro. Just to enjoy the show.”
Kami berdua ketawa.
Tapi dalam hati, aku tahu, tak semua orang perlu faham diplomasi, dasar luar atau protokol rasmi.
Tapi semua orang faham bahawa bola sepak ini dulu, kini dan selamanya menjadi penyampai mesej perpaduan yang tak perlu diterjemah.
Satu gol, satu sorakan, satu pasukan dan satu matlamat. Mesej itu sampai ke jutaan manusia.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
