Malaysia sedang menelusuri era perubahan dengan harapan baharu melalui gagasan Malaysia Madani. Namun, satu elemen penting yang masih tidak melaju ialah keterlibatan wanita dalam kepimpinan politik arus perdana.
Meskipun wanita Malaysia menunjukkan pencapaian luar biasa dalam pendidikan, ekonomi dan masyarakat sivil, jumlah mereka dalam politik terutamanya dalam hierarki parti masih jauh daripada memuaskan.
Barangkali, punca utama hal ini bukanlah kekurangan bakat wanita, tetapi ketempangan sistem pemilihan dalam parti politik itu sendiri. Sistem ini perlu diperbaiki dan diperkemaskan agar lebih telus, adil, lagi mesra kepada calon wanita yang berpotensi, berilmu serta berpengetahuan.
Tentunya, dengan reformasi dalaman ini, kepimpinan wanita dapat benar-benar direalisasikan sebagai aset strategik untuk masa depan negara.
Budaya parti politik yang membataskan wanita
Struktur Hierarki yang mengutamakan Patriarki
Kebanyakan parti politik yang ada di Malaysia masih mengekalkan struktur hierarki yang tidak inklusif, dengan didominasi kaum lelaki dalam jawatan strategik dan jawatankuasa pemilihan calon.
Proses pemilihan calon yang tertutup
Tidak terkecuali, pencalonan biasanya berdasarkan keputusan elit atasan parti tanpa mekanisme demokratik yang melibatkan akar umbi secara aktif, menyebabkan wanita kurang diberi ruang apatah lagi peluang walaupun mempunyai potensi serta berkelayakan.
Mentaliti kuota tokenisme
Walaupun beberapa parti meletakkan kuota wanita, ia sering tidak disertai dengan kuasa sebenar dalam membuat keputusan. Ini menjadikan penyertaan wanita sekadar ‘alat kosmetik,’ serta retorik untuk menyedapkan hati.
Kekangan logistik dan sumber
Wanita berhadapan cabaran kewangan, kekangan masa kerana tanggungjawab keluarga, dan ketiadaan jentera kempen yang kompeten. Seringkali, parti tidak menyediakan sokongan mencukupi untuk mengatasi halangan ini.
Mengapa reformasi sistem pemilihan parti sangat penting?
Sebagaimana kajian Women in Politics 2023, dari Inter-Parliamentary Union (IPU), The Power of Women’s Leadership (2022) dari UN Women dan World Economic Forum dalam Global Gender Gap Report 2023, menyatakan:
✔ Wanita merupakan separuh daripada populasi Malaysia, tetapi hanya 14.9 peratus ahli parlimen adalah wanita (IPU, 2023).
✔ Kajian menunjukkan wanita memimpin lebih telus, empatik dan berorientasi kepada kesejahteraan rakyat (UN Women, 2022).
✔ Negara yang mempunyai perwakilan wanita tinggi seperti Rwanda, Iceland dan New Zealand menikmati kestabilan dan pembangunan sosial yang mampan.
Cadangan menstruktur semula sistem pemilihan dalam parti politik
Pilihan raya dalaman yang telus dan demokrasi
Parti perlu membuka proses pemilihan calon melalui pemilihan akar umbi secara telus. Ini memberi peluang kepada wanita yang mendapat sokongan sebenar rakyat, bukan sekadar disenarai oleh golongan elit.
Kuota mandatori dengan peranan strategik
Tetapkan kuota minimum 30 peratus hingga 50 peratus untuk wanita dalam jawatankuasa eksekutif, biro politik, dan pencalonan pilihan raya, serta pastikan mereka memegang portfolio strategik. Apa yang pasti bukan hanya memenuhi tuntutan sebagai pimpinan dalam sayap wanita.
Latihan kepimpinan dan akademi politik wanita
Parti seharusnya, menyediakan latihan jangka panjang dalam bidang dasar awam, komunikasi politik, kepimpinan strategik dan kempen untuk ahli wanita.
Dana dan sokongan logistik untuk calon wanita
Sediakan geran pilihan raya dalaman, pembiayaan pengangkutan, penjagaan anak, dan bantuan jentera kempen khas untuk wanita yang bertanding demi kesejahteraan yang berpanjangan.
Mekanisme aduan dan perlindungan daripada seksisme politik
Wujudkan Jawatankuasa Etika yang boleh menerima aduan berkaitan diskriminasi, gangguan atau sabotaj terhadap calon wanita.
Pemerkasaan sayap wanita sebagai penentu dasar parti
Sayap wanita mesti diberi kuasa menyemak dasar, mencadangkan calon, dan menyertai perbincangan strategik dan bukan hanya terlibat dalam kebajikan atau aktiviti sosial.
Sistem mentor-mentee rentas generasi
Pimpinan wanita senior membimbing pelapis baharu dengan pengalaman, rangkaian dan sokongan moral. Ini penting bagi membina kesinambungan dan ketahanan politik wanita muda.
Indeks prestasi kepimpinan inklusif parti
Wujudkan penilaian berkala terhadap keterangkuman gender dalam keputusan parti dan ganjaran kepada cawangan/parti negeri yang memecah dominasi gender.
Peranan rakyat: Tekan, sokong dan pilih
Perubahan dalam parti politik tidak berlaku dengan sendiri. Ia memerlukan tekanan dan dorongan rakyat:
Anggota parti perlu berani bersuara dan memilih calon wanita.
Masyarakat sivil dan media perlu mengangkat isu ini sebagai agenda nasional.
Pengundi mesti memberi undi kepada calon wanita berwibawa, bukan hanya berdasarkan parti atau jantina.
Justeru, sistem pemilihan dalam parti politik di Malaysia bukan sekadar soal teknikal. Ia adalah cerminan nilai demokrasi yang kita percaya. Jika sistem itu masih menindas wanita, maka negara ini belum benar-benar demokratik.
Maka, memperbaiki dan memperkemaskan sistem pemilihan dalam parti politik adalah langkah penting dalam menjamin keterlibatan wanita dalam tampuk kepimpinan. Ini bukan hanya soal keadilan gender, tetapi soal kualiti kepimpinan, daya tahan institusi, dan masa depan negara.
Kepimpinan wanita yang mekar dari sistem yang adil akan membawa suara rakyat dengan lebih jujur, dasar yang lebih berfokus, dan negara yang lebih sejahtera. Jika kita benar-benar ingin membina Malaysia yang rahmah dan dihormati dunia ia seharusnya bermula dari dalam parti politik yang benar-benar telus. Namun tidak bermakna dalam keadaan seperti ini, untuk merealisasikan kepimpinan wanita, soal nepotisme juga kronisme dikhianati dan ditolak tepi.
ATRIZA UMAR felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
