Ketika tulisan ini digarap, Iran dan Amerika sedang menjalankan perundingan mengenai tenaga nuklear di Oman. Iran mahu menggunakan nuklear untuk menjana elektrik untuk kegunaan awam. Amerika menganggap akhirnya Iran akan memiliki senjata bom nuklear.
Anggapan Amerika ini berasaskan bahawa bahan nuklear uranium yang mengeluarkan tenaga elektrik itu juga boleh dikumpulkan untuk dijadikan senjata bom nuklear.
Kelihatan jelas dua negara ini tidak ada titik pertemuan. Yang terus menjadikan suasana ini tegang ialah kewujudan Zionis Israel yang menjadi batu api.
Sebenarnya ketika Barack Obama menjadi presiden telah wujud perjanjian antara Amerika dengan Iran. Iran bersetuju tidak akan mengumpulkan bahan lebihan uranium dari loji tenaga nuklear untuk dijadikan senjata.
Perjanjian Amerika-Iran tahun 2015 ini dimansuhkan oleh Donald Trump bila dia menjadi presiden kali pertama pada tahun 2017. Trump menganggap ini satu perjanjian terburuk dalam sejarah.
Tidak dapat dinafikan di belakang pembatalan ini ialah peranan Benjamin Netanyahu dan Zionis Israel.
Kali kedua Trump menjadi presiden, atas desakan Israel, Iran dipaksa meninggalkan dan melupuskan segala program pembinaan loji nuklear.
Netanyahu mahu Amerika memaksa Iran mengikut model Libya: pembongkaran dan pemusnahan sepenuhnya program nuklear Iran. Ini perjanjian 2003. Libya melepaskan cita-cita nuklearnya sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan dan diterima semula ke dalam masyarakat antarabangsa.
Iran secara terbuka menyatakan kepada dunia bahawa mereka tidak memiliki niat untuk membuat senjata nuklear. Ini berasaskan fatwa yang dilafazkan oleh Ayatollah Ali Khamenei, pemimpin tertinggi Iran.
Fatwa ini menentang pemerolehan, pembangunan dan penggunaan senjata nuklear bermula sejak pertengahan 1990-an. Pengumuman awam fatwa ini pertama dilaporkan berlaku pada Oktober 2003, diikuti dengan kenyataan rasmi pada mesyuarat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna pada Ogos 2005.
Pada 26 Mac 2025 portal NDTV World melaporkan kenyataan Tulsi Gabbard, pengarah Perisikan Kebangsaan (DNI) Amerika Syarikat, berkata bahawa komuniti perisikan Amerika menilai bahawa Iran tidak secara aktif mengejar senjata nuklear pada masa ini. Tetapi perbincangan mengenai nuklear telah meningkat dalam rejim di Tehran.
"Lembaga risikan Amerika terus menilai bahawa Iran tidak membina senjata nuklear dan Pemimpin Tertinggi Khamenei tidak membenarkan program senjata nuklear yang digantungnya pada 2003."
Zionis totok mengelilingi Trump
Ini kenyataan dari sosok yang maha mengetahui tentang projek nuklear Iran. Tulsi Gabbard mendapat maklumat dari jaringan risikan yang mengintip apa yang berlaku di Iran.
Kenapa Trump masih enggan menerima laporan dari lembaga risikan sendiri? Jawabnya amat mudah. Pada ketika ini para Zionis totok yang mengelilingi Trump mahu menjerut Amerika untuk menyerang Iran.
Jelas pada ketika ini ada dua garis pendekatan mengenai program nuklear Iran. Satu pandangan dari lembaga risikan yang menafikan Iran memiliki niat untuk membina senjata nuklear. Dan satu lagi yakin Iran akan memiliki senjata nuklear.
Ketika Obama menjadi presiden, dia ditekan oleh Netanyahu agar jangan membuat apa-apa perjanjian dengan Iran.
Agensi berita Reuters pada 17 September 2012 melaporkan: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa Iran akan mencapai ambang mampu membina bom nuklear hanya dalam tempoh enam atau tujuh bulan.
Netanyahu juga mendesak Obama agar menyatakan di mana garis merah yang tidak akan dilintasi oleh Iran. Jika Iran melintasi garis merah ini maka Amerika akan mengambil tindakan ketenteraan. Ini berlaku pada tahun 2012. Tahniah untuk Obama kerana tidak mempedulikan desakan Netanyahu.
Tahun 2025 telinga presiden Amerika ada di hadapan mulut Netanyahu. Pengaruh Netanyahu dan kaum Zionis yang mengelilingi Trump cukup kuat.
Hakikatnya pada ketika ini Trump berdiri di tengah-tengah. Di kanan wujud para pelobi Zionis yang mahu Iran diserang. Di kiri wujud sosok-sosok seperti Tulsi Gabbard yang rasional tidak mahu Amerika terperangkap digunakan oleh Israel untuk menyerang Iran. Di kanan wujud sosok seperti Pete Hegseth, setiausaha pertahanan Trump.
Pete Hegseth, Zionis totok ini menentang penyelesaian dua negara - two states solution. Malah Pete Hegseth meluluskan pengembangan penempatan penjajahan Israel di Tebing Barat.
Hari ini pemerhati politik terus bertanya apakah Iran akan diserang oleh Amerika.
Tidak dapat dinafikan semua yang dilakukan oleh Zionis Israel di Gaza, di Lebanon dan di Syria - semuanya menjurus untuk menjemput agar Amerika di bawah Trump akan menyerang Iran.
Houthi dipersenjatai Iran
Tindak tanduk Netanyahu yang terus melakukan genosid di Gaza adalah sebahagian dari strategi untuk memaksa Amerika masuk ke dalam kancah perang di Timur Tengah.
Pada ketika ini askar Amerika telah sedia berada di Pangkalan Udara Sultan di Arab Saudi. Amerika juga menempatkan dua kapal perang USS Harry S Truman dan USS Carl Vinson di Laut Merah.
Apabila Netanyahu menyerang Gaza maka Houthi di Yaman juga akan terus menyerang Israel. Umum mengetahui bahawa Houthi dipersenjatai oleh Iran.
Hakikatnya Houthi mengawal perjalanan kapal di Laut Merah. Lebih dari 100 kapal kontena dialihkan ke sekitar Afrika dan bukannya menggunakan Terusan Suez. Malah ada kapal kontena yang berkait dengan Israel telah dibajak dan diletupkan.
Untuk Netanyahu, semua yang berlaku ini adalah projek mengotek-otek Amerika melalui Houthi. Dari bulan Mac ke Mei 2025 Amerika menyerang Houthi. Mengikut laporan rasmi kerajaan Yaman, seramai 125 warga terkorban. Amerika mengebom Yaman melalui pengekalan kapal perang di Laut Merah.
Netanyahu mahu Amerika akan masuk menyerang Iran kerana Iran adalah pembekal senjata Houthi. Tanpa Iran, Houthi tidak mungkin berjaya menembak peluru berpandu ke Tel Aviv hingga menutup lapangan terbang Ben Gurion - lapangan terbang utama Israel.
Foreign Policy - majalah paling berpengaruh di Amerika - menulis pada 2 Jun 2025 tentang kebuntuan perbincangan nuklear Iran. Tulisan ini keluar ketika perbincangan antara Amerika dan Iran berjalan di Oman.
Foreign Policy menulis: Sama ada Tehran bersetuju untuk mengekang program nuklearnya, atau Amerika Syarikat akan menyerangnya. Presiden Donald Trump terus memberi amaran tentang akibat ganas jika Iran menolak perjanjian, dengan mendakwa bahawa hanya dua alternatif wujud untuk membongkar kemudahan nuklear Iran - "letupkannya dengan baik atau letupkannya dengan kejam."
Jelas kelihatan jarum Zionis berjaya mempengaruhi Trump. Kenyataan Trump untuk meletupkan makmal nuklear Iran pasti muzik merdu didengar oleh Netanyahu dan kaum Zionis di Amerika.
Apakah muzik merdu ini akan meledak?
Harus diakui untuk menyerang Iran bukan semudah membeli pisang di pasar Chow Kit. Masih ada juga sosok-sosok yang mengelilingi Trump yang sedar dan mengetahui akan kekuatan bala tentera Iran.
"Program pembangunan senjata nuklear Iran adalah maju, dan Iran memiliki senjata peluru berpandu balistik yang semakin meningkat yang mampu menghantar hulu peledak nuklear pada jarak jauh," kata laporan agensi perisikan domestik Austria.
Ben Gurion meletup
Jangan kita lupa pada 4 Mei 2025 yang lalu Houthi menggunakan peluru berpandu buatan Iran. Ini adalah peluru berpandu terbaru yang menembusi Iron Dome - Perisai Besi - benteng pertahanan Israel dari peluru berpandu. Lapangan terbang Ben Gurion meletup.
Senjata baru buatan Iran yang digunakan oleh Houthi ini diberi nama Ghassem Basir. Ini adalah peluru berpandu balistik propelan padu mempunyai kuasa jarak jauh untuk menyerang sekurang-kurangnya 1,200 kilometer.
Pada 5 Mei sehari sesudah Houthi berjaya meletupkan Ben Gurion, negara-negara Barat menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan peluru berpandu Tehran, menuduhnya mengganggu kestabilan Timur Tengah.
Justeru pada ketika ini walaupun Trump telah membuat ugutan tapi hakikatnya Iran juga sedang bersedia. Jika Iran diserang oleh Amerika yang menjadi sasaran Iran bukan New York, bukan Chicago tetapi Tel Aviv.
Netanyahu wajib berfikir berkali-kali sebelum Iran diserang. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
