KOLUM | Kewujudan pemain warisan Malaysia di Eropah mungkin mudah difahami, apatah lagi dengan latar sejarah penjajahan yang menghubungkan benua itu dengan tanah air kita.
Tetapi di mana pula logiknya ada pemain berdarah Malaysia di Argentina dan Brazil?
Soalan ini bukan sahaja membuka ruang kepada perbincangan bola sepak semata-mata, bahkan menyentuh sejarah diaspora, identiti dan penyebaran warisan Malaysia ke seluruh dunia.
Dalam kebangkitan semula Harimau Malaya, tumpuan kini bukan lagi sekadar kepada pemain naturalisasi, tetapi pemburuan pemain warisan – satu sumber kekuatan yang lebih dekat di hati rakyat di negara ini.
Dalam perkembangan terbaru, nama seperti Facundo Garcés, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado (Argentina), João Figueiredo (Brazil) dan Jon Irazabal (Sepanyol) mula mengisi senarai pemain skuad kebangsaan.
Malaysia pernah menggunakan strategi naturalisasi - melalui pemberian kewarganegaraan kepada pemain asing tanpa pertalian darah - untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.
Melaluinya kita kenal nama seperti Mohamadou Sumareh (Gambia), Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Guilherme de Paula (Brazil) sebagai pelopor.
Berbeza daripada pemain naturalisasi yang datang, menetap dan melalui proses pemastautin selama lima tahun untuk diberi taraf kerakyatan, pemain warisan memiliki akar Malaysia melalui ibu, bapa, datuk atau nenek mereka.
Simbol diaspora negara
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengiktiraf pemain warisan sebagai aset sah dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang giat menjejaki kumpulan pemain terbabit di seluruh dunia.
Kehadiran mereka bukan sekadar menyumbang dari segi teknikal dan fizikal. Mereka membawa bersama pengalaman beraksi di liga elit, kemahiran taktikal dan tahap profesionalisme tinggi.
Dalam konteks bola sepak Malaysia yang sedang membina semula maruahnya di rantau Asia, pemain seperti itu menjadi katalis kepada peningkatan mutu permainan dan daya saing antarabangsa.
Lebih daripada itu, mereka mencetuskan persoalan: bagaimana kita mendefinisikan identiti Malaysia dalam sukan moden?
Mereka ialah simbol diaspora Malaysia. Mereka merupakan anak-anak yang mungkin lahir di luar negara tetapi dengan bersahaja masih membawa nama Malaysia dalam hati mereka.
Konsep diaspora ini bukan baru. Walaupun naratif sejarah sering menonjolkan kehadiran pedagang asing ke alam Melayu, hakikatnya kerabat diraja dan pembesar Melayu juga pernah berpindah serta membina komuniti di luar wilayah asal, sama ada kerana peperangan, perdagangan, perkahwinan diplomatik atau peluasan pengaruh.

Pergerakan ini - sejak zaman kesultanan Melayu - mewujudkan rangkaian hubungan antara negeri serantau yang kadangkala meninggalkan jejak keturunan hingga ke generasi hari ini.
Kemudian sejak abad ke-19 sehingga era moden, penghijrahan rakyat tempatan ke luar negara - sama ada sebagai pelaut, buruh, pelajar, ahli akademik, pekerja mahir mahupun penjawat diplomatik - turut menyumbang kepada pembentukan komuniti berdarah Malaysia di benua lain.
Walaupun jumlahnya kecil, kesannya signifikan apabila generasi kedua atau ketiga mereka mula muncul di pentas antarabangsa, termasuk dalam arena bola sepak yang tidak lagi terikat kepada sempadan geografi.
Perkukuh ekosistem bola sepak
Kewujudan pemain warisan di negara-negara seperti Argentina, Brazil dan Sepanyol bukan sekadar kebetulan, tetapi hasil daripada sejarah panjang pergerakan rakyat Malaysia ke serata dunia, membina kehidupan, keluarga dan akhirnya melahirkan warisan yang kini kembali menabur bakti kepada tanah asal leluhur mereka.
Pemain warisan yang berkualiti akan menjadikan Harimau Malaya lebih kompetitif. Kejayaan di pentas antarabangsa pula akan menarik minat kanak-kanak dan remaja secara organik untuk menyertai bola sepak.
Ini secara langsung mengembangkan kolam bakat akar umbi negara dan seterusnya memperkukuhkan ekosistem bola sepak tanah air secara menyeluruh. Semua ini bermula dengan langkah pertama: membina kejayaan yang boleh membakar semangat generasi baru.
Ramai menyangka bola sepak sukan pertama yang membuka ruang naturalisasi. Sebenarnya tidak. Pada Sukan Komanwel 1998, Malaysia pernah meneutralisasikan Hidayat Hamidon dari Indonesia untuk acara angkat berat, Yuan Yufang (China, jalan kaki) dan Irina Maharani (Ukraine, menembak) untuk tampil lebih kompetitif.

Namun kerana tiada kesinambungan pembangunan akar umbi, ia menjadi usaha jangka pendek semata-mata.
Dalam bola sepak hari ini, sekurang-kurangnya terdapat struktur akar umbi yang lebih kukuh. Contohnya Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) di peringkat nasional serta pembangunan elit di Johor dan Selangor.
Ia menerbitkan harapan agar kehadiran pemain warisan tidak menjadi projek singkat, tetapi dimasukkan dalam pelan pembangunan yang menyeluruh.
Jika strategi ini digerakkan dengan baik, ia boleh mencetuskan apa yang digelar oleh akhbar British, The Guardian, sebagai “a virtuous cycle of forward progress” selepas prestasi mengecewakan skuad berbasikal Great Britain dalam kejohanan Olimpik Atlanta 1996 apabila mereka hanya memperoleh satu pingat emas.
Perlu diurus dengan bijak
Di bawah kepimpinan Dave Brailsford, pendekatan marginal gains diperkenalkan, menekankan peningkatan kecil dalam pelbagai aspek latihan dan persediaan.
Pelaburan ditumpukan pada sistem akar umbi yang kukuh sehingga mencetuskan gelombang minat, melahirkan lebih ramai pelumba muda.
Hasilnya, pasukan berbasikal Great Britain mencapai kejayaan luar biasa semasa Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.
Ia juga menjadikan negara tersebut kuasa besar dalam sukan berbasikal sehingga hari ini.
Oleh yang demikian, strategi pemain warisan bukanlah jalan pintas. Mereka bukan alasan untuk mengabaikan pembangunan bakat tempatan.
Sebaliknya, jika diurus dengan bijak, pemain warisan boleh menjadi jambatan budaya bagi membawa nilai dwibahasa, kefahaman silang budaya dan potensi sebagai duta tidak rasmi Malaysia di arena antarabangsa.
Namun, mereka juga perlu memahami dan menghormati nilai kebangsaan termasuk bahasa Melayu dan prinsip Rukun Negara.
Dengan perancangan rapi, kepelbagaian ini boleh memperkaya identiti negara dan memperkukuh ekosistem bola sepak secara menyeluruh.
Naturalisasi pernah menjadi eksperimen. Pemain warisan adalah kesinambungan. Tapi pada akhirnya, kejayaan bukan soal siapa yang lahir di mana.
Ia soal siapa yang sanggup mencurah bakti dan siapa yang kita beri peluang untuk menjadi sebahagian daripada kisah besar Harimau Malaya.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.