KOLUM | Bagi sesetengah orang, prinsip itu terbina daripada latar keluarga, persekitaran, pendidikan dan pengalaman hidup. Ada yang dihimpit kesusahan atau diasuh dalam nilai yang keras dan tegas sejak kecil.
Maka apabila seseorang memegang prinsip yang mungkin berbeza daripada arus semasa, bukan bermakna dia mahu bermusuh, tetapi kerana dia tidak mampu berpura-pura menyokong sesuatu yang asing bagi dirinya.
Malangnya, dalam dunia hari ini, prinsip peribadi kadangkala tidak lagi diraikan. Bahkan, ada ketikanya ia dihukum.
Nemanja Matic, pemain bola sepak kelab Lyon dalam Ligue 1 Perancis adalah mangsa kepada kecelaruan ini.
Di hadapan jutaan penonton di stadium dan kaca televisyen, dia dipaksa untuk menjadi duta kepada satu kempen yang bukan berkenaan bola sepak, tetapi kononnya berkaitan “hak asasi manusia”.
Pada bahagian lengan jersi pasukannya, terpapar imej ‘pelangi’ yang kononnya simbol antihomofobia. Namun, Matic memilih untuk menutupnya. Sebagai hukuman, dia digantung dua perlawanan oleh Ligue de Football Professionnel (LFP).
Adakah ini hukuman yang adil? Bukankah ini satu bentuk pemaksaan nilai yang mencemarkan industri dan lapangan sukan?
Matic bukan dilahirkan di akademi elit atau kawasan yang popular dengan bola sepak.
Ditolak kelab negara sendiri
Dia dibesarkan di sebuah kampung kecil bernama Vrelo di Serbia ketika negara itu masih bergolak akibat konflik Balkan.
Membesar dengan mimpi menjadi pemain bola sepak profesional, setiap hari dia berlatih di padang terbuka sambil bermandi hujan, menahan luka dan ejekan.
Namun dia tekal berlatih dengan berbekalkan tekad untuk mencipta nama dan berjaya.
Sejak kecil, Matic diasuh oleh ayahnya sendiri, Dragan Matic - seorang jurulatih yang keras lagi tegas. Dia berlatih tanpa mengenal cuaca, berjalan berbatu-batu ke padang hanya untuk menimba pengalaman dan membentuk karakter.
Pernah ditolak oleh kelab besar di negaranya sendiri seperti Partizan dan Red Star Belgrade, tetapi ia tidak menjadi sebab untuk Matic menyerah.
Dari liga bawahan Serbia, dia berhijrah ke Slovakia, mengasah bakat di Košice sebelum berjaya menarik minat kelab ternama seperti Chelsea, Benfica dan Manchester United.

Atas segala pencapaiannya, Matic kini menjadi antara pemain tengah paling dihormati di Eropah. Perjalanan hidupnya bukan semata-mata tentang bola sepak, tapi juga tentang ketabahan dan harga diri.
Apabila Matic memilih untuk tidak menyertai sesuatu kempen sosial, ia bukanlah kerana dia benci, tetapi atas dasar prinsip. Kerana itu juga dia berdepan dengan cercaan.
Apabila tidak mahu memakai simbol yang tidak selari dengan jiwanya, Matic dianggap melakukan dosa dan mesti dihukum.
Ligue 1 merupakan satu-satunya liga utama Eropah yang secara konsisten menghukum pemain yang enggan menyertai kempen ‘mesra’ LGBTQ.
Matic bukanlah ‘mangsa’ pertama. Sebelum ini, Mohamed Camara (Monaco) digantung empat perlawanan kerana menutup logo pelangi dan enggan bergambar dalam kempen berkenaan.
Mostafa Mohamed (Nantes) pula didenda kerana enggan bermain dalam perlawanan Pride Week.
Hormat kepada diri sendiri
Kempen antihomofobia sering dibentangkan atas nama hak asasi manusia. Mereka mahu hidup bebas, tanpa diskriminasi, tanpa kebencian. Itu hak mereka.
Tapi bagaimana pula dengan hak orang yang tidak mahu menyokong kempen tersebut kerana pegangan agama, budaya atau prinsip moral?
Apabila seseorang seperti Matic dihukum kerana tidak mahu memakai simbol tertentu, kita harus bertanya: apakah kita benar-benar meraikan kepelbagaian, atau sebenarnya kita hanya menerima perbezaan jika ia selari dengan sesuatu arus pemikiran saja?
Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Perkara 18 dengan jelas menyebut bahawa setiap individu berhak kepada kebebasan berfikir, hati nurani dan agama - termasuk kebebasan untuk menyatakan dan mengamalkan kepercayaan masing-masing secara terbuka.
Justeru bukankah hukuman ke atas Matic itu sendiri bertentangan dengan semangat hak asasi yang cuba ditegakkan oleh kempen itu sendiri?
Seperti kata Matic sendiri, “Saya percaya kepada rasa hormat dan saling menghormati - rasa hormat yang kita berikan kepada orang lain, tetapi juga rasa hormat yang perlu kita berikan kepada diri sendiri dan kepercayaan kita. Bagi saya, terdapat nilai yang berakar kuat dalam latar belakang dan pegangan saya yang menjadikan penyertaan saya dalam inisiatif (kempen antihomofobia) ini sukar.”

Pendapat itu mewakili pendirian ramai pemain yang enggan menyertai kempen tersebut bukan kerana benci dan bukan juga tentang diskriminasi, tetapi bersandarkan kepada prinsip.
Dalam dunia yang benar-benar bebas, seseorang seharusnya boleh berkata, “Saya hormat anda sebagai manusia, tetapi saya tidak boleh menyokong gaya hidup anda.”
Apa yang sedang berlaku dalam bola sepak - dan dalam masyarakat secara am - bukan sekadar kempen kesedaran. Ia semakin menyerupai suatu bentuk pemaksaan nilai.
Ia bukan lagi tentang kebebasan memilih, tetapi tentang mewajibkan penerimaan. Jika enggan, anda akan dilabel, disingkir atau dihukum.
Sama seperti dalam dunia pendidikan, media, bahkan undang-undang, masyarakat kini disorong untuk menerima satu set nilai liberal atas nama kemanusiaan.
Tapi dalam proses itu, hak bersuara dan beragama pihak yang berbeza semakin diketepikan.
Tidak mencaci sesiapa
Sebagai masyarakat yang berprinsip dan beragama, kita tidak perlu bermusuh secara melulu. Tapi kita juga tidak boleh berdiam diri bila prinsip dicabar. Jalan tengah yang bijaksana ialah dengan menyuarakan pendirian secara berhikmah.
Sebagai contoh: "Saya tidak membenci sesiapa. Tapi saya juga tidak mahu berpura-pura menyokong sesuatu yang bertentangan dengan iman saya. Saya boleh hormat anda sebagai manusia tanpa perlu tunduk kepada nilai yang saya tidak percaya."
Itu yang sepatutnya dan sewajarnya menjadi paksi kepada “hak asasi manusia”.
Matic bukanlah penjenayah. Dia tidak mencaci sesiapa, atau menjeritkan slogan kebencian. Dia hanya mahu bermain bola sepak tanpa dipaksa menjadi jurucakap kepada agenda yang dia tidak percaya.
Jika itu pun tidak dibenarkan dalam dunia yang kononnya bebas, maka dunia ini sebenarnya sudah hilang makna “bebas” itu sendiri.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
