Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Dunia kian berada di ambang perubahan besar dalam lanskap kepimpinan global. Cabaran kemanusiaan seperti krisis iklim, peperangan, kemiskinan, dan ketidakadilan sosial memerlukan pendekatan kepimpinan yang lebih inklusif, adil dan berperikemanusiaan.

Dalam kerangka ini, peranan wanita dan kepimpinan tidak boleh terus dipinggirkan, apalagi diabaikan. Penglibatan wanita bukan sekadar soal keadilan gender, tetapi tuntutan keilmuan, akhlak, dan maqasid syariah untuk memakmurkan bumi Allah ini.

Al-Quran memberi gambaran positif terhadap watak-watak wanita yang memimpin dengan penuh bijaksana. Antara tokoh terawal yang diangkat ialah Ratu Balqis, pemerintah kerajaan Saba’, yang diceritakan dalam Surah an-Naml:

"Berkata (Balqis): Wahai pembesar-pembesar, berilah pendapat kamu kepadaku dalam urusanku; aku tidak pernah memutuskan sesuatu urusan sehingga kamu hadir menyaksikan bersamaku.” (Surah an-Naml: 32)

Balqis digambarkan sebagai pemimpin yang bermusyawarah, berhikmah dan terbuka kepada hujah. Al-Quran tidak mencela kepimpinannya, malah memuji tindakannya yang cermat dalam membuat keputusan.

Selain itu, kisah Asiyah (isteri Firaun) dan Maryam juga menunjukkan kekuatan spiritual dan kepimpinan moral wanita yang menjadi contoh sepanjang zaman. 

Bahkan, Rasulullah SAW juga banyak merujuk dan menerima pandangan daripada wanita seperti Sayyidatina Aisyah RA, yang menjadi panduan utama dalam ilmu hadis dan fiqh selepas kewafatan Baginda..

Sokongan terhadap kepimpinan wanita

Terdapat hadis yang sering disalah fahami berkaitan larangan wanita menjadi pemimpin:

"Tidak akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita." (Riwayat al-Bukhari)

Namun, para ulama seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Sheikh Muhammad al-Ghazali menjelaskan bahawa hadis ini tidak boleh diambil secara literal dan umum kerana ia berkait konteks khusus yang terjadi pada zaman Parsi, di mana pelantikan dilakukan tanpa syura dan merit apalagi kompetansi.

Imam Ibn Hazm, seorang ulama terkemuka Dunia Islam, menyatakan bahawa:

"Tidak ada dalil qat'ie daripada al-Quran atau Sunnah yang melarang wanita memegang jawatan sebagai hakim atau pemimpin selama dia memenuhi syarat keilmuan dan kemampuan."

Pandangan agamawan 

Zainab Al-Ghazali, seorang pejuang wanita Islam dan penggerak Jamaat al-Sayyidat al-Muslimat berkata:

“Wanita muslimah wajib memainkan peranan dalam masyarakat sebagaimana yang dilakukan para sahabiyat. Kita tidak boleh terus menjadi pasif, kerana tanggungjawab dakwah dan pembinaan ummah adalah amanah bersama.”

Dalam pada itu, Dr Yusuf al-Qaradahwi pula telah menegaskan dalam kitab Fiqh al-Awlawiyyat:

“Tidak harus kita menghalang wanita daripada memegang jawatan awam atau politik sekiranya dia memenuhi kriteria kepimpinan dan mendatangkan maslahat umum kepada masyarakat.”

Tidak terkecuali, Imam Hassan Al-Banna dalam Risalah Ta’alim juga menyeru agar sekalian wanita diberi ruang dalam tarbiyah, pendidikan, dan urusan masyarakat, kerana mereka adalah tiang utama dalam membina sesebuah generasi.

Masih jauh dari sasaran

Menurut laporan Inter-Parliamentary Union (IPU) (2024), hanya sekitar 26.5 peratus kerusi parlimen di seluruh dunia dipegang oleh wanita. Di Malaysia sendiri, jumlah wanita dalam Dewan Rakyat setakat 2023 hanyalah 13.5 peratus dan ukurannya masih jauh daripada sasaran 30 peratus penyertaan wanita yang ditetapkan dalam Dasar Wanita Negara.

Kajian Bank Dunia turut mendapati bahawa negara-negara yang mempunyai penglibatan wanita, tinggi dalam proses membuat keputusan awam lebih cenderung mencapai kestabilan sosial, pembahagian yang lebih adil, dan prestasi ekonomi yang mampan.

Fitrah dan rahmat

Wanita dicipta dengan fitrah rahmah, ketelitian dan kebijaksanaan emosi yang tinggi, kualiti yang amat diperlukan dalam kepimpinan moden yang menuntut pendekatan empati, keadilan dan inklusif.

Sebagaimana Firman Allah:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar...” (Surah at-Taubah: 71)

Amat jelas, ayat ini menegaskan bahawa peranan lelaki dan wanita dalam kepemimpinan sosial adalah komplementari dan berkolaboratif, bukan bersaing antara satu sama lain.

Mengapa dunia perlu kepimpinan wanita?

  1. Ketelusan dan amanah

Kajian UN Women (2022) mendapati pemimpin wanita lebih berkemungkinan menolak rasuah dan mengamalkan ketelusan dalam urus tadbir yang dipimpinnya.

  1. Keseimbangan polisi

Kehadiran wanita membantu membentuk dasar yang menyeluruh iaitu tidak hanya dari sudut pembangunan ekonomi, tetapi juga kesejahteraan keluarga, pendidikan, kesihatan dan sosial.

  1. Kepelbagaian Perspektif

Kepimpinan wanita membawa kepelbagaian sudut pandang dalam membuat keputusan, menjadikan dasar lebih berkesan untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Cabaran dan tanggapan salah

Antara cabaran besar di mana-mana negara dalam mengangkat kepimpinan wanita ialah:

  1. Patriarki budaya

Wanita dilihat sekadar pelengkap lelaki, bukan pemimpin sebenar.

  1. Tafsir konservatif agama

Beberapa golongan menyalahgunakan tafsir, nas agama, dan menggunakannya untuk menafikan hak wanita.

  1. Kurangnya peluang dan ruang latihan politik untuk wanita

Ini amat jelas, terutamanya dalam parti politik dan institusi awam.

Tentunya, segala itu boleh diatasi melalui:

  • Pendidikan politik kepada wanita di peringkat awal.

  • Mentoring dan jaringan sokongan, untuk membina wanita sebagai pemimpin.

  • Reformasi institusi, agar lebih mesra wanita dan keluarga.

Kepimpinan berteraskan nilai rabbani

Model negara Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur bukan sekadar laungan. Ia perlu dibina dengan ilmu, kesaksamaan, hikmah, dan penyertaan wanita sebagai pemegang amanah Allah di bumi ini. Firman Allah:

"Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, sama ada lelaki atau perempuan." (Surah Ali-Imran: 195)

Justeru, inilah masanya masyarakat dunia mengubah cara pandang terhadap wanita dalam kepimpinan, bukan lagi ‘boleh atau tidak’, tetapi ‘bagaimana kita memberi ruang’ dengan sesungguhnya. 

Apa yang pasti, kepimpinan wanita yang berasaskan ilmu, iman dan ihsan bakal melakar masa depan dunia yang lebih adil, sejahtera dan berjiwa besar. Bangkitlah wanita mukminah, bimbinglah ummah, dan pimpinlah dunia dengan rahmah.


ATRIZA UMAR felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS