Paling Popular
Terkini

Perang 12 Hari antara Israel dan Iran dihentikan atas arahan Presiden Donald Trump. Tetapi serangan dan pembunuhan terhadap warga Palestin di Gaza tidak dihentikan, malah semakin menggila. Projek genosid - membunuh habis-habisan warga Palestin di Gaza - sedang diteruskan.

Genosid di Gaza dan Perang 12 Hari ini membawa beberapa bentuk pencerahan dan babak-babak sampingan. Awalnya genosid ini membuka mata anak-anak muda, mahasiswa dan pelajar di Amerika dan Eropah.

Pelajar dan mahasiswa dari universiti ternama di Amerika seperti Yale, Columbia atau Harvard keluar ke jalan raya menunjukkan setiakawan dengan Palestin.

Bila pelajar Yale atau Harvard berdemo ia menjadi berita hangat. Nama Palestin kini kembali ke muka depan media Amerika dan antarabangsa. Agenda penjajahan bumi Palestin oleh Zionis Israel menjadi perbualan dunia.

Setelah Perjanjian David (1978) dan Perjanjian Oslo (1993-95), agenda Palestin menjadi senyap hinggalah Hamas menyerang Israel pada subuh 7 Oktober 2023. Hamas membuka kembali agenda Palestin ke muka dunia. Ini kejayaan awal Hamas.

Pada masa yang sama juga kita lihat genosid di Gaza bukan sahaja memanggil anak semua bangsa dan bangsa semua agama untuk mengambil sikap. Kini tidak ada lagi “ek”, tidak ada lagi “ok” dalam hal Palestin.

Palestin memaksa warga dunia menunjukkan sikap. Palestin memberi umat dunia peluang untuk tegak berdiri bersama keadilan dan kemanusiaan atau bersama penjenayah genosid.

Kemanusiaan umat manusia tercabar oleh Gaza dan Palestin.

Membaca dan melihat gerakan anak muda dan mahasiswa di Amerika dan di Eropah berdemo menyokong perjuangan adil Palestin mengembalikan ingatan saya kepada Perang Vietnam tahun 60-an dan awal 70-an.

Ketika Perang Vietnam berjalan, warga kampus di Amerika, United Kingdom, Paris, Berlin, Rom, Tokyo dan Melbourne bangun ke jalan raya. Pelajar dan mahasiswa mengemudi sokongan terhadap perjuangan adil rakyat Vietnam. Kini ia beralih ke Palestin.

Gaza juga membawa babak baru. Kali ini anak-anak muda Yahudi bersama para rabai, terutama di New York sama bangun menentang genosid. Penganut Yahudi yang turun berdemo ini mahu dunia mengetahui bahawa ada perbezaan hakiki antara agama Yahudi dengan fahaman Zionis.

Penentangan agamawan Yahudi

Mereka tidak mahu kesucian agama Yahudi disabitkan dengan pembunuhan, penyeksaan dan kemusnahan yang sedang dilakukan oleh bala tentera Israel di Gaza.

Kemunculan penganut dan agamawan Yahudi yang menentang Israel dan Zionis ini telah membuka mata dunia. Ini pencerahan yang memperkuatkan lagi hujah bahawa Palestin itu adalah bumi yang dijajah.

Tidak semua Yahudi Zionis. Tidak semua Zionis Yahudi.

Di Eropah, Gaza membuka topeng demokrasi dan hak asasi manusia para politikus. Kini pemimpin politik di UK, Perancis atau Jerman dipaksa oleh rakyat untuk memilih: berdiri bersama keadilan dan kemanusiaan atau menyokong jenayah genosid.

Politikus Jerman masih terperangkap dengan rasa bersalah kerana membantai Yahudi pada zaman Adolf Hitler. Justeru Canselor Friedrich Merz menutup mata dari melihat apa yang dilakukan oleh Benjamin Netanyahu terhadap warga Palestin, sama seperti apa yang dilakukan oleh Hitler terhadap Yahudi.

Di UK, Perdana Menteri Keir Starmer mendapat tekanan kuat dari rakyat. Penyokong dan pengundi parti Buruh yang berkuasa hari ini mahu UK mengambil sikap lebih tegas terhadap apa yang berlaku di Gaza.

Rakyat UK telah turun berkali-kali ke jalan raya untuk memberi sokongan kepada Palestin dan memberi tekanan kepada kerajaan. Jumlahnya bukan kecil anak. Ada demonstrasi yang hampir mencecah satu juta. Satu juta warga berdemo di jalan raya.

PM Starmer melihat ombak besar di jalan raya pasti akan memukul peti undi. Justeru Starmer membuat sandiwara cerdik dengan membatalkan beberapa penjualan senjata kepada Israel.

Sandiwara cerdik ini tidak meredakan kritikan dan tuduhan bahawa UK terlibat sama dalam jenayah genosid di Gaza. Lalu Starmer menambah babak sandiwara dengan mengeluarkan sekatan terhadap dua menteri Israel termasuk Ben-Gvir - menteri dalam negeri - yang mahu membunuh semua warga Arab Palestin.

Sandiwara ini juga tidak meredakan kemarahan warga UK terhadap apa yang berlaku di Gaza. Malah sokongan terhadap Palestin makin melonjak.

Apa yang amat menarik ialah perubahan sikap generasi muda di Eropah terutama di Jerman. Mereka tidak lagi boleh diperas ugut dengan cerita Holocaust. Mereka tidak lagi merasa bersalah dari apa yang pernah dilakukan oleh Hitler terhadap Yahudi.

Di Amerika cerita Holocaust, anti-Semit dan genosid Yahudi ini telah tidak menimbulkan apa-apa reaksi. Ini satu perkembangan baru yang pasti membawa perubahan besar di Amerika dan di Eropah dalam beberapa dekad yang akan datang.

Holocaust jadi sejarah

Anak-anak muda dan mahasiswa yang berdemo anti Israel dan pro-Palestin ini pasti satu masa nanti akan mengendalikan garis politik negara.

Generasi yang merasa bersalah terhadap kejahatan Hitler telah pupus. Kisah-kisah Holocaust dan kem-kem tahanan Yahudi di Poland kini hanya menjadi bahan sejarah.

Apa yang berlalu di Gaza hari ini menampakkan jurang generasi. Jurang ini amat jelas sedang berlaku di Amerika. Dilihat dengan jelas pengaruh kumpulan Zionis masih kuat ampuh dan tersusun dalam badan politik generasi tua di Amerika.

Perang 12 hari antara Israel dengan Iran membuktikan kepada dunia bahawa badan politik Amerika masih lagi dalam poket Israel. Malah ada pemerhati politik menyatakan bahawa Presiden Donald Trump kini dalam poket Netanyahu.

Siapa dalam poket siapa tidak penting. Apa yang penting ialah pengaruh kaum Zionis dalam badan politik Amerika. Dunia kini mengetahui bahawa mustahil akan ada presiden Amerika yang berani mengkritik Israel.

Pengaruh Zionis dalam badan politik Amerika dilihat cukup ampuh dan tidak berganjak.

Kali terakhir presiden Amerika bersuara menentang keinginan Israel memiliki bom nuklear ialah pada tahun 1962 oleh Presiden John F Kennedy (JFK). Lihat apa yang terjadi kepada JFK.

Berpuluh tahun Netanyahu merancang untuk menjerut Amerika agar menyerang Iran. Mesir, Iraq, Syria, Libya dan PLO telah berjaya dimandulkan. Negara Arab seperti Saudi, Maghribi, Tunisia, Algeria dan Negara Teluk semua telah lama mandul. Mereka wujud kerana restu Amerika.

Negara yang masih tegak berdiri, bersuara, bersenjata dan bersedia menghadapi Zionis Israel hanya Iran. Justeru Iran wajib dimandulkan.

Dalam hitungan politik Netanyahu, jika Iran berjaya dimandulkan maka ini akan menjamin keselamatan Israel. Selagi Republik Islam Iran wujud maka keselamatan Israel tidak terjamin.

Justeru Iran diserang pada Jumaat 13 Jun 2025. Sebelum Iran diserang, pasti telah wujud lampu hijau dari Amerika. Pasti telah ada perancangan dan persetujuan.

Laban politik naratif untuk memukau dunia ialah Iran akan memiliki senjata nuklear. Media dunia seirama dan serentak mendendangkan lagu nuklear Iran. Ini sama seperti apa yang berlaku di Iraq pada tahun 2003 pada zaman Saddam Hussein.

Justeru semua fasiliti nuklear Iran wajib dimusnahkan. Justeru Fordo, Nantaz dan Isfahan menjadi sasaran utama.

Dunia hanya melihat

Bila Trump mengarahkan pesawat B2 yang membawa bom Bunker Buster seberat 13.6 tan atau 13,600 kilo ini, maka dunia hanya melihat. Kelakuan dan jenayah yang dilakukan oleh Amerika dan Israel ini hanya menjadi berita. Warga dunia hanya melihat apa kesudahan.

Tetapi perlawanan dari Iran menentang Israel memeranjatkan dunia. Keupayaan Iran bertahan dan menyerang balas Israel hingga ke hari ini masih menjadi perbualan dunia.

Perang 12 hari ini bukan hanya membuka mata dunia untuk melihat keupayaan persenjataan Iran. Malah perang 12 hari gagal memandulkan Iran. Malah politik dunia telah berubah.

Ke mana arah perubahan politik dunia selepas perang 12 hari? Apakah pengaruh Zionis telah luntur? Sila tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS