Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kisah seorang rabbi New York dan Mein Kampf

KOLUM | Baru-baru ini saya tertonton sebuah podcast seorang rabbi, iaitu agamawan Yahudi yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat. Ceramah Yaron Reuven mengenai agama dan disasarkan kepada orang Yahudi yang bertutur bahasa Inggeris. Ekoran itu saya sering mengikuti podcastnya dan mendalami pengetahuan saya mengenai agama Yahudi.

Dalam bahasa Melayu, Yahudi bukan saja merujuk pada bangsa, agama tetapi perangai. Dalam bahasa Inggeris, bangsa Yahudi dipanggil Jews dan agama Yahudi adalah Judaism. Sementara perangai Yahudi seperti yang digambarkan dalam Al-Quran adalah sikap tidak baik yang boleh dimiliki oleh mana-mana orang, tidak semestinya orang Yahudi.

Bahasa yang digunakan oleh orang Yahudi juga pelbagai. Di Israel, mereka menggunakan bahasa Ibrani atau Hebrew. Orang Yahudi asal Eropah yang disebut Ashkenazi bertutur bahasa Yiddish. Sementara orang Yahudi yang asalnya tinggal di negara Arab seperti Maghribi, Syria dan Iraq bertutur bahasa Arab. Termasuklah orang Yahudi yang asal di Palestin. Komuniti mereka dipanggil Yahudi Arab. 

Sementara Israel pula adalah sebuah Negara Yahudi (Jewish State). Maksudnya ia adalah sebuah negara beridentitikan Yahudi. Namun begitu, ia adalah sebuah negara moden sekular dan demokratik, yang memisahkan agama dengan pentadbiran kerajaan. Ia bukan sebuah negara agama Yahudi. Malah banyak pemimpin politiknya, baik dari Parti Likud mahupun Parti Buruh, adalah atheis.

Tetapi dalam parti-parti agama tentulah anggota-anggotanya merupakan penganut agama Yahudi. Seperti negara moden kontemporari lain, Israel mempunyai warganegara yang bukan bangsa Yahudi iaitu Arab dan beragama bukan Yahudi seperti Islam, Kristian, Druze dan Baha’i.

Cumanya tidak seperti negara moden lain, Israel adalah negara Zionis dan rasis. Apa yang dimaksudkan dengan negara Zionis adalah Israel diasaskan atas fahaman politik bahawa orang Yahudi berhak mempunyai tanah airnya sendiri. Sebagai negara rasis Yahudi pula ia merupakan negara yang meletakkan orang Yahudi sebagai istimewa dengan melakukan diskriminasi terhadap kaum bukan Yahudi.

Satu lagi ciri-ciri penting Ialah sifat Israel sebagai “koloni pemukiman” atau “settlers colony.“  Walaupun sebuah negara berdaulat, Israel adalah penerusan penjajahan Barat yang menempatkan orang Yahudi dari Eropah dan Amerika untuk membina penempatan di atas tanah-tanah milik orang Palestin secara haram.

Konsep negara moden Israel ini berbeza dengan istilah Israel dalam kitab-kitab suci, baik dalam Talmud, Injil atau Al-Quran. Ia tiada kaitan. Dalam kitab-kitab suci itu, Israel merujuk kepada satu bangsa zaman para nabi yang kisah-kisah mereka menjadi pengajaran kepada penganut agama Yahudi, Kristian dan Islam.

Namun begitu, ada Zionis Kristian dari kalangan mazhab Evangelikal dan Zionis Yahudi yang melakukan manipulasi fakta sejarah untuk menyamakan konsep Israel menurut kitab suci dengan negara Israel yang ada pada hari ini.

Satu lagi konsep penting ialah anti-semitisme. Dalam bahasa Melayu, selalunya diterjemahkan kepada anti-Yahudi. Tetapi itu tidak tepat. Lebih baik menggunakan istilah anti-semitisme. Istilah anti-semitisme dipopularkan oleh wartawan Jerman, Wilhelm Marr pada tahun 1878 untuk menggambarkan suatu bentuk permusuhan terhadap orang Yahudi; membezakannya dengan jenis permusuhan yang lain. 

Kalau anti-Yahudi, ia merupakan sikap seseorang menentang orang Yahudi seperti mana ada orang yang menentang bangsa-bangsa lain seperti anti-China, anti-Jepun, anti-British dan lain-lain. Tetapi anti-semitisme merupakan satu fahaman budaya, sosial dan politik yang mempunyai sejarahnya tersendiri di kalangan penganut agama Kristian dan mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Jerman Nazi yang melakukan pembunuhan Holocaust.

Dalam tradisi Islam, tidak berlaku anti-semitisme. Walau ada disebut mengenai bangsa Yahudi secara negatif dan pengalaman Nabi Muhammad dalam hubungannya dengan Yahudi Madinah, ada juga perkara positif mengenai Yahudi seperti terdapat banyaknya nabi diturunkan di kalangan mereka.

Ada juga kaum Yahudi yang bersama dengan orang Islam dalam kehidupan bernegara. Orang Yahudi mendapat tempat dalam pentadbiran dan kehidupan kekhalifahan Umayyah di Andalusia, Abbasiyah di Baghdad dan Uthmaniyah di Istanbul.

Maka selepas Perang Dunia Kedua, rakyat Palestin yang pernah diperintah oleh Uthmaniyah menerima pelarian Yahudi dari Eropah tanpa ada sikap anti-semitisme. Mereka secara naif tidak menyedari bahawa gerakan Zionis sedang mengambil alih negara mereka untuk dijadikan Israel.

Penulis Yahudi, Daniel Goldhagen dalam bukunya The Devil That Never Dies, the Rise and Threat of Global Antisemitism terbitan 2013 mengeluh bahawa pada abad ke-21, sentimen anti-semitisme telah meningkat kembali dan ia disumbangkan oleh umat Islam melalui gerakan radikal.

Dia langsung tidak mengambil kira anti-semitisme di kalangan sebahagian daripada umat Islam moden adalah berpunca daripada penindasan Israel terhadap Palestin. Sebenarnya ia bukan antisemitisme, tetapi anti-Zionis dan anti-Israel.

Pihak penyokong Israel seringkali menuduh orang yang mengkritik Israel sebagai anti-semitik. Tetapi sejak genosid di Gaza, banyak pihak Barat termasuk orang Yahudi sendiri menyatakan bahawa anti-Israel bukan bererti anti-semitik. Malah banyak juga orang Yahudi di Amerika dan Eropah mahu membezakan antara bangsa Yahudi dan negara Israel.

Mereka menegaskan bahawa tanah air individu Yahudi tidak semestinya Israel, dan Israel pula tidak mewakili semua orang Yahudi. Mereka menentang genosid di Gaza dan menolak Zionisme.

Orang Yahudi, seperti banyak kaum-kaum minoriti di dunia, tidak mempunyai hak untuk memiliki negara sendiri. Dalam amalan negara bangsa moden, semua bangsa perlu berkongsi negara dengan bangsa lain dan hidup secara aman, harmoni dan adil.

Jadi Rabbi Yaron Reuven dalam podcastnya bertanya para audiens: “Adakah anda pernah membaca buku Mein Kampf karya Adolf Hitler?” Tentulah hampir kesemua audiensnya tidak pernah membacanya.

Buku itu dikira diharamkan di Eropah dan dunia Barat. Ia hampir tiada kerana tidak ada penerbit atau penjual buku mahu menjualnya. Ini kerana buku itu adalah karya tertinggi anti-semitisme. Pastinya pertubuhan atau lobi Yahudi akan berusaha agar ia tiada dalam pasaran.

“Bagaimanakah kita hendak mengetahui sebab-sebab orang lain membenci kita kalau kita tidak membaca Mein Kampf,” katanya sambil menunjukkan buku itu, yang baru habis dibacanya. Rabbi itu membelinya pun secara dalam talian dan ia adalah cetakan baru.

Saya tersentak dengan kata-katanya itu. Saya sendiri tidak pernah membacanya walaupun di Malaysia ia mudah didapati di kedai-kedai buku agama Islam, terutama yang dikendalikan oleh penjual buku India Muslim.

Saya percaya sentimen anti-Yahudi di kalangan orang Islam ekoran apa yang berlaku di Palestin membawa kepada adanya buku Mein Kampf dijual di negara-negara Islam seperti di Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Iran dan lain-lain.

Pernah saya lihat buku Mein Kampf dijual di kedai buku di KLIA. Saya pasti ada pelancong dari Barat terkejut dengan buku itu, yang diletakkan di rak utama. Saya tidak ada keinginan untuk membacanya kerana ia buku rasis dan fasis sedangkan saya mula tahu tentang buku itu sejak tingkatan tiga pada tahun 1974, melalui buku teks sejarah sekolah. Dari buku teks yang sama, saya mengetahui buku Capital karya Karl Marx dan ketika tingkatan lima saya membacanya walaupun saya tidak faham kesemuanya. Bagaimanapun rasa ingin tahu saya tidak sampai ke tahap membaca Mein Kampf.

Rabbi itu menceritakan bahawa pada tahun 1930-an di Jerman, tujuh daripada sembilan akhbar Jerman dimiliki oleh orang Yahudi. Berlin pada masa itu macam Las Vegas, iaitu menjadi pusat perjudian dan maksiat. Rabbi itu berkata di awal pemerintahan Hitler, dia telah menutup pusat-pusat perjudian dan maksiat di Berlin. Sebabnya adalah kesemuanya dimiliki oleh orang Yahudi. Satu lagi langkah yang dia lakukan ialah menghentikan amalan riba kerana kesemua bank-bank dimiliki oleh orang Yahudi. Menurut amalan orang Yahudi, mereka tidak boleh mengenakan riba sesama Yahudi. Riba hanya boleh dikenakan ke atas orang bukan Yahudi.

Menurutnya, orang Yahudi perlu mengetahui mengapa bangsa-bangsa lain marah dan membenci mereka. Ia bukan atas anutan agama semata-mata, tetapi atas perbuatan termasuklah penjajahan terhadap Palestin, genosid, pelupusan etnik dan rampasan tanah di Gaza.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS