Khutbah bukanlah sekadar bicara atas mimbar. Ia adalah denyut nadi komuniti, lidah masjid, dan gema nurani umat.
Dari sudut seorang warga emas yang telah mendengar khutbah di lebih 40 buah negara dan pernah berdiri menyampaikan khutbah sewaktu tahun pertama menuntut di Universiti Waikato, Hamilton, New Zealand, saya merasa ada keperluan mendesak untuk memikirkan semula peranan khutbah dalam masyarakat kita yang menuju era penuaan dan kepintaran buatan (AI) menjelang 2030.
Saya masih mengingati dengan jelas debaran pertama kali berdiri di atas mimbar Masjid Hamilton, menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris kepada jemaah pelbagai bangsa – Melayu, Arab, Kiwi, Maori, India, Pakistan, Fiji, dan mualaf pelbagai latar.
Khutbah saya ketika itu bukan hanya dibina atas ilmu, tetapi atas rasa tanggungjawab untuk membimbing hati, mencelikkan akal, dan membangkitkan kesedaran.
Namun kini, selepas lebih lima dekad hidup dan berkelana, saya kembali ke tanah air sebagai warga emas dan OKU selepas strok. Saya masih setia mendengar khutbah–setiap minggu saya cuba hadir, atau mendengar melalui radio atau YouTube–namun hati saya sering gusar: adakah khutbah masih berdenyut bersama realiti semasa jemaah?
Warisan kenabian
Khutbah adalah warisan Rasulullah yang agung. Baginda tidak membaca teks beku, tidak mengulang ayat-ayat klise tanpa semangat. Khutbah Baginda hidup, segar, sarat makna, disulam dengan nas al-Quran, kisah umat terdahulu, dan cabaran semasa umat Islam di Madinah.
Rasulullah menyampaikan khutbah dengan intonasi yang menggugah, dengan mata yang bersinar dan suara yang menyentuh hati, seolah-olah seorang panglima menyemarakkan semangat tenteranya sebelum ke medan perang.
Khutbah zaman Rasulullah bukan sekadar penyampaian. Ia pengarahan strategik kepada masyarakat, nasihat rohani, dan juga amaran sosial. Ketika berlaku fitnah, Baginda menanganinya di mimbar. Ketika ada golongan meminggirkan zakat, Baginda menegur dari mimbar. Ketika musuh menghampiri, khutbah menjadi medan menyuntik keberanian.
Sayangnya, khutbah kini terpinggir dari semangat kenabian. Dalam banyak negeri, khutbah menjadi teks yang disediakan oleh majlis agama negeri, dibaca sepenuhnya tanpa sentuhan lokal, tanpa kepekaan kawasan, tanpa penghayatan sebenar. Seolah-olah mimbar hanya pentas pengumuman rasmi, bukan tempat pertemuan jiwa dan wahyu.
Ketidaksamaan realiti
Setiap negeri di Malaysia kini mengamalkan sistem khutbah berpusat – satu negeri, satu teks. Rasionalnya, untuk menyatukan mesej, mengawal isi agar selaras dengan dasar negara. Namun, realitinya, masyarakat tidak hidup dalam keseragaman mutlak.
Saya mendengar khutbah di pedalaman yang isinya langsung tidak menyentuh isu tempatan. Sedangkan ketika itu kampung berdepan banjir teruk. Saya juga mendengar khutbah di Petaling Jaya yang bercerita tentang kepentingan menjaga kesihatan, sedangkan masjidnya berdepan masalah anak muda melepak dan tidur. Apakah gunanya khutbah jika tidak menangani masalah sebenar jemaah yang duduk di hadapan mimbar?
Khutbah bukan monolog rasmi. Ia sepatutnya komunikasi dua hala secara rohani, dari khatib kepada hati jemaah. Maka, perlunya sistem khutbah kita disemak semula.
Reformasi khutbah
Saya mencadangkan beberapa pendekatan dalam reformasi khutbah, terutama menjelang separuh kedua tahun 2025 yang sarat dengan perubahan:
(1) Khutbah dua lapis
Majlis agama negeri boleh mengekalkan teks rasmi untuk bahagian pertama khutbah menyentuh isu nasional, keagamaan dan dasar umum. Namun, berilah ruang untuk khatib menyampaikan bahagian kedua yang berkaitan isu lokal – seperti masalah komuniti setempat, isu sosial kawasan, kecurian, ponteng solat Subuh, jenayah siber, dadah atau masalah keruntuhan keluarga. Khatib harus diberi latihan dan panduan, bukan hanya arahan.
(2) Pencerapan AI dan khutbah data
Dalam era AI, kita seharusnya mampu menganalisis data sosial di peringkat daerah. Sistem khutbah boleh diperkasa dengan 'khutbah pintar' yang mengambil kira laporan pihak berkuasa tempatan (PBT), balai polis, klinik kesihatan dan sekolah. Jika kawasan A mempunyai peningkatan masalah bunuh diri, maka khutbah minggu itu harus menumpukan kepada soal pengharapan dan sabar. Ini bukan mustahil, hanya memerlukan keberanian dan kesediaan berubah.
(3) Latihan khatib yang komprehensif
Ramai khatib membaca tanpa semangat, kadang tersasul, kadang terlepas waktu. Sudah tiba masanya kursus latihan khatib tidak hanya bersifat hukum fikah, tetapi melibatkan psikologi komunikasi, retorik dakwah, isu semasa, dan penghayatan budaya. Negara ini semakin tua, suara yang mendidik warga emas dan muda perlu lebih empati dan berkesan.
(4) Khutbah untuk mualaf, pelancong dan jemaah pelbagai bangsa
Saya pernah mendengar khutbah dalam bahasa Inggeris di Cape Town, khutbah berselang bahasa Arab dan Urdu di Dubai, khutbah dalam tiga bahasa di Istanbul. Di Malaysia, bandar seperti Pulau Pinang, Melaka, dan Kuala Lumpur sering dikunjungi pelancong. Mengapa tidak menyediakan khutbah dwibahasa atau risalah ringkas untuk mualaf dan pelawat? Islam itu sejagat, mengapa khutbah kita terlalu lokal dan jumud?
(5) Sentuhan peribadi
Khutbah bukan semata ayat-ayat berat dan istilah akademik. Cerita benar tentang hidup, pengalaman jemaah, dan peristiwa sekeliling jauh lebih menyentuh. Rasulullah pernah menyebut nama-nama sahabat dalam khutbah – menyebut kematian mereka, menyebut jasa mereka. Kita juga perlu khatib yang berani menyebut tentang si mati, si dermawan, si muda yang berubah – biar jemaah merasa khutbah itu hidup.
Antara harapan dan keinsafan
Sebagai warga emas, saya semakin menghitung waktu. Mungkin tidak lama lagi saya akan mendengar khutbah yang terakhir. Namun, sebelum itu tiba, saya ingin sekali melihat mimbar kembali menjadi suara masyarakat. Saya ingin khutbah menjadi ruang mendidik, bukan mematikan. Saya ingin mendengar khutbah yang membuat saya mahu berubah, bukan membuat saya mengantuk.
Saya teringat khutbah di masjid Glasgow, Scotland. Isinya ringkas, penuh hikmah, dan menyentuh isu tekanan hidup dalam cuaca ekstrem. Saya juga terkesan dengan khutbah di masjid tua di San Francisco – tentang kesabaran dan warisan ilmu. Di negara-negara maju, khutbah menjadi jambatan antara zaman, bukan sekadar rutin.
Mimbar sebagai obor
Negara sedang menua. Menjelang 2030, satu daripada lima rakyat Malaysia akan berusia lebih 60 tahun. Warga emas seperti saya perlukan khutbah yang memotivasikan kami untuk terus menyumbang, bukan khutbah yang melabel kami sebagai beban. Golongan muda pula perlu khutbah yang membina idealisme, bukan khutbah yang hanya menakut-nakutkan dengan dosa tanpa jalan keluar.
Teknologi AI dan data raya boleh membantu membina khutbah yang lebih tepat, lebih kontekstual dan lebih menginsafkan. Tetapi segala-galanya perlu bermula dengan keberanian: keberanian untuk berubah, untuk melihat khutbah bukan sebagai pentas pengumuman, tetapi sebagai obor hidayah umat.
Dan saya, seorang warga emas yang pernah berkhutbah di bumi asing, dan kini menadah telinga saban minggu di tanah tumpah darah sendiri, menyeru: bangunkan semula khutbah agar ia kembali seperti di zaman Rasulullah – hidup, pedih, mesra, dan mengubah jiwa.
Kerana dalam khutbah itulah, terpantul nur sebuah umat.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
