Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Pelantikan duta Amerika yang bermasalah

Apabila Presiden Donald Trump melantik Nick Adams sebagai bakal duta besar Amerika Syarikat ke Malaysia dan Dr Anjani Sinha ke Singapura, ia menimbulkan kontroversi dan menjadi bahan tawa di seluruh dunia. Berita dan isu mengenainya tular ke seluruh dunia.

Lebih-lebih lagi video yang menunjukkan Senator Tammy Duckworth menyoal Sinha di Senat berhubung dengan pelantikannya sebagai duta. Ternyata Sinha yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang diplomatik tidak dapat menjawab soalan senator itu dalam proses pengesahan. Beliau tidak tahu-menahu mengenai Singapura dan kelihatannya tidak serius dan tidak layak.

Sinha dari Florida berasal dari India dan merupakan doktor pakar ortopedik dan perubatan sukan. Jelas beliau dilantik kerana merupakan penyokong Trump. Tidak ada salahnya duta negara merupakan lantikan politik. Duta besar mewakili bukan saja negara tetapi ketua negara itu sendiri, iaitu Presiden Trump. Nick Adams belum menjalani proses pengesahan oleh senat.

Ada seorang pengulas Singapura di media sosial memandang sinis terhadap pelantikan Sinha tetapi menyatakan bahawa sekurang-kurang beliau lebih baik daripada bakal duta Amerika ke Malaysia. Sinha adalah seorang profesional iaitu doktor perubatan yang tentunya orang yang dihormati dalam masyarakat.

Tetapi Nick Adams hanyalah seorang pempengaruh dan komentator yang menampilkan tema kelelakian dan menganggap dirinya alpha male atau lelaki utama. Beliau yang tinggal di Florida juga merupakan penulis buku popular mengenai maskuliniti. Dia berkempen untuk Trump dengan hebat dan presiden itu menyukainya.

Tetapi gelagatnya bukankah sesuatu yang dihormati oleh masyarakat, lebih-lebih lagi apabila menyatakan bahawa beliau gemar mengunjungi Hooters, satu rangkaian restoran yang pelayannya berpakaian mendedahkan. Maka orang Amerika pun mengulas bahawa Hooters tidak ada di Malaysia. Tetapi ia ada di Singapura.

Maka ada penganalisis menyatakan bahawa pelantikan kedua-dua duta itu menunjukkan bahawa Amerika, terutama Trump lebih cenderung pada Singapura daripada Malaysia. Walaupun kedua-dua negara adalah sekutu Amerika tetapi Singapura dilayani dengan lebih baik, malah lebih baik berbanding semasa pentadbiran Joe Biden.

Semasa Joe Biden, beliau tidak menghantar duta besar ke Singapura. Diplomat yang ada ialah berjawatan kuasa usaha atau chargé d'affaires, seorang lantikan kerjaya dan bukan politik. Sedangkan terhadap Malaysia, Biden menghantar duta kerjaya. Tetapi isu paling besar ialah kenaikan tarif ke atas Singapura hanyalah 10 peratus berbanding 25 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia.

Tentulah Singapura lebih mempunyai hubungan rapat dengan Amerika berbanding Malaysia. Singapura memberikan kemudahan pangkalan ketenteraan laut pada Amerika. Ditambah pula Singapura mempunyai hubungan lebih rapat dengan Taiwan berbanding hubungan Malaysia dan Taiwan. Tetapi kedudukan paling besar Singapura dengan Barat ialah ia mempunyai kedutaan Israel. Bukan itu saja, ia mempunyai hubungan latihan ketenteraan, ekonomi dan teknologi dengan Israel.

Dilema Singapura dalam isu Gaza

Ada menteri Singapura yang menyatakan sukarnya negara itu menghadapi isu Gaza. Ini kerana di satu pihak, Israel melayan Singapura dan banyak membantunya. Di satu pihak Singapura berada di tengah-tengah rantau yang mempunyai negara-negara pro-Palestin iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Singapura juga mempunyai penduduk Melayu yang pro-Palestin. Walaupun hanya 15 peratus penduduk tetapi orang Melayu adalah salah satu tiga kaum teras republik itu. Maka soal itu juga dibangkitkan oleh pembangkang semasa pilihan raya umum baru-baru ini. Selepas pilihan raya itu, kerajaan Singapura kelihatannya lebih sensitif terhadap isu Gaza. Negara itu ada mengeluarkan kenyataan membantah Israel. Mereka pun ada menghantar bantuan untuk Gaza.

Lagipun Singapura mempunyai komuniti kecil Yahudi. Keberadaan mereka di Singapura sudah lama iaitu sejak British bertapak seperti mana Pulau Pinang juga mempunyai komuniti Yahudi sebelum merdeka.

Warga negara Israel bebas pergi ke Israel seperti mana warga negara Singapura bebas ke Israel. Thailand, Filipina dan Vietnam juga mengiktiraf Israel. Tetapi Vietnam sebagai negara komunis juga mengiktiraf Negara Palestin. Vietnam dikenakan tarif yang rendah oleh Amerika berbanding Malaysia iaitu 20 peratus.

Walaupun Indonesia adalah negara pro-Palestin, ia mempunyai hubungan lebih baik dengan Amerika. Presiden Prabowo Subianto sudah bercakap dengan Trump melalui telefon sejak awal lagi. Menurut Trump, Indonesia mengeksport tembaga pada negaranya dan Amerika hanya mengenakan 19 peratus pada Indonesia. Sementara Indonesia tidak mengenakan sebarang tarif ke atas Amerika.

Bagi Singapura, Amerika tidak patut mengenakan sebarang tarif ke atas Singapura. Malah sepatutnya Singapura mendapat duta yang lebih baik daripada Sinha.

Ada pengulas mengandaikan bahawa sebab tarif Amerika yang dikenakan ke atas Malaysia dinaikkan kepada 25 peratus daripada 24 peratus selepas perundingan kerana Malaysia menjadi negara rakan blok ekonomi Brics, walaupun bukan ahli penuh untuk mendapatkan cadangan alternatif kepada dolar. Trump sudah pun memberi amaran akan mengenakan tindakan ke atas negara-negara Brics. Tetapi Indonesia telah menjadi ahli penuh Brics.

Malaysia malah menguatkan hubungan dengan negara-negara utama Brics iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Malah, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru pulang dari sidang kemuncak Brics minggu lalu sebelum berjumpa dengan Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio, semasa mesyuarat menteri-menteri luar Asean.

Palestin adalah harga mati

Dalam persidangan itu, perdana menteri dengan lantang mengkritik Amerika kerana bukan saja menyekat perdagangan bebas dan menjejaskan kemakmuran negara-negara dunia tetapi malah menjadikan tarif dan ekonomi sebagai senjata. Saya menganggap ucapan itu menunjukkan ketegasan Malaysia melawan gelagat buruk Amerika bawah Trump.

Tetapi bagi Malaysia, waktu rundingan masih ada mengenai tarif iaitu sebelum 1 Ogos. Namun pendirian Malaysia terhadap Palestin adalah harga mati. Malaysia tetap dikenali sebagai negara yang memperjuangkan penubuhan negara Palestin; dari sungai ke laut.

Malaysia lebih pro-Palestin daripada negara-negara Arab Jordan, Mesir, Arab Saudi, Syria, Kuwait, UAE, Bahrain dan Oman. Malah lebih berbanding Turkiye yang masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Ada pemerhati yang melihat bahasa badan Marco Rubio semasa berada di Kuala Lumpur sebagai menunjukkan rasa tidak gembira. Kemarahannya terserlah selepas rundingan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang hanya memakan tidak sampai satu jam. Dengan wajah yang tidak senyum langsung, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaannya. Namun katanya kemungkinan Trump akan datang ke Kuala Lumpur pada sidang kemuncak Asean pada November ini.

Walaupun pada asasnya dasar Trump adalah isolationis iaitu tidak menghiraukan negara luar tetapi Asean adalah rantau penting baginya untuk menghadapi China. Kapal-kapal perang Amerika telah pun bergerak bukan saja menyeberang Lautan Pasifik tetapi juga melalui Selat Melaka untuk menghadapi China kalau-kalau ia akan menakluk Taiwan. Kelihatannya Taiwan lebih penting daripada Ukraine. China pula adalah lebih mencabar daripada Rusia.

Nick Adams menyatakan bahawa beliau sangat teruja untuk datang ke Malaysia sebagai duta. Beliau bersedia untuk mengetahui dan mempelajari mengenai Malaysia.

Tetapi Adams pernah mengeluarkan kenyataan memburukkan Islam hingga beliau dinyatakan sebagai seorang yang Islamofobia. Beliau sebenarnya orang Australia yang berhijrah ke Amerika pada tahun 2013 dan menjadi warga negaranya pada tahun 2021.

Sebahagian orang Malaysia menganggap pelantikan Adams itu sebagai provokasi. Adakah Trump serius? Malaysia boleh saja menolak pelantikan itu. Pakatan Harapan telah meminta kerajaan menolak pelantikan itu.

Tetapi masalahnya, menolak pelantikan Trump bererti menolak Trump. Sedangkan beliau adalah sensitif dan tidak rasional. Malaysia tidaklah mahu menimbulkan kemarahan presiden itu dalam usaha untuk meminta beliau menurunkan tarif.

Selalunya cadangan pelantikan duta dilakukan secara senyap. Apabila negara yang bakal menerima duta itu setuju, maka barulah diumumkan pada dunia. Tetapi Amerika ini lain. Trump umumkan, senat luluskan dan semuanya dihebahkan pada dunia. Jika Malaysia menolak, Trump pun akan tersinggung.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS