KOLUM | Ada satu filem yang saya tonton di saluran HBO beberapa hari lalu. Confirmation arahan Rick Famuyiwa dan tulisan Susannah Grant itu tidak pernah saya tahu kewujudannya.
Rupa-rupanya telah beberapa kali Confirmation diulang siar semenjak kali pertama ditayangkan pada 16 April 2016 di saluran berkenaan.
Apa yang menarik tentang filem Confirmation ialah tentang keterampilannya sebagai sebuah filem didaktik.
Ya, antara aspek yang paling tidak dipandang oleh penerbit stesen TV tempatan ialah berkenaan fungsi filem sebagai panggung pendidikan (educational theatre) yang sudah lama diamalkan oleh industri filem luar.
Filem-filem bermesej selalu disalah anggap sebagai filem poyo yang terlalu ingin mendidik rakyat serta memoralkan masyarakat. Walhal ia tidak semestinya begitu.
Sebagai salah satu cabang seni, filem seharusnya jadi wadah merakam peristiwa penting seperti kemelut isu perlantikan ketua hakim negara yang jadi perdebatan para peguam dan politikus dalam beberapa hari ini.
Isu pergeseran kaum, skandal rasuah atau krisis institusi kehakiman negara mungkin enggan dianggap sebagai sejarah oleh pihak tertentu atas faktor nilai kontroversi dan tahap sensitiviti sesuatu peristiwa yang mungkin dirasakan perlu dikawal oleh sesetengah pihak.
Tapi akhirnya ia hanya akan menyebabkan ramai rakyat kita bersikap regresif akibat tidak terdedah, tidak celik dan tidak terdidik dengan isu sensitif dari peristiwa-peristiwa hitam bertaraf skandal.
Kita nampak seperti selamanya tidak diajak belajar daripada sejarah.
Tidak cukup sensasi
Filem Confirmation yang diterbit dan disiarkan untuk HBO itulah misalnya.
Sungguhpun ia adalah sebuah filem yang mendidik, tapi ia bukanlah sebuah filem didaktik yang konvensional.
Confirmation membuka visualnya dengan penggunaan dialog-dialog jukstaposisi. Melalui dialog-dialog berkenaan, ia meletakkan subjek dan objek dunia kehakiman serta perundangan - yang pada dasarnya jauh dari masyarakat - untuk dekat ke hati dan jiwa rakyat.
Naratif kontroversi sistem kehakiman yang dibina sedikit demi sedikit sehingga menjadi skandal besar di AS itu diadun molek supaya dilihat bakal membawa mudarat terhadap masyarakat.
Malah aksi ketika Ronald Reagen berkata “langkah mayat aku dulu” pada wartawan yang mengacah dengan kenyataan “Tuan Presiden, nampaknya pencalonan Bork akan gagal” memberi gambaran betapa subjek filem itu tentu akan memberikan cabaran.
Ia jadi mencabar bukan kerana subjek berkaitan perlembagaan, perundangan dan institusi kehakiman tidak cukup sensasi untuk difilemkan. Akan tetapi kerana ia kompleks dengan terminologi, renyah dengan tatacara perlembagaan serta urusan-urusan tatakelola perundangan antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Tiga cadang itulah yang turut kita hebohkan baru-baru ini.
Sepuluh minit pembukaan filem Confirmation tidaklah memiliki ketinggian aspek senimatik pada babak, keanggunan mainan kamera dan penggredan warna memukau yang selalu jadi kegilaan pengulas-pengulas filem tempatan.
Filem itu terus membawa fikiran kita kepada reaksi masyarakat sebaik saja mendengar kenyataan media sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli pada 7 Julai lalu berkenaan krisis institusi kehakiman negara.
Majoriti rakyat seakan tidak nampak signifikan dan kaitan kemelut institusi kehakiman itu dengan kehidupan mereka.
Dari hal kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), kontroversi panggilan mesyuarat tergempar JAC yang didakwa tidak memenuhi notis 10 hari, serta kewujudan laporan polis oleh pegawai hakim Mahkamah Persekutuan - semua itu seperti bukan isu rakyat.
Kebimbangan yang berasas
Malahan masyarakat kita seakan-akan tidak tahu bagaimana untuk memberikan respon apabila mendengar dakwaan mengatakan JAC sudah mencalonkan nama bagi jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan kepada perdana menteri lebih awal.
Ketidakpedulian rakyat dalam isu kehakiman tersebut malah mengundang kerisauan.
Sepertimana kata Rafizi - “Kebimbangan saya kerana isu ini nampak macam ini cerita hakim atau cerita peguam saja. It is not. It is actually a national issue. Tapi saya fahamlah isu ini mungkin kompleks, jadi kita perlu bawa kepada rakyat.”
Tambah Rafizi lagi - “Kalau kekosongan seperti ini berterusan, kes-kes tidak boleh berjalan. Kalau kes-kes tak boleh berjalan yang patutnya selesai dua tahun jadi lima tahun. Maka itu ada kesan besar kepada rakyat.

“Dan kalau kes yang melibatkan jenayah dan melibatkan reman, maksudnya orang yang kena tuduh itu terpaksa berada di penjara lama. Jadi walaupun mungkin rakyat rasa kehakiman ini tidak ada kena mengena dengan saya, sebenarnya perkara ini lambat laun akan sampai jugak kesan besarnya kepada rakyat.”
Apa yang dikatakan Rafizi dalam sidang media itu menarik kerana kenyataan yang dia keluarkan seakan senada dengan sepotong dialog pembukaan filem Confirmation.
“When someone comes forward, the victim tends to become the villain.
"Professor, in the next few decades, the Supreme Court will be making crucial decisions that will have a real impact on the lives of American women. If there were less at stake, I wouldn’t ask.”
Kebimbangan Rafizi berasas. Memang tindak balas masyarakat terhadap isu itu agak berkecuali dan terasing.

Ia tidak sehangat isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani atau isu stoking kalimah Allah yang secepat kilat buat hati kebanyakan rakyat jadi hangat.
Sebenarnya sikap rakyat yang merasakan isu itu jauh dari mereka adalah disebabkan oleh kegagalan seni filem berfungsi dan memainkan peranannya sebagai medium pendidikan.
Lambakan produk filem terbitan stesen TV tempatan masih tidak berani untuk berpindah ke daerah-daerah taboo dan wilayah-wilayah provokatif yang bisa mengangkat subjek dan objek penceritaan yang lebih mencabar pemikiran.
Negara kita harus menghasilkan lebih banyak filem seumpama Confirmation dengan merakam peristiwa seperti skandal SRC, 1MDB, dana Keluarga Malaysia serta kemelut institusi kehakiman yang kini telahpun selesai.
Kalau reformasi kebudayaan dalam filem ini enggan kita lakukan, bersiaplah menanti negara ini hancur kerana penguasa yang rakus mengawal kebebasan pemikiran akan menghasilkan rakyat yang bebal.
HARIS HAUZAH ialah pengkritik filem yang tidak pernah mendapat jemputan menonton filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
