Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Beberapa adegan drama Korea, Signal terlintas dalam ingatan saya setelah menyaksikan tragedi Teoh Beng Hock yang belum menemui noktahnya, sungguhpun 16 tahun berlalu. Signal (2016), sebuah drama berunsurkan jenayah dan misteri “mengasyikkan”, bukan dengan “plot twist”, tetapi menyentuh hati penonton dengan babak-babak pergelutan naluri manusia dalam realiti yang keras.

Dua orang detektif yang berada pada zaman berbeza, dijarakkan dengan tempoh 15 tahun, dijalinkan pula dengan sebuah walkie-talkie yang ajaib. Antara luahan seorang detektif, yang kebetulan crush-nya menjadi mangsa dalam satu kes pembunuhan siasatannya, “Awak (detektif yang lain) hanya melihat beberapa keping gambarnya, nama mangsa, pekerjaan, waktu dan lokasi mayat mereka ditemui. Itu sahaja yang awak tahu tentang mereka, tapi bukan saya.”

Antara adegan dalam Signal

“Dia masih hidup beberapa hari lepas. Dia memberi kata-kata semangat kepada saya. Dia senyum kepada saya. Dia baik hati. Dia cuma orang biasa yang berusaha dalam hidupnya.”

Paling terkesan apabila detektif ini bertanya kepada detektif yang berada di masa depannya, melalui walkie-talkie, “Apakah di sana masih begitu? Orang yang memiliki kuasa dan harta boleh buat apa-apa saja dan terlepas (daripada tindakan undang-undang)? Tapi sudah 20 tahun berlalu, mesti ada perubahan, bukan?”

Tiada perubahan selepas tukar kerajaan?

Sudah tentu ramai dalam kalangan kita juga tidak terkata apa-apa andainya walkie-talkie ajaib ini menghubungkan mereka yang datang dari 15 tahun lalu, bertanyakan kita yang berada di era tahun 2025, “Apakah mereka yang melakukan kezaliman, memperlekehkan nyawa manusia sewenang-wenangnya, masih bebas dari tindakan undang-undang, semata-mata kerana kuasa dan pangkat mereka?”

“Apakah mereka yang melaungkan Reformasi telah menegakkan keadilan dan kebenaran, sesudah menjatuhkan rejim yang zalim dan korup?”

Jawapannya, NFA (baca: Tiada Tindakan Lanjut). Bukan sinikal, tetapi demikianlah jawapan Pejabat Peguam Negara untuk kes Teoh Beng Hock, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sejak 16 tahun lalu keluarga Teoh, NGO dan DAP-Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan (kemudian) memperjuangkan keadilan untuk Beng Hock, ironinya ia berakhir dengan NFA selepas PH menawan Putrajaya.

Lebih pedih, netizen yang tidak tahu-menahu, atau enggan menghalusi fakta yang terdedah dalam kes ini, melemparkan komen sesuka hati di media sosial, kononnya “Teoh bunuh diri kerana sedar dirinya bersalah”, “keluarga Teoh berniat menuntut wang pampasan lagi”, malah ada yang mengaitkan kes Beng Hock dengan kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim (anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan lantaran pemindahan kuil pada tengah malam), yang kita sedar jauh beza konteksnya.

Perjuangan menemui jalan buntu

Apa yang ingin diperkatakan, telah diperkatakan sepanjang 16 tahun lalu. Hakikatnya, perjuangan ini sedang menemui jalan buntu, setelah parti politik yang menjanjikan “Keadilan untuk Beng Hock” menawan Putrajaya, tetapi gagal menunaikan janji mereka.

Lantas pelbagai naratif melambak dalam media sosial, misalnya “keluarga Teoh perlu move on (tidak terbawa-bawa dengan insiden lama)”, “permohonan maaf dan tawaran sumbangan ihsan SPRM sebagai tanda permulaan transitional justice (keadilan ditegakkan selepas berlakunya peralihan kuasa)” dan sebagainya.

Untuk makluman pembaca yang tidak mengikuti perdebatan dalam media sosial bahasa Cina, sesetengah pemimpin DAP seperti Ngeh Koo Ham (anggota parlimen Beruas) menuduh keluarga Teoh sebagai “orang yang tidak mengenang budi”, kerana DAP menghulurkan bantuan terutamanya khidmat guaman sepanjang 16 tahun lalu, tetapi keluarga Teoh pula menuding jari kepada DAP setelah tuntutan mereka tidak dipenuhi. Hujah Ngeh dibadai gelombang kemarahan, sehingga Setiausaha Agung, Anthony Loke terpaksa tampil memohon maaf bagi pihak DAP.

Ruang media sosial menjadi keruh dengan kocakan sentimen. Pertama, ramai yang bersimpati kepada keluarga Teoh, kerana mereka sekadar menuntut agar ditunaikan apa yang dijanjikan kepada mereka. Lebih-lebih lagi, keluarga Teoh kehilangan seorang anak, abang, adik, suami, dan bapa begitu sahaja, tanpa sesiapa dipertanggungjawabkan sehingga hari ini.

Kedua, DAP yang gagal menunaikan janji, cuba menangkis serangan netizen dengan pelbagai hujah, yang sebahagiannya digunakan BN ketika mendominasi kerajaan dahulu. Berbeza dengan MCA dan Gerakan yang dikecam sebermulanya, DAP kini dihujani kritikan yang lebih lebat kerana pernah mengeksploit isu Beng Hock untuk meraih undi. Lantas apa pun hujah DAP sekarang tidak diyakini, malah mengundang kemarahan apabila dituduh mengerah cytro untuk menyerang keluarga Teoh, dan penyokongnya.

Adapun konsep “transitional justice” diketengahkan, sebagai usaha untuk membina sebuah masyarakat yang lebih adil, aman dan demokratik selepas melalui sejarah gelap, namun gagal meleraikan beberapa pertikaian yang diajukan. Untuk rekonsiliasi (perdamaian), ia menuntut pendedahan kebenaran. Dengan kata yang mudah, bagaimana keluarga Teoh memaafkan, sedangkan individu yang bertanggungjawab tidak tampil untuk mengaku salah?

Apakah ini Madani?

Bagaimanapun, sesiapa yang rasional, dan berbelas kasihan, akan bersetuju bahawa tragedi Teoh Beng Hock, dan kesengsaraan keluarga Teoh, harus dinoktahkan. Mereka berhak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya ke atas Beng Hock pada tengah malam itu, 16 tahun yang lalu. Selagi kebenaran tidak didedahkan, tidak adil untuk kita memujuk agar keluarga Teoh “move on”. Dan selagi mereka tidak terkeluar-keluar dari tragedi ini, mereka bakal menderita selama-lamanya.

Ya, sesungguhnya ramai yang mengagumi jiwa besar PMX, Anwar Ibrahim untuk memaafkan semua yang menzaliminya dua dekad yang lalu. Pernah majalah Newsweek membubuh tajuk “To hell and back”, ketika meletakkan Anwar Ibrahim di muka depan majalah itu selepas beliau keluar penjara. Namun, Teoh Beng Hock tidak bernasib baik seperti Anwar Ibrahim, mendiang tidak sempat balik untuk memaafkan sesiapa, tetapi pergi selama-lamanya.

Maka ia terpulang kepada PMX, yang pernah berjanji di depan kedua-dua orang tua mendiang Beng Hock, yang berhasrat mengetahui apa yang berlaku pada anak mereka, sebelum kedua-dua mereka menghembus nafas terakhir.

Anwar Ibrahim pernah ditumbuk, diterajang dan ditelanjang, tetapi rakyat bangkit untuk menegakkan keadilan, malah menaikkan Anwar ke puncak kuasa. Apakah PMX kini berasa lebih bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan, bagi rakyat jelata yang tidak berkuasa dan tidak berpangkat, dan orang-orang biasa yang berusaha setiap hari dalam hidupnya?

Sudah tentu PMX sedar betapa sinisnya rakyat sekarang ketika membicarakan integriti pemimpin politik. Sudah pasti PMX sedar, setelah hampir tiga tahun berkuasa, ramai yang masih kabur dengan konsep Madani-nya.

Namun, apakah PMX sedar, bahawa andainya beliau mengarahkan agar laporan siasatan penuh didedahkan kepada keluarga Teoh dan masyarakat umum, beliau sebenarnya menggilap semula integriti orang politik yang tercalar, supaya rakyat masih boleh percaya, bahawa tidak semua politikus cakap tak serupa bikin, dan menaruh harapan bahawa ada juga politikus yang berpegang pada janjinya.

Jikalau inilah yang dilakukan, maka kita yang berada di era tahun 2025, boleh berkata kepada mereka yang berada di era 15 tahun lalu dengan walkie-talkie ajaib, “Ya, keadaan sudah berubah. Mereka yang berkuasa tidak boleh lagi menzalimi orang lain sesuka hati. Tidak sia-sia kita turun ke jalan raya dan melaungkan Reformasi pada 20 September 1998! Akhirnya PKR menang, dan keadilan ditegakkan!”


LIM HONG SIANG ialah pengamal media pada tahun 2009 ketika kes Teoh Beng Hock berlaku. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS