Demonstrasi esok, dan emoji gelak di media sosial, datang daripada sumber yang sama: tanggapan bahawa menukar kerajaan pusat itu mudah, semudah Langkah Sheraton dan siri demonstrasi Bersih. Memerintah itu hanya pertukaran pemimpin dan parti politik. Jika tidak dapat melalui pilihan raya, masih ada jalan melalui mobilisasi keresahan ramai dan kemudian proses "tebuk atap".
Semua ini datang daripada sejarah panjang pergolakan politik dan dinamika pembentukan negara walau jarang kita lihat begitu. Kebanyakan kita melihat secara serpihan atau cebisan peristiwa. Satu isu dilihat berasingan daripada rantaian isu yang berkaitan dan juga isu lain yang tidak jelas kaitannya.
Isu pelantikan ketua hakim, isu turun harga petrol, rundingan Sarawak-Petronas, isu pindah kuil di tengah Kuala Lumpur atau perang mazhab Wahabi dengan geng Ahli Sunnah ditafsir berasingan, bukan sebagai satu pakej. Kita tidak bertanya latarnya, tidak merungkai sejarah dan motifnya. Malah ramai tidak dapat membayangkan hubung kaitnya! Jadi tiada sesiapa fikir hal-hal yang lebih mendasar atau asasi, misalnya:
1. perlukah atau bagaimanakah model pentadbiran BN yang hendak diganti?
2. apakah benar Malaysia berdiri di atas trauma darurat, trauma ketegangan kaum dan trauma autokrasi Dr Mahathir Mohamad?
3. silapkah rumusan federalisme, termasuk perjanjian Malaysia 1963, sehingga ia kini menjadi bisul negara?
4. apakah negara kita tersalah pilih jalan demokrasi, misalnya dibanding dengan Singapura atau Korea Selatan?
Isu-isu kecil dan terpisah di atas itu berpunca daripada kegagalan pengganti gabungan lama BN yang bermula di peringkat Putrajaya pada 2018. Sejak merdeka, gabungan ini (sebelum itu, Perikatan) membentuk kerajaan yang kuat, stabil, popular dan disegani melalui program pembangunan, asakan media, kawalan undang-undang dan pengukuhan institusi bawah bayang-bayang ideologi serta kepentingan parti itu.
Penguasaan lama ini pula tidaklah suci. Malah ia sering digerit anai-anai naungan politik, rasuah, salah guna kuasa, perpecahan puak, kemerosotan institusi dan politik wang yang lebih ketara sejak pertengahan 1980-an. Kemudian cabaran demi cabaran dilancarkan terhadap kerajaan tetapi tidak diendah. Anai-anai kerosakan terus menggerit BN dan institusi negara, daripada skandal BMF 1983 kepada 1MDB 2015.
Cabaran terbesar dan berlarutan dilancar oleh arus Gerakan Reformasi mulai 1998 sehingga BN perlahan-lahan runtuh. Runtuhan pertama bermula pada 2008 apabila parti-parti bukan Melayu BN hilang undi. Kemudian undi Melayu BN pula beralih arah, kemuncaknya pada pilihan raya 2022, sebuah demi sebuah negeri hilang ke tangan parti lawan.
Penggantian tak sempurna
Sayangnya penggantian ini tidak sempurna. Selain tidak menguasai majoriti besar, seperti dua pertiga kerusi BN, Pakatan Harapan yang terlalu baharu dan saling curiga berantakan dibadai Langkah Sheraton pada awal 2020. Berbeza dengan Perikatan sejak awal kemerdekaan — walau ada ujian besar seperti Ganyang Malaysia 1963, tersingkirnya Singapura 1965, tragedi 13 Mei 1969 atau terlepas Pulau Pinang — gabungan itu berjaya mengukuhkan kedudukannya melalui pembentukan BN pada 1973.
Pembelotan Februari 2020, yang diikuti dengan pembentukan Perikatan Nasional (Bersatu-PAS) dan sebelumnya Muafakat Nasional (Umno-PAS), dibalas dengan pembelotan Umno pula pada Ogos 2021. Pemerintahan pusat makin tidak stabil. Institusi raja dilihat sebagai payung penting merungkai kekusutan tersebut.
Bosan dengan kongkongan Covid-19 selama dua tahun dan muak pula dengan pergeseran politik yang tidak sudah-sudah, pengundi turun pada 19 November 2022 dengan angan-angan semuanya dapat diselesai. Malangnya, retak sedang menunggu belah. Keputusan pengundi itulah yang terus membelah keretakan politik sedia ada. Parlimen tergantung, tiada gabungan menguasai majoriti, tidak seperti 2018. Muncullah Kerajaan Perpaduan daripada krisis demi krisis akibat tersingkirnya BN sepenggal sebelumnya.
Keretakan pusat kuasa Putrajaya, selama ini dicengkam kuat BN, mencipta gejala "jong pecah, yu kenyang". Semua orang pihak mahu ambil kesempatan, semua orang tiba-tiba menjadi berani. Istana, birokrat, penguatkuasa, anggota keselamatan, kakitangan pihak berkuasa tempatan, kartel, orang politik, pemuka mazhab Wahabi dan pengguna media sosial melucutkan semua ketakutan.
Dibantu teknologi maklumat, internet dan media sosial, semua benda boleh dirakam dan disebar. Dahulu, laman web Mahazalim atau portal Malaysiakini boleh disekat di pejabat awam, sekolah atau universiti. Tetapi kini mengajar di bilik darjah boleh disiar secara langsung di TikTok! Sejak 1995 diisytihar Tahun Internet dan sejak jaminan tanpa tapisan Koridor Raya Multimedia (MSC), kita menikmati kebebasan luar biasa.
Bertenggek di atas krisis demi krisis sejak puluhan tahun, perhimpunan 26 Julai itu cuba mengulangi demonstrasi anti-Icerd pada Disember 2018. Tujuh tahun dahulu, ia digerakkan oleh kesasauan Umno-PAS yang berdepan kes mahkamah 1MDB setelah hilang kuasa. Dibantu tindakan tidak cerdik dalam Pakatan Harapan, ia membengkak bertukar Langkah Sheraton.
Tetapi semua ini bukan jawapannya. Jong yang pecah tidak berganti, yu hanya berebut-rebut sisa barangan yang hanyut tenggelam. Persoalan Kerajaan Perpaduan dan negarawan kita (kalaulah ada!) ialah membina jung baharu yang lasak, sesuai dengan keterbukaan demokrasi tetapi bukan kebebasan yang tiada manfaat dan disia-siakan.
Kita semua sudah sampai di simpang ini. Simpang sama ada kestabilan dapat dijamin tanpa kongkongan atau mahu kembalikan akta seumpama ISA? Simpang sama ada kebebasan dapat dihayati dengan cerdas atau sampah fitnah dan kebencian kaum berleluasa? Simpang sama ada Malaysia sekadar bidak catur geopolitik kuasa besar atau peneraju kepentingannya sendiri?
Akhirnya kita sampai juga di sini: Apakah ertinya perubahan jika semua parti yang naik tidak memberi guna kepada rakyat?
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
