Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Luka dalam senyap, jawapan dengan rahmah

Secara jelasnya, keganasan rumah tangga merangkumi penderaan fizikal, emosi, seksual, ekonomi dan psikologi oleh pasangan atau ahli keluarga. Ia tidak terhad kepada wanita sahaja, lelaki, warga emas dan kanak-kanak turut menjadi mangsa.

Pada 16 Julai 2025, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,Noraini Ahmad mendedahkan bahawa sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan hanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Statistik ini bukan hanya angka, tetapi ia adalah cerminan retaknya institusi kekeluargaan, pelanggaran maruah, serta jeritan dalam diam dari mangsa yang terperangkap antara rasa takut, malu dan terikat.

Dalam masyarakat yang mendakwa bertamadun, fenomena ini adalah tamparan terhadap nilai kemanusiaan dan asas keadilan. Lebih menyayat hati apabila ia berlaku dalam rumah sendiri, yang mana, tempat yang sepatutnya menjadi perlindungan, bukan penindasan.

Barangkali, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi tragedi itu terjadi. Boleh jadi ia adalah sesuatu yang telah ‘bertakung’ lama dalam diri seseorang yang melakukan itu atau ia sendiri pernah melalui situasi sebegitu. Boleh jadi, antara lainnya ialah:
i. Kejahilan agama dan kekeliruan kuasaRamai pelaku keganasan menggunakan ‘kuasa’ sebagai suami atau ketua keluarga untuk menghalalkan kekerasan. Hakikatnya, mereka gagal memahami maksud qawwam (pemimpin) dalam Islam yang menuntut tanggungjawab, bukan sebagai mendominasi.

ii. Kitaran trauma dan ketagihan kuasaSebahagian pelaku merupakan mangsa pada masa kecil. Mereka mengulangi corak keganasan kerana tidak pernah dibantu menyembuhkan luka batin.

iii. Masalah kewangan dan tekanan sosialTekanan ekonomi, pengangguran, dan hutang menimbulkan ledakan emosi yang akhirnya dilepaskan kepada pasangan atau anak-anak.

iv. Ketagihan dadah dan alkoholMenurut laporan KPWKM, lebih 30 peratus kes keganasan rumah tangga berkait dengan penyalahgunaan bahan terlarang.

v. Ketidakseimbangan gender dan patriarki berlebihan

Sebahagian masyarakat masih membenarkan dominasi lelaki secara membuta tuli. Wanita dianggap hamba yang wajib patuh tanpa soal.

Solusi berasaskan maqasid syariah

Maqasid Syariah menetapkan lima objektif utama dalam pelaksanaan syariat: menjaga agama (din), nyawa (nafs), akal (‘aql), keturunan (nasl) dan harta (mal). Keganasan rumah tangga jelas melanggar kesemua lima maqasid ini.

Islam sangat melarang sebarang bentuk kekerasan yang mencederakan. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kamu.” (Surah al-Nisa’: 29)

Pelaku yang mencederakan pasangan secara fizikal telah melanggar maqasid menjaga nyawa. Bahkan, Nabi SAW telah bersabda:

“Seorang mukmin tidak boleh memukul isteri sebagaimana memukul hamba kemudian menggaulinya pada malam hari.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Begitu juga, dengan menjaga maruah dan keturunan. Keluarga adalah tempat mendidik keturunan. Keganasan rumah tangga membunuh kasih sayang, menyuburkan dendam, dan mewariskan trauma.

Mangsa penderaan sering mengalami tekanan mental yang mengganggu keupayaan kognitif. Islam menuntut kita memelihara akal melalui kesejahteraan emosi, bukan menzalimi hingga hilang kewarasan.

Justeru, keganasan yang berlaku atas nama agama mencemarkan agama itu sendiri. Syariat bukan alat kezaliman, tetapi penawar rahmah.

Modul Aisar sebagai jalan pemulihan

Modul Aisar (Asas Islam Rahmah) yang dibangunkan oleh Jabatan Pendidikan Masyarakat Ikram mengetengahkan prinsip rahmah (kasih sayang), hikmah (kebijaksanaan), dan adil (keseimbangan) dalam beragama. Ia sangat sesuai menjadi rujukan untuk menangani isu ini.

Mendidik, Bukan Menghukum, itulah yang seharusnya diterapkan. Aisar menekankan pendidikan berterusan kepada masyarakat bukan hanya hukum dan larangan. Pendidikan tentang hak wanita, tanggungjawab suami, dan etika komunikasi dalam rumah tangga mesti diperluaskan.

Dengan prinsip wasatiyyah, Aisar menolak pendekatan keras dan ekstrem. Pendidikan pra-perkahwinan yang memasukkan elemen empati, komunikasi, dan pengurusan konflik patut dijadikan modul wajib sebagai pencegahan awal melalui Fikah Masyarakat.

Selain itu, pemulihan mangsa dan pelaku boleh dibantu dan diselamatkan melalui pendekatan rohani seperti zikir, refleksi ayat-ayat Quran, juga kaunseling. Islam bukan sekadar hukum, tetapi juga penyembuhkan jiwa.

Rahmah sebagai jalan pulang

Sistem sosial Islam bukan hanya ritual, tetapi rangka kerja kehidupan yang menjunjung keadilan, kasih sayang dan penjagaan insan. Keganasan rumah tangga bukan masalah individu, tetapi gejala keruntuhan nilai.

Ia perlu ditangani secara sistemik dengan pelbagai cara, antaranya melalui pendidikan, dasar, dan gerakan sosial yang berusaha menyentuh hati manusia.

Sebagaimana Rasulullah SAW menegaskan:

“Orang yang paling baik antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kita perlu membina semula masyarakat dengan roh rahmah bukan sekadar membanteras keganasan tetapi menghidupkan kembali budaya ihsan dalam rumah tangga. Dengan pendekatan Maqasid Syariah dan modul Aisar, kita tidak sekadar menyelesaikan masalah, tetapi mengangkat maruah keluarga sebagai asas peradaban Islam yang sebenar.

Sedarlah kita bahawa tiada rumah yang terlalu gelap untuk diterangi, tiada luka yang terlalu dalam untuk disembuhkan. Namun syaratnya, kita seharusnya sebarkan ilmu melalui pendidikan agar masyarakat dididik serta berpengetahuan. Seterusnya, berperanan tegas dan jelas, memilih jalan rahmah, bukan menyembunyikan derita dalam diam.


ATRIZA UMAR bergiat dalam Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (Agenda).

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS