Druze, Kurdis dan Azeri adalah tiga golongan etnik yang bersekutu dengan Israel. Druze adalah orang Arab tetapi agama mereka dianggap sebagai terkeluar daripada Islam. Kurdis pula bukanlah orang Arab tetapi agama mereka adalah Islam bermazhabkan Sunni dan mengikut Imam Syafii.
Azeri pula juga bukan orang Arab tetapi dalam rumpun Turki. Mereka adalah orang Islam Syiah 12 Imam, iaitu mazhab yang serupa seperti majoriti orang Iran.
Sekutu kuat Israel ialah Druze yang tinggal di negara itu dan juga Syria, yang sedang berkonflik dengan golongan Badwi.
Komuniti Druze lain berada di Jordan. Lubnan dan Cyprus. Di Jordan, mereka menjadi rakyat Raja Abdullah. Di Lubnan, mereka adalah salah satu komuniti utama dengan wakil berada dalam parlimen dan kerajaan. Komuniti utama lain ialah Kristian Maronit, Sunni dan Syiah. Sebahagian daripada anggota komuniti Syiah menganggotai Hizbullah.
Druze di Israel walaupun berbangsa Arab dan bertutur bahasa Arab dan tinggal di Palestin sejak abad ke-11 tidak mahu dianggap sebagai orang Palestin. Malah mereka mahu menjadi warganegara Israel dan dikategorikan sebagai Druze, bukan Arab. Sebagai warganegara, mereka berkhidmat dalam tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF) yang mengganas di Gaza, Tebing Barat, Lubnan Selatan dan Bukit Golan.
Di Bukit Golan yang merupakan wilayah Syria terdapat perkampungan Druze. Apabila Israel menakluk wilayah ini, perkampungan itu berada dalam penguasaan tentera IDF, mereka membina kawat sempadan.
Druze terdiri daripada 1.5 peratus warganegara Israel. Lubnan memiliki lima peratus warga Druze. Syria memiliki tiga peratus Druze. Umumnya mereka tinggal di bukit-bukit strategik kerana kedudukan geografi itu memberi keselamatan pada mereka berabad-abad lamanya.
Terdapat juga komuniti Druze di Jordan. Druze di Jordan dan Israel asalnya dari komuniti sama kerana Israel dan Jordan merupakan wilayah Palestin pada zaman Uthmaniyah. Mereka juga terdapat di Cyprus yang juga bekas wilayah Uthmaniyah.
Menurut fahaman Druze, ketika mana mereka sentiasa kuat berpegang pada agamanya, dari segi politik, mereka akan setia pada kerajaan yang menguasai kampung mereka. Jadi pada asalnya mereka setia pada kerajaan Fatimiah yang berpusat di Kaherah. Apabila Fatimiah tumbang dan digantikan dengan Uthmaniyah, mereka setia pada kekhalifahan yang berpusat di Istanbul itu.
Pada zaman moden, Druze di Lubnan setia pada kerajaan di Beirut. Druze di Israel pula setia pada rejim Zionis. Maka ketika keluarga Assad memerintah di Syria, Druze di negara itu setia pada rejim Baathis itu.
Pemberontakan, perang saudara
Israel mahu rejim Assad di Syria tumbang. Maka mereka membantu dan menyokong Druze di Syria supaya memberontak. Apabila berlaku pemberontakan dan perang saudara, Israel lebih terlibat membantu penentang-penentang rejim Assad.
Masalahnya di kalangan penentang Assad terdapat kumpulan-kumpulan pengganas ekstremis Daesh yang membunuh semua orang bukan Islam dan bukan Sunni. Maka yang menjadi sasarannya bukan saja komuniti Alawiah, iaitu mazhab rejim Assad tetapi juga Druze. Tetapi Daesh dapat dikalahkan dengan campur tangan Iran, Rusia, Turki dan Amerika.
Banyak juga anggota Daesh yang meninggalkan kumpulan itu dan membentuk kumpulan lain yang memegang dasar nasional iaitu merangkul semua komuniti di Syria supaya boleh menjadi pemerintah nasional yang kredibel.
Kumpulan utama ini ialah Hayat Tahrir Shams pimpinan Ahmed Al-Sharaa yang kini menguasai Syria. Dalam proses integrasi nasional, mereka mahu Druze dan lain-lain komuniti turut serta mengukuhkan identiti nasional. Kaum Druze banyak tinggal di wilayah Suweida, Syria Selatan.
Dengan adanya kerajaan baharu, komuniti Druze sewajarnya memberi kesetiaan pada rejim baharu itu. Namun begitu pemimpinnya Hikmat Al-Hijri menolak kerajaan Al-Sharaa yang disifatkan sebagai pengganas. Maka mereka menentang usaha penguasaan yang dilakukan oleh komuniti Badwi yang berada dalam Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang merupakan sekutu HTS dan dapat sokongan Amerika.
Al-Hijri meminta bantuan Israel, Arab Saudi dan Jordan. Komuniti Druze di Israel terkejut dengan kematian orang seagama di Syria. Antara mereka secara beramai-ramai melawan tentera IDF dan keluar dari sempadan Israel dan masuk ke Syria untuk membantu warga Druze.
Atas alasan bahawa komuniti Druze meminta kerajaan Israel bertindak, maka Israel melancar roket ke atas militan Badwi dan tentera Syria. Bukan itu saja, Israel turut menyerang bangunan Kementerian Pertahanan Syria dan Istana Presiden
Ini bukan saja memeranjatkan Presiden Al-Sharaa yang selama ini cuba tidak memusuhi Israel, malah ia juga mengejutkan Presiden Donald Trump supaya menghentikan serangan kerana Amerika berusaha untuk menjadikan Syria sebagai sekutu mereka.
Israel kata mereka mahu menyelamatkan kaum Druze daripada kepupusan. Sementara Al-Sharaa kata Druze Syria adalah warganegara Syria yang akan dipertahankan. Beliau menuduh Israel mahu memperkotak-katikkan dan memecah-belahkan Israel.
Sementara itu, penganalisis melihat ligat Israel mahu mencorak semula sempadan Timur Tengah. Bukan saja ia mahu menakluk sebahagian wilayah Syria untuk dijadikan Israel Raya atau Greater Israel tetapi memecah dan mengecilkan Syria supaya ia lemah dan tunduk pada Israel. Sebab itu Israel mengemukakan gagasan Abraham Accord yang meletakkan Syria sebagai anggota tanpa persetujuan kerajaan Al-Sharaa.
Memperkecilkan Syria
Untuk memperkecilkan Syria, Israel menyokong dan membantu perjuangan pemisah Kurdistan di Syria Utara. Wilayah orang Kurdis terdapat di Syria, Turki, Iraq dan Iran. Para nasionalis Kurdistan mengimpikan sebuah negara merdeka dan berdaulat. Kurdistan yang merangkumi kawasan luas di Syria Utara, Turki Selatan, Iraq Utara dan Iran menjejaskan integriti dan kedaulatan mereka.
Tumpuan Israel ialah Kurdis Syria. Ini kerana Syria dalam keadaan lemah dan untuk melemahkan lagi, mereka menggalakkan penubuhan Kurdistan di Syria. Sementara pihak Kurdis yang gerakan berbentuk sekular dan berhaluan kiri mahu mempertahankan diri daripada dikuasai oleh kumpulan-kumpulan Islam ekstremis seperti Daesh.
Malah kumpulan Kurdis ini menjadi benteng kepada kemaraan teroris Daesh. Untuk perjuangan itu, mereka dengan mudah menerima bantuan Israel dan Amerika. Akhirnya mereka terhutang budi dan menjadi sekutu Israel.
Satu lagi komuniti Islam yang menjadi sekutu Israel ialah bangsa Azeri. Negara Azeri terbahagi pada dua bahagian. Satu ialah Azerbaijan yang kaya minyak, kedua merupakan wilayah dalam Iran. Mereka ini sebahagian daripada rumpun Turki, iaitu bersama dengan Turki, Kazakh. Uzbek, Kyrgyz, Turkmen dan Uighur. Tetapi ketika kaum-kaum Turki lain itu bermazhab Sunni. orang Azeri bermazhab Syiah.
Tetapi Azerbaijan bukan saja mengiktiraf Israel tetapi mempunyai hubungan strategik dengan Israel. baik dari segi politik. ekonomi malahan ketenteraan. Baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa Azerbaijan berada di pihak Israel semasa negara itu berperang dengan Iran. Ada dakwaan Israel melancarkan serangan ke atas Iran melalui pangkalan di Azerbaijan. Ini tuduhan berat dan Iran pasti mahu menyiasat dan menanganinya.
Kejayaan Israel terus wujud adalah kerana umat Islam tidak bersatu. Ada negara-negara Islam mengiktiraf Israel. Sementara komuniti Kurdis di Syria dan Azerbaijan bersekutu dengan Israel. Walaupun umat Islam menganggap komuniti Druze sudah berada di luar Islam tetapi merupakan sebahagian daripada bangsa Arab.
Agama Druze berasal dari mazhab Ismailiah yang asalnya merupakan sebahagian daripada Syiah. Druze diasaskan pada kurun ke-11 semasa pemerintahan Fatimiah di Kaherah. Mereka sepatutnya bersekutu dengan orang Arab dan Islam dan bukannya dengan Yahudi dan Zionis.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
