Paling Popular
Terkini

KOLUM | Tahun 2020 dunia dilanda pandemik. Ribuan manusia terkorban saban hari. Tapi dalam banyak-banyak kematian yang tercatat, ada satu nama yang benar-benar mengusik jiwa aku.

Berita pemergian Glenn Fredly akibat penyakit meningitis muncul di skrin telefon. Ia ringkas, tapi cukup untuk menghenyak dada.

Kali terakhir aku menonton dia beraksi secara langsung di kaca TV ialah ketika final rancangan Indonesian Idol dua tahun sebelum itu.

Glenn hadir sebagai penyanyi jemputan. Dia duduk tenang bermain piano sambil menyanyi dengan penuh jiwa. Suaranya tidak sekadar menghibur, tapi seakan memeluk emosi penonton.

Itulah Glenn.

Hampir semua lagu ciptaan dan nyanyiannya bertemakan cinta – kerana dia percaya cinta mampu menyembuhkan sekian jiwa yang luka. Dan sesungguhnya “luka” itu bukan sekadar metafora.

Sekitar 25 tahun lalu, Ambon – tanah asal usul keluarganya – menyaksikan rusuhan berdarah antara agama yang meragut lebih 5,000 nyawa.

Ketika tragedi di Kepulauan Maluku itu meletus, aku baru berusia sekitar 10 tahun. Waktu itu aku dapat menyaksikan detik-detik hitam rusuhan menerusi tontonan dari cakera padat yang aku tak pasti siapa bawa pulang ke rumah.

Manusia saling berbunuhan hanya kerana perbezaan kepercayaan. Visual mayat bergelimpangan, kemudian masjid dan gereja dibakar – semua itu terakam dalam ingatan aku.

Harapan di tengah kekacauan

Dalam suasana tegang, agama bukan lagi cahaya, tapi dijadikan senjata. Ramai yang mengaku bertuhan, hafal kitab, tapi tidak diajar memahami inti pati agama tentang kasih sayang dan keadilan.

Meskipun Glenn dilahirkan di Jakarta, darah dan jiwanya pekat berakar di Ambon. Tatkala rusuhan masih membara, dia pulang ke tanah leluhurnya sebagai watak pendamai.

Dalam filem Glenn Fredly The Movie, ada babak menyentuh hati apabila dia menasihati sekumpulan remaja Ambon yang mahu membalas dendam.

“Tuhan tak perlu dibela, Tuhan pasti akan bela kita,” kata Glenn.

Dalam kepercayaan dan falsafah hidupnya, Glenn yakin bahawa agama tidak pernah menyeru kepada kebencian. Seni pula adalah medium penyembuhan jiwa.

Itulah Glenn.

Dia berkarya bukan semata-mata untuk dikenang sebagai selebriti. Populariti hanyalah medium. Tujuannya: membela yang tertindas, memeluk yang terpinggir dan menghidupkan harapan di tengah kekacauan.

Sebagai anak bangsa dari timur Indonesia, Glenn menyaksikan sendiri bagaimana wilayah-wilayah yang kaya dengan hasil bumi dieksploitasi, namun rakyatnya hidup tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan pendidikan.

Tapi dia tidak memilih jalan konfrontasi, sebaliknya menggunakan suara dan pengaruh untuk menyemai kesedaran.

Lagu Tanah Perjanjian – kolaborasinya dengan Ras Muhamad pada 2011 – menyuarakan solidariti kepada rakyat Papua. Dengan irama reggae, lagu itu menyampaikan mesej bahawa keadilan dan perpaduan tidak lahir dari senjata.

Ia adalah lagu rakyat. Ia dicipta bukan untuk mengunggul carta hit, tetapi untuk menyentuh nurani.

Dihargai dengan lebih adil

Antara semua karyanya, mungkin tidak ada lagu yang lebih menggambarkan perjuangan jiwa Glenn selain Kasih Putih. Lagu itu bukan sekadar balada cinta, tetapi seruan halus tentang kasih yang tidak bertepi, tidak bertempoh dan tidak bersyarat.

Seperti perjuangannya untuk mendamaikan masyarakat Ambon dan menyuarakan keadilan untuk Papua, Glenn menyeru kepada satu cinta yang tidak mengenal siapa yang salah atau siapa yang benar. Dia hanya mahu semua kembali tenang.

Itulah Glenn.

Lebih daripada sekadar penyanyi dan penggubah lagu, dia juga seorang pemimpin budaya yang berwawasan dan berpaksi kepada akar umbi.

Pada 2014, dia menubuhkan syarikat rakaman Musik Bagus sebagai satu wadah perlawanan halus terhadap dominasi industri arus perdana.

Bawah label itu Glenn memberi ruang kepada artis muda dan pemuzik indie untuk berkarya tanpa perlu tunduk kepada tekanan pasaran atau kehendak komersial.

Nama-nama seperti Yura Yunita dan Gilbert Pohan lahir melalui inisiatif itulah. Ia membuktikan bahawa muzik yang jujur dan berakar masih punya tempat dan pendengar.

Bahkan, pendekatan berani Glenn turut membuka jalan untuk karya seni terus hidup dan dihargai dalam bentuk yang lebih adil.

Semua itu lahir daripada satu hasrat yang tekal dalam perjuangan Glenn – untuk memastikan bahawa suara jujur marhaen tidak akan pernah sunyi walau dunia terus berubah.

Itulah Glenn.

Dia juga pernah berkempen untuk pembebasan tahanan politik dari Maluku dan Papua pada 2018. Dengan bantuan pengaruhnya dia bertemu Presiden Jokowi untuk secara tegas menuntut hak asasi rakyat bersuara dan berjuang secara aman.

Tak boleh hidup dengan kebencian

Itu bukan tindakan simbolik, tetapi menunjukkan dia sanggup berdiri di barisan yang sama dengan golongan yang tertindas demi kebebasan dan keadilan sosial.

Kemuncak daripada segala usaha seninya, Ambon secara rasmi diiktiraf sebagai Kota Muzik Unesco pada 31 Okt 2019. Ia adalah pencapaian bersejarah yang menjadikan Ambon sebagai kota muzik pertama di Asia Tenggara.

Glenn ialah antara arkitek utama di sebalik pengiktirafan tersebut. Dia melakukannya dengan konsistensi menganjurkan konsert damai, festival rakyat serta gerakan budaya di peringkat akar umbi.

Dia membina asas yang kukuh sehingga dunia tunduk memberi hormat. Itu bukan hanya kejayaan sebuah kota, tetapi kejayaan nilai – bahawa muzik boleh menjadi jantung peradaban dan kedamaian.

Itulah Glenn.

Di pentas terakhirnya – konsert HeyFest! di Bekasi pada 28 Feb 2020, dan kurang dua bulan sebelum dia meninggal dunia – Glenn menyampaikan pesanan yang begitu membekas di jiwa:

“Kemanusiaan tak mengenal agama. Kalian telah digariskan untuk menjadi generasi yang tidak boleh hidup dengan kebencian.”

Pada saat persembahan bersama Bakuucakar yang menjadi kumpulan pengiring setianya disambut sorakan, Glenn masih memilih untuk menyampaikan pesan damai. Masih menjadikan seni sebagai wahana mencelikkan nurani.

Lima tahun selepas pemergiannya, konsert holografik Glenn Fredly di Kuala Lumpur menjadi saksi bahawa suara yang jujur tidak pernah mati.

Konsert itu bukan sekadar nostalgia, tetapi kesinambungan. Suara Glenn – dalam bentuk cahaya dan teknologi – kembali memeluk penonton dengan cinta, kasih dan harapan.

Dia telah pergi, tapi perjuangannya masih bergema. Suara Glenn kekal hidup dari Ambon hingga ke seluruh Nusantara.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS