KOLUM | Setelah berperang selama lima hari dan 43 orang terbunuh, Thailand dan Kemboja dapat mengadakan gencatan senjata melalui diplomasi dan memeterai perjanjian di Seri Perdana, Putrajaya.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Asean, Anwar Ibrahim berperanan segera dalam menamatkan konflik antara dua negara anggota yang berjiran. Mesejnya, Asean adalah rantau aman dan tidak wajar berlaku sebarang konflik senjata, atas alasan apa pun.
Malaysia dikenali dunia sebagai negara yang telah mendamaikan Thailand dengan Kemboja. Dalam sejarah, pada masa lalu Thailand juga pernah berperanan mendamaikan Malaysia dengan Indonesia.
Ia berlaku pada 1966. Ketika itu saya di darjah satu. Bapa saya adalah anggota tentera yang ditempatkan di Morib, Selangor untuk mengawal pantai Selangor daripada pencerobohan tentera Indonesia.
Mereka telah menghantar anggota payung terjun di Johor. Tetapi pertempuran sebenar berlaku di sempadan Sabah dan Kalimantan. Perang yang dinamakan Konfrontasi telah berlangsung selama hampir tiga tahun dengan mengorbankan lebih 600 jiwa.
Tetapi pada 29 Mei 1966, Bangkok menjadi tempat rundingan damai antara Malaysia dan Indonesia. Menteri Luar Thailand ketika itu, Thanat Koman menjadi tuan rumah. Malaysia diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Razak Hussein dan Indonesia diwakili Menteri Luar Adam Malik.
Walaupun Tun Razak adalah Timbalan Perdana Menteri, portfolio Hal Ehwal Luar disandang oleh Perdana Menteri sendiri, Tunku Abdul Rahman. Kabinet masa itu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 1964, di mana Perikatan menang besar. Ia bererti penduduk Tanah Melayu menyokong gagasan Malaysia.
Kabinet pertama sejak penubuhan Malaysia ini merupakan kabinet ketiga Tunku yang juga dikenali sebagai Rahman Third Cabinet.
Adam Malik pula ketika itu adalah menteri dalam kabinet Indonesia ke-15, atau dipanggil Kabinet Dwikora Yang Disempurnakan Kedua (Second Revised Dwikora Cabinet). Dwikora bermaksud Komando Rakyat Kedua. Kabinet Dwikora ditubuhkan oleh Presiden Sukarno.
Tetapi pada Mei 1966, Sukarno yang walaupum masih merupakan Presiden Indonesia telah hilang kuasa sejak peristiwa Gestapo 30 September (G30S) pada 1965, dengan membawa Suharto sebagai pemimpin de facto Indonesia. Dengan kata lain, Suharto telah merampas kuasa.

Suharto merombak kabinet Sukarno dua kali. Secara rasmi Presiden juga menyandang jawatan Perdana Menteri. Suharto pula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi pertahanan dan keselamatan sekaligus sebagai Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Bersenjata. Adam Malik pula menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi hal ehwal sosial dan politik, sekaligus menyandang jawatan menteri luar. Tetapi pemimpin de facto adalah Suharto.
Maka pertemuan itu adalah antara dua Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Indonesia. Kedua-duanya mempunyai mandat untuk berunding dengan matlamat supaya Konfrontasi dihentikan secepat mungkin.
Pada masa itu, Perdana Menteri Thailand Thanom Kittikachorn mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua kepimpinan Malaysia dan Indonesia. Hubungan baik ini membolehkan Thailand menjadi tuan rumah rundingan dua negara yang bertelingkah itu.
Thailand dengan serta-merta mengiktiraf penubuhan Malaysia ketika diisytiharkan pada 16 September 1963. Susulan rundingan itu, barulah Indonesia mengiktiraf Malaysia, iaitu pada 11 Ogos 1966.
Ketika itu, Asean belum ditubuhkan. Pertubuhan serantau yang ada ialah Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang ditubuhkan di Bangkok pada 31 Julai 1961 dan dianggotai oleh Thailand, Malaya dan Filipina.
Bagaimanapun, kedudukan ASA tergugat apabila Tunku berusaha untuk menubuhkan Malaysia. Filipina membantah penubuhan Malaysia kerana ia menuntut Sabah. Ini bermakna Filipina juga bersama Indonesia untuk menghalang penubuhan Malaysia.
Maka ASA boleh dianggap tidak bergerak pada 1962. Thailand tidak dapat menjadi orang tengah antara Malaysia dengan Filipina. Negara itu hanya mengiktiraf Malaysia pada tahun 1964 tetapi masih mengekalkan tuntutannya ke atas Sabah.

Pada tahun 1963, sebelum penubuhan Malaysia, ada pihak di Filipina hendak menukar nama negara sebagai “Malaysia” yang turut meliputi Sabah. Mereka menganggap diri mereka sebagai rumpun Melayu.
Selain itu, satu pertemuan pada Julai 1963 antara Presiden Diosdado Macapagal, Presiden Sukarno dan Tunku di Manila yang bersetuju penubuhan gagasan Konfederasi Maphilindo yang menggabungkan Malaysia, Filipina dan Indonesia. Maphilindo dianggap gagal sebaik saja Sukarno mengisytiharkan Konfrontasi terhadap Malaysia.
Pada 1966, rantau Asia Tenggara, iaitu di Indochina, berada dalam kancah peperangan melibatkan tiga negara, iaitu Vietnam, Kemboja dan Laos. Turut terlibat dalam peperangan itu ialah kuasa besar Amerika Syarikat dan Soviet Union bersama sekutu-sekutunya.
Dengan pengiktirafan Indonesia terhadap Malaysia, banyak perkara baik dapat dilakukan untuk rantau Asia Tenggara, antaranya usaha ke arah melanjutkan aspirasi ASA bagi mewujudkan perdamaian dan kestabilan. Pertubuhan itu juga meluaskan semangat gagasan Maphilindo.
Maka pada 8 Ogos 1967, di Bangkok, Asean ditubuhkan dengan dianggotai oleh Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina. Maka Asean menjadi zon perdamaian berbanding peperangan yang sedang berlaku di Vietnam.
Tetapi ketika penubuhannya, Asean juga dilihat sebagai blok Asia Tenggara yang mahu menghalang kemaraan komunisme yang bertapak di Indochina. Sifat Asean yang pro-Barat itu menyebabkan Burma tidak berminat menyertainya. Asean pula tidak mengundangnya. Ini kerana Burna menganggap dirinya berkecuali, tidak pro-Barat, dan tidak anti-komunis seperti Asean.
Pada 1976, Vietnam Utara dan Vietcong, iaitu kumpulan komunis Vietnam Selatan, menguasai Saigon. Amerika dan Vietnam Selatan kalah. Vietnam Utara dan Vietnam Selatan disatukan dan Saigon menjadi Ho Chi Minh City. Gerakan komunis Pathet Lao menguasai Laos dan Khmer Rouge menguasai Kemboja. Seluruh Indochina menjadi komunis dan pengaruh Soviet Union bertapak di Asia Tenggara.

Senario Asia Tenggara ketika itu ialah adakah Asean dapat menerima realiti dan merangkul ketiga-tiga negara komunis itu? Juga adakah negara-negara komunis di Indochina dapat menerima realiti keperluan kerjasama dengan negara anti-komunis agar rantau itu dapat maju ke depan?
Hanya pada 30 April 1999, kesemua 10 negara Asia Tenggara berada dalam Asean. Pada Oktober 2025 ini, sidang Asean di Kuala Lumpur dijangka menerima Timor Leste sebagai anggota ke-11. Maka lengkaplah Asean sebagai pertubuhan serantau Asia Tenggara.
Asean adalah rantau aman. Maka tidak seharusnya berlaku peperangan antara negaraanggota. Lebih-lebih lagi negara anggota yang berjiran.
Perang Thailand-Kemboja tidak patut berlaku. Sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara diplomatik. Asean boleh jadi orang tengah. Tahun ini sememangnya Malaysia menjadi pengerusi dan boleh berperanan. Tahun depan pengerusi Asean ialah Filipina. Pada 2027 giliran Singapura pula.
Tahun ini tidak seperti tahun-tahun lalu. Media sosial global dengan mudah dan cepat memberi ruang maklumat kepada apa saja yang berlaku di mana-mana tempat. Perang Thailand-Kemboja dengan segera diketahui di seluruh dunia. Rundingan damai yang berjaya juga mudah diketahui. Begitu juga peranan Malaysia.
Berbanding dengan berakhirnya Konfrontasi pada tahun 1966 dulu, pengetahuan rakyat hanya bergantung kepada radio, surat khabar dan siaran televisyen yang terhad. Pelajaran yang boleh diambil daripada kisah Konfrontasi dan perang Thailand-Kemboja ialah tidak usah perang jika mahu maju untuk masa depan.
Itulah semangat Asean, untuk perdamaian, kestabilan dan kemakmuran bersama.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
