Apabila kebencian membuak-buak, kita tidak nampak individu atau kumpulan lain sebagai rakan dialog politik. Malah, di saat itu, berlaku proses nyahkeinsanan (dehumanization). Kita hilang rasa belas atau ihsan. Kita anggap musuh politik itu sekadar objek atau haiwan.
Mario F Mendez, profesor neurologi dan sains gelagat Universiti California, pernah menulis:
"Kebencian, yang ditakrif di sini sebagai rasa meluat yang mendalam sehingga mendorong kepada pembasmian pihak lain, melibatkan proses nyahkeinsanan, iaitu penafian terhadap sifat-sifat kemanusiaan pada orang lain."
(Hate, defined here as intense dislike that encourages the elimination of others, involves dehumanization, or the denial of human qualities to others.)
Sebab itu dalam politik kebencian yang berkembang di negara kita, musuh politik digambarkan sebagai binatang, sama ada melalui karikatur atau perumpamaan dalam coretan presiden. Lawan politik dianggap sebagai bukan manusia atau separa manusia. Dengan kata berbeza, orang lain di luar kumpulan kita dianggap hina atau bertaraf rendah.
Kita bunuh rasa empati di dalam diri kita, tiada rasa simpati atau kemesraan. Malah muncul rasa tegang, menyampah, bengang dan prasangka buruk apabila teringat musuh itu. Oleh kerana mereka bukan setaraf, maka tidak sesuai dianggap rakan dialog yang setara seperti maksud David Bohm dan tidak bersedia melakukan "tindak komunikasi" seperti kata Jurgen Habermas.
Bohm dan Habermas menyifatkan dialog harus terbuka, jujur, kritis dan rasional melalui pembentangan asas-asas berhujah kita untuk dinilai rakan dialog yang mampu menyemak (jika ada) kesilapan pembinaan kesimpulan atau kerangka kefahaman. Bohm menggalakkan kita menyelami proses berfikir, sementara Habermas menekankan keadaan perbincangan unggul (ideal speech situation) dalam ruang awam.

Tetapi dalam politik kebencian, kita tidak mencari titik kefahaman dan membahaskan inti-inti persoalan. Kita menolak proses ini kerana mereka yang dianggap orang luar atau musuh tidak sepadan dengan kita yang hebat.
Justeru, dalam kalangan Islamis, mereka di luar jemaah kita itu dianggap "musuh Islam". Maka kita boleh bacakan doa qunut nazilah ke atas mereka. Terjemahan sebahagian doa itu berbunyi begini:
"Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, Ya Allah pecahkan pakatan mereka, Ya Allah leburkan pendirian mereka, Ya Allah musnahkan langkah mereka, Dan cengkamkan anjing-anjing-Mu terhadap mereka."
Baiah 2 khalifah
Namun, gejala baca qunut nazilah atau kejian dalam doa bukan sepenuhnya baharu. Sebelum ini juga berlaku. Malah, ketika muncul pergeseran sesama kumpulan Islam pada hujung dekad 1980-an dahulu, dibacakan hadis "jika dibaiah dua khalifah, maka bunuhlah yang kedua", yakni perbezaan jemaah ditafsir dengan cukup keras.
Daripada media kerajaan pula muncul istilah seperti "pengkhianat bangsa", "anasir subversif", "prokomunis" atau "pemecah belah masyarakat" yang ditujukan kepada pembangkang. Atau, istilah yang sering kita dengar: "kafir", "Khawarij", "pendatang" dan "liberal". Semua label ini boleh dikatakan satu proses penafian kumpulan yang tidak sealiran walau tidaklah sampai ke tahap nyahkeinsanan dalam politik kebencian.
Selain mencipta jurang lebar antara "kita" dan "mereka" (we versus the other), politik kebencian juga memperibadikan barisan musuh dengan label-label negatif terhadap individu tertetu seperti "Mahafiraun", "Bik Mama" atau "Madafaka". Persoalan politik negara yang rumit pemecahan wacananya diringkaskan dengan label-label negatif.
Kemudian persoalan itu dipertentangkan secara hitam putih (binary opposition) pula: parti syaitan lawan parti Allah, mustakbirin (kaum penindas) lawan mustad'afin (golongan terindas), dan ikut undang-undang penjajah lawab mahu laksana Islam. Semuanya ini diolah sebagai susunan wacana kebencian bagi menolak lawan politik.
Termasuk dalam olahan ini, kaedah stereotaip kelompok seperti "geng Wahabi", "libertard", "Um-DAP", "walaun", "walanon", "main depan belakang" atau "parti ajaran sesat". Semuanya membawa maksud menghina, termasuk menggunakan meme atau poster digital, yang tidak memungkinkan wacana politik yang kompleks dipecah-pecahkan melalui perbahasan tenang lagi berstruktur.
Di media sosial, kita perhatikan politik kebencian seperti ini. Apatah lagi sifat algoritma yang suka melaga-lagakan pengguna dengan alasan "engagement", menutup fikiran pengguna dalam gelembong rakan sealiran, atau menyebarkan pandangan serong, fitnah dan separa benar. Politik kebencian, sedikit atau sebanyak, sudah ada dalam negara kita tetapi media sosial menyemarakkan lagi gejala tersebut.
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
