Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Demo Turun Anwar peluang emas buat kerajaan?

Dalam setiap perhimpunan politik, ada suara yang perlu diteliti. Bukan semua datang kerana ingin menjatuhkan kerajaan, boleh jadi ramai hadir kerana kecewa tidak didengar atau terpengaruh dengan polemik yang dicetuskan pihak penganjur.

Tanggal 26 Julai 2025, satu himpunan jalanan yang dinamakan ‘Himpunan Turun Anwar’ berlangsung dengan membawa naratif kononnya rakyat kecewa dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Sama ada yang hadir 20,000, 50,000 atau 300,000, angka bukan soal utama. Sebaliknya, mesej yang ingin disampaikan oleh pihak penganjur perlu dianalisis secara matang oleh pihak Kerajaan Perpaduan.

Hakikatnya, ini adalah isyarat ‘berhati-hati,’ panggilan untuk kerajaan segera peduli dan bertindak. Bukan dengan amarah, tetapi dengan strategi, rahmah, dan pendekatan yang lebih inklusif.

Politik Realiti dan Sentimen Jalanan

Rakyat Malaysia tidak asing dengan demonstrasi jalanan. Namun, yang membezakannya kini ialah sentimen yang berkembang secara liar di media sosial. ‘Echo chamber’ yang terbentuk melalui algoritma media sosial memperbesarkan ketidakpuasan terhadap kerajaan.

Rakyat tidak anti kerajaan secara mutlak, tetapi mereka dahagakan hasil. Barangkali, mereka mahu kos sara hidup turun, pendapatan meningkat, peluang pekerjaan bertambah, dan keadilan sosial ditegakkan.

Seharusnya, kerajaan perlu mengambil pendekatan bahawa kehadiran rakyat di jalanan itu adalah isyarat bahawa “kita sedang diperhatikan, bukan sekadar dipilih.”

Mengapa Anwar jadi sasaran?

Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang kompleks. Anwar Ibrahim menjadi ‘wajah hadapan’ gabungan ini. Beliau tokoh reformasi, simbol keadilan, harapan perubahan. 

Maka, ketika rakyat kecewa, mereka sasar ke arah beliau, boleh jadi bukan kerana benci, tetapi kerana harapan yang tinggi tidak setara dengan hasil yang dinikmati.

Memetik kata-kata tokoh falsafah liberal dan utilitarianisme John Stuart Mill (1806–73), sesuatu tindakan dianggap betul jika membawa kepada kebahagiaan atau manfaat paling besar kepada jumlah orang yang paling ramai. 

Teori ini menilai moraliti sesuatu tindakan berdasarkan hasil atau akibatnya (consequentialism).

Beliau berkata: “The worth of a state in the long run is the worth of the individuals composing it.”

Kata-kata ini membawa maksud bahawa kekuatan, kemajuan dan ketahanan sesebuah negara tidak semata-mata bergantung kepada pemimpinnya, sistem pentadbiran atau kekayaan ekonomi, tetapi kepada kualiti rakyatnya sendiri dari segi ilmu, akhlak, kesedaran sivik, tanggungjawab sosial dan semangat membina negara.

Jika rakyat berilmu, beretika, rajin berusaha, mencintai kebaikan dan keadilan, maka negara itu akan berkembang maju dan stabil. Sebaliknya, jika rakyatnya malas berfikir, mudah dipengaruh dengan kebencian, menolak ilmu dan akhlak, maka negara itu akan lemah, walau siapa pun pemimpinnya.

Apabila rakyat tidak merasa diri mereka bernilai, mereka akan mencari jalan alternatif untuk bersuara. Himpunan adalah manifestasi emosi yang tidak tertampung dalam sistem demokrasi yang sepatutnya terbuka.

Naratif pembangkang menjadi dominan

Dapat diperhatikan juga, ketidakupayaan kerajaan menguasai media sosial membuka ruang naratif pembangkang menjadi mainstream. Malangnya, media rasmi kerajaan tidak lagi dipercayai penuh, manakala para pencinta kerajaan kurang konsisten menghasilkan naratif kontra yang kreatif dan informatif.

Seharusnya, pihak kerajaan menubuhkan Pusat Respons Sosial yang menghimpunkan maklum balas rakyat secara terus. Ia dikendalikan oleh individu berintegriti tinggi dan tidak memihak, untuk memastikan aspirasi rakyat sampai ke meja perdana menteri setiap minggu.

Selain itu, pihak kerajaan perlu mengawal bukan melalui sekatan keterlaluan, tetapi dengan menguasai naratif. Latih ribuan rakyat (terutamanya belia, aktivis, pengkarya digital) untuk menjadi duta naratif kerajaan secara kreatif, profesional dan penuh integriti.

“You can’t stop the waves, but you can learn to surf.”Jon Kabat-Zinn

Dengan bahasa mudahnya, kita tidak dapat kawal apa yang berlaku di luar seperti pandemik, kemiskinan, kehilangan, fitnah, atau tekanan kerja. Namun, kita boleh kawal bagaimana bertindak balas terhadap semua itu dengan tenang, sabar, dan bijak, bukan panik atau marah. Inilah inti ajaran mindfulness iaitu hidup dalam kesedaran, bukan reaksi automatik.

Barangkali, boleh dikaitkan dalam kehidupan kini iaitu apabila dikecam di media sosial, jangan terbawa emosi. Tenangkan diri dulu. Sebagai contoh lainnya, ketika anak gagal peperiksaan, jangan menjerit. Bimbing mereka dengan sabar. Begitu juga, apabila diuji kehilangan, jangan menafikan takdir. Reda dan bangkit perlahan-lahan.

Sementara itu, pihak kerajaan juga perlu mengurangkan pengumuman dasar besar yang ‘di awangan’. Sebaiknya, fokus kepada bantuan mikro terus kepada rakyat susah, pembekuan kos tersembunyi dalam utiliti dan pendidikan penyediaan biasiswa institut pengajian tinggi (IPT) swasta untuk golongan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40).

Kepedulian dan rahmah resipi bertahan

Merujuk kepada kata-kata Anwar mengenai keterbukaan Kerajaan Perpaduan terhadap maklum balas dan usaha memperbaiki kelemahan:

“Kerajaan ini bukan sempurna, tetapi sentiasa ingin memperbaiki.”

Beliau menyampaikan mesej ini secara terbuka pada 27 Julai 2025, susulan perhimpunan Turun Anwar, yang diadakan di Dataran Merdeka sehari sebelumnya.

Maka, perbaikilah komunikasi dasar yang mengangkat nilai rahmah kepada rakyat. Bukan sekadar slogan.

Strategi turun padang juga perlu dijadikan kebiasaan mingguan. Wakil rakyat kerajaan seharusnya menunjukkan kehadiran fizikal di kampung dan kawasan, bukan sekadar di parlimen atau media semata-mata.

Tidak terkecuali, birokrasi yang terlalu menjaga imej dan takut dikritik mesti dinilai semula. Perdana Menteri perlu ada mekanisme menyaring ‘maklumat sebenar’ dari lapangan tanpa tapisan yang mengaburkan kebenaran.

Menyatukan naratif dan perspektif

Gunakan pendekatan komunikasi yang mengajak, bukan mengugut. Jangan lagi ‘mengugut’ rakyat dengan ungkapan seperti “jika pembangkang menang, habislah negara.” Rakyat sudah bijak.

Sebaliknya, seringlah hamparkan naratif yang unik bagi menyentuh hati dan jiwa rakyat seperti:

“Negara ini milik kita semua. Kita mungkin berbeza parti, tetapi kita tak boleh berbeza dalam impian untuk Malaysia yang adil dan makmur lagi sejahtera.”

Rakyat suka cerita kejayaan antaranya, naikkan kisah usahawan kecil berjaya sebab bantuan kerajaan, pelajar cemerlang kerana biasiswa kerajaan dan kampung terpencil kini ada jalan, air, internet. Serlahkan sentimen yang positif untuk menyegarkan minda rakyat.

Setiap dakwaan pembangkang perlu dibalas dalam tempoh 24 jam oleh pasukan khas kerajaan di media sosial. Tidak perlu menyerang peribadi, cukup dengan fakta dan hujah tenang.

Jika ada pihak melampau hingga menghasut atau menyebar fitnah, gunakan saluran undang-undang. Tapi jangan diguna seolah-olah kerajaan fobia dengan kritikan. Pastikan kes yang dibawa ke mahkamah benar-benar kukuh.

Membugarkan hasrat madani harapan rakyat

Selain itu, kerajaan Perpaduan perlu memahami bahawa memerintah hari ini tidak cukup hanya dengan mandat parlimen. Ia juga memerlukan mandat psikologi rakyat, kepercayaan, harapan dan empati. 

Jika kerajaan berjaya meraih kembali sokongan emosi rakyat, ia mampu bertahan bukan sahaja satu penggal, tetapi dua atau tiga dekad ke hadapan, insya-Allah. 

Tony Blair dalam bukunya On Leadership: Lessons for the 21st Century (2024) berkata:

“I reckon it takes ten years to change a country. And that is ten years of focused change‑making.”

Antara mesej penting yang beliau ingin sampaikan ialah:

  • Perubahan besar dalam negara tidak berlaku dalam sekelip mata.

  • Tidak cukup dengan hanya menang pilihan raya atau memegang kuasa satu penggal.

  • Ia mengambil masa yang panjang, konsisten dan sistematik.

Maka, segala itu perlukan fokus jangka panjang, antaranya perubahan mesti dirancang dan dilaksanakan secara menyeluruh, bukan perubahan kosmetik atau bersifat gimik.

Perlu tumpuan kepada dasar, institusi, budaya pentadbiran, sistem pendidikan, ekonomi, dan nilai sosial rakyat. Selain itu, kepimpinan mesti sabar dan berprinsip sebagaimana pemimpin yang mahu melihat impak sebenar mesti bertahan lebih satu penggal, dan bukan terburu-buru mengejar populariti jangka pendek. Kerana semua itu adalah seruan kepada kepimpinan berwawasan dan bukan sekadar populis.

Beliau yang juga bekas perdana menteri UK selama 10 tahun (1997–2007), berkongsi pengalamannya bahawa tahun-tahun awal lebih banyak dipenuhi cabaran birokrasi, penentangan politik, dan perubahan kecil. 

Namun, selepas beberapa tahun, dasar-dasar pendidikan, kesihatan, dan ekonomi mula menampakkan hasil. Beliau ingin menyampaikan bahawa kesabaran, konsistensi, dan fokus adalah kunci utama untuk mengubah negara.

Barangkali, ia sangat menarik diaplikasi untuk Malaysia kerana Kerajaan Perpaduan yang kini sedang memperkenalkan pelbagai reformasi struktur. Selain itu, rakyat yang sering mahukan keputusan cepat. Namun, tugas Kerajaan Perpaduan dan agensinya perlu memahamkan bahawa perubahan sebenar mengambil masa dan perlu ditanggung bersama.

Maka, ambillah isyarat daripada Himpunan Turun Anwar itu bukan sebagai ancaman semata-mata, tetapi sebagai seruan rahmah untuk pihak kerajaan kembali membetulkan apa yang kurang. Ketika pihak lawan mengeksploitasi emosi, kerajaan mesti memenangi hati rakyat dengan empati dan tindakan.

Justeru, jika kerajaan benar-benar ingin kekal lama, mereka tidak cukup hanya melawan pembangkang. Mereka perlu menangi hati rakyat. Bukan dengan slogan semata-mata, tetapi dengan empati, keberanian bertindak, dan reformasi secara berani.

“Turun Anwar bukan noktah untuk kerajaan, tetapi koma (,) yang memaksa pembetulan ayat. Jika dibaca semula dengan tenang, barangkali menjadi ruang dan peluang emas untuk Kerajaan Madani menawan semula hati rakyat. 

Sudah tiba masanya kerajaan bukan sahaja “memerintah dengan betul”, tetapi juga “dipercayai untuk terus memerintah”.


ATRIZA UMAR adalah felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS