Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Makna politik di sebalik kes Teoh Beng Hock

Seringkali angka undi dijadikan kayu ukur paling “objektif” untuk menilai sejauh mana kesan politik yang tercetus lantaran sesuatu isu, ataupun kes yang berlaku. Angka undi tidak bersifat abstrak dengan kata-kata seperti “amat besar”, “agak terhad” dan sebagainya, tetapi boleh “diukur” dengan setepat mungkin. Jikalau sesuatu isu memberi kesan langsung kepada lebih 50 peratus undi di satu kawasan, maka ia dianggap mampu menentukan menang kalah seseorang calon.

Cuma, perlu diingatkan juga bahawa bukan semua pengundi memangkah dalam pilihan raya kerana satu isu semata-mata. Kebanyakan pengundi membuat keputusan setelah menilai situasi dengan lebih menyeluruh, atau sekurang-kurangnya mengambil kira beberapa isu yang menjadi keutamaan dirinya.

Justeru itu, sukar diukur secara kuantitatif sejauh mana kes kematian Teoh Beng Hock memberi kesan politik kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP. Namun, isu ini mempunyai makna politik tersendiri, terutamanya dalam masyarakat Cina, yang penting untuk diselami.

Konteks masyarakat Cina

Sekali imbas, mendiang Beng Hock lahir pada tahun 1979, meninggal pada usia 30 tahun. Beng Hock seorang wartawan Sin Chew Daily, sebelum berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada exco Selangor, merangkap pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Han Wah, ketika itu.

Dengan kata lain, Beng Hock berumur sekitar 20 tahun ketika gerakan Reformasi menyemarak pada akhir 1990-an. Sambutan masyarakat Cina terhadap Reformasi agak dingin, balik-balik wajah Tian Chua yang ditonjolkan untuk memberi gambaran bahawa gerakan ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Sekumpulan aktivis gerakan siswa berketurunan Cina mula bergiat aktif, tetapi Beng Hock bukan sebahagian daripada kumpulan ini, setahu saya.

Sungguhpun mempunyai seorang saudara jauh, mendiang Kerk Kim Hock (mantan setiausaha agung DAP), Beng Hock bukan berasal daripada kerabat politik. Daripada reaksi adik Beng Hock, iaitu Lee Lan yang dikisahkan melalui media sosialnya, mereka terbingung dengan apa yang berlaku pada 16 Julai 2009, memperlihatkan keluarga yang menetap di Melaka ini tidak mengambil tahu secara terperinci selok-belok politik sebelum ini, sungguhpun Beng Hock bekerja dengan orang politik.

Saya tidak mengenali Beng Hock secara peribadi, tetapi latar belakang sebegini sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa “Tsunami Politik” pada 8 Mac 2008 yang mendorong Beng Hock untuk berkecimpung dalam politik. Beng Hock mengambil keputusan untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri, barangkali dengan harapan untuk menjana perubahan dari dalaman sistem.

Generasi yang ‘dikejutkan’

Kematian misterinya mengejutkan satu Malaysia, khususnya komuniti Cina. Cuba kita imbas, jarang-jarang komuniti Cina terlibat dalam demonstrasi jalanan, sama ada dihantui igauan sejarah hitam tanah air pada 13 Mei 1969, mahupun rusuhan Mei 1998 di Indonesia, yang menyasarkan komuniti Tionghua tempatan. Penyertaan komuniti Cina Malaysia mula kelihatan jelas dalam Himpunan Bersih 2 pada tahun 2011, iaitu dua tahun selepas tragedi kematian Beng Hock.

Himpunan Bersih2 bukan bertemakan kematian Beng Hock, tetapi menuntut reformasi sistem dan institusi politik, agar lebih adil dan bersih. Sememangnya politik itu kotor, jatuh-menjatuhkan sesama politikus di tangga kuasa itu sesuatu yang lumrah dalam politik; namun tidaklah sampai jatuhnya seorang saksi yang diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Tingkat 14.

Kemarahan yang melimpah diterjemahkan kepada keberanian untuk bangkit menyuarakan ketidakpuasan dan menuntut keadilan, lantas membina semula momentum Pakatan Rakyat, untuk menangkis serangan politik BN ketika itu.

Pada masa yang sama, kematian Beng Hock mencungkil kesedaran politik satu generasi baharu, yang kini berusia 30-an. Sebagaimana satu generasi dalam kalangan Melayu yang dibeliakkan dengan “mata lebam” Anwar Ibrahim pada tahun 1998, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa terdapat satu generasi dalam kalangan Cina yang mengenali wajah politik Malaysia melalui tragedi Beng Hock.

Kebanyakan kita mungkin marah, tetapi tidak menangis apabila harga minyak naik, 1MDB diseleweng, atau GST diperkenalkan, namun dengan senang air mata kita menumpah, apabila nyawa manusia melayang. Apatah lagi apabila berita ini dilapor dan diulas bekas rakan sekerja Beng Hock dalam media, yang merupakan kenalan rapat sosok ini; Apatah lagi, isu ini dibangkitkan berulang kali, untuk memperlihatkan betapa zalimnya regim BN ketika itu.

Maka jangan terkejut, andainya remaja Cina sekarang pun bertanyakan kes Beng Hock. Kemungkinan ibu bapa mereka pernah menitiskan air mata untuk sosok yang tidak dikenali sebelum ini. Posisi mayat Beng Hock sudah terpahat dalam ingatan kolektif komuniti Cina, barangkali untuk selama-lamanya.

DAP terlebih janji?

Sepanjang 16 tahun lalu, pimpinan DAP menonjolkan dirinya paling ke depan dalam perjuangan menuntut keadilan untuk mendiang Teoh. Beng Hock ialah anggota Dapsy Serdang dan komrad DAP. Beng Hock juga rakan seperjuangan PKR yang menunjangi kerajaan negeri Selangor. Justeru itu, kemarahan massa dikerah untuk membentengi kubu kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika itu, selepas jatuhnya kerajaan negeri Perak.

Sama ada naif atau bermotif, DAP berjanji untuk mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku ke atas mendiang Beng Hock, dan menghadapkan suspek terbabit ke muka pengadilan jikalau diberi mandat untuk memerintah. Janji ini dikitar semula secara berulang-ulang sehingga PRU15, tanpa mempertimbangkan situasi yang mungkin berbeza dengan berlalunya masa. Paling nyata, kesukaran dan kerumitan meningkat dari sudut teknikal untuk proses pembuktian, setelah sekian lama kes ini berlalu.

Kebuntuan ini terpampang di depan pimpinan DAP, yang kini diketuai Anthony Loke. Mahu atau tidak, setiausaha agung ini terpaksa mencari jalan keluar, sama ada menjaja harapan baharu dengan janji lama, atau mengakui kegagalan DAP untuk menunaikan janji.

 Sungguhpun tidak “memohon maaf” secara tersurat, isyarat “tunduk” Anthony Loke bersama pimpinan DAP yang lain selama satu minit pada 17 Julai 2025, boleh ditafsirkan secara tersirat bahawa DAP memohon maaf kepada keluarga Teoh.

Cuma langkah ini tidak disambut positif. Meskipun permohonan maaf oleh ketua pesuruhjaya SPRM dan tawaran “sumbangan ihsan” sebelumnya cuba diperlihatkan sebagai langkah positif daripada pihak kerajaan, tetapi mengundang kesan sebaliknya. Rata-rata komuniti Cina menganggap “sumbangan ihsan” tanpa “pendedahan kebenaran” sebagai tidak ikhlas, malah ditafsirkan sesetengah sebagai “penghinaan”, lantas dipersoalkan “apakah nyawa boleh dibeli dengan wang?”

Hubungan keluarga Teoh (juga NGO yang bersamanya) dengan DAP menjadi tegang, dan ketegangan semakin ketara apabila sesetengah pimpinan dan penyokong DAP menyerang keluarga Teoh. Komuniti Cina kebanyakannya bersimpati terhadap keluarga Teoh. Biarpun ada kalanya penampilan Lee Lan dianggap beremosi, tetapi kebanyakan masih menganggap sikap Lee Lan disebabkan kegagalan Kerajaan Madani, dan DAP khususnya, untuk menunaikan janji mereka.

Di sebalik untung rugi politik

Apapun, politik bukan sekadar kuasa. Politik juga berkaitan dengan nilai yang didukung, dan bagaimana hidup rakyat diperbaiki. Tragedi kematian Teoh telah berlaku. Apa yang kita boleh lakukan adalah merawat dan menyembuhkan luka keluarga Teoh. Luka ini tidak sembuh dengan retorik dan slogan dalam ceramah politik yang berapi-api, dan bukan dengan sumbangan ihsan dalam bentuk wang semata-mata.

Cuba kita meletakkan diri dalam situasi keluarga Teoh. Pemimpin yang berada di Putrajaya hari ini, asalnya pembangkang pada 16 tahun lalu. Dengan pangkat yang tinggi dan gaji yang besar, mereka kini diiringi anggota keselamatan, dihantar ke sana sini oleh pemandu, disediakan segala kemudahan yang jauh lebih selesa berbanding ketika mereka menjadi pembangkang dahulu.

Sudah tentu ianya tidak masuk akal untuk keluarga Teoh, apabila pemimpin politik boleh memberi harapan dalam keadaan serba tiada ketika menjadi pembangkang; tetapi dengan segala kuasa yang ada sekarang, mereka gagal mempertemukan keluarga Teoh dengan kebenaran. Jikalau inilah keadaannya, apakah alasan DAP-PH untuk meyakinkan pengundi agar mandat diamanahkan kepada mereka untuk menerajui tampuk kuasa pada masa depan?

Boleh jadi situasi lebih rumit daripada apa yang mampu kita bayangkan. Persoalannya, apakah Kerajaan Madani telah mencuba sedaya upaya, selagi ada kewajaran untuk diteruskan siasatan? Apakah Kerajaan Madani bersedia untuk berdepan dengan keluarga Teoh dan masyarakat umum, menjawab dengan telus dan ikhlas, apakah rintangan yang melintang sepanjang jalan menuju ke arah kebenaran?

Sejujurnya saya kurang pasti berapa undi yang melayang lantaran isu Teoh Beng Hock. Pimpinan DAP-PH mungkin menganggap “pengundi bukannya ada pilihan lain, kerana Perikatan Nasional pun tidak menjanjikan keadilan untuk Beng Hock”.

Cuma, makna politik kes Beng Hock jauh lebih daripada itu. Ia menjadi kayu ukur untuk menilai, sejauh manakah politikus mengangkat semula martabat rakyat biasa yang dijatuhkan?

Sesungguhnya, tragedi kematian Beng Hock mencungkil kesedaran dan keprihatinan ramai orang terhadap politik, ketika PR/PH menjadi pembangkang. Ia akan menjadi sangat ironi andainya orang ramai mula tinggalkan politik kerana kesudahan tragedi ini setelah PH menjadi kerajaan. Jangan sekali cara menangani tragedi menjadi lebih tragik daripada tragedi itu sendiri. 


LIM HONG SIANG ialah pengamal media pada tahun 2009 ketika kes Teoh Beng Hock berlaku. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS