KOLUM | “Cikgu, saya kena makan apa supaya tangan jadi kuat? Saya mahu jadi pemain bola tampar paling hebat di Malaysia,” kata anak Bajau Laut itu, Bilkuin.
Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan itu aku temui semasa melawat sebuah sekolah alternatif dikenali sebagai Iskul Omadal di Semporna, Sabah, beberapa tahun lalu. Di situ aku sempat berkongsi maklumat tentang nutrisi dan pemakanan sihat.
Kali pertama aku bertanya namanya – dan dia menjawab Bilkuin – kepada aku terfikir bahawa ejaannya “Bill Queen”.
“Dahsyat nama budak ni,” bisik aku dalam hati sambil tersengih.
Setiap petang di Pulau Omadal, Bilkuin dan rakan-rakannya dari perkampungan atas laut akan ‘naik ke darat’ untuk bermain bola tampar di gelanggang pasir buatan sendiri.
“Beginilah rutin mereka. Setiap petang anak-anak Bajau Laut ini akan bermain, berlari dan bergelak tawa semahunya.
“Ini sahaja ruang untuk mereka lupakan sekejap tentang kesempitan hidup,” ujar Jefry, sahabat aku yang merupakan tenaga pengajar di sana.
Hari ini, Bilkuin sudah dewasa. Daripada seorang murid yang berimpian besar, dia kini memikul tanggungjawab sebagai pembantu guru – membimbing anak-anak yang senasib dengannya pula.
Malah pengaruh anak muda itu di Sabah tidak kecil. Akaun TikTok miliknya yang menggunakan nama Jamal Slebew mengumpul lebih 36,000 pengikut.
Ia suatu angka yang membayangkan betapa besar jangkauan suara anak muda dari komuniti terpinggir ini.
Titik perubahan dalam hidup
Namun satu persoalan masih berlegar: Jika seseorang dilahirkan di tanah ini, membesar di sini, menyumbang di sini, mengapa mereka masih belum layak menyarung jersi negara?
Dalam masyarakat kita, ada anak-anak yang tidak diiktiraf secara sah dalam perundangan. Golongan terbabit disebut sebagai stateless.
Mereka tiada kad pengenalan, tiada pasport dan tiada negara yang mengaku mereka sebagai rakyat.
Apa yang menyedihkan, nasib malang mereka tidak terhenti di situ saja. Anak-anak tanpa kewarganegaraan itu juga tiada peluang.
Bukan hanya dalam soal pendidikan, kesihatan dan pekerjaan, tetapi juga dalam sukan.
Sedangkan sukan sepatutnya menjadi ruang untuk penyatuan dan harapan.

Sejarah membuktikan bahawa sukan bukan sekadar tempat mengejar pingat. Ia juga menjadi titik perubahan dalam kehidupan seseorang – termasuk dalam mendapatkan pengiktirafan sebagai manusia yang sah.
Salah satu kisah menginspirasikan datang dari Chiang Mai, Thailand.
Pada 2008, Mong Thongdee, kanak-kanak berusia 11 tahun itu, memenangi pertandingan kapal terbang kertas peringkat kebangsaan.
Ketepatan lontarannya mengagumkan juri sehingga dia dipilih mewakili Thailand ke Kejohanan Kapal Terbang Origami Dunia di Jepun.
Namun, Mong berdepan masalah besar – dia tidak diiktiraf sebagai warganegara. Meskipun lahir dan membesar di Thailand, Mong anak migran etnik Shan dari Myanmar.
Ketiadaan dokumen sah hampir menggagalkan penyertaannya. Isu itu tular sehingga Perdana Menteri Thailand campur tangan dan mengarahkan pasport sementara dikeluarkan untuk Mong.

Kanak-kanak itu akhirnya berlepas ke Jepun dan pulang kemudiannya dengan kejayaan. Dia menduduki tempat ketiga dunia kategori “Ketepatan”. Namun, bertahun-tahun selepas itu, Mong kekal sebagai stateless.
Hanya selepas gelombang simpati awam yang panjang, barulah kerakyatan diberi buat Mong pada 2018. Ia berlaku hampir sedekad selepas dia mengharumkan nama Thailand.
Terbang tinggi harumkan negara
Menariknya, pemberian itu dibuat selepas insiden penyelamatan pasukan bola sepak Wild Boars yang terperangkap di Gua Tham Luang. Seluruh dunia menyaksikan misi menyelamat 13 nyawa yang terperangkap selama 15 hari yang amat mendebarkan.
Jarang diketahui, empat daripada mereka yang terkurung itu – termasuk jurulatih pasukan berkanan – juga adalah individu stateless.
Seorang daripada mereka ialah Adul Sam-on, remaja 14 tahun yang menjadi penghubung penting dengan pasukan penyelamat British kerana kebolehannya berbahasa Inggeris.
Adul – anak tanpa kerakyatan dari pedalaman sempadan Thailand dan Myanmar - menjadi penghubung antara dunia luar dan rakan-rakannya yang terkepung di perut bumi.
Ketika rakan-rakan lain hanya mampu diam dalam cemas, Adul menyelamatkan keadaan.

Selepas kejadian itu, kerajaan Thailand memberikan kerakyatan kepada semua empat individu berkenaan termasuk Adul.
Namun kisah Adul tidak berakhir di situ. Dia kemudian ditawarkan biasiswa penuh di The Masters School, sebuah program di Cornell University, AS.
Daripada seorang remaja yang pernah hidup terpinggir tanpa dokumen, Adul terus terbang tinggi mengharumkan nama negaranya. Dia kini sedang melanjutkan pengajian di Middlebury College, Vermont dan merupakan di antara pelajar terbaik di sana.
Lalu menjadi bukti bahawa peluang menjadi warganegara yang sah mampu mengubah banyak keadaan.
Sudah tentu, tidak semua akan bersetuju dengan naratif ini. Ada yang berpandangan bahawa kewarganegaraan bukan sesuatu yang boleh diberi atas dasar simpati atau bakat semata-mata.
Golongan terbabit khuatir, pemberian kad pengenalan melalui sukan akan membuka ruang kepada tuntutan tidak terkawal, eksploitasi atau penyalahgunaan.
Dalam konteks Malaysia, perlembagaan sebenarnya memberi ruang di bawah Perkara 15A untuk pertimbangan khas.
Cuma ia bergantung kepada keberanian dasar dan kesanggupan politik untuk mengiktiraf bakat luar biasa sebagaimana negara lain telah lakukan.
Anak imigran juga boleh berjasa
Negara berhak menetapkan syarat dan proses tapisan. Tetapi kita juga perlu akui bahawa kewarganegaraan bukan sekadar soal undang-undang, ia juga berkait rapat dengan keadilan dan kemanusiaan.
Pertubuhan hak pendidikan seperti Borneo Komrad dan Cahaya Society pernah mendedahkan bagaimana anak-anak tanpa negara yang berbakat serta berpotensi untuk mengharumkan nama negara tidak dapat menyertai kejohanan sukan kerana tidak boleh didaftarkan.
Realitinya, banyak permohonan kerakyatan – terutama bagi anak stateless yang lahir di Malaysia – tersangkut bertahun-tahun akibat kerenah birokrasi dan pengurusan kes yang tidak sistematik.
Ironinya, kita mudah memberi kad pengenalan kepada pemain bola sepak atas ‘lesen’ warisan dan naturalisasi demi ranking Fifa. Malah kita sambut mereka sebagai wira tanpa banyak soal.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh memulakan inisiatif bersasar seperti pemberian pas penyertaan sukan kepada anak-anak tanpa kerakyatan.
Penubuhan unit khas dengan kerjasama antara kementerian boleh melaksanakan mekanisme penilaian berasaskan merit yang jelas untuk dijadikan sebagai salah satu laluan sah ke arah naturalisasi.

Cadangan ini sama sekali tidak berniat untuk melangkau aspek perundangan. Tetapi keberanian politik dan empati sosial juga penting dalam menentukan hala tuju dasar negara.
Di Thailand, Mong Thongdee dan Adul Sam-on membuktikan bahawa status mereka bukan penghalang untuk menyinar dan membanggakan negara.
Negara-negara maju juga menyaksikan bagaimana anak-anak pelarian dan imigran akhirnya menyumbang besar dalam bidang sukan, sains dan ekonomi.
Dalam negara kita juga pernah ada Nurul Arini Abdullah yang diberikan kad pengenalan selepas muncul sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malaysia tidak akan rugi jika bersikap lebih terbuka dan berani mengiktiraf bakat luar biasa meskipun lahir daripada kelompok yang tidak diiktiraf sistem.
Benar, pendekatan ini tidak akan menyelesaikan keseluruhan isu lambakan stateless di negara ini. Tetapi ia adalah langkah kecil yang bermakna besar – agar anak stateless yang berbakat tidak terus terkubur peluangnya.
Di Pulau Omadal, impian Bikuin dan anak-anak Bajau Laut lain untuk menyarung jersi Malaysia kekal berlabuh di pesisiran angan-angan.
Bukan kerana mereka kurang bakat, tetapi kerana ketiadaan dokumen yang mengiktiraf kewujudannya di tanah ini meskipun komuniti mereka telah jauh berakar di perairan Laut Sulu sebelum wujudnya garis sempadan yang dicipta manusia.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
