Paling Popular
Terkini

Syarahan ringkas selama 70 minit yang disampaikan mufti Wilayah Persekutuan pada 3 Ogos lepas mengundang pelbagai reaksi, sebahagiannya cukup negatif. Tanggapan negatif terhadap ustaz Fauwaz Fadzil mengenai usrah, ilmu haraki, judi dan tudung lebih menonjol daripada mukadimah kuliahnya mengenai fiqh al-mizan selama 17 minit. 

Seolah-olahnya peringatan beliau tentang pentingnya kepakaran mendalam untuk membina tamadun dan negara diabaikan sama sekali. Apabila bahagian ini tidak diselami atau gagal difahami, maka semua penjelasan beliau tidak disandarkan kepada teras penghujahannya. Sebaliknya pengguna media sosial terjun bertarung tentang usrah, judi atau kewajipan bertudung. 

Teguran ustaz Fauwaz terhadap kegiatan usrah, ilmu haraki dan berceramah dianggap kenyataan memperkecilkan kegiatan tersebut. Walau beliau tidak menyebut parti politik atau gerakan Islam, pengikut kegiatan usrah dan peminat ilmu haraki khasnya daripada PAS cepat terasa. Maka mereka segera mempertahankan peri mustahaknya kegiatan asasi harakah Islam. 

Mereka sudah lupa kenapa mufti tersebut meletak ilmu haraki, usrah dan harakah Islam lebih bawah. Apabila gagal menekuni mukadimah selama 17 minit itu, pengkritiknya gemar mengambil hujah ustaz Fauwaz secara serpihan termasuk betapa kurang pentingnya usrah atau ilmu haraki.

Mereka lupa, beliau pada awal-awal lagi mengkritik sistem pengajian Islam moden yang tidak membentuk cendekiawan Islam yang mendalam hingga ke peringkat mujtahid. Sebahagian graduan pengajian Islam tidak menguasai seni berbahasa Arab, mantiq, usul fiqh dan teks turath (teks klasik yang wibawa). 

Fauwaz Fadzil

Jadi, bukan sahaja usrah dan ilmu haraki yang ditegur oleh ustaz Fauwaz. Beliau menekankan sikap sayangkan ilmu ke arah pembinaan negara pada masa kini. Tetapi ilmu tersebut mestilah bersumberkan kitab-kitab tonggak dalam tamadun ilmu Islam dan juga ilmu alat (seperti bahasa dan logik). Maksud beliau, penuntut agama harus beri tumpuan utama ke arah ini, bukannya terlalu asyik dengan usrah dan ilmu haraki. 

Awal-awal lagi dalam rakaman siaran langsung di Facebook, beliau menyebut umat Islam kehilangan metodologi mendalami agama walau banyak maklumat dan pengetahuan. Yakni kerangka asas binaan ilmu agama yang sudah tidak diberatkan lagi. Namun, beliau tidak menolak pengajian moden tetapi ditegaskan pendekatan itu tidak cukup, malah berisiko. 

Ustaz Fauwaz juga menyebut buku-buku pandangan sarjana Islam kini tidak memadai untuk sampai kepada tonggak ilmu-ilmu asasi dalam agama. Buku-buku yang dimaksudkan itu diolah daripada pandangan-pandangan yang tidak berteraskan teks utama. Jadilah, pandangan di atas pandangan, nukilan demi nukilan. Tetapi mengabaikan ilmu usul atau teks utama yang menjadi teras binaan kerangka ilmu Islam. 

Tertipu dengan markah 4.0

Malah, tegasnya lagi, walaupun seseorang menghafal al-Quran dan hadis, semua ini tidak cukup kalau tidak dilengkapkan dengan teks teras ilmu utama khasnya 12 bidang yang membolehkan penuntut agama itu memahami dengan mendalam. "Akhirnya mereka tertipu dengan markah 4.0 dan anugerah dekan tetapi tidak boleh baca kitab Arab," katanya pada minit keenam. 

Selain menekan kaedah talaqqi, dengan tidak meninggalkan kaedah moden, beliau mengingatkan pentingnya ilmu pokok itu: usul fiqh, mantiq, balaghah, fiqh mazhab, ilmu maqasid atau fiqh al-mizan. Malah, sebagai perbandingan peri pentingnya ilmu teras ini, beliau berkata perbahasan tentang bidaah misalnya boleh dipelajari dalam masa sehari sahaja! 

Tentunya, dalam konteks ini, ustaz Fauwaz tidaklah mengatakan pengajian tentang bidaah atau menghafal al-Quran itu tidak penting tetapi ilmu teras agama yang mendalam bersama kecerdasan berfikir untuk memahami keadaan semasa tamadun itu lebih-lebih utama. Dalam semangat inilah, beliau meletakkan ilmu haraki dan kegiatan usrah berada di anak tangga lebih rendah. 

Beliau menekankan mekanisme menjadi alim, seperti saranan profesor usul fiqh terkenal Farid al-Ansari, bukannya membaca kitab semasa. Malah, pada minit kesembilan, ustaz Fauwaz membuat perbandingan "walaupun kamu membaca kitab Halal wal Haram 1,000 kali pun, kamu tidak akan jadi alim. Kamu hanya jadi seseorang yang bermaklumat, musaqqah". 

Selepas inilah beliau berpesan jangan berlebih-lebihan terlibat dengan usrah kerana kegiatan ini tidak membina ilmu. Beliau tidak melarang dan tidak memperkecil usrah tetapi mendorong agar penuntut pengajian Islam lebih menekuni ilmu pokok-pokok agama. Dalam tempoh lima minit, beliau berhujah termasuk bertanya, "cuba tunjukkan kepada saya, satu usrah yang melahirkan ulama. Ada atau tidak?". 

Malah beliau berhujah bahawa ulama haraki, atau agamawan dalam pergerakan Islam, bukannya seorang ulama. "Sebab haraki tidak ada manhaj (metodologi), ... tidak ada daripada usul, tidak ada daripada manhaj ilmu. Tiada dalil-dalil yang menunjukkan (teori) haraki itu adalah ilmu. Ia hanyalah saqafah, pengetahuan am. Semua orang boleh jadi haraki (aktivis gerakan Islam)." 

Menarik lagi, ustaz Fauwaz lebih menghargai bidang falsafah Barat dan Islam yang menyumbang ketajaman berfikir ke arah membina tamadun dan negara. Falsafah al-Ghazali, Aristotle dan Ibnu Rushd "lebih baik daripada membaca teks haraki yang tidak membina hadharah." 

Ucapannya itu segera mengingatkan pada artikel lama saya "Di bawah mendung usrah" dalam buku Pengalaman Bertuhan (2007). Selain mengkritik usrah, saya mencadangkan sejumlah judul penting termasuk teori ilmu dan falsafah. 

Cuma, sayang sekali, pengguna media sosial yang menghentam atau memperkecilkan mufti ini tidak faham jalur penghujahannya. Selain rasa tercabar kerana sudah lama terlibat dalam usrah, mereka mungkin sekali tidak pernah tersentuh dengan isu-isu teori ilmu, debat teori sains atau aliran filsafat dalam Islam. 

Misalnya A History of Islamic Philosophy (Majid Fakhry), The Counter-Revolution of Science: Studies on the Abuse of Reason (Friedrich August Hayek), Classification of Knowledge in Islam (Osman Bakar) atau Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik (Shaharir Mohammad Zain), sekadar menyebut empat buku asas yang ditulis dalam artikel saya hampir 20 tahun lalu. 

Apabila orang yang tidak cerdas bertembung dengan mufti yang lebih progresif, maka muncullah sikap buruk seperti terpampang di bahagian komen video siaran langsung di Facebook Markaz Alqarahdaghi, merujuk Dr Ali Muhiddin Al-Qaradaghi, ketika ustaz Fauwaz menghuraikan kitab Fiqh al-Mizan karangan tokoh ulama mujtahid itu. Semua ini, pada hemat saya, bayangan tragedi umat Islam buat sekian lama.  


FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS