KOLUM | Tiba-tiba kita terbaca berita Presiden Perancis, Emmanuel Macron membuat kenyataan untuk mengiktiraf negara Palestin di persidangan tahunan PBB September ini. Ini diikuti pula oleh kenyataan yang sama dari Perdana Menteri Britain, Keir Starmer. Selang beberapa hari, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pula membuat kenyataan yang sama.
Dari mata kasar kelihatan politik Palestin, politik Arab dan suasana politik Timur tengah akan berubah. Agenda kemerdekaan Palestin kini kembali ke PBB. Niat dan cita-cita arwah Yasser Arafat dan arwah Yitzhak Rabin untuk mendirikan dua negara – Palestin dan Israel – kini akan tercapai.
Agenda: Two States Solution – atau Penyelesaian Dua Negara – yang telah ditandatangani oleh Yasser Arafat dan Yitzhak Rabin semasa Perjanjian Oslo kini mara ke hadapan.
Perjanjian Oslo adalah perjanjian damai sementara antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), ditandatangani pada tahun 1993 (Oslo I) dan 1995 (Oslo II). Perjanjian ini bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin melalui rundingan.
Berita dari Paris, London dan Kanada ini di sambut pula oleh berita dari New York. Dilaporkan telah berlaku Persidangan Perhimpunan Agung peringkat tinggi mengenai Palestin pada 28 hingga 30 Julai lalu. Persidangan ini bertujuan memajukan realisasi dua negara merdeka - Israel dan Palestin.
“Negara anggota PBB ada masa sehingga awal September untuk mengesahkan dokumen itu jika mereka mahu,” kata wakil Arab Saudi yang menangguhkan persidangan tersebut.
Wakil negara kita di PBB telah berkata: “Adalah tidak boleh diterima sama sekali bahawa 78 tahun sejak penerimaan resolusi Perhimpunan Agung 181, hanya satu daripada dua negara telah menikmati kemerdekaan dan keahlian penuh PBB, manakala satu lagi - Negara Palestin - terus dinafikan…”

Wakil Australia bersama 14 negara lain yang memanggil diri mereka sebagai New York Call berkata, “...bahawa pengiktirafan Negara Palestin adalah langkah penting untuk penyelesaian dua negara".
Israel mesti terlibat dalam soal kenegaraan Palestin. "Dunia sedang bergerak dan penyelesaian dua negara adalah penting untuk keselamatan jangka panjang Israel," kata wakil Australia.
Daripada apa yang kita baca tentang perkembangan ini, nampaknya jalan penyelesaian telah direntas. Justeru pada September yang akan datang ini PBB akan mengadakan persidangan tahunan. Sebanyak 193 negara anggota PBB akan membuat pilihan sama ada menyokong atau menolak dokumen ketetapan Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara yang baru di buat di New York ini.
Saya sendiri memberi perhatian rapi tentang perkembangan Palestin. Ini kerana dari segi sejarah peribadi - kesedaran politik antarabangsa saya muncul daripada perjuangan Palestin dan Vietnam. Dua negara ini memberi saya kuliah politik tentang makna penjajah dan imperialisme. Kesedaran pandangan dunia politik saya ini berkembang ketika saya di universiti.
Hati dan jiwa saya rapat dengan Palestin kerana pada 1975 saya sampai ke Lebanon dan terlibat bersama anak mahasiswa Palestin dalam usaha untuk memperluaskan agenda Palestin ke medan pelajar dan mahasiswa di Asia Tenggara melalui Asian Students Association (ASA).
Pada 1977 sekali lagi saya sampai ke Lebanon. Kali ini saya memberi khidmat di pejabat media PLO. Kami menerbitkan majalah Palestine Today.

Ketika itu saya berpayung di bawah jaringan pasukan Al-Fatah di Beirut, Lebanon. Al-Fatah adalah salah satu daripada beberapa kumpulan Palestin yang mengangkat senjata berjuang untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis Israel.
Saya masih ingat lagi Piagam Al- Fatah. Pertama: Berjuang untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan dengan mengangkat senjata. Kedua: Mendirikan Negara Palestin yang bebas merdeka dan demokratik, di mana Arab dan Yahudi boleh hidup bersama dalam sebuah negara Palestin.
Dua garis politik ini meyakinkan saya bahawa masa depan Palestin hanya akan terjamin dengan perjuangan bersenjata yang didukung oleh PLO.
Wajib juga saya nyatakan disini yang ketika saya di Beirut, bukan hanya Al-Fatah pimpinan Yasser Arafat yang berjuang mengangkat senjata. Ada PFLP – Popular Front for Liberation of Palestine di bawah pimpinan Dr George Habash. Ada PFLP - General Command di bawah pimpinan Ahmad Jibril.
Semua gerakan pembebasan Palestin menyokong garis angkat senjata – bergerila - untuk membebaskan Palestin. Garis ini jugalah yang menjadi pedoman PLO yang semakin banyak mendapat sokongan rakyat dunia.
Bila saya membaca kembali portal PBB saya menemui nama Malta. Ini negara di Laut Mediterranean yang juga menyokong kemerdekaan Palestin.
Malta menjadi negara terbaru yang mengumumkan hasratnya untuk mengiktiraf Negara Palestin, dengan wakilnya menyatakan bahawa pengiktirafan rasmi akan diberikan pada sesi perhimpunan agung PBB yang akan datang.
Wakil Malta berkata keputusan ini sebagai "langkah konkrit ke arah merealisasikan keamanan yang adil dan berkekalan”...diikuti dengan "kesediaan politik untuk berunding dari kedua-dua pihak".
Nampaknya amat positif hingga saya terbaca: "Hamas tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada persamaan dalam tadbir urus Gaza pada masa hadapan", tambah wakil dari Malta ini.

Pada 30 Julai 2025, akhbar The Times of Israel melaporkan: Negara-negara Arab dan Islam, termasuk Arab Saudi, Qatar, Mesir, Jordan dan Turki, menandatangani deklarasi yang mengutuk serangan Hamas buat kali pertama pada 7 Oktober 2023, dan menyeru kumpulan pengganas Palestin untuk membebaskan semua tebusan yang ditahannya, melucutkan senjata dan menamatkan pemerintahannya di Gaza, dalam usaha untuk menamatkan perang yang dahsyat di Semenanjung Gaza.
Pada ketika ini telah ada 17 negara, ditambah dengan 22 anggota Liga Arab dan seluruh Kesatuan Eropah, yang menyokong dan bersetuju untuk menyokong dasar penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin pada persidangan tahunan PBB September nanti.
Apa yang jelas lagi terang ialah langkah mengetepikan Hamas. Memastikan Hamas tidak ada peranan dalam mendirikan negara Palestin. Memaksa Hamas melucutkan senjata.
Bila saya membaca dan melihat perkembangan terbaru ini, maka saya mengingat kembali sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Saya teringat akan Angkatan Wanita Sedar (Awas), Angkatan Pemuda Insaf (API) , Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Inilah kumpulan yang meneroka garis perjuangan untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah Inggeris.
Gerakan dan kumpulan ini jugalah yang mengajukan perjuangan bersenjata sebagai cara untuk merdeka dan menghalau Inggeris keluar dari Tanah Melayu.
Apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang ini telah pernah dilakukan oleh kuasa kolonial Inggeris. Taktik dan strategi kuasa penjajah masih sama. Pecah dan perintah. Sokong, angkat dan nobatkan yang belot untuk dijadikan barua.

Di Tanah Melayu dulu, Inggeris menubuhkan United Malays National Organisation (Umno). Parti ini dibantu, disokong dan diberi dana agar dipastikan akan mengambil alih dari Inggeris. Gerakan nasionalis pembebasan rakyat Malaya yang mengangkat senjata dicap sebagai pengganas komunis
Inilah yang sedang berlaku kepada Hamas. Gerakan pembebasan Palestin yang mengangkat senjata ini dituduh pengganas. Kalau zaman kolonial, perjuangan bersenjata akan dicap sebagai pengganas Komunis. Kali ini gerakan bersenjata untuk melawan penjajah Zionis Israel akan dicap pengganas Islam.
Jelas dapat dibaca bahawa kuasa imperialis Anglo-Amerika sedang merancang untuk memastikan perjuangan bersenjata menentang Zionis Israel akan dipadamkan.
Dari awal lagi kita melihat bagaimana kuasa imperialis Anglo-Amerika bersama Kesatuan Eropah bersekongkol untuk menyokong dan memberi dana kepada apa yang dipanggil sebagai Pihak Berkuasa Palestin yang dikepalai oleh Mahmud Abbas.
Kita juga melihat bagaimana Al-Fatah dimandulkan. Daripada menjadi gerakan popular yang mengangkat senjata melawan Zionis, Al-Fatah kini telah meninggalkan garis perjuangan bersenjata.
Tidak cukup sekadar meninggalkan perjuangan bersenjata, Al-Fatah dan PLO juga dijadikan barua dan mata-mata Zionis Israel. Al-Fatah bekerja mengintip dan menangkap sesiapa saja – individu atau kumpulan yang mengangkat senjata melawan Israel.
Perkara sama pernah berlaku di Tanah Melayu. Parti United Malays National Organization menjadi alat Inggeris untuk menumpaskan para pejuang nasionalis yang mengangkat senjata melawan Inggeris.
API, Awas, PKMM dan PKM bangun melawan Inggeris. Manakala Umno bangun melawan sesiapa saja yang bangun melawan Inggeris. Ini fakta sejarah.

Apa yang telah berlaku di Tanah Melayu telah, sedang dan akan berlaku di Palestin.
Kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini?
Sila baca berita terkini dan terbaru. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah mengarahkan tentera dan soldadu Israel untuk terus masuk ke Gaza. Arahan terbaru daripada Netanyahu ini bertujuan memastikan Gaza dikosongkan dari warga Arab Palestin.
Apakah ini memeranjatkan kerana pada September ini PBB akan mengiktiraf negara Palestin? Jangan terperanjat kerana semua ini adalah dalam perancangan licik untuk memastikan Palestin terus dijajah.
Apa yang sedang dirancang ialah untuk memastikan akan berlaku perang saudara di Palestin. Hamas yang mahu diketepikan akan terus dicap pengganas Islam. Senjata dan bantuan akan diberikan kepada Al-Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin untuk memburu Hamas.
Wajib diketahui bahawa arahan Netanyahu untuk mengambil alih keseluruhan Gaza telah mendapat lampu hijau daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Justeru pada hemat saya, Penyelesaian Dua Negara ini hanyalah teater. Teater di New York, teater bulan September ini hanya bertujuan memastikan projek Greater Israel, atau Israel Raya, diteruskan.
Apa projek Israel Raya ini? Sila tunggu minggu hadapan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
