Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | "Musim pitching ni kena jaga-jaga. Kadang-kadang ada orang menyamar jadi wakil mintak macam-macam. Konon dia boleh luluskan tiga empat drama untuk siaran.

"Tapi kena bagi 20 persen laaa," cerita sahabat kami yang terlibat dalam dunia penyiaran sambil minum kopi yang dia bayar sendiri.

Kawan kami itu pemilik produksi kecil yang sedang merangkak ke pintu stesen tivi.

Mengapa dia membuat dakwaan itu kepada kami, tidaklah dapat kami pastikan. Mungkin sebagai ingatan kepada diri sendiri saja agar tidak masuk ke dalam kejahatan yang sedemikian rupa.

Kami diam. Entah tohmah entah fitnah, fikir kami. Namun begitu dalam dunia yang penuh dengan kilauan cahaya, kadangkala ada bayang-bayang gelap yang tak pernah masuk ke bingkai kamera.

Kami mendengar tohmahan itu dengan hati-hati. Dengan kepala sedikit senget, mata separuh terbuka, dan hati yang separuh percaya.

Kita yang tidak terlibat secara langsung dalam dunia tersebut memang tidak ada bukti. Dan jika ada bukti sekali pun, hendak dibawa ke mana? Ke surau yang penuh dengan produser juga?

Atau ke pejabat syarikat produksi yang ketuanya sedang berangan-angan untuk bercuti keluar negara hasil dua siri drama 13 episod?

Dunia yang kononnya suci

Dalam masyarakat kita, makan suap bukan lagi isu integriti. Ia sudah menjadi budaya pop. Ia sudah menjadi sebab ‘cari makan’.

"Hidup ini keras bang, Kerajaan jahat, barang mahal. Terpaksa laa bang," kata mereka menjual alasan supaya kerja jahat masing-masing itu ada landasannya sehingga tidaklah mereka rasa berdosa sangat.

Yang tak makan, dianggap bodoh; yang menolak, dikata sombong. Dan yang membongkar? Akan disenaraihitamkan lebih cepat daripada sinopsis drama yang dihantar melalui e-mel selepas waktu pejabat.

Semua orang yang diberi tanggungjawab seolah-olah sudah tidak lagi boleh membezakan antara "kerja" dan "kemudahan mengambil kesempatan".

Seperti guru yang meminta hadiah, atau seperti pegawai yang minta untuk "tengok-tengokkan proposal saya ya" itu.

Dan seperti wakil pitching palsu yang boleh menjanjikan slot siaran dengan bayaran 20 peratus daripada bajet.

Gambar hiasan

Paling sedih, semua itu berlaku dalam dunia seni - sebuah dunia yang kononnya suci, memiliki jiwa, dan penuh ilham rasa. Tapi siapalah yang peduli jiwa kalau bajet tidak lulus?

Siapa peduli idea kalau pelulusnya mahu 'makan' dulu?

Bayangkan kalau suatu proposal itu - yang digarap dengan air mata, peluh, dan tidur yang tidak cukup - kemudian dikatakan "lemah" kerana ia tidak datang bersama wang pelincir. Sementara itu, satu proposal lain - yang tidak lebih daripada sekadar salinan siri drama bikinan Korea Selatan pada 2001 - berjaya menambat hati penilai.

Semuanya kerana ia dihantar bersama bungkusan 'buah tangan'.

Kita ini tidak lagi hidup pada zaman tokoh yang senang sederhana dan ada sedikit rasa takut akan Tuhan. Kita sekarang hidup pada zaman prinsip digadaikan untuk rating.

"Bang, boleh ejas?"

Soalan itu berlegar dalam kepala semua karyawan seni. Jawapannya? Hanya diketahui oleh mereka yang sudah cukup lama untuk tahu siapa yang boleh disapa dan siapa yang patut dielak sewaktu musim pitching.

Ramai pilih jalan sendiri

Sementara itu, kami hanya mampu menggelengkan kepala. Bukan kerana tidak mahu bersuara, tetapi kerana sudah terlalu biasa melihat yang lantang ditolak, dan yang tunduk disambut dengan pelukan mesra lagi hangat.

Maka tertulislah satu lagi skrip: yang tak masuk produksi, tak difilemkan, tapi tetap berulang-ulang dimainkan di kedai makan waktu tengah malam atau di kafe hipster tempat para pengarah baru cuba menyambung hayat.

"Bagi muka sikit laa bang. Member baru nak cuba... cari makan."

Ia ayat yang sama sejak 1997. Cuma member berkenaan kini hadir membawa iPad Pro dan bercakap pasal AI dalam sinopsis mereka. Tapi kalau tak 'hulur' skrip mereka tetap tinggal sejarah dalam fail Google Drive yang tak pernah dibuka semula.

Dan di sinilah tragedi bermula. Bakat ditolak, prinsip dipijak, dan seni itu sendiri  tidak lebih daripada produk komersial yang hanya pentingkan siapa kenal siapa.

Justeru tidak hairanlah kalau anak seni kita semakin ramai yang memilih jalan sendiri. Yang tinggal dalam dunia penyiaran hanya yang mampu bertahan dengan dua muka: satu untuk pitching, satu untuk bertafakur selepas proposal ditolak.

Karyawan terpilih yang lulus pula bukan kerana mutu, tetapi kerana mesra dengan pejabat belakang tabir. Dan mereka yang tahu bila hendak hantar hadiah, bila perlu tanya khabar anak isteri pegawai penilai, dan pakar dalam ilmu hulur menghulur.

Nanti jika drama mereka menang anugerah, pertama yang disebut ialah nama Tuhan. Bersyukur mereka atas kurniaan-Nya dan kemudian bercerita tentang kejujuran dalam berseni.

Jenis muka tidak tahu malu.

Sungguh, tidak ada yang lebih keji daripada menjadikan nama Tuhan sebagai penutup kepada kerja jahat. Tetapi itulah kita.

Kita tidak mencuri, kita 'mengatur'. Kita tidak merasuah, kita beri ‘tanda terima kasih'. Kita tidak memilih bulu, cuma 'ada kriteria tersendiri'.

Dalam dunia yang penuh bahasa tersirat ini, kebenaran ditulis dengan huruf kecil, dan kepalsuan dibingkai besar-besar dalam billboard sewaktu raya.

Nanti apabila drama keluar tivi, kamu pun marah kerana kata kamu klise sana klise sini. Cerita sama yang diulang-ulang dengan pelakon yang lebih kayu daripada bangku.

Walhal puncanya ialah kamu sendiri yang rela menghulurkan ‘sokongan’ atas nama mencari makan.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang yakin dia memiliki bakat lakonan yang gagal dikesan oleh ramai orang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS