Tiada siapa menduga kematian Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, mengundang ledakan simpati luar biasa. Juga ledakan maklumat keliru, tohmahan dan spekulasi tidak berasas hingga mencetuskan semacam "histeria" dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Dalam kekagetan sosial itu, maka ramai orang menyertai perhimpunan dan juga hadir ke majlis solat hajat.
Tohmahan luar biasa itu sudah dinafikan lebih awal, sama ada melibatkan isteri seorang timbalan menteri atau ahli keluarga seorang kenamaan di Sabah. Siasatan polis kemudiannya mendedahkan tohmahan itu tidak benar, tiada orang kenamaan terlibat dalam kematian ini. Namun apakah orang percaya?
Ledakan maklumat keliru itu pula tidak segera ditenangkan oleh agensi kerajaan atau pemimpin negara. Jurang masa itu diisi dengan pelbagai maklumat palsu seperti mangsa dimasukkan di dalam mesin basuh atau konon wujud bukti rakaman video. Susulan itu, sebanyak 15 kertas siasatan dibuka terhadap pelbagai maklumat salah, termasuk wanita yang mendakwa mangsa dibuli dalam mesin basuh.
Daripada laporan mati mengejut pada 16 Julai hingga permohonan ibunya Noraidah Lamat tidak mengadakan bedah siasat keesokannya, tiba-tiba muncul dakwaan liar yang menggelisahkan orang ramai beberapa hari kemudian. Naratif yang terselindung di balik keresahan ini tidak lain dan tidak bukan, konon ada orang kenamaan terlibat dan pihak-pihak berkenaan cuba menutup kes ini.
Oleh kerana warga Malaysia sudah sering mendengar macam-macam cerita negatif tentang kerajaan, pemimpin politik dan pihak berkuasa yang menghilangkan keyakinan mereka (crisis of credibility), masyarakat terus pergi ke satu sisi melampau lagi, mudah percaya pada sumber-sumber yang meragukan, tiada asas dan tidak sahih (crisis of credulity).
Sesiapa yang paling awal menanam keraguan pada pihak berwajib -- seperti polis, media dan hospital -- akan dapat menanam keresahan ini lebih panjang dalam fikiran masyarakat. Bukan sahaja kematian Zara Qairina tetapi juga insiden kebakaran paip gas di sebelah Taman Putra Harmoni pada April lalu.
Dalam insiden mengejutkan pada hari raya kedua itu, orang ramai mula mempertikai media yang dikatakan bersekongkol dengan kerajaan. Mereka mendesak nama pemaju didedahkan. Mereka menunjukkan video-video jengkaut berada di kawasan laluan paip dan juga konon tanah itu sudah diceroboh oleh pemaju. Warga internet menyiasat, mendakwa dan menghakimi sendiri kejadian tersebut.
Bagi mereka yang termakan umpan naratif palsu ini, walau paip di tengah yang terbakar akibat tanah mendap, mereka sudah tidak dapat menerima hasil siasatan tersebut yang dibentang 30 Jun lalu. Walau ditunjukkan paip di tepi, paling dekat dengan lot kedai yang sedang disiapkan, tidak rosak tetapi mereka masih mempersoal tentang nama pemaju dan jengkaut!
Jika dapatan inkues tak ikut selera
Krisis mudah percaya ini disebut dengan tepat oleh Jelani Cobb, dekan kewartawanan Universiti Columbia, pada 10 Mac lalu:
"Our problem is not simply that the public does not trust us, it’s that they do trust other dishonest brokers. We are not just witnessing a crisis of credibility, we are experiencing a crisis of credulity as well."
(Terjemahan: Masalah kita bukan sekadar orang ramai tidak mempercayai kita [media], tetapi mereka mempercayai pihak lain yang tidak jujur. Kita bukan sahaja sedang menyaksikan krisis kepercayaan, tetapi kita juga sedang mengalami krisis mudah percaya membabi buta.)
Dilema yang sama mungkin berlaku pada kes Zara Qairina jika siasatan polis dan dapatan inkues nanti tidak mengikut selera mereka. Yakni, orang sudah tidak dapat menerima fakta sahih tetapi tetap berpegang pada naratif awal: ada ahli keluarga orang kenamaan terlibat dan kerajaan cuba menutup di bawah karpet! Mereka lebih mudah percaya pada sesiapa sahaja yang mengulas di media sosial tanpa menyemak wibawa sumber itu atau kesahihan maklumat yang didakwa.
Apa sebab, bagaimana dan kenapa krisis mudah percaya ini boleh menjangkiti masyarakat kita? Pelbagai penjelasan boleh kita agak dan semak tetapi tidak lari daripada sejumlah faktor di bawah:
1. hilang percaya pada pemimpin negara, agensi kerajaan dan media kerana sering sebar maklumat berat sebelah, tidak telus dan tidak jujur. Misalnya sewaktu negara berdepan skandal kewangan terbesar 1Malaysia Development Berhad yang menjejaskan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga polis. Putar belit media konvensional selama berdekad-dekad menghakis rasa percaya pada institusi rasmi. Datang media sosial yang bebas, masyarakat tenggelam dalam arus kebanjiran maklumat.
2. ledakan maklumat di hujung jari dipengaruhi algoritma media sosial yang mengutamakan kandungan yang mencetuskan emosi, bukan ketepatan, lalu menyebarkan maklumat salah. Selain itu, ruang gema atau gelembung rangkaian kenalan pengguna media sosial hanya mengukuhkan kepalsuan tanpa dicabar pandangan berbeza. Lagipun, akibat psikologi "confirmation bias", orang lebih yakin pada dakwaan yang disebar ramai orang daripada suara-suara rasional yang sedikit.
3. akibat gejala ini, tersebar meluas pelbagai tanggapan karut atau "teori konspirasi" seperti antivaksin atau gerakan bumi rata. Dalam keadaan tidak mampu berfikir kritis, menyemak dan mengkaji semula, pengguna media menelan apa sahaja yang dianggap logik atau munasabah termasuklah dakwaan mangsa dimasukkan di dalam mesin basuh! Tidak penting lagi logik atau tidak, yang penting percaya dahulu.
Gejala ini serius dan boleh merosakkan negara tetapi masyarakat kita nampaknya tidak mahu menyelidik lebih mendalam gejala maklumat palsu yang dibincang panjang lebar sejak 10 tahun dahulu lagi ketika presiden Donald Trump menang pada penggal pertama dan juga kekagetan sewaktu pungutan suara Britain keluar dari Kesatuan Eropah (Brexit) pada 2016.
Masyarakat kita juga tidak mendalami keresahan yang cuba disampaikan beberapa pengarang ini: Mindf*ck: Inside Cambridge Analytica’s Plot to Break the World (oleh Christopher Wylie), The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for a Human Future at the New Frontier of Power (Shoshana Zuboff) dan The Anxious Generation: How the Great Rewiring of Childhood Is Causing an Epidemic of Mental Illness (Jonathan Haidt).
Selagi mana kita tidak memahami gejala krisis mudah percaya membuta tuli, selagi itulah kita mudah terperangkap dalam histeria awam seperti kita saksikan dalam kes Zara Qairina.
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
