KOLUM | Ibu mentua saya sering bercerita tentang kehebatan pidato Khatijah Sidek semasa dia bertanding untuk menjadi Ahli Parlimen Dungun dalam PRU 1959.
Dia menjadi calon atas tiket PAS.
Walaupun Khatijah bukan berasal dari Terengganu dan tidak berdialek tempatan, dia diterima sebagai pemimpin yang mewakili pengundi di Dungun.
Ibu mentua saya pula ialah aktivis PAS di kawasan tersebut sejak muda.
Awalnya, Khatijah merupakan ketua Kaum Ibu Umno dan dia sendiri berperanan mewujudkan sayap tersebut dalam parti tersebut.
Dalam Persidangan Agung Umno 1953, dia menuntut supaya kaum ibu diberikan hak mengundi dan bilangan wakil mereka di peringkat kebangsaan pula ditambah.
Ketika itu, pandangan dan tindakan Khatijah menjadikan dia kontroversi pada kaca mata pemimpin Umno yang masih konservatif.
Setahun sebelum merdeka, Khatijah dipecat dari Umno. Dia kemudian menyertai PAS yang ketika itu bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy. Menjelang PRU, PAS menawarkan kerusi parlimen Dungun untuk Khatijah bertanding.
Ketika itu, Khatijah ialah Pesuruhjaya PAS Johor dan dia merupakan wanita pertama dalam PAS mengetuai parti di peringkat negeri.
Dipenjara ketika hamil
Pada PRU 1964, Khatijah tidak mempertahankan kerusi Dungun sebaliknya bertanding di Johor Bharu pula untuk menentang Dr Ismail Abdul Rahman. Namun dia tewas.
Khatijah meninggalkan PAS dan kembali kepada Umno pada 1969 setelah berlaku perbezaan pandangan dengan Asri Muda yang menjadi pemimpin de facto PAS apabila Burhanddin ditahan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Khatijah aktif dalam politik sejak di tanah kelahirannya di Padang, Indonesia lagi. Sesudah itu dia berhijrah ke Singapura dan aktif di Tanah Melayu dalam menggerakkan kaum ibu sebagai tenaga utama gerakan kemerdekaan.
Biarpun semasa di Indonesia Khatijah menentang poligami, tuntutan semasa di Malaya memaksa dia menerima ketentuan takdir apabila menjadi isteri kedua kepada Hamzah Taib.
Suaminya bagaimanapun membenarkan dia kekal aktif berpolitik dan berpersatuan.
Semasa darurat, Khatijah sempat ditahan tanpa bicara di Singapura selama dua tahun (1948 hingga 1950). Dia sedang hamil tiga bulan ketika itu.

Inggeris menangkapnya atas tuduhan terlibat dengan kegiatan subversif bersama komunis untuk menjatuhkan kerajaan.
Suami Khatijah jarang melawatnya ketika dia berada dalam tahanan Inggeris. Hal itu kerana tekanan yang diterima oleh Hamzah daripada keluarga isteri pertamanya, dan masyarakat memandang serong kepada perjuangan kiri Khatijah.
Rakan-rakannya dalam pertubuhan yang dipimpinnya juga tidak datang melawat di penjara. Hanya adiknya yang datang melawat pada hujung minggu.
Khatijah ditempatkan di sebuah bilik kecil yang gelap. Di situ ada tandas tanpa air, dan sebuah pangkin kayu serta bantal kayu Cina untuk tidur. Bilik itu juga terdapat banyak pijat yang mengganggu keselesaannya.
Khatijah dibenarkan keluar dari bilik itu untuk melakukan senaman selama 30 minit setiap hari. Tetapi dia mesti diiringi seorang anggota polis.
Dapat layanan dingin
Makanan sepanjang tempoh tahanan itu ialah sepinggan nasi bersama sedikit ikan dan sayur. Kadangkala Khatijah tidak dapat menelan makanan itu kerana tidak ada selera.
Sesekali apabila adiknya melawat dia akan membawa makanan untuk Khatijah. Ketika itu, Khatijah adalah satu-satunya tahanan wanita di Ibu Pejabat Polis Singapura.
Setelah dua bulan ditahan di lokap polis, Khatijah dipindahkan ke penjara Outram Road yang mempunyai tahanan wanita. Di situ keadaan dikatakan lebih selesa.
Terdapat 40 tahanan politik wanita yang hampir semuanya berbangsa Cina. Hanya Khatijah - dan sorang wanita India, dikenali sebagai Devani - yang bukan Cina.
Pada sebelah pagi, mereka makan nasi dengan air garam, manakala untuk tengahari, mereka diberikan nasi dengan sedikit sayur yang dimasak dengan cili. Kadangkala adalah diselitkan sedikit ikan kering.
Pada sebelah petang, mereka diberikan semangkuk kuah kacang hijau, kacang perut ayam dan tanduk kambing bersama nasi putih, ikan berserta sekeping roti dan sedikit sayur.
Anak pertama Khatijah lahir sewaktu dia berada dalam penjara di bawah tahanan Inggeris di Singapura.
Ketika hendak bersalin, Khatijah tidak begitu memahami kaedah untuk melahirkan anaknya. Ketika meneran dan menahan kesakitan, sebahagian petugas hospital melayannya dengan dingin kerana dianggap sebagai angota komunis Indonesia.
Khatijah memerlukan makanan berkhasiat dan berzat sesuai dengan kedudukan selepas bersalin. Pun begitu menu sarapannya tetap sama seperti tahanan lain.
Mungkin kerana kurang khasiat, Khatijah tidak dapat mengeluarkan susu untuk anaknya. Sebagai ganti, bayi itu diberikan susu tepung yang dibekalkan oleh penjara.
Dia membesarkan anaknya itu di dalam penjara. Rakan-rakan sepenjaranya membantu menguruskan bayi itu.
Dalam keadaan begitu, Khatijah diberikan kebenaran membawa tikar dan bantal dari rumah.
Sewaktu anggota pasukan sukarelawan Salvation Army datang ke penjara, Khatijah meminta mereka menemui suaminya di Johor Bharu. Khatijah ingin tahu perkembangan suaminya yang tidak datang menziarahi.
Semangat tak patah
Surat-surat kirimannya pula tidak dibalas, dan dia sendiri memerlukan wang untuk persiapan menerima cahaya mata.
Khatijah menyerahkan sekeping surat kepada salah seorang sukarelawan wanita itu untuk diberikan kepada suaminya
Sukarelawan itu pergi menemui Hamzah yang ketika itu sedang sakit. Sukarelawan itu tidak menyerahkan surat Khatijah kerana madunya ada di sisi pada waktu tersebut.
Hasil pertemuan itu, sukarelawan memberitahu Khatijah bahawa Hamzah tidak begitu gembira dengan perkahwinan kedua itu dan mencadangkan agar mereka berpisah.
Kemudian Khatijah meminta adiknya pergi dengan seorang wanita tua yang memperkenalkannya dengan Hamzah sehingga mereka mendirikan rumahtangga untuk bertemu suaminya.
Mereka juga mendapati Hamzah tidak gembira tetapi Hamzah enggan menceraikan Khatijah.

Kehidupan bermadu tidak seindah dan semanis madu. Khatijah terpaksa menanggung bebanan emosi hubungannya dengan madu, suami dan masyarakat sekeliling.
Pun begitu, ia tidak mematahkan semangat juang Khatijah. Dalam menyara kehidupan selepas keluar penjara, dia terpaksa membuka kedai makan dan mengambil upah menjahit pakaian.
Keadaannya bertambah baik selepas Tunku Abdul Rahman mengambil Khatijah sebagai pegawai penerangan Umno.
Pada masa yang sama Khatijah juga menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno, pemangku Ketua Kaum Ibu Umno merangkap setiausaha agung kaum ibu parti tersebut.
Dari situ, kepimpinan dan kesungguhan Khatijah membawa Umno menembusi ruang kaum wanita sama ada di kota mahupun di desa.
Sejarah pejuang kemerdekaan sesekali terkuak keluar dari gelora merdeka yang kita raikan pada setiap kali tibanya Ogos. Begitulah ironinya pejuang kemerdekaan.
Sebagai penulis, mengenang dan mengarang derita mereka adalah luka amat pedih.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
