Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Peranan gabungan politik sepanjang zaman

Pada Selasa lalu 12 parti pembangkang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) mengumumkan satu gabungan longgar untuk menghadapi pilihan raya umum ke-16. Nama gabungan itu akan diumumkan kemudian.

Dalam gabungan itu, sudah ada dua gabungan yang sebelum ini bertanding dalam pilihan raya umum ke-15. Mereka adalah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan serta Gerakan Tanah Air (GTA) yang terdiri daripada Pejuang, Berjasa, Putra dan Iman.

Mereka akan berdepan dengan enam parti kerajaan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara dan BN terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC). Gabungan PH-BN tidak bernama walaupun sebagai kerajaan, ia dipanggil Madani.

Parti politik adalah suatu konsep amalan bernegara moden yang mempunyai jati diri, identiti dan perwatakan tertentu. Pada mulanya ia dicorakkan oleh pengasas utamanya, aspirasi pengasas bersama dan kepentingan kebendaan serta kejiwaan mereka, Latar belakang para pengasas termasuk kekuatan dan kemampuan mereka juga memberi pengaruh kepada parti berkenaan.

Selepas beroperasi, parti politik akan dicorakkan oleh ahli-ahli, aktivis dan penyokongnya. Parti politik terus diwarnai oleh sejarah dan warisannya dalam ia berinteraksi dengan persekitaran politik yang sentiasa dinamik, tetapi pada waktu sama tidak terlepas daripada akar umbinya. Lagi tua sesebuah parti politik, lagi panjang akarnya. Tetapi ia bergantung pada pergantian generasi pemimpin dan ahlinya.

Gabungan parti politik pula seperti “supra-parti”, maksudnya ia adalah seperti sebuah parti besar memayungi komponen-komponennya. Maka ia tergantung pada ketat atau longgarnya sesebuah gabungan.

Parti politik tertua di Malaysia adalah Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 di Kuala Pilah dan bubar pada 1989 di Haadyai, Thailand.

Tetapi parti politik Melayu tertua ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 di Ipoh dan bubar pada tahun 1948.

PKMM menyertai gabungan politik pertama Tanah Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang ditubuhkan pada tahun 1946. Pada mulanya UMNO adalah gabungan pelbagai persatuan dan hanya ada satu parti politik yang menyertainya iaitu PKMM. Peserta lain ialah persatuan-persatuan masyarakat

Pada tahun sama, PKMM keluar dari UMNO dan menubuhkan gabungan pollitik Pusat Tenaga Rakyat (Putera) yang kemudian berpakat dengan Majlis Bertindak Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) yang diketuai oleh Kesatuan Demokratik Malaya (MDU). Putera-AMCJA ditubuhkan pada tahun 1946 di Singapura dan dibubarkan pada tahun 1948.

Hanya saru anggota AMCJA yang kini masih ada iaitu MIC.

UMNO kemudian menjadi sebuah parti politik dan bukannya gabungan persatuan. Semua persatuan yang menyertainya diserapkan ke dalam parti.

UMNO kemudian bersama MCA dan MIC menubuhkan Perikatan dan memenangi pilihan raya tahun 1955.

Pada hari kemerdekaan, Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (PBM) menubuhkan Malayan Peoples Socialist Front yang diterjemahkan menjadi Barisan Sosialis Rakyat Malaya. Oleh kerana istilah “barisan” belum begitu dikenal di Malaya, maka ia kenali sebagai Front Sosialis (SF).

Bagaimanapun rakan sefahaman mereka di Singapura menggunakan nama Barisan Sosialis apabila parti itu ditubuhkan pada tahun 1961. Ia bukanlah sebuah gabungan tetapi parti tunggal. Malah dalam bahasa Inggeris pun mereka menggunakan istilah Barisan Sosialis

Dalam PRU ke-2 tahun 1964, SF disertai oleh Parti Konvensyen Kebangsaan (NCP).

Istilah “barisan” dalam bahasa politik bagi terjemahan “front” mula digunakan di Indonesia semasa revolusi, dari tahun 1945 ke 1947. Sebuah pertubuhan bernama Barisan Nasional ditubuhkan di Jakarta untuk menjaga harta-harta negara apabila pihak kolonial Belanda meninggalkannya.

Istilah “nasional” tidak digunakan di Malaysia sebelum tahun 1969. Perkataan “national” diterjemahkan kepada “kebangsaan” dan “negara” bukannya “nasional” walaupun ia telah luas digunakan di Indonesia.

Pada tahun 1974, menjelang PRU ke-4, Tun Razak Hussein mengumumkan penubuhan BN yang meliputi 11 parti Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Parti-parti BN di Semenanjung ialah UMNO, MCA, MIC, PAS, Gerakan dan Parti Progressif Rakyat (PPP).

Pertama kali saya membuat liputan terhadap gabungan parti pembangkang ialah pada PRU ke-7 pada tahun 1986 ketika PAS menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) yang dianggotai oleh PAS, PRM, Parti Nasionalis Malaysia (Nasma) dan Parti Sepakat Demokratik (SDP). DAP yang pada mulanya bersetuju untuk menyertainya telah menarik diri pada saat akhir.

Ini diikuti dengan PRU ke-8 pada tahun 1990 yang mana Parti Semangat S6 (S46) mengetuai dua gabungan iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat (GR) Angkatan dianggotai oleh S46, PAS, Berjasa, Hizbul Muslimin (Hamim) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sementara GR dianggotai S46, PRM, DAP, Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dalam PRU ke-10 pada tahun 1999, gabungan politik pembangkang juga berubah. Barisan Alternatif (BA) merupakan gabungan longgar yang dianggotai oleh Parti Keadilan Nasional, PAS, DAP dan PRM.

Pada tahun 2008, dalam PRU ke-12, BA hanya dianggotai oleh PKR dan PAS yang memasuki pilihan raya dengan kerjasama DAP dan PSM yang masih tidak dapat lagi kelulusan pendaftarannya. PSM bertanding atas tiket dan logo PKR. Hasil daripada kemenangan di lima negeri, PKR, PAS dan DAP menubuhkan Pakatan Rakyat

Gabungan itu terbubar dengan keluarnya PAS. Maka PH ditubuhkan oleh PKR, DAP dan Amanah pada tahun 2015. Menjelang PRU ke- 14 pada tahun 2018, Bersatu menyertai PH.

Dalam PRU ke-15, iaitu pada tahun 2022, Semenanjung Malaysia menyaksikan persaingan empat gabungan iaitu PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah. Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan, dan GTA dianggotai Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman. Muda pula bertanding dengan kerjasama PH.

Apabila melihat parti-parti politik di atas, kebanyakannya sudah tiada. Sementara ada parti-parti kecil kekal kecil walaupun sudah bertukar kepemimpinan dengan matlamat parti yang berbeza. Ada parti besar yang menjadi sederhana, ada pula yang sederhana menjadi kecil.

Kebanyakan parti kecil hanya membuang masa saja. Sementara dalam sejarah politik, banyak tenaga, masa, wang ringgit dan emosi hanya merupakan pengorbanan yang sia-sia. Malah perjuangan pun banyak yang berakhir dengan kekecewaan bukan saja bagi para ahli politiknya tetapi juga penyokong dan pengundinya. Tidak kurang pula banyak aktiviti politik yang hanya berupa kepentingan diri untuk berebut kuasa dan tidak mendatangkan manfaat pada rakyat.

Dalam perbualan saya dengan bekas-bekas ahli politik, apa yang diceritakan ialah kuasa mempunyai “kegilaannya” tersendiri. Seseorang boleh “mabuk kuasa”, “gila kuasa” dan “rentan korup”, maksudnya mudah tergelincir pada rasuah walau tinggi mana idealisme seseorang. Sedangkan kuasa itu adalah amanah untuk kepentingan rakyat dan negara.

Dalam senarai parti-parti di atas, parti utamalah yang akan menentukan perjalanan politik negara. Mereka adalah PKR, DAP, UMNO dan PAS.

Tetapi Bersatu menjadi lebih penting daripada PAS dalam gabungan 12 parti itu kerana presidennya dilihat masih mempunyai kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri semula. Sementara presiden PAS walaupun mempunyai lebih banyak pengikut dilihat tidak cukup layak untuk menyandang jawatan Perdana Menteri. Beliau hanya layak menjadi “king maker” atau penentu siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

Parti Amanah yang hanya lebih setahun daripada Bersatu tidak dapat menonjol dalam PH berbanding Bersatu dalam PN. Ini kerana PH didominasi oleh PKR yang presidennya adalah Perdana Menteri.

Sementara parti lama seperti MCA, MIC dan Gerakan mempunyai nilai tersendiri. Kemungkinannya, ketiga-tiganya sudah menjadi kecil. Tetapi parti-parti kecil yang lain hanya jadi alat bagi parti besar dan mereka juga dipandang sebagai mengambil kesempatan untuk kepentingan politik pemimpinnya.

Boleh saja dibuat penilaian tiap-tiap satu parti kecil itu, dari parti Muda, Pejuang, Putra, MIPP, Berjasa, Iman MAP hinggalah kepada PSM dan URIMAI Ada yang mempunyai idealisme tersendiri tetapi apabila menyertai gabungan, maka tidak timbul “kuasa ketiga” kerana mereka tenggelam dalam gabungan.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS