KOLUM | Beberapa bulan sebelum diumum sebagai penerima Hadiah Nobel, profesor ekonomi Daren Acemoglu menulis artikel pendek "If Democracy Isn’t Pro-Worker, It Will Die" (20 Jun 2024):
"[...] voters tend to support democratic institutions when they have direct experience of democracies delivering economic growth, noncorrupt government, social and economic stability, public services, and low inequality. It therefore comes as no surprise that a failure to satisfy these conditions would result in a loss of support."
Terjemahan: “[...] pengundi cenderung menyokong institusi demokrasi apabila mereka menikmati sendiri sejenis demokrasi yang memberikan pertumbuhan ekonomi, kerajaan yang tidak rasuah, kestabilan sosial dan ekonomi, perkhidmatan awam, serta jurang kaya-miskin yang rendah. Oleh itu, tidaklah menghairankan bahawa kegagalan untuk memenuhi syarat-syarat ini akan mengakibatkan kehilangan sokongan.”
Beliau menulis peringatan ini ketika demokrasi di banyak negara sedang merosot, sebahagiannya kerana sistem ini dilihat gagal menunaikan impian rakyat untuk hidup sejahtera. Bukan sahaja pengarang Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity and Poverty (2012, bersama James A Robinson) risau.
Kira-kira sedekad sebelumnya, Francis Fukuyama menulis dalam Political Order and Political Decay (2014) dengan nada seumpama Acemoglu: "If there has been a single problem facing contemporary democracies, either aspiring or well established, it has been centered in their failure to provide the substance of what people want from government: personal security, shared economic growth, and quality basic public services like education, health, and infrastructure that are needed to achieve individual opportunity."
Terjemahan: “Jika ada satu masalah yang dihadapi oleh demokrasi zaman sekarang, sama ada yang bercita-cita [untuk mencapainya] atau yang sudah mapan, masalah itu tertumpu pada kegagalannya untuk menyediakan intipati apa yang rakyat inginkan daripada kerajaan: keselamatan peribadi, pertumbuhan ekonomi yang dikongsi bersama, dan perkhidmatan awam asas yang berkualiti seperti pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur yang diperlukan untuk mencapai peluang individu.”
Profesor sains politik tersohor ini menulis ketika garisan berkembar dan di kiri kanan Jalan Raya Timur Barat sedang memudar. Dalam tempoh sepuluh tahun hingga kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu, garisan tersebut tidak pernah dipeduli. Pengguna memandu dalam gelap tanpa panduan garisan di jalan yang sering berselekoh tajam dan tidak diselenggara dengan baik.

Dalam tempoh itu, lima perdana menteri dan lima menteri kerja raya bertukar ganti tetapi tiada sesiapa yang memberi perhatian. Jabatan Kerja Raya, penduduk berdekatan dan pengguna jalan Gerik-Jeli itu tidak membuat bising. Kecelakaan pada awal pagi itu mengubah segala-galanya. Tiba-tiba lampu terang menyala, garisan putih muncul tidak semena-mena!
Daripada menteri kabinet hinggalah kepada kakitangan jabatan berkenaan, lebuh raya sepenting itu tidak diberikan perhatian berat. Bukan salah pemimpin politik sahaja tetapi, seperti coret Acemoglu "perkhidmatan awam" dan Fukuyama "perkhidmatan awam asas yang berkualiti", seharusnya sedar bahawa semua ini kegagalan kita bersama.
Demokrasi tidak boleh menyampaikan hasrat rakyat jika seluruh jentera ini tidak berfungsi seperti tergambar dalam siasatan kematian Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu. Anggota polis yang seharusnya berperanan gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk membolehkan bedah siasat dijalankan. Belum lagi kita ambil kira kegagalan guru menyiasat aduan pelajar 13 tahun itu.
Namun, seperti lazim, kita lebih suka menyalahkan pemimpin politik dahulu ketika pembangkang mengambil kesempatan melempar fitnah di Dewan Rakyat. Guru sendiri mereka-reka cerita konon remaja itu dimasukkan dalam mesin basuh untuk membuat "content" media sosial! Belum lagi tohmahan jahat yang macam-macam terhadap guru dan pelajar yang didakwa membuli.
Ditenggelamkan keriuhan media sosial
Semua ini menunjukkan politik atau demokrasi kita gagal di segenap peringkat: menteri, jabatan dan warga maya. Kita melampias naluri membuli di dalam diri masing-masing ketika menuntut keadilan mangsa buli. Dalam keghairahan menuntut keadilan itu, sebahagian kita seolah-olah mahu mengganyang pelajar mentah yang kini sudah diheret ke mahkamah.
Apabila nama dan muka lima tertuduh tidak didedah dalam laporan media, warga maya menuduh cubaan menutup (cover up) tragedi itu. Mereka tidak sedar semua individu bawah umur dilindungi Akta Kanak-kanak. Malah, ada yang hairan kenapa peguam keluarga Zara Qairina tidak dilibatkan dalam pertuduhan 20 Ogos lalu! Apa lagi yang kita boleh simpulkan jika hal yang paling asasi tidak difahami warga demokrasi?

Apabila reformasi diperkenalkan sedikit demi sedikit, seperti lazim dilakukan pemerintah termasuk pentadbiran Barisan Nasional, keriuhan media sosial menenggelamkan semua ini. Dalam artikel yang sama, seminggu selepas kejadian nahas bas siswa UPSI, Acemoglu turut menulis begini:
"Moreover, even when democratic leaders have focused on policies that would contribute to better living conditions for most of the population, they have not done a good job of communicating effectively with the public."
Terjemahan: “Apatah lagi, sekalipun pemimpin demokratik telah menumpukan perhatian kepada dasar-dasar yang boleh menyumbang kepada keadaan hidup yang lebih baik bagi sebahagian besar penduduk, mereka [pemimpin] tidak melaksanakan tugas dengan baik dalam berkomunikasi secara berkesan dengan orang ramai.”
Sekali lagi, kes Zara Qairina menunjukkan betapa lambatnya kementerian menjawab tohmahan liar. Sehingga berita palsu demi berita palsu yang bergerak sepantas kilat selama beberapa minggu mencetuskan histeria awam. Pahang yang jauh dari pusat krisis itu turut menganjurkan solat hajat, sementara bandar demi bandar di Sabah menyaksikan perhimpunan #JusticeforZara.
Komunikasi Kerajaan Perpaduan masih berjalan, termasuk media konvensional dan media sosial, tetapi tidak mampu melawan naratif palsu akibat krisis mudah percaya membuta tuli (crisis of credulity) yang menjangkiti pengguna internet. Banyak usaha baik kerajaan tenggelam dalam perang maklumat iu apabila media sosial berjaya mengatasi saluran lazim komunikasi media konvensional.
Dalam makalahnya "(Successful) Democracies Breed Their Own Support" (2 Oktober 2023, bersama beberapa penyelidik), Acemoglu menulis: "Finally, another important research area is to investigate whether perceptions of the success of democracy also matter. This question has become more salient as the amount of misinformation and polarized media reporting has multiplied over the last two decades. This trend raises the question of whether support for democracy is declining in part because of incorrect or biased reporting about the achievements and shortcomings of democratic regimes."
Terjemahan: “Akhir sekali, satu lagi bidang penyelidikan yang penting ialah untuk mengkaji sama ada tanggapan tentang kejayaan demokrasi juga mempunyai peranan. Persoalan ini menjadi lebih ketara apabila jumlah maklumat keliru dan liputan media yang terpencar-pencar semakin berlipat ganda sepanjang dua dekad yang lalu. Perkembangan ini menimbulkan persoalan sama ada sokongan terhadap demokrasi sedang merosot sebahagiannya akibat laporan yang tidak tepat atau berat sebelah tentang pencapaian dan kelemahan rejim demokratik.”
Jadi, selain kegagalan politik kita di segenap peringkat seperti contoh Jalan Raya Timur-Barat dan kematian Zara Qairina, Malaysia juga berdepan perang maklumat palsu dan terseleweng yang gagal ditangani oleh pihak berkuasa. Kegagalan komunikasi pemimpin kerajaan memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia buruk.
Fukuyama juga meninggalkan pesan yang menarik walau jarang dipeduli oleh kita. Saya sendiri selalu berpesan dengan mesej ini tetapi kelihatan tiada kesedaran meluas. Kata profesor itu: "Proponents of democracy focus, for understandable reasons, on limiting the powers of tyrannical or predatory states. But they do not spend as much time thinking about how to govern effectively — they are, in Woodrow Wilson's phrase, more interested in 'controlling than in energizing government'."
Terjemahan: “Penyokong demokrasi menumpukan perhatian, atas sebab-sebab yang dapat difahami, pada usaha mengehadkan kuasa negara yang bersifat zalim atau pemangsa. Namun, mereka tidak banyak meluangkan masa memikirkan cara-cara untuk mentadbir dengan berkesan — mereka, menurut ungkapan Woodrow Wilson, lebih berminat untuk ‘mengawal daripada menggerakkan kerajaan’.”
Demokrasi, hak asasi dan kebebasan sudah sering dilaung-laungkan hampir 30 tahun lalu. Namun, mutu hidup dalam negara demokrasi bersama hak dan ruang kebebasan masih jauh daripada memuaskan. Tiada guna ruang demokrasi atau kebebasan jika ia tidak mendatangkan kesejahteraan; jika birokrasi lemah, jika pembangkang tidak membantu mengukuhkan demokrasi dan jika pemimpin negara tidak memimpin dengan cekap.
Baik apa parti sekalipun, jika kita tidak baiki kelemahan ini segera, semuanya akan berulang seperti nasib jalan utama Gerik-Jeli. Hanya malapetaka boleh membuka mata kita semua.
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
